‘Kringggg…’ kedengaran bunyi yang dinantikan dan tanpa menunggu lama kawasan perkarangan sekolah segera dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang bergegas untuk meninggalkan kelas. Along terus ke kelas angah untuk menjemputnya sebelum sama-sama berpimpin tangan menuju ke perhentian bus pula.
“Ijam, jom kita main kat sana.” cadang Lan pada along yang baru sampai di perhentian bus di hadapan sekolah.
“Ok jom.” balasnya tak menolak sebelum menuju ke bawah pokok akasia yang sedang berbuah lebat, kawasan yang kurang padat jika dibandingkan dengan perhentian bus.
Bekas minuman aluminium yang ada berhampiran, Lan capai dan tegakkan sebelum dipijak sehingga menjadi rata untuk menjadi alat mainan biasa mereka. Bola yang diperbuat daripada tin.
“Sana gol Ijam, yang sini pintu gol Lan.” tutur Lan rakan sekelas darjah 4 Along itu sambil tangan tekun mencari batang-batang kayu untuk dijadikan penanda kawasan tiang gol masing-masing.
“Ok,” balas along tak banyak kata. Sambil berdiri dia membuang pandang ke arah perhentian bus yang masih penuh dengan pelajar menanti ibu-bapa masing-masing tak kurang juga yang menantikan ketibaan bus sekolah yang disewa secara bulanan, samalah seperti dia.
“Angah nak main tak?” soalnya pada angah yang ada berdiri berdekatan bersebelahan batang pokok berkenaan.
“Tak nak.” balas angah, pelajar tahun satu itu sambil menggeleng-gelengkan kepala, tak mahu turut serta.
“Kalau angah tak nak main, angah duduk kat situ.” arah along pula sebelum memulakan permainan. Berebut-rebut along dengan Lan menendang tin bola, menggelecet semampu daya sambil kedua-duanya berusaha untuk mendapatkan jaringan pertama. Berkali-kali, sekejap ke kanan, dan sekejap ke kiri, namun nampaknya belum ada yang mampu untuk menjaringkan gol lagi. Angah hanya mampu memandang, sebelum matanya tertarik pada gulungan-gulungan buah akasia yang ada banyak berguguran. Satu daripadanya dicapai dan diteliti dengan berhati-hati sebelum dia tersenyum sendiri bila dah mula tertarik hati. Tanpa berlengah, dia terbongkok-bongkok mengutip gulungan-gulungan yang lainnya.
“Lan, kita berhenti kejap, rasa haus pulak. Jom kita pergi beli aiskrim nak?” soal along bila tekak dah mula rasa panas dan kering.
“Ok jom, tapi kau ada duit ke? Sebab aku tak ada.” balas Lan pula.
“Ada, aku ada, takpa nanti aku belanja.”
“Angah tunggu along kat sini sekejap ya, along nak pergi beli aiskrim kat sana.” tuturnya pada angah yang dilihat masih leka mengumpulkan buah pokok berkenaan.
“Ok.” balas angah setelah selesai menoleh sebelum memulakan kegiatannya semula, mengutip buah-buah akasia.
“Angah mana?” soal mak terkejut bila hanya along yang berjaya dilihat.
“Angah?” balas Along pula sebelum dia tersedar, angah tak ada bersamanya dan serentak dengan itu juga dia menepuk dahinya.
“Along lupa! Along dah tertinggalkan angah. Along tinggalkan angah kat bawah pokok tu!” balasnya cemas sambil menggaru-garukan kepala dan muka.
“Ya-Allah, along tinggalkan angah kat pokok mana?” soal mak lagi sambil memegang kedua-dua belah bahu along.
“Dekat bawah pokok, dekat tepi sekolah.” tutur Along tak percaya dengan dirinya. Macam mana dia boleh terlupa.
“Takpa, kita suruh abah pergi tengok, mintak-mintak angah ada lagi tunggu kat situ.”
“Abang…abang!” tutur mak seakan menjerit, bila kotak hati mula rasa sempit.
“Huh! Kenapa?” soal abah tak puas hati bila tidurnya diganggu.
“Cepat bangun! Cepat pergi tengokkan angah! Along tertinggalkan angah kat sekolah!” balas mak menerangkan.
“Ha? Apa!” jawapnya terkejut beruk dan tanpa berlengah abah bangun lalu mengemaskan kain pelikat yang tersarung.
“Macam mana boleh tinggal? Along buat apa sampai boleh tertinggalkan adik! Along tinggalkan angah dekat mana?” pekik abah kuat dan serentak dengan itu matanya jadi besar dan membulat. Merah mukanya menahan marah.
“Dahlah! Dah tak ada guna nak marah-marah dah, sekarang awak pergi cepat! Cepat pergi tengokkan angah, mintak-mintak dia ada lagi kat sana, dekat bawah pokok, dekat depan sekolah.” arah mak lagi, sambil tak putus-putus berdoa di dalam hati agar perkara yang menakutkan itu tidak terjadi.
Basikal tuanya berusaha untuk dikayuh dalam kelajuan biasa, tak mahu tergesa-gesa kerana angah dah berjaya dijumpainya, tapi dalam hati Allah saja yang tahu betapa dia cuba mengawal diri.
“Alhamdulillah…syukur Ya-Allah, syukur tak ada siapa yang ambik angah.” tutur mak memanjatkan kesyukuran bila terlihatkan angah yang ada duduk di tempat duduk belakang dan serentak dengan itu mak berlari untuk mendapatkannya sebelum angah dipeluk lalu dipangku ke atas rumah.
“Along mana?” soal abah memecahkan kesunyian kawasan hutan.
“Awak nak buat apa dengan along?” soal mak kembali setelah dia dapat mengesan nada ketegasan dalam suaranya.
“Mana budak tu? Awak panggil dia ke sini.” balas abah pula sambil bergerak ke bawah rumah mencari apa yang dihajati, namun mak hanya tercegat memerhati.
“Saya kata panggilkan budak tu ke sini!” pekik abah dengan suara tinggi, membuatkan mak tersentak dan terus rasa kecut di hati. Tanpa berlengah mata tangga didaki sebelum dia mencari.
“Along, abah panggil tu.” serunya pada along, sambil bergerak ke arah bilik yang terletak di rumah belakang.
“Along…along.” seruannya berterusan, namun tetap tak ada sahutan.
“Along turun!” pekik abah yang sudah naik marah daripada tanah, langsung tak menghiraukan apa-apa, tanggapan jiran tetangga terutamanya.
“Along turun, abah panggil tu.” tutur mak pada along yang sedang duduk terperosok di bahagian bucu bilik.
“Mak, along takut…” balasnya perlahan bertemankan air mata yang sudah jatuh berlinangan.
“Takpa, mak ada. Along ikut mak ya. Insyaallah tak ada apa-apa.” ucap mak perlahan sambil menyapu air mata along dengan kedua-dua belah tapak tangannya sebelum memimpin along turun ke tanah, menurut apa yang abah arah sedang dalam hati tak putus berdoa agar abah mendapat pedoman daripada Allah.
“Sini!” arah abah kasar dan serentak dengan itu tangan along disentap sebelum tubuh kecil itu diheret ke arah batang pokok pulasan yang ada tegak dihalaman beserta dengan tali linen sebesar jari kelingking yang sudah sedia berada ditangan.
“Awak nak buat apa dengan anak tu! Awak, bawak mengucap!” tutur mak terkejut dengan tindakan drastik abah namun tak diendah sebaliknya dia pula yang menerima padah.
“Lepaskanlah anak tu…” rayu mak lagi sebelum bertindak pantas meraih sebelah lagi tangan along, mahu membantu apa yang termampu. Tangan along rasa sakit bila ditarik begitu dan serentak dengan itu dia makin menangis tersedu-sedu. Angah, Mat, dan ateh yang melihat mula meraung sekuat hati, terkejut tadkala melihat apa yang terjadi.
“Abah, along minta maaf bah, along janji along tak akan buat lagi.” rayunya tanpa henti, namun tak berjaya untuk membuat abah berhenti.
“Sini!” pekik abah kuat, tetap mahu menjalankan rancangannya, langsung tak memikirkan apa-apa, yang abah tahu hanyalah melaksanakan apa yang dia mahu sahaja.
“Awak, lepaskanlah anak tu.” ucap mak terus-terusan merayu namun hampa kerana dia sendiri dapat merasakan kesan tarikan yang berterusan, sehinggakan tubuhnya turut terdorong ke hadapan setiap kali abah menambahkan langkahan.
“Awak jangan nak masuk campur! Biar saya yang mengajar budak ni!” balas abah keras tetap tak mahu melepas.
“Mak…” rayu along perlahan, penuh dengan rasa kehibaan. Sedih bila rayuannya tak mendapat layanan. Bukan dia sengaja mahu meninggalkan angah, sumpah, dia tak sengaja! Rintihnya di dalam hati sambil terus teresak-esak lagi. Melihatkan keadaan itu adik-adik yang ada berkumpul berhampiran turut memulakan koir tangisan. Semuanya meraung dan menangis dalam kumpulan sebelum disertai Usop yang berada di dalam buaian. Mak dah tak ada pilihan lain selain bergegas naik semula ke rumah untuk mendapatkan Usop.
“Along…” tutur Angah, Mat dan Ateh kesedihan, tak biasa melihat adegan seperti itu dihidangkan.
“Abah! Along minta maaf bah! Along janji, along takkan buat lagi…” tuturnya terus merayu, tapi tak guna, sebab abah masih tetap dengan pendiriannya.
“Sini!” arahnya sebelum menyandarkan tubuh kecil itu pada batang pokok pulasan, rumah tumpangan semut kerengga yang ada banyak jumlahnya sampai tak dapat nak dikira dengan jari tangan. Tanpa berlengah, badan along diikatkan pada batang pokok berkenaan.
“la illa ha illallah muhammadul rasulullah!” ucap mak mengucap tadkala kembali semula ke sana. Tak menyangka abah sanggup melakukan perkara sebegitu.
“Ya-Allah, kenapa sanggup awak buat anak tu macam tu!” tambahnya lagi sambil cuba untuk menenangkan Usop yang masih menangis didalam pelukan dan tanpa sedar air matanya turut berlinangan sama, menangisi nasib diri yang tak mampu untuk mempertahankan anaknya.
“Makkk…tolong along mak! Sakit mak! Along sakit!” tutur Along sambil mengusap-usap kulit yang terasa perit bila digigit semut kerengga yang mula rasa terganggu di situ.
“Awak, lepaskanlah anak tu! Kan dia dah minta maaf dah. Tak payahlah nak dipanjang-panjangkan lagi! Janganlah disiksa anak tu…” rayu mak pula dengan linangan air mata, namun masih belum berjaya untuk melembutkan hati abah.
“Dah awak naik! Bawak yang lain-lain sekali naik!” balas abah kekal tegas dengan mata merah yang mencerlung marah, tapi mak masih tetap tak sanggup nak beralah, tak sampai hati meninggalkan along sendiri sambil dalam hati mula memikirkan untuk melepaskan along daripada ikatan berkenaan.
“Saya kata naik!!!” jerit abah kuat, membuatkan gegendang telinga yang mendengar bergegar pada kadar tertinggi untuk mentafsirkan bunyi dan serentak dengan itu mak tersentak, sebelum mengurut jantungnya yang turut rasa direntap.
“Naik!!!” arah abah lagi sebelum menggenggam tangan mak dan menariknya ke rumah. Angah, Mat dan Ateh segera mendaki anak tangga bila arahan itu diterima. Memang dia kasihankan along, tapi mereka lebih takutkan abah.
“Along…” rintih mak sayu, pilu kerana dia tak mampu untuk membantu anaknya itu.
“Ingat! Siapa yang pandai-pandai melepaskan budak tu, nanti dia pulak yang saya ikat di situ!” ugut abah lagi, terus mematikan hasrat yang mak simpan, sambil dalam hati mula menyesali kehidupan bertemankan suami yang keras hati.
“Mak…sakit mak…abah…sakit…” rayu along mendayu-dayu, memohon agar dilepaskan daripada situ, namun hampa bila dia tetap ditinggalkan kesorangan.
Bunyi kocakan air hasil lompatan Usop membuat terjunan tirok dari batu yang ada timbul di tengah sungai menyedarkan along daripada lamunan. Lantas dia kembali ke alam realiti, meninggalkan kenangan-kenangan lama yang cuba untuk dihapuskan daripada ingatan, tapi nampaknya dia masih lagi gagal dalam usahanya itu.
“Along, kita tak nak balik lagi ke?” soal Safi, yang baru datang menghampiri.
“Dah puas mandi?” soalnya kembali, serentak Safi menganggukkan kepala.
“Kalau dah, jomlah kita balik.” tutur along lagi sebelum mencapai plastik berisi dengan ikan dan menghulurkannya kepada Safi.
“Pegang kuat-kuat ya, sebab ikan tu hidup lagi.” ucapnya pula sambil mencapai tali jala dan menyarungkannya ke tangan, membuat tambatan.
“Usop, Man, Ina…dah dahlah tu. Jom kita balik.” seru Along pada adik-adik untuk memastikan tiada yang keciciran.
Suasana di dalam rumah yang terasa sunyi bila semua anak-anak masuk tidur awal hari ni membuatkan abah berfikir lagi, kerana perkara sebegitu amat jarang terjadi dan serentak dengan itu dia bangun untuk meneliti kawasan sekitar rumah, mencari sebarang kejanggalan yang mungkin ada ditinggalkan.
Sikap anak-anaknya yang terlebih patuh menerbitkan perasaan yang sukar untuk digambarkan. Gembira? Memang dia gembira, bila dia tak perlu rasa sakit telinga, tapi cuma rasa sikit sahaja gembiranya, kerana dia lebih rasa seperti ada yang tak kena pada semua.
“Kenapa saya tengok senyap je semua budak-budak ni sejak siang tadi? Ada apa dah jadi?” soalnya pada mak yang baru menyertainya di sisi.
“Apa dah jadi?” soal mak pula, sengaja mahu menduga.
“Hish awak ni! Saya tanya awak, yang awak tanya saya balik tu kenapa?” soal abah tak senang hati disoal kembali.
“Awak ni memang macam burung tak berbulu. Budak tu bising salah, senyap salah. Hai…entahlah.” jawap mak sebelum membetul-betulkan bantalnya, bersedia untuk meluruskan pinggang yang minta dibela.
“Pergi padam tv tu, dengan lampu sekali!” arah abah pula dah malas nak memenatkan kepala memikirkan perihal anak-anak.
“Ish, alih-alih saya jugak yang kena. Bukanke tadi awak yang kata awak nak tengok tv lagi?” balas mak tak puas hati tapi tetap juga menuruti, serentak dengan itu mak bangun semula demi memenuhi apa yang abah hajati, membuatkan abah tersenyum sendiri. Gembira kerana berjaya menunjukkan kuasa vetonya...lagi.