Kelopak matanya sudah berat, namun hati rasa teringin untuk mengetahui perkembangan Safi. Apa ceritanya dan apakah khabarnya. Tak bertangguh, telifon bimbitnya dicapai sebelum nama Safi dicari.
“Assalammualikum…”
“Waalaikumussalam…Safi buat apa tu?” soal angah di hujung talian.
“Safi dah nak tidur dah ni. Baru lagi lepas sembahyang Isyak, tapi dah rasa mengantuk pulak. Angah? Angah buat apa?” soalnya pula.
“Angah pun baru lepas sembahyang. Safi balik ke hujung minggu ni?”
“Jadilah, insya-Allah. Lagipun dah janji dengan mak. Ingat nak pergi kebun, nak meracun.”
“Oklah kalau macam tu. Nanti Safi tunggu angah, kita balik sekali. Sama macam hari tu, sejam lebih nanti angah sampai. Kalau ikut jalan Kota Baharu dekat sikit nak ke Dungun. Safi tunggu angah, lepastu kita balik sama-sama, tak payah naik bus, susah.” arah angah.
“Ok, tapi angah, nanti jangan lupa beli jagung bakar macam yang hari tu ek. Sedap jagungnya, lembut, tak bersabut.”
“Ok, insyaAllah, nanti kalau ingat angah singgah. Lagi? Ada apa-apa lagi yang Safi nak?”
“Ha, Quran yang angah bagi tu, baca ke tak?”
“Baca! Hari-hari orang baca. Tapi, Safi tak pandai baca macam angah. Masih merangkak-rangak lagi.” balasnya, mengakui kelemahan diri.
“Takpa, baca perlahan-pelahan pun tak salah. Lagipun kita bukan nak jadi qariah. Yang penting mula, kalau tak dimula, takkan pandai kita sampai bila-bila.”
“Angah saja beli yang kecik yang ada terjemahannya sekali, supaya nanti senang Safi nak bawak pergi mana-mana. Baca bila ada masa. Tak perlu terkejar-kejar, ambik masa.”
“Orait boss!” jawap Safi berteman senyuman penghargaan bila usaha kecilnya itu dilihat mendapat galakan.
“Angah, angah tak rindu ke rumah KL?” soal Safi tiba-tiba.
“Rindu. Mestilah rindu. Tapi sekarang angah memang tak ada masa nak ke sana. Biar Man yang jaga. Rumah tu angah beli pun sebenarnya untuk semua. Nanti kalau abang dengan adik dah besar lepastu ada yang belajar dekat bandar, bolehlah budak-budak tu duduk dekat sana. Dah tak payah menyewa.”
“Lepastu kalau ada yang nak buat urusan di bandar, bolehlah tinggal dekat situ. Dah tak payah risau nak cari tempat tinggal. Duduk je dekat situ.” terang angah bercerita tentang niatnya dan Safi hanya mengangguk-anggukkan kepala sebelum tersenyum suka.
“Baca bismillah!”
“Baca bismillah! Baca bismillah! Baca bismillah!” serentak itu juga, Safi terus terjaga.
“Astargfirullah hal adzim! Astargfirullah hal adzim! Astargfirullah hal adzim…” serunya berulang kali ditemani bisikan suara lelaki yang sama lagi. Suara dari dalam mimpi yang berulang untuk malam ketiganya, berturut-turut.
“Ya-Allah…apa maknanya mimpiku ini?” bisiknya sebelum meraup kedua belah telapak tangan ke muka.
“Dah? Dah siap dah?” soal angah yang baru tiba pada Safi yang datang menjenguk di pintu rumah sewa yang didiaminya.
“Dah, dah! Angah nak naik dulu tak?”
“Nak! Nak tumpang tandas!” jawap angah yang sedang membuka kasut.
“Ok. Safi bawak masuk barang dalam kereta dulu ya.”
“Ha, bawaklah. Letak belakang.” arah angah yang sudah hilang.
Keadaan masih renyai dan permukaan jalan masih basah akibat hujan yang berpanjangan, namun itu tidak mengganggu perjalannan mereka kerana angah sudah biasa dengan keadaan begitu.
“Angah, nah!” sua Safi pada angah setelah membuka plastik jagung bakar yang ada diatas peha dan angah memang takkan pernah berkata tidak padanya.
“Hmmm…sedap!” tutur angah sambil tersenyum, menikmati hidangan kegemaran. Setelah mengambil beberapa gigitan, tongkol jagung tersebut dikembalikan.
“Lagi?” soal Safi sambil memerhati.
“Jap!”
“Hmm.” angguk angah meminta, membuatkan Safi tersenyum melihatnya.
“Segar betul jagungnya. Mesti baru petik kan? Manis, lembut, masin, semuanya cukup.” puji Safi pada juadah yang nampak mudah, tapi tak semudah yang dijangka kerana kualiti buah yang paling utama. Elok buahnya, sedaplah rasanya.
“Hmm. Sedap kan. Angah kalau lalu, mesti tak sah kalau tak singgah.”
“Angah nak air?” soal Safi, memberi perkhidmatan terbaik sebagai copilot, dan angah seperti biasa, takkan pernah menolaknya.
“Hutang angah pada Kak Fizah ada 1000 lagi. Safi tolong ingatkan angah ya, sebab angah takut angah lupa. Tinggal 1000 je lagi. InsyaAllah, dua tiga bulan lagi habislah bayar.” tuturnya menitipkan pesan dan Safi segera memasukkannya di dalam kotak ingatan.
Setibanya mereka di satu bukit, kereta serta-merta hilang kawalan dan berpusing-pusing beberapa kali diatas jalan.
“Safi!!!” ucap angah cemas, namun genggaman pada stereng kekal juga dikemas.
“Angah, angah!!!” jerit Safi, hanya mampu memerhati dan menanti ke mana akan mereka berhenti. Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata sebelum kereta bergerak masuk ke arah jalan yang bertentangan. Apa yang terlihat kini hanyalah besi penghadang jalan dan lurah yang amat tinggi. Pada ketika itu, tiada apa lagi yang mampu mereka lakukan, melainkan pasrah pada Allah.
“Bismillah hir rahman nir rahim…” bisik Safi tenang berserah bulat-bulat pada Allah sebelum kenderaan mereka bertembung dengan besi penghadang. Namun, ibarat mati hidup semula, kereta mereka melantu ke belakang sebelum betul-betul berhenti di tengah-tengah pembahagi dua laluan. Bahagian penutup enjin tercabut lalu tercampak dan jatuh ke atas jalan.
“Angah, cepat! Keluar angah! Keluar!” gesa Safi pada angah sambil menolak pintu kereta kuat selesai menanggalkan tali pinggang keselamatannya.
“Safi! Pintu! Pintu angah tak boleh bukak!” balas angah, cemas.
“Angah, keluar ikut sini!” arah Safi sambil mata kekal memerhati keadaan di kedua-dua belah jalan, takut ada kenderaan lain yang datang.
“Safi ok? Tak kena apa-apa?” soal angah sambil memeriksa adiknya.
“Safi ok, angah?”
“Angah ok. Alhamdulillah…mujurlah tak jadi apa-apa. Jom kita pergi seberang sana.” tutur angah sambil menarik tangan Safi dan bergegas menuju ke pinggir jalan, mencari tempat perlindungan.
“Assalammualaikum. Mak, angah dengan Safi kemalangan!” tutur ateh menyampaikan berita yang baru diterimanya.
“Ha?! Kemalangan! Bila? Dekat mana?”
“Dah tu mereka macam mana? Selamat ke semuanya?!” soal mak cemas, dalam turun naik nafas.
“Katanya tak ada apa-apa. Cuma kereta je yang rosak. Katanyalah, tapi ateh tak tahulah betul ke tak. Ateh dah dalam perjalanan ke sana ni, dengan Abang Hakim sekali.”
“Takpalah, nanti apa-apa, ateh telifon mak semula.”
“Iyalah, hati-hati.” pesan mak, tak pernah lupa mengingati.
Malam dirasakan berlalu terlalu panjang kerana lenanya tak dapat nak datang. Letih baring, mak bangun dan memeriksa angah juga Safi yang sedang tidur bersamanya di ruang tamu rumah berkenaan. Bunyi dengkuran yang anak-anaknya dihasilkan sudah cukup untuk membuktikan kenyenyakan.
Dalam samar-samar cahaya, mak meneliti keadaan kedua-duanya untuk memastikan keadaan sebelum tangannya lembut menyentuh ubun-ubun dan pipi Safi yang berada paling hampir dengannya. Gerakan balas yang Safi hasilkan membuatkan mak segera mengalihkan tangannya. Safi sempat merasakan akan kehadiran mak, namun matanya terlalu berat untuk dibuka dan disebabkan itu juga, dia terus melayan lenanya.
“Argh…”
“Angah, badan angah tak sakit?” soal Safi yang baru bangun pada angah yang sudah terlebih dahulu selesai menunaikan solat Subuh.
“Sakit. Safi pun rasa sakit?” soalnya yang sudah mengambil tempat di sofa.
“Hmm. Sakit dekat sini.” jawapnya sambil mengusap-ngusap tulang rusuk kanannya.
“Angah rasa sakit dekat belah sini. Mesti sebab bekas kesan tali pinggang. Tapi, mujurlahkan, nasib baik kita pakai tali pinggang. Kalau tak, mesti dah tercampak dah kita, macam buah kelapa” tambah angah sambil ketawa.
“Hmm.” balas Safi yang masih malas-malas namun senyumannya hadir juga.
“Dah-dah! Bangun sembahyang.”
“Hmm…”
“Daripada tadi, hmm, hmm, tapi tak bergerak-gerak jugak. Dah! Bangun sekarang!” arah angah, tak suka ada yang berlengah terutamanya dalam menjalankan kewajiban, solat yang sudah diamanahkan.
“Ok, jap…”
“Eeee, Safi ni! Cepat! Sembahyang dulu, lepastu baru sambung golek-golek lagi!” arahnya yang sudah bergerak ke tempat tidur semula.