Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 44

Sejak kebelakangan ini, mak rasa macam ada yang tak kena pada abah. Iyalah, manataknya, ada kalanya abah langsung tak duduk di pasar sebaliknya hanya menghabiskan masa melekat di kedai makan Kak Eee, tempat mak biasa menghantar jagalannya. Itu lagi pelik, kerana biasanya suaminya itu lebih suka duduk berenggeh di kedai Wak Mezah, tapi sejak dua-menjak ni tidak dan keadaan itu membuatkan mak rasa lebih curiga.

Sedang asyik memikirkan tentang keadaan, mak akhirnya terpandangkan abah yang sedang berkayuh ke arah pasar dari kejauhan. Sambil memerhati, mak kekal ditemani dengan persoalan yang dah agak lama bersarang di dalam fikiran.

“Ke mana awak? Sekarang baru nak balik?” soal mak pada abah yang kekal ditemani asap daripada rokok yang sedang dihisap.

“Dah siap kemas dah?” soal abah pula, melencongkan topik perbualan.

“Dahlah, sejak daripada tadi dah siap. Tinggal menunggu awak je lah saya ni.” balas mak pula sambil mencapai beg sandang dan kelengkapan-kelengkapan yang lainnya sebelum menarik kotak papan kayu bersaiz besar yang menjadi pintu gerai jualannya itu.

“Awak tolong saya pegang basikal di sekejap!” arah abah yang sudah mula turun untuk mengangkat tong plastik polimer yang berfungsi sebagai tempat mengisi barang di bahagian tempat duduk belakang. Tong yang sudah mula mengembang itu kemudian ditambat menggunakan tali getah bercangkuk untuk meneguhkannya.

“Jom kita minum dulu.” cadang abah tiba-tiba, membuatkan mak rasa macam…ada yang tak kena kerana jarang benar keadaan seperti itu terjadi. Bukankah bisanya awak lebih gemar minum sendiri??? Soal mak pada diri yang makin mencurigai tindak-tanduk si suami.

“Nak singgah kedai mana?” soal mak kembali, mahu melancarkan sahaja.

“Kita minum kedai Eee jelah. Saya tunggu awak kat sana.” balas abah selesai mengemaskan tambatan dan memulakan kayuhan, membuatkan hati mak rasa lebih berdebar-debar.

 

Mak terus terlopong saat terlihat apa yang terhidang di hadapan mata kerana dia betul-betul tak dapat menerima apa yang dah diusahakan oleh suaminya.

“Astargfirullah hal adzim…” tuturnya beristigfar minta pengampunan dari yang Maha Pengampun. Hancur hatinya melihat gelagat yang dipamerkan oleh Suria, anak saudara Kak Eee itu. Dalam keadaan melutut, dia meletakkan kedua-dua belah tangan di atas ribaan abah, sambil mendagu dan mendongak memandang ke arah suaminya itu tak ubah macam kucing peliharaan, sedang abah hanya membiarkan keadaan itu berlaku tanpa langsung ada rasa kejanggalan. Paling dikesali, abah kelihatan berbangga dengan apa yang dah tangannya usahakan.

Jelingan daripada Kak Eee dan beberapa pelanggan lain yang ada di dalam kedai berkenaan langsung tak berjaya membuatkan abah berhenti, sebaliknya makin kembang-kuncup pula rasanya hati kerana ilmu yang dituntut selama ini masih lagi kekal menjadi.

“La illa ha illallah, muhammadul rasulullah…Apa yang awak dah buat ni?!” soal perlahan mak pada abah yang masih duduk berlagak hebat di situ, membuatkan abah tersenyum setelah berjaya menunjukkan apa yang boleh dia lakukan. Tanpa perlu menunggu lama mak beredar meninggalkan abah yang masih belum puas menayang. Patah hati! Mungkin itulah perkataan untuk mengambarkan apa yang dirasakannya saat ini.

 

Sesampainya di rumah, mak segera mencari apa yang diperlukannya. Selesai menyelongkar almari dan mengambil beberapa helai baju yang diperlukan, dia bangun pula menuju ke arah katil dan mencapai beg pakaian yang ada bergantungan. Safi, Man dan Ina sama-sama tercegat dengan mata yang kekal melihat.

“Mak…” tutur Ina, namun mak langsung tak mengendahkannya.

“Mak…” serunya lagi sambil mula menggaru-garu perut sendiri. Safi dan Man saling berbalas pandang sebelum sama-sama menggelengkan kepala, namun seram-sejuk dah mula terasa di muka dan beakang kepala, kerana mereka pasti benar, mesti ada yang tak kena bila melihat lagak mak. Betul-betul macam orang nak lari.

“Mak…” panggil Man dan Ina, serentak sebelum berlari mendapatkan mak yang sudah mula memasukkan kain baju ke dalam beg tersebut.

“Makkkk…” renget Ina lagi, tak suka dengan apa yang disaksi. Segera dia merapatkan diri dan memeluk emaknya itu.

“Pergi sana. Kalian tinggallah! Tinggallah kalian dengan abah kalian!” bentak mak sebelum berusaha untuk menolak tubuh Ina jauh darinya. Mendengarnya, Ina dan Man terus meraung, tak pernah menduga, kerana mak tak pernah berkata begitu pada mereka.

“Huah…aaamakkkk…” raung keduanya dengan mulut ternganga. Safi yang masih tercegat sudah mula berlinangan air mata sebelum segera mendekati juga.

“Huuu…huuuu…” tangisnya tak mampu lagi nak menahan diri.

“Kan mak dah kata, pergi sana!” arah mak sebelum cuba menolak lagi. Melihat keadaan itu, Ina makin menguatkan pelukan sebelum turut sama disertai oleh Man.

“Taknak! Taknak mak! Tak nak!!!” rayu Man dan Ina bersilih ganti, membuatkan mak segera tersedar akan kekilafan diri dan serentak itu dia beristigfar berkali-kali.

“Astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…” lafasnya perlahan sambil cuba mengawal nafas yang hampir ‘putus’ akibat kekecewaan yang sudah tak mampu nak ditanggung.

“Makkk…” rayu Safi, Man dan Ina, sayu, demi memujuk kemarahan emaknya itu.

“Lagipun, kemana kau nak pergi?” bisiknya di dalam hati setelah sedar hidupnya hanya tinggal sebatang kara kini.

 

“Apa yang awak dah buat pada budak tu?! Sampai hati awak kan? Ke awak ni betul-betul dah tak ada iman?” soal mak dengan suara yang cuba ditahan pada abah yang sedang duduk di muka pintu setibanya abah daripada kedai.

“La, bukannya apa, saya nak mencuba je ilmu saya tu. Nak tengok menjadi lagi ke tak?”

“Tak sangka la pulak, masih kuat macam dulu.” balas abah kekal tersenyum, membuatkan mak terus merentus.

“Elok sangatlah tu! Mencuba benda entah apa-apa!”

“Awak tak malu ke pada dek orang? Tak nampak awak macam mana semua orang pandang?”

“Suria tu budak sangat lagi, baru habis srp. Awak ni betul-betul dah gila ke apa?” bidas mak tinggi, hampir terjerit dibuatnya bila perasaan marah dah mula berubah jadi benci. Sakit hati dengan gelagat tak sedar diri yang bersarang di sanubari si suami. Berombak-ombak dada mak demi melepaskan amarah yang dah terlalu banyak disimpan. Abah yang melihat segera mematikan senyumannya, sedikit terkejut dengan perubahan yang dipamerkan.

“Entah-entah…macam ni jugaklah cara awak dapatkan saya dulu tak? Betul ke tak apa yang saya cakap ni?”

“Awak guna cara yag sama untuk dapatkan saya dulu kan?” soal mak mahukan kepastian kerana persoalan itu sudah terlalu lama didiamkan. Abah yang mendengar segera menundukkan pandangan dah tak berani nak mengangkat muka lagi, takut kebenaran yang disimpan selama ini dizahirkan.

“Memang betullah tu kan? Patutlah selama ni, hidup kita tak pernahnya nak tenang. Rupa-rupanya sebab nilah! Jodoh yang dipaksa-paksa, memang takkan kekal lama!” tambah mak membuatkan abah rasa sedikit tercabar mendengarnya.

“Tak adanya lah…” balas abah sinis, melawan. Tak dapat mempercayai apa yang mak tuturkan.

“Kalau macam nilah perangai awak…” tutur mak mati di situ bila terdengarkan keriuhan yang anak-anaknya hasilkan dari kejauhan, menandakan mereka dah ada berhampiran dan tanpa menunggu lama mak turun ke tanah, bertemankan rasa sedih dan terkilan yang takkan mungkin dapat digambarkan, tapi, entah kenapa, empangan matanya kekal tandus dan kering.

 

Bulan-bulan yang berikutnya dilihat berlalu dengan tenang, tetapi hanya melalui pandangan mata yang melihat sahaja, sedang kenyataanya kekal disimpan di dalam dada. Kekecewaan mak pada abah sejak sekian lama makin membunuh hati yang sedaya-upaya diusaha untuk dihidupkan selama ini. Pandangan mata mak tertumpu pada benang panas yang sedang dianyam sebaiknya, sebelum penglihatannya mula rasa berbalam kerana hatinya tersiksa dalam diam.

“Ya-Allah…” rintihnya sebelum ditemani hujan air mata tanda kesedihan yang dah tak dapat nak ditahan.

“Makkk…” rayunya perlahan, mengadu pada mereka yang dah tiada. Air mata yang galak menitis membasahi benang kain yang sedang diusahakan sebelum dia rasa hilang upaya untuk meneruskan.

“Astargfirulullah hal adzim…astargfirulullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…” bisiknya minta pengampunan atas segala kekecaluan yang dah terdetik di fikiran.

 

“Mak, malam ni kita makan apa?” soal Safi yang berlari mendapatkan mak setelah mak tiba di muka pintu, selesai urusannya di tempat niaga.

“Huh! Tak tahulah!”

“Kalau ada benda yang nak dibuat makan, adalah!” tutur mak tegas, membuatkan Safi tertunduk bila menyedari perubahan nada mak kerana keadaan seperti itu dah kerap sangat berlaku.

“Mak, abah mana?” soal Man yang baru tiba.

“Entah! Tak kuasa mak nak ambik tahu!” balas mak pula membuatkan Safi dan Man saling berpandangan, setelah menyedari pasti ada benda yang dah terjadi. Ina yang memerhati masih terkulat-kulat sambil tercegat, berteman kad-kad bergambar, koleksi simpanan Man yang ditinggalkan tadi.

“Janganlah ambik Man punya!” jerit Man, betul-betul tak suka berkongsi apa yang dia miliki, tapi mungkin bukan dengan semua, sebaliknya dengan sesetengan mereka sahaja dan Ina memang tak pernah termasuk di dalam senarainya. Melihat keadaan itu, Ina pun apa lagi terus dia berlari, mahu memunya apa yang baru dijumpai.

“Bagiiiilahhh…! Bagilah Man punya! Itu Man punya!” jerit Man tak mahu berhenti kerana keadaan seperti itu memang paling dibenci.

“Sudah!!!” tutur mak menjerkah, kuat sampai bergegar rasa rumah. Keadaan yang tak pernah terjadi kerana mak biasanya lebih lembut dalam menasihati, membuatkan Ina dan Man terus berhenti dah tak jadi nak menyambung pertikaian lagi. Safi yang memerhati hanya mampu meneguk air liur sendiri, tak menyangka yang mak boleh bertukar menjadi singa juga.

 

Subjek sains yang baru diperkenalkan pada tahun ini, sedikit sebanyak mendatangkan kegusaran di hati, manataknya mendengar perkataan Sains itu sahaja sudah cukup untuk mendatangkan debaran di jiwa, inikan pula mahu menguasainya. Penggunaan terma-terma baru dengan ejaan-ejaan yang tertentu membuatkan Safi rasa tercengan-cengang setiap masa, tapi mujurlah bukan hanya dia yang merasa, sebaliknya setiap pelajar darjah enam di seluruh pelosok negara.

Penekanan tentang teori dan kajian sememangnya kelebihan kerana setiap sesuatu mampu untuk dibuktian dan keadaan itu telah membuatkan dia makin mengemari subjek baru ini.

Pembelajaran minggu ini berkisar tentang tajuk pembiakan, meliputi cara-cara pokok dan tumbuhan meneruskan kelangsungan dan tak ketinggalan cara manusia manambah-biakkan keturunan.

Safi mendengar penerangan Cikgu Jasmania dengan tekun sebelum matanya tertumpu pada satu objek yang seperti telah dilihatnya lama dulu. Objek getah yang telah membuatkan dia dan Man sakan dimarahi abah bertahun-tahun dahulu dan sekarang barulah dia tahu yang ianya bukanlah seperti yang mereka sangka.

“Patutlah abah marah…ingatkan belon!” bisiknya di dalam hati sebelum tersipu-sipu sendiri, bila menyedari tentang kebenaran tentang apa yang telah terjadi.

 

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.