Permandangan yang sangat mendamaikan di mata kedua-duanya, bila bunga cinta kini sudah mula memutikkan buahnya. Wan kekal menjamu wajah Safi yang ada baring mengiring di sebelah dengan tekun dan tanpa gagal, begitu juga keadaannya buat Safi. Agak lama mereka berkeadaan begitu sebelum Wan mengambil langkah untuk memulakan, bila hati semakin digamit rasa kecintaan. Perlahan-lahan dia mendekatkan lagi jarak diantara mereka. Keadaan yang berbeza, kerana kali ini Safi dilihat tidak lagi menolaknya. Dengan penuh berhati-hati, satu kucupan dihadiahkan pada ubun-ubun Safi demi menghargai kehadhiran si bidadari.
“Jadilah kepunyaan abang…”
“...dan jangan pernah tinggalkan abang…” bisiknya pada Safi, minta dimengerti dan Safi membalas dengan sentuhan lembut di pipi suami yang sudah cukup untuk diangkat sebagai jawapan, tanda kerelaan. Sebagai balasan, Wan menghadiahkan Safi dengan kucupan di dahi dan di pipi sebelum kedua-duanya sama-sama berkongsi impi, untuk saling memiliki, mimpi indah yang dinanti-nanti, bertemankan malam, yang erat menyelimuti.
“Sini! Tengok ni!” tutur Wan pada Safi yang ada menyambut kepulangannya di muka pintu selesai mereka berbalas salam.
“Hmm?” soal Safi tak mengerti, namun Wan hanya membalas dengan senyuman di pipi.
“Tengoklah dulu.” balasnya sambil mengeluarkan apa yang telah berjaya diusaha. Safi mencapai kertas yang sedang dihulurkan sebelum mata jadi bercahaya ditemani senyuman yang tak tergambar manisnya.
“Abang nak bawak Safi pergi haji? Betul ke ni?!”
“Ha, betullah. Kan dah ada namanya dekat situ.”
“Sebenarnya daripada dulu lagi, abang dah memang ada pasang hajat ni. Abang berniat untuk bawak isteri abang ke tanah suci bila abang dah kahwin nanti dan itu dah dimasukkan sekali dalam hantaran perkahwinan kita.”
“Abang tak beritahu Safi awal-awal sebab semuanya masih belum pasti, takut tak jadi. Ingat bila dah confirm baru nak bagitahu.”
“Macam mana? Suka?” soalnya inginkan jawapan dalam bentuk pengakuan.
“Hmm, suka! Terima kasih. Sayang abang!” jawap Safi yang sudah merangkul lengan Wan dan menghadiahkan pipi suaminya itu dengan ciuman dan Wan betul-betul puas hati dengan ganjaran.
“Kejap…”
“Tapi kenapa ada tiga?” soalnya semula sebelum terus memeriksa.
“Abang nak bawak mak sekali? Betul ke ni?” tambahnya seperti tak percaya pada apa yang telah dilihat mata, tapi nama mak memang ada tertera.
“Hmm.” balas Wan sambil menganggukkan kepala.
“Tapi, ibu? Ibu macam mana? Nanti apa pulak kata ibu?” balas Safi setelah menyedari ada kekurangan dalam bilangan.
“Bukan abang tak nak bawak ibu, cuma ibu yang tak nak. Ibu kata dia baru lagi pergi tahun lepas. Tahun ni, bagilah peluang pada yang tak pernah dapat rezeki ke sana lagi.”
“Tapi ibu pesan, nanti jangan lupa bawa balik air zam-zam untuk dia.” jawap Wan sebelum menggenggam jari-jemari Safi lalu mengucupnya dan Safi tambah terharu dibuatnya.
“Abang nak ucapkan terima kasih pada Safi…”
“Terima kasih kerana sudi jadi pelengkap hidup abang. Abang sayang Safi.” tuturnya menyatakan isi hati.
“Safi pun. Safi pun sayang abang.” jawap Safi sebelum kedua-duanya saling berbalas pelukan bukti sebuah kecintaan.
“Allah…rahmatilah kami…dan berkatilah hubungan ini…” bisik Safi, namun hanya kekal di hati.