Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 76

Anak nenas yang sudah sedia ditanam itu dicapai dan dimasukkan ke dalam lubang yang sudah dicangkul. Satu-demi satu diusahakan mengikut jumlah yang tersedia sebelum Pak Sahak terlihatkan kelibat motor Husin yang sedang datang menghampirinya.

“Assalammualaikum…Ha, ini ayamnya.”

“Walaikumussalam…Berapa bang?”

“24 ringgit.” balas abah lancar.

“Sekejap ya bang. Saya pergi ambilkan duitnya.” tutur Pak Sahak sebelum bergegas menuju kerumah.

 

“Perangai tu dah jadi sama macam along dia!”

“Apa dia nak aku buat sama macam mana aku buat pada along dia tu agaknya?” adu abah yang sedang duduk di atas motosikal, selesai menerima bayaran.

“Sabar bang, sabar. Apa halnya?”

“Angah! Aku tahu! Sengaja dia nak tunjukkan keras kepala! Sampai duit belanja pun dia dah tak nak beri!” marah abah, berapi.

“Entah-entah ada sebabnya dia buat macam tu tak? Tak baik abang fikir macam begitu. Lagipun kan anak tu.” pujuk Pak Sahak, menenangkan abah.

“Memanglah anak! Tapi kalau tak boleh nak menyenagkan mak bapak, anak apa namanya tu? Dah berhabis kita menyekolahkannya, tapi bila dah berjaya, dia lupa pada jasa orang tua!”

“Abang, janganlah tuduh melulu! Tunggu dan tengokkan dulu. Entah-entah dia ada masalah tak? Manalah tahu yang dia ada nak guna duit untuk buat apa-apa. Ada abang tanya pada dia?” pintas Pak Sahak dengan rasa terkejut. Tak menyangka Abang Husin yang sentiasa dilihat lemah-lembut selama ini sanggup mencurigai anak sendiri semata-mata kerana duit belanja sahaja.

“Nak tunggu apanya lagi?!”

“Aku tahu dia buat macam tu sebab marahkan aku! Dia marah bila aku minta dibelikan tanah Sohor di hulu tu!”

“Apa dia ingat aku tak tahu? Dia saja nak tunjuk keras kepala. Perangai sama macam maknya! Langsung tak pernah nak faham aku!” bentak abah makin kasar dah tak dapat nak mengawal amarahnya.

“Jangan sampai apa yang aku bagi makan pada dia selama ni, jadi barah dalam badan tu sudahlah!” gerutu abah dengan wajah yang mencerlung.

“Astargfirullah hal adzim…bawak mengucap bang! Jangan sampai disumpah seranah anak tu. Tak baik! Anak tu, anak!” jawap Pak Sahak, terkejut dan tak menyangka Abang Husin senegatif itu.

“Huh! Biar! Aku tak kisah! Lantaklah!” balas abah dengan muka bengisnya membuatkan Pak Sahak terus terdiam dan dah tak tahu mahu menambah apa.

 

Melalui Mak Ngah, mak mengetahui apa yang berlaku. Rupa-rupanya abah tak puas hati dengan angah dan angah sudah tidak dianggap sebagai anak emasnya lagi gara-gara menolak permintaannya untuk membeli sebidang tanah. Mak terkilan, betul-betul terkilan bila mengetahuinya.

Suaminya itu seperti kemaruk nak berharta. Dulu, masa banyak duit tak pula diusahakannya. Waktu tanah murah, tapi dia buat tak endah sedang tawaran daripada Tok Penghulu untuk mengusahakan tanah Felda turut ditolak mentah-mentah. Sekarang, bila umur dah panjang barulah sibuk nak mengumpul pusaka. Mak simpati pada angah. Anaknya itu sudah cuba sebaik-baiknya untuk berbakti, tapi suaminya itu masih belum puas hati.

 

“Angah tu mak, ikut gajinya, dia boleh pinjam sampai RM 100,000. Kebun tu baru RM 40,000. Bukannya mahal sangat pun.” tutur Usop yang baru balik daripada menoreh, mendengarnya mak langsung terdiam.

“Tengok! Sekarang ni apa dah jadi? Abah dah mula marahkan angah.”

“Mak suka tengok abah marahkan angah sama macam abah marahkan along? Mak suka?” tambah Usop lagi.

Sebenarnya dia juga sakit hati. Kalau ada kebun tu bolehlah dia tumpang sekaki. Dah tak payah ambil upah menoreh kebun orang dah. Hasilnya kena bahagi, ciput! Tak cukup untuk buat bayar hutang pinjaman yang dah banyak tertunggak.

“Usop pun sama, salahkan angah? Tak ingat Usop apa yang angah dah buat pada keluarga?”

“Dulu masa Usop kerja, kenapa tak beli sendiri? Cuba berhenti salahkan angah, dia dah buat yang terbaik pada kita selama ini. Takkanlah itupun masih tak cukup lagi?”

“Selama ni, siapa yang urus dan bayarkan duit ansuran rumah ni? Belanja bil air dan eletrik lagi?”

“Belanja bulan-bulan untuk mak dengan abah, tak payah cakaplah. Sejak dia mula praktikal, walaupun baru dapat elaun, bukan gaji pun lagi, dia dah mula memberi.”

“Niat angah nak bantu ringankan beban keluarga. Dah lupa ke Usop pada semua tu? Siapa lagi yang uruskan, kalau bukan dia?”
“Tu, nak bayar duit rumah sewa dia tinggal lagi, sampai siap sedia duit belanja untuk Usop dengan Mat sekali!”

“Dah lupa ke kalian? Tak kesian ke kalian pada angah? Sanggup Usop tengok angah susah?” tambah mak yang dah mula naik geram. Patutlah makin menjadi suaminya tu, rupanya Usoplah puncanya. Mengipas tak kena tempat. Usop terdiam. Dia tahu mak pasti akan menyebelahi angah. Betullah cakap abah, mak berpakat untuk menentangnya. Tanpa membalas apa-apa, dia bertindak menjauhkan diri daripada situ.

“Dah nak ke mana pulak tu? Kan ke baru balik?”

“Makan dulu. Mak dah siap masak ni.” arah mak pada Usop yang baru selesai berpakaian.

“Nanti-nanti je lah! Usop nak keluar!”

“Panas duduk lama-lama dalam rumah ni!” balasnya sebelum hilang di sebalik pintu utama dan mak hanya mampu terpaku, melihatnya.

 

“Phang!!!” bunyi pintu bilik yang ditutup kasar membuatkan badan mak hampir terangkat, akibat terkejut yang amat, namun itu belum cukup untuk membuatkan dia berhenti menjalankan tanggungjawapnya pada yang Maha Esa.

“Allah hu akbar…”

“Subhanallah bial azimi wabilhamdih…subhanallah bial azimi wabilhamdih…subhanallah bial azimi wabilhandih…” ucapnya perlahan, sekadar di pendengaran.

 

Hujung minggu, angah kembali semula ke kampung untuk melunaskan janji, menghantar belanja untuk kedua orang tua yang dikasihi. Mak tak beritahu apa yang terjadi pada angah kerana mak tak nak angah kecil hati dan semua rahsia mak simpan sendiri.

“Mak, angah balik dulu.” tuturnya sebelum menyalami tangan dan mengucupi kedua-dua belah pipi mak. Mak turut sama membalasnya, berteman rasa hiba.

“Mak, abah mana?” soalnya selesai mencari di bilik tidur kerana abah tiada.

“Cuba tengok dekat bilik Usop.” tutur mak sambil turut sama bangun menyusuri.

“Abah, angah balik dulu.” ucapnya sambil menyelitkan duit yang ada di tapak tangan ketangan abah yang baru selesai dikucupi.

“Hmm.” balas abah sepatah sebelum meleretkan matanya ke arah tv pula. Angah perasan perubahan abah, tapi dia tak mengesyaki apa-apa.

“Usop, angah balik dulu. Ni duit untuk rumah. Nanti Usop bayarkanlah.” ucapnya pada Usop yang sedang berlunjur.

“Ok.” balasan Usop juga seringkas balasan abah.

“Mat, nah, ambik ni. Buat belanja.” sambil sehelai duit note 50 diselitkan ditangan Mat pula. Biarlah Mat dicaci dan dipandang rendah orang lain, namun tidak dia, kerana dia sayangkan semua adik-adiknya.

“Ok. Angah, nanti bawak kereta elok-elok.” balas Mat sebelum menghantar angah pergi sampai ke pintu depan. Melihat sikap acuh tak acuh abah pada angah membuatkan mak rasa terkilan, tak menyangka suaminya itu terlalu penuh dengan syakwa-sangka.

 

Mak sedang mengikat pucuk ubi di hadapan rumah sedang abah duduk di kerusi plastik pendek di belakangnya. Rokok dan abah memang tak boleh dipisah. Asapnya berkepul-kepul menuju ke arah mak dan mak segera menutup hidung dengan muncungnya seperti selalu. Sekali sekala terdengar batukan abah yang kuat menerjah telinganya.

“Tulah!”

“Kalau belikan saya kebun di hulu tu dulu, dah senang dah hidup kita sekarang ni.” ungkit abah lagi, tak puas hati.

“Tengoklah! Harga getah dah naik sampai RM 7 lebih, tahu awak?”

“Awak tu lah, awak tu yang tak pernah nak menyokong saya!” tambahnya lagi. Semakin rancak rokok ditangan disedut. Asapnya tak payah cakaplah, cukup banyak, cukup untuk buat ubat menghalau nyamuk.

“Dah anak tu tak nak, takkan sampai nak memaksa-maksa. Awak tak habis-habis dengan tanah getah tu. Tanah getah saya di hulu, semaknya dah sampai kepala, awak tak nak tolong jaga. Buat apalah nak yang lain. Kerjakan tanah tu sudahlah, dua tiga tahun lagi dah boleh nak ditoreh.” balas mak yang masih tekun dengan tugas. Beberapa biji nangka muda terdampar di sebelahnya. Dia harus cepat kerana masih banyak yang menanti. Nangka muda tersebut telah ditempah oleh Kak Long untuk kenduri mencukur cucu esok.

“Tanah tu belum dapat ditoreh lagi! Pokoknya pun masih muda! Kalau dapat pun nanti hasilnya mesti sikit, kulit nipis, tak macam tanah Sohor, pokok dah besar, tinggal nak bukak pelan je lagi. Awak apa tahu?”

“Lagipun itu kan tanah awak! Bukannya tanah saya!” rentus abah. Mak terdiam. Dia kesal, suaminya itu memang suka sangat mencari penyakit. Tiada beban, batu pula mahu digalas!

“Sampai hati awak burukkan anak depan orang macam tu?”

“Suka main tuduh-tuduh. Kalau angah tahu mesti dia sedih.” tutur mak perlahan. Abah terdiam, dia tak sangka perkara tersebut boleh sampai ke pengetahuan isterinya itu.

“Kan dia dah cakap yang dia tak dapat nak keluarkan duit sebab dah tak boleh nak dikeluarkan. Kalau nak dikeluar, kena ke kaunter. Dah hujung minggu, bank mana pulak yang bukak. Yang awak tak percaya, kenapa?” balas mak menyatakan perasaan terkilan.

“Biarlah dia tahu! Biar dia tahu yang hati saya ni sakit!”

“Lantaklah, saya peduli apa!” balas abah, intonasinya mula berubah, sinis dan tinggi.

“Dah puas saya membesarkan. Tak pernah saya minta apa-apa daripada dia, cuma sekali ni je baru saya mintak. Itupun dia tolak.”

“Anak apa namanya macam tu? Jangan sampai jadi barah apa yang saya bagi dia makan selama ni sudahlah!” marah abah mengulangi sumpahan. Terjenggil mata mak mendengarnya.

“Ya-Allah! Awak ni dah kenapa?!”

“Dah macam kena rasuk setan! Cuba bawa mengucap! Sampai hati awak menyumpah anak sampai macam tu?! Kalau jadi betul-betul nanti macam mana? Cakap tu doa!”

“Cuba awak cakap pada saya, apa lagi yang angah tu tak buat untuk kita?”

“Ni, rumah ni! Rumah yang awak duduk ni, dia yang bayarkan bulan-bulan. Awak dah lupa ke? Nama je atas Usop, tapi anak yang awak sumpah tu jugalah yang bayarkan. Awak dah lupa ke semua tu? Bil air, eletrik, semua dia yang selesaikan…”

“Awak marahkan anak, tuduh dia tak tahu mengenang budi, tapi saya tengok sekarang, awak pun sama! Tak pernah nak menghargai usaha dia!” sembur mak. Dia dah puas menahan sabar sampai kulit hitam tampuk manggisnya dah nampak merah. Abah membalas dengan menguatkan hisapan dan makin berkepul-kepul asap yang dihembuskan.

“Huh!” rengusnya ditemani asap bertoksik, sahabat setianya…setelah Usop. Safi terus tak jadi menghampiri sebaliknya hanya berdiri di sebalik pintu, tak mahu terlibat dalam perbalahan yang sedang tercetus.

“Awak memang tak pernah sedar kan?!”

“Pernah tak sekali, sekali pun awak fikir, kenapalah keluarga ni tak pernahnya nak aman? Kenapa kita susah nak gembira? Sentiasa bersengketa? Ade je bendanya!”

“Awak cakap, saya yang tak tahu bersyukur tak pandai nak berterima kasih, tapi sekarang awak fikirlah sendiri. Siapa yang tak bersyukur sebenarnya? Saya ke awak?”

“Allah dah bagi senang, tapi awak nak lagi senang, langsung tak pernah nak fikirkan orang.” kekesalannya memuncak. Perangai suaminya itu memang sentiasa menguji kesabarannya. Derhaka, ya dia takut andai menjadi isteri yang derhaka. Namun saat itu, istilah yang sentiasa diingatinya itu terbang hilang entah ke mana.

Abah menjeling tajam ke arah mak setelah dia mula berdiri. Kain pelikat di badan digulung tinggi dengan perasaan geram lalu melangkah masuk ke dalam. Seketika kemudian dia keluar setelah lengkap berpakaian. Enjin motor kapcai mata bulatnya dihidupkan, sebelum dia hilang di sebalik simpang rumah murah, di hujung jalan.

Mak tertunduk sedih. Dia simpati pada angah. Pengorbanannya selama ini langsung tak dihargai. Safi yang baru mendekati hanya mampu memerhati. Dia sempat nampak mak mengesat air mata sebelum mak dilihat menyibukkan dirinya semula.

“Mak, besen ni nak isi air ke?” soalnya setelah memeriksa.

“Hmm, isilah. Biar senang mak nak guna buat basuh nangka ni nanti.” jawap mak kekal tertunduk, bukan merajuk, tapi berusaha untuk tidak menunjuk apa yang tak seharusnya ditunjuk.

Previous: Bab 75
Next: Bab 77

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.