“Huh! Iyalah tu!”
“Pandai-pandai je nak menuduh orang. Apa kalian ingat kalian siapa? Tak ada usul periksa, semua perempuan dipukul rata.” bebel Safi tak puas hati pada artikel yang sedang dibaca.
“Budaya kerahiban kata kalian? Rahib?!”
“Dengar je pun dah tahu salah, tak payah langsung nak dibaca yang lain-lain dah. Apa ingat hanya kalian yang belajar agama dan yang lain bodoh semua?”
“Tak boleh ke berhenti menuding jari pada orang lain? Cari punca, barulah dapat nak diselesaikan masalahnya. Ini tak, terlalu sibuk dengan kesan. Cubalah kalian fikirkan cara nak menyelesaikan puncanya. Itupun susah sangat ke?”
“Kalian yang bekerja, dah seharusnyalah kalian yang menyelesaikan.” bidas Safi masih tak puas hati sambil terus membaca lagi.
“Pengaruh internet dengan tv itu yang perlu kalian fikirkan. Ini tak, tak habis-habis nak melemparkan tuduhan. Atau, tak pernah ke kalian terfikir? Mungkin mereka ada masalah dan alasan tersendiri yang menghalang mereka untuk berumahtangga? Ni tak, bila tengok orang perempuan tak kahwin, mulalah menuduh yang macam-macam.”
“Apa tak membaca? Bukan nisbah lelaki lebih kecil daripada perempuan ke? Dah, maksudnya, kalau semua perempuan perlu kahwin, kena bermadulah semuanya nanti. Mengarut!”
“Dalam dunia yang kejam ni, macam-macam yang mungkin dah terjadi. Dah? Apa yang kalian tahu? Menuduh je lebih, membantu? Hmm, tunggu!” tambahnya menzahirkan kekecewaan pada tuduhan yang dah dilemparkan, semudah membuang ludah.
“Kahwin, kahwin! Itu jelah yang kalian tahu.”
“Ingat senang nak cari laki? Sesenang membeli ikan kat pasar? Belek insang, cucuk perut, telek mata dah boleh dipilih dan dibawak balik?”
“Belum ada apa-apa, iyalah, nampak macam elok, tapi bila dah duduk serumah, tahulah. Nampak je macam orang, bila marah terus jadi beruang, sampai nak makan orang.” bisiknya berteman kenangan kehidupan berkeluarga yang sudah dilalui. Baran abah yang tak sudah, dan gangguan-gangguan lain yang pernah diterima sepanjang membesar, membuatkan dia tidak berani untuk meletakkan harapan terlalu tinggi pada golongan yang bernama lelaki. Berumahtangga, memang seronok bunyinya, tapi memiliki…tak pernah terlalu diimpi.
“Biarlah apa orang nak cakap. Yang penting kau tak buat dosa...” tambahnya yakin dengan apa yang sedang dipegang kerana baginya, suami sewajibnya bukan hanya perlu lelaki, tapi lelaki yang layak untuk dihormati.
“Assalammualaikum cinta…” tutur Rasman berteman senyuman dan seperti biasa Safi kekal melayannya pada tahap serdahana.
“Waalaikumussalam…” jawabnya sambil terus bergerak dan memeriksa kandang-kandang yang lain.
“Sayang…”
“Rasman, kau ni kenapalah?! Tak habis-habis nak bersayang-sayang! Nanti kalau orang lain dengar macam mana?!” bidas Safi tak gembira. Selebihnya tak mahu dilebel mengada-ngada.
“Biarlah! Biarlah kalau ada orang lain dengar. Dah memang aku sayang pada kau.” jawapnya tak mahu berhenti.
“Kau tu je yang jual mahal sangat dengan aku kenapa? Sebab aku orang seberang? Bukan orang Malaysia? Sebab tu kau tak suka sama aku?”
“Apa yang kau cakap ni Rasman?! Kenapa perlu aku fikir begitu, sedang arwah atok dengan nenek aku pun memang dah asal daripada situ. Dah? Kenapa mesti aku benci?”
“Dahtu, kenapa kau tak suka aku?”
“Bila masa pulak aku cakap yang aku tak suka kau?”
“Tapi kau tak pernah cakap yang kau suka aku!” bidasan yang membuatkan Safi terus mati kata-kata kerana tak tahu bagai mana mahu membalasnya.
“Kalau ku pinang-pinang tak dapat, nanti ku pujuk-pujuk, ku bawa lari!” tambah Rasman berani, serentak itu angin Safi terus naik tinggi.
“Bawak lari?! Apa ingat tak ada mak bapak? Cubalah kalau berani!” balas Safi dah mula sedikit sakit hati kerana dia paling pantang dipaksa-paksa sebegini.
“Alah, perempuan! Cakap saja begitu, tapi bila dah digitu-gituin, tutup mata dia. Suka!” ungkapan yang terus membuatkan Safi hilang kepercayaan.
“Macam mana kau tahu kalau dia suka dia tutup mata?”
“Sekejap!”
“Rasman, sebenarnya kau dah kahwin kan?” soal Safi ingin membalas pernyataan yang dirasakan telah merendah-rendahkan kaum perempuan. Hilang terus senyum yang terukir di wajah Rasman, tak menyangka yang dia akan diserang begitu.
“Betullah! Lelaki!”
“Semuanya sama!” balas Safi sebelum beredar untuk menjauhkan diri.
“Sa..Safiii!” panggilnya cuba berdolak-dalih lagi.
“Apa?!” balas Safi sambil menjongketkan kepala berteman jelingan sengetnya.
“Aku…” tutur Rasman, sebelum lidahnya jadi kelu, tak berjaya untuk menyambung ayat itu.
“Dah namanya pun lelaki. Kenapalah susah sangat nak jumpa lelaki yang berguna zaman ni…” bisiknya berteman rasa ‘sedikit’ terkilan.
Bunyi dedaun kering dan ranting-ranting kecil yang dipijak menemani ‘pengekorannya’ lagi kali ini. Pemandangan belakang susuk tubuh yang sudah sebati dengannya itu kekal diamati. Langkahan yang sama besar dan sama berat, sama bentuk dan kekal sama perasaannya. Damai serta tenteram, lalu berjaya membutirkan seulas senyuman pada seorang insan yang sentiasa sudi menjadi peneman…biarpun bukan di alam kehidupan.