Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 80a

Suasana rumah sunyi seperti tak berpenghuni bila rombongan pengantin perempuan yang hanya ada kurang 10 orang, berlepas sejak awal pagi lagi. Abah masuk sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan. Mat dan Usop keluar untuk memproses ayam sambil angah juga sudah bersedia untuk bertolak. Sedang dia sibuk mengemas beg galasnya, dia terpandangkan abah yang duduk termenggu di situ. Abah langsung tak menghiraukannya, tak seperti dahulu. Angah tahu abah tak puas hati, semuanya gara-gara hal kebun itu. Serta-merta hatinya jadi panas bila teringatkan pesanan ringkas yang diterima awalnya dan disebabkan itu juga, mulutnya sudah tidak mampu lagi dikunci.

“Kenapa abah beriya-iya sangat nakkan tanah tu?” soal angah tiba-tiba. Abah senyap. Langsung tak berbunyi.

“Sampai hantar messge macam tu sekali. Apa, jahat sangat ke angah ni? Baru sekali angah lambat beri duit, Mat dah message tuduh angah bukan-bukan. Cakap angah anak derhaka la, tak kenang jasa orang tua la, lepastu samakan angah dengan along.”

“Kan angah dah cakap, yang angah tak sempat nak keluarkan duit masa tu. Apa yang abah nak angah buat lagi?” tuturnya perlahan namun abah tetap tak memberi respon yang sepadan, malah, memandangnya pun tidak.

“Ke semua ni jadi sebab abah masih tak puas hati? Tak puas hati yang angah tak nak belikan tanah tu untuk abah?”

“Angah tahu, ni semua mesti sebab tanah tu lagi kan?”

“Bukannya angah tak nak abah, tapi kan angah dah cakap, umur kita ni bukannya boleh tentu. Angah tak nak mati dengan membawa beban hutang tu sekali. Angah tak sanggup abah, tak sanggup!” tutur angah mengulangi pendiriannya.

“Abah suruh angah beli pun bukan untuk kesenangan abah sorang, tapi untuk kita semua. Tengok sekarang, harga getah dah naik tinggi, kalau beli kebun tu dulu dah senang dah hidup kita sekarang ni!” balas abah, berbahas, dan ternyata, dugaan angah berasas. Semuanya gara-gara kebun getah, dan hanya kerana sebidang tanah kebun getah, keluarga mereka terus-terusan bermasalah.

“Tak habis-habis fasal duit! Asyik-asyik duit! Apa tak cukup lagi apa yang angah beri selama ni?!”

“Masa kita duduk rumah kampung dulu hidup kita elok je. Biar susah macam mana sekalipun, kita tetap bersama. Makan berkongsi, tak pernah bersungut, tapi sekarang bila dah senang sikit mulalah lupa.”

“Selama ni abah yang selalu ajar kami supaya bersyukur, tapi maaflah, nak-tak nak, angah terpaksa jugak cakap…”

“Sekarang, angah nampak abah sendiri yang tak tahu nak bersyukur. Banyak mana lagi yang abah nak?” tuturnya dengan perasaan kecewa yang amat sangat. Dia tak sangka, abah yang dibanggakan selama ini dah tiada, hilang dikuasai perasaan gilakan harta.

“Perangai tu sama macam maknya! Tak pernah nak menyokong apa yang abah buat!”

“Apa yang abah buat semuanya salah!”

“Nanti jangan sampai abah buang angah sama macam abah buang along dahlah! Memang dasar anak tak tahu nak mengenang jasa orang tua!” balas abah memberi amaran. Serentak itu juga, angah mengelengkan kepala.

“Perangai abah memang takkan pernah berubah!” bisiknya di dalam hati sebelum beg pakaian yang sudah tersedia dicapai dan serentak itu juga, dia meninggalkan abah sendirian dalam perasaan gilakan daki dunia yang bersifat sementara. Dia kecewa, sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Setitis air mata ‘berharganya’ jatuh juga, menangisi nasib diri yang sudah tak dihargai.

 

“Astargfirullah hal adzim!”

“Astargfirullah hal adzim, astargfirullah hal adzim!” bisik mak berulang kali sebelum bangkit daripada perbaringan berteman mimpi yang menggerunkan. Mimpi yang sama berulang semula, mimpi rumah yang didiami terbakar dengan maraknya.

“Ya-Allah, apa maknanya semua ni?” tambahnya sambil mengurut-urut dada sendiri.

 

Cu Leha datang menghampiri mak yang sedang sibuk di ampaian belakang rumah sebelum dia menyuarakan apa yang dibimbangkan.

“Kak, Ha nak tanya akak ni.”

“Hari tu Ha dengar, angah bertengkar dengan abahnya. Bila abahnya cakap, angah balas balik, lama jugalah mereka macam tu. Takut juga kami dibuatnya.”

“Hari akak hantarkan ateh, buat kenduri menyambut menantu hari tu. Kenapa kak? Ada yang tak kena ke?” soalnya ketika mereka sama-sama menjemur kain di belakang rumah.

“Ya-Allah…patutlah. Patutlah sampai sekarang angah diamkan diri. Dah puas akak menelifon, langsung tak diangkatnya.”

“Rupa-rupanya ada benda yang jadi. Bila akak tanya abahnya, dia langsung senyap.”

“Apa yang digaduhkannya Ha?”  

“Kami ada dengar pasal tanah! Tanah apa kak sebenarnya?” soal Mak Cu ingin tahu kerana sudah lama hasratnya itu ditangguhkan, tapi hari ini dia mahukan kepastian.

“Hal tanah lagi?!”

“Hai…Tak habis-habis lagi ke dengan tanah Sohor tu? Dia suruh angah belikan tanah tu untuknya, lepastu, guna duit yang angah beri pada dia bulan-bulan untuk bayar balik pinjamannya nanti, tapi anak tu tak nak.”

“Kata angah, dia tak suka berhutang. Hidup ni pun bukannya tentu sangat. Mati tu, tak siapa yang tahu. Dia tak nak mati dengan membawa hutang sekali. Abahnya tu yang tak faham. Dituduhnya angah macam-macam.”

“Malu Ha, sampai malu akak nak menyebutnya.” terang mak.

“Sabarlah kak. Abang Husin tu memang macam tu. Dengan Cu, mananya dia bertegur. Cu sendiri pun tak tahu apa sebabnya.”

“Akak minta maaf bagi pihak dia. Dengan akak sendiri pun kadang-kadang sampai berhari-hari tak bertegur. Puas dicari silapnya, sampai akak dah tak tahu nak buat apa dah. Anginnya datang tak tentu masa. Masa elok, elok, masa tak, tak.”

“Akak tinggal doa je sekarang ni. Minta Allah lembutkan sikit hatinya tu.”

“Terima kasih Ha. Kalau tak sebab Ha, sampai bila-bila pun akak tak tahu apa yang dah jadi. Nak harapkan angah tu bercakap, memang takkanlah dia nak bercerita. Takut jadi perang besar pulak nanti.” tambah mak lagi.

“Akak, kalau ada masalah, datanglah cakap dengan Ha dengan Cu. InsyaAllah, selagi terdaya, kami tolong. Kita pun bukannya baru kenal. Mak dengan ayah akak dulu layan kami dah macam anak sendiri. Pantang datang ke rumah, macam-macam yang dijamunya.” ucap Mak Cu. Keramahan dan kebaikannya arwah terlintas di fikiran. Orang-orang dulu, penuh dengan kasih sayang. Pantang datang, mereka pasti akan ditatang dan tak sah kalau tak diberi makan sedulang.

“Terima kasihlah Ha. Terima kasih banyak-banyak…” tutur mak menghargai keperihatinan yang diberikan.

 

Abah makin rancak menyampaikan ‘sejarah’ lama pada Usop yang sedang makan dan Mat yang ada disebelahnya. Safi kekal memasang telinga, walaupun tak berapa gembira dengan apa yang didengarinya.

“Ha, ayah mak kalian tu dulu, dibiarkan duduk sendiri, berasing, tak sama serumah dengan maknya.”

“Maknya pulak, bila sampai ajal, mati dalam tandas. Tak sempat nak sembahyang subuh pun lagi.” tutur abah menyampaikan apa yang diketahuinya. Hati Safi lantas berubah panas kerana dia paling tidak menggemari keadaan sebegitu.

“Kan orangnya dah tak ada! Dah, apa faedahnya nak diungkit-ungkit semula?!” bebelnya di dalam hati kesal pada situasi. Keadaan Mat dan Usop yang nampak sangat patuh sambil mengangguk-anggukkan kepala lebih merunsingkannya.

“Entahlah apa yang nak jadi dengan keluarga ni.” ngomel Safi lagi sebelum melepaskan keluhan, dah tak tertahan dan demi mendapatkan ketenangan, dia mengemaskan cengkaman alat pendengaran di telinga sebelum menguatkan suaranya.

“...imanlah penyelamat, dunia penuh pancaroba, hidup akhirat kita kekal bahagia.”

“Pulanglah pada tuhan, cahaya kehidupan, syarat bahagia di dunia, akhirat kekal selamanya, pada Allah…Allah.” senandungnya, ditemani lagu dendangan kumpulan nasyid kegemaran.

 

“Mak, nenek meninggal sebab sakit apa?” soal Safi pada mak yang sedang duduk melipat kain di hadapannya.

“Entahlah, tak tahu pulak mak sakitnya. Tapi, seingat mak, nenek memang ada darah tinggi.”

“Mak ingat lagi, lepas sembahyang subuh pagi tu, nenek datang dekat mak, nenek mengadu yang dia pening. Mak nampak muka nenek dah keluar peluh kesani, masa tu mak dah risau dah, sebab nenek selalu cakap, kalau dah keluar peluh tu, maknanya dah tak lama.”

“Lepastu nenek cakap lagi yang dia tak sempat nak lipat kain telekung, sebab dah tak larat. Mak cepat-cepat bawak nenek baring.”

“Masa mak tanya ubat dia mana, nenek kata ubat dia dah habis, dah lama tak pergi klinik ambik.”

“Masa tu, mak cepat-cepat panggil abah suruh pergi panggilkan doktor prebet.” tutur mak mencaritakan apa yang masih ada disimpan.

“Ooo…” balas Safi yang sudah mendapatkan jawapan sebelum dia terasa ingin mengesahkan isu lain yang berkaitan.

“Atuk dengan nenek memang tinggal asing ke? Kenapa tak duduk sekali?”

“Huh?”

“Ha, mananya tak berasing! Atuk kalian tu yang mintak hidup macam tu. Dia kata, dia dah tak larat nak cari belanja untuk keluarga. Dipendekkan cerita, dia nak hidup berasing dengan kami. Katanya, apa yang kami cari, untuk kami, dan apa yang dia cari, untuk dia.”

“Dahtu, atuk pindah duduk mana?”

“Duduk dalam rumah padi, dekat…”

“Safi ingat pokok langsat dekat dengan kundang tu, ha dekat situlah. Dulu ada pondok padi dekat situ, tapi masa kalian lahir memang dah tak adalah.”

“Ooo…macam tu.”

“Kenapa Safi tanya?” soal mak semula.

“Saja!” balasnya sambil tersenyum gembira dan mak turut membalas dengan senyuman yang serupa.

“Mak ingat lagi, hari sebelum nenek meninggal, mak buat pucuk masak kicap. Bertambah-tambah nenek makan. Suka mak tengok, tapi, tak sangka…” tutur mak menyambung cerita dan Safi seperti biasa, kekal tekun mendengarnya.      

 

Previous: Bab 79
Next: Bab 80b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.