Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 17

Mak kekal fokus pada jarum dan benang kait yang ada ditangan, hobi masa lapangnya itu, lagipun hari ni hari khamis, hari mereka bercuti, jadi tak perlulah berkejar-kejar seperti hari-hari yang biasa.

Keadaan rumah lengang kerana Safi, Man dan Ina telah ke sungai untuk mengikut abahnya menjala manakala ateh, Mat dan Usop masih belum pulang daripada sekolah. Sambil mengait, mak terpandangkan pula beg duit abah yang ada di atas meja sebelah dan dengan berhati-hati beg tersebut diteliti sebelum dia jadi pasti abah masih tak berubah lagi. Serantak, satu keluhan berat dilepaskan menandakan ketidakpuasan.

 

“Awak masih beli nombor lagi? Kan hari tu awak janji yang awak takkan beli lagi?” tutur mak pada abah yang sedang berlunjur di sebelahnya. Terus berubah wajah abah, tak sangka kegiatannya diketahui juga.

“Mana ada awak ni. Saya dah berhenti, kan saya dah janji.” balas abah cuba untuk membohongi sebelum dia bangkit setelah hilang mood beristirehatnya. Kotak rokok yang ada dihujung kepala dicapai sebelum dikeluarkan isinya.

“Awak jangan nak menipu saya. Ni apa ni? Ni?” jawap mak pula sambil mengeluarkan kad kecil yang ada diselit di bawah lipatan kain.

“Itu yang lama lah!” balas abah. Segera api rokoknya dihidupkan pula.

“Lama awak kata? Tu! Tarikh tu ada tulis kat situ! Awak baru beli beberapa hari lepas kan? Awak sengaja nak membodohkan saya?”

“Tak tahu lagi awak yang judi tu dosa?”

“Patutlah hidup kita tak pernahnya senang, sebab nilah! Masa sembahyang, sembahyang. Tapi beli nombor tak pernah kurang.” bebel mak, mula tegang kerana dia benci judi dan segala perkara yang mempunyai unsur judi. Abah yang mendengar mula jadi berang, tak suka kesalahannya ditegur sesiapa.

“Tak payahlah awak jadi macam anjing menyalak bukit! Saya tahulah apa yang saya buat! Saya belajar sekolah agama dulu dan saya tahu tu semua, tak payahlah awak nak mengingat-ingatkan saya!” tegas abah semula kerana itu adalah urusannya.

“Elok sangatlah tu! Kata berilmu, tapi tak pernah nak mengamal. Macam mana Allah nak tolong kita kalau kita sendiri tak ikut cakap Dia?”

“Tak percaya awak pada Allah? Rezeki tu kat tangan Dia, bukan kat tangan benda ni!” balas mak yang masih marah sambil menyuakan kad yang ada di tangan. Dengan judi dia memang tak boleh nak berkompromi kerana matanya sendiri pernah jadi saksi, betapa judi mampu merosakkan hubungan suami isteri.

“Bising betul! Orang nak berehat pun tak senang! Asyik membebel je kerjanya!” gerutu abah sebelum bangun dan melipat kain pelikatnya tinggi dah tak nak meneruskannya lagi, meninggalkan mak yang masih dijeruk rasa tak puas hati.

 

“Kalian jangan turun main ke tanah. Mat nak pergi pasar sekejap. Kalian tunggu rumah. Ingat! Jangan main api!” pesan Mat yang sudah selesai berpakaian.

“Safi kunci pintu ni.” arah Mat lagi sebelum segera turun daripada rumah.

“Ha.” balas Safi sebelum segera berlari.

“Ingat, kalau ada siapa-siapa datang, jangan bukak pintu. Mat pergi sekejap je, tak lama lagi Mat balik.” tambah Mat, meninggalkan pesan sebelum mencapai bungkusan ayam tambahan yang sudah diproses lalu digantungkan pada besi tengah pemegang basikal. Safi, Man dan Ina segera berlari ke pintu tinggi di bilik belakang untuk melihat Mat pergi. Tertinjit-tinjit mereka pada hujung jari kaki demi menyaksi. Safi yang dah tinggi dah dapat menyaksikannya sendiri, sedang Man hanya nampak hujung kepala sampai ke mata manakala Ina si bantut, masih tak dapat nak tengok apa-apa, yang dia tahu hanya merengek saja.

“Haaa…Ina pun nak tengok…” rengeknya sebelum menarik-narik lengan Safi membuatkan Safi segera memeluk dan mengangkatnya sekuat hati dan Ina apa lagi, senyum sampai nampak gigi.

“Bai bai…” tutur Ina sambil melambai dan segera dibalas Mat pula.

“Bai.” balas Mat sebelum berlalu pergi.

 

Bila dah tiada yang menjaga, mereka mulalah mencari perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk menghabiskan masa yang ada. Puas ke dapur mereka bergerak pula ke depan. Disebabkan tv dah rosak dan dah tak dapat nak berfungsi, mereka mula mati kutu sendiri. Akhirnya disebabkan terlalu bosan, mereka menuju ke katil mak dan abah yang kosong tak bertunggu lalu merebahkan badan ke situ.

“Ina nak duduk tengah!” tutur Ina meminta kerana dia takut duduk di bahagian tepi.

“Mana boleh! Asyik Ina je yang duduk tengah, Man pun nak duduk tengah jugak!” balas Man marah sebelum kedua-duanya mula bergelut, berebut.

“Ish! Boleh tak kalau tak berebut-rebut! Ina baring kat sini!” arah Safi memberi penyelesaian.

“Tak nak! Ina tak nak baring sini.” balasnya menolak. Turun naik kakinya membentak.

“Susahlah dengan Ina ni! Kalau tak nak, pergi tidur tempat lain!” tutur Safi dah tak kuasa nak melayannya.

“Taknakkk…! Ina nak duduk tengah…” balasnya dengan suara mengada membuatkan Man mula sakit hati dibuatnya.

“Mengada-ngada!” tutur Man sambil menghadiahkan Ina dengan jelingan benci, tapi itu tak cukup untuk membuatkan Ina berhenti sebaliknya gelagat si keladi mula menjadi-jadi.

“Abahhh…! Makkk…!” rengeknya sambil mencebik minta kehendaknya dipenuhi, senjata rahsianya, mungkin berkesan pada abah dan mak, namun tak pada kakak dan abang kecilnya itu.

“Ha, menangislah! Nanti, biar kena ambik dengan hantu kopek!” tutur Man menakut-nakutkan.

“Taknak lah!” jerit Ina ketakutan sebelum segera merebahkan diri dan memeluk tubuh Safi.

“Tahu takut...” ejek Man lagi kerana tak mudah dia dapat memuaskan hati, bila setiap kali dia yang perlu mengorbankan kehendak sendiri.

“Man dah! Sudah! Jangan kacau Ina lagi. Bising tau tak!” arah Safi dah tak tahan dengan pergaduhan membuatkan Man mematikan segera hajat yang dah difikirkan.

“Safi, seronok ke pergi sekolah?” soal Man tak berapa lama kemudian.

“Seronok! Seronok sebab hari-hari boleh dapat duit belanja.” jawap Safi sambil tersenyum suka.

“Tapi kan, kalau pergi sekolah, dah tak boleh main macam ni dah.” balas Man, membuatkan Safi memikirkan alasan yang lain lagi.

“Tapi kalau pergi sekolah, nanti boleh jadi pandai macam along dengan angah. Dah, Man tak nak jadi pandai macam along dengan angah?” soalnya kembali, mengembalikan pertanyaan.

“Nak tu memang la nak, tapi kan nanti kalau pergi sekolah kena bangun awal-awal, lepastu kena mandi pagi-pagi, dahlah sejuk, eee..tak seronoklah.” balasnya pula setelah memikirkannya lagi.

“Tapi kalau pergi sekolah nanti boleh dapat banyak kawan, ha lepastu, bukan ke Man kata Man nak ada basikal sendiri sama macam Mat. Ha, kalau nak ada basikal macam Mat kenalah pergi sekolah. Kalau tak pergi sekolah mestilah mak dengan abah tak bagi basikal.” jawap Safi pula cuba menyenaraikan kebaikan tempat pendidikan, membuatkan Man mula sangsi dengan pilihan.

“Ina nak pergi sekolah! Ina nak jadi pandai macam along dengan angah!” tutur Ina menyatakan pilihannya.

“Sibuk la Ina ni! Orang bukan tanya Ina pun!” rengus Man tak suka Ina terlibat dalam perbualannya.

“Boleh tak kalau tak bising-bising? Kang Safi tinggal dua-dua kat luar rumah. Biar ambil dek hantu kopek! Nak?” ugut Safi dalam usaha membantu kedua-duanya berhenti.

“Taknakkk…” jerit Man dan Ina serentak, takut kata-kata dikota.

“Ha, kalau tak nak, senyap!” balas Safi kerana hanya itu cara yang ada.

“Tapi kan Safi..” sambung Man semula setelah berjaya mencari alasan yang lainnya.

“Dah dah! Tak ada tapi-tapi dah. Man ingat ya, lagi dua tahun Man kena masuk darjah satu, Ina lagi tiga tahun, sebab mak dah cakap macam tu.” tegas Safi dah tak nak bertapi-tapi membuatkan Man memuncungkan bibirnya sendiri dan disebabkan dah tak berapa seronok dia mulalah bermain sendiri. Sambil baring tangannya mula meraba-raba kepala tilam yang ada sedikit renggang dan terbuka sebelum dia segera menelangkupkan badannya, takpercaya pada apa yang dilihat mata.

“Safi, tengok ni, tengok ni! Man dapat belon!” tegasnya sambil memain-mainkan tiub getah yang baru dijumpai.

“Belon? Macam mana boleh ada belon kat situ?” balas Safi tak percaya sampai terbangun dibuatnya.

“Ina nak! Ina nak! Ina pun nak belon!” gesa Ina tak sabar, setelah seronok melihatnya.

 

“Safi dengan Man sini! Jawap dengan abah! Siapa yang selongkar tilam abah tadi? Cepat cakap!” jerit abah yang baru pulang ke rumah, marah setelah menemui perkakasannya yang telah disembunyi. Safi dan Man segera menyorokkan diri di penjuru bilik dapur, tak percaya kerana dirasakan mereka tak melakukan kesalahan apa-apa.

“Awak ni, tak payahlah sampai terjerit-jerit. Nanti orang ingat kita yang bergaduh laki-bini.” tegur mak, namun tak berjaya membuatkan abah berhenti kerana amarahnya dah menguasai diri.

“Awak memang macam nilah! Selalu macam ni! Saya nak mengajar anak-anak, tapi awak nak membela pulak, dah tu macam mana anak-anak nak jadi orang!” sergah abah pada mak dengan muka yang dah memerah, tak ubah macam udang kena api dan serentak dengan itu mak terdiam dibuatnya.

“Cakap! Siapa yang selongkar katil abah!” soal abah semula namun Safi dan Man hanya mampu berpelukan sambil menangis ketakutan membuatkan mak yang melihat turut sama terkesan.

“Dahlah! Tak payah nak marah-marah! Kita juga yang salah, kita yang tinggalkan mereka di rumah, dah tu apa yang kita nak lagi? Memang patutlah ini yang jadi!” balas mak tegas mahu pertikaian itu ditamatkan segera, lagipun mereka masih budak-budak, bukannya mereka tahu apa-apa. Tanpa berlengah Mak mendapatkan kedua-dua anaknya. Melihat keadaan itu abah mendengus marah, tapi biasalah, abah memang jenis yang tak mudah beralah.

“Ina bagi tahu abah. Siapa yang selongkar katil abah?” soalnya pada Ina yang turut sama berlinangan air mata.

“Man…” tutur Ina lancar, tak langsung memikirkan akibatnya. Abah apa lagi, terus naik semula hantunya mendengar jawapan yang dinanti-nanti sejak tadi. Serentak dengan itu abah terus maju untuk mendapatkan si pelaku.

“Awak, saya kata sudah! Sudah!” balas mak tegas sambil merenung tepat ke wajah abah sebelum memeluk Safi dan Man rapat kearahnya, dah tak tahan dengan kelakuan dan tindakan yang suaminya itu tunjukkan. Lebih dari itu dia tak rela lagi melihat ada anak-anaknya yang diapa-apakan. Cukuplah along dikasari dulu, tak perlulah ada tambahan yang baru. Langkahan kaki abah terhenti, tak menyangka isterinya itu betul-betul bertekad kali ini.

“Ikut suka hati awaklah! Kalau anak-anak tu jadi orang tak berguna nanti, awak jangan salahkan saya!” bentak abah sebelum turun dan mengayuh basikal tuanya untuk keluar semula.

 

Previous: Bab 16b
Next: Bab 18a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.