Home Novel Cinta Cerita Kita
Prolog

Bukit Kemuning(1950’an)

 

Kasut yang dirasakan longgar dikemaskan sekali lagi sebelum Timah berlari-lari membuntuti maknya yang sudah berada beberapa langkah di hadapan, tak mahu ditinggalkan.

“Longgar sangat ke kasut tu?” soal mak yang mula perasan pada apa yang Timah rasakan.

“Ha, longgar. Susah nak jalan, asyik tercabut je kasut ni!” balas Timah yang sudah menjangkau usia 10 tahun itu, sambil cuba menguatkan semula cengkaman di hujung jari kaki.

“Takpa, kalau macam tu, bagi sini.” balas mak sebelum mengeluarkan beberapa helaian kertas yang ada tersimpan di dalam beg tangannya itu dan tanpa berlengah kertas tersebut digumpal-gumpal lalu diselitkan ke bahagian hadapan kasut berkenaan.

“Ha, sekarang, cuba pakai.” arahnya semula selesai mengubahsuai. Tanpa membuang masa, Timah segera mencubanya.

“Longgar lagi?” soal mak lagi sambil mengemaskan pula bahagian kasut yang bersebelahan.

“Dah, dah sedap dah.” segera Timah membalas kerana sekarang barulah dia berasa lebih selesa.

“Mak saja beli yang besar sikit, sebab kalau beli yang padan-padan, nanti tak dan berapa bulan, dah tak dapat nak dipakai, ketat. Kalau beli yang besar macam ni, bolehlah pakai lama sikit. Selagi tak koyak, bolehlah lagi diguna.” tutur mak menjelaskan supaya anaknya itu mendapat pemahaman dan serentak dengan itu Timah menganggukkan kepalanya.

 

Kawasan bandar kecil yang dipenuhi dengan deretan kedai-kedai kain dan perkakasan rumah itu diselusuri sebelum mak dan Timah tiba ke kedai yang mereka ingin tujui. Kedai kain nyonya yang sudah kebiasaan dikunjungi setiap kali mereka ke bandar.

“Pagi, Nya…” sapa mak pada Nyonya Pa Ngok yang sedang leka memperkemaskan keadaan kedai.

“Pagi pagi! Awal datang ini hari. Tak masuk pejabat ka?” soalnya pula sebelum bergegas menghampiri.

“Hari ni tak, cuti. Semalam hujan lebat, pokok getah basah, tak dapatlah nak masuk menoreh.” balas mak semula sambil membelek-belek kain ela yang ada berdekatan dengannya.

“Oh, betutlah, sebab dekat sini pun hujan juga.” jawapnya setelah mengingati apa yang terjadi.

“Kain yang tu baru lagi sampai. Corak yang paling baru, semeter 1 ringgit. Kainnya elok, warna pun cantik-cantik. You cuba tengok.” tambahnya pula menjelaskan tumpuan pasaran.

“Mah nak yang mana?” soal mak pada Timah yang ada di sebelahnya.

“Hmm…” balas Timah sambil berfikir. Biasanya dia tak berapa mengambil kisah tentangnnya kerana apa yang baik bagi mak, baiklah baginya juga.

“Tak kisahlah mak. Mak pilihlah yang mana-mana.” balasnya seketika kemudian kerana dia memang tak betah untuk membuat keputusan tentang perkara yang berkaitan.

“La, cakaplah nak yang mana? Yang ni?” soal mak semula sambil menunjukkan kain yang dirasakan sesuai, tetap mahu anaknya itu membuat pilihannya sendiri, dan tanpa menunggu lama Timah menganggukkan kepala.

“Ke yang ni?” soal mak pula, kali ini pada kain yang berlainan coraknya pula, dan riaksi yang diterimanya tetap sama, Timah menganggukkan kepalanya juga.

“Eh, budak ni, cakap la betul-betul, nak yang mana?” soal mak tak percaya dan Timah hanya mampu ketawa.

“Timah tak kisah. Mak pilih la yang mana-mana.” balasnya sambil tersenyum ceria.

“Kalau macam tu kita ambil yang warna ungu ni ya. Mak suka dengan corak dia. Ha, cantiklah ni kalau Timah pakai.” tutur mak selesai membuat keputusan.

“Ok.” balas Timah, patuh.

 

“Haus tak?” soal mak selesai mencari apa yang dihajati.

“Haus!” segera Timah membalas sambil tangan tak lepas menggenggam tangan mak, kemas.

“Ha, kalau macam tu, jom kita pergi minum dulu. Kita pergi dekat kedai sana tu.” jawap mak sambil berkira-kira mahu melintas jalan, namun dengan tak semena-mena tangannya rasa berat dan tersekat. Setelah diperiksa barulah mak perasan sebelah tangan anaknya itu telah berada di dalam genggaman tangan seorang lelaki yang sedang duduk di kaki lima bangunan berkenaan.

“Kenapa ditarik tangan anak saya tu?” tutur mak terkejut disertai dengan muka yang berkerut. Timah pun sama, tak menyangka yang dia diperlakukan sedemikian rupa.

“Bagi aku tengok tangan anak kau sekejap, bagi aku tilik nasib dia.” balasnya sebelum menarik Timah rapat kearahnya.

“Tak payah nak ditilik-tilik nasib budak tu. Saya tak percaya dengan semua ni. Jangan!” tegah mak, namun dah terlambat kerana si penilik berkenaan sudah tekun melihat tapak tangan yang ada di hadapan. Mak dah mula rasa marah, tapi nak berkeras dia masih ada lagi perasaan waras, lagipun mereka hanya berdua dan suaminya tiada. Dia bimbang, jika makin ditegah, keadaan akan jadi makin parah, lalu jalan terbaik yang dia ada hanyalah pasrah.

“Anak ni…anak ni, bila dia dah tua nanti…dia akan senang.” tutur si tukang tilik berkenaan disertai dengan senyuman yang nampak mengerikan. Manataknya, rambut kusut masai, muka pula dah penuh ditumbuhi janggut dan misai, sedang pakaiannya sendiripun diabai, lusuh dan koyak di sebahagian kawasan, betul-betul nampak mengerikan.

“Dah dah dah! Kami tak perlukan semua ni, sebab kami dah ada Allah!” balas mak sebelum merentap tangan Timah daripada genggaman tangan lelaki yang tak diketahui gerangannya itu dan dengan pantas mereka meninggalkan kawasan berkenaan. 

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.