Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 6

Hentakan kaki anak-anak yang berlari mahu turun ke tanah tak ubah macam serangan gajah sampai dah bergegar-gegar rumah.

“Ya-Allah…cubalah berjalan tu pelan-pelan sikit!” cegah mak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya sudah lali benar dengan keadaan sebegini sebelum dia memberhentikan sementera kerja-kerja sulaman di tangan.

“Hish, budak-budak ni!” marah abah pula, menambah, bila dirasakan aktiviti pembacaan akhbarnya terganggu sama. Serentak dengan itu, Safi, Man dan Ina memperlahankan langkahan dan berlagak sopan, seketika, sebelum mereka mula berteriakan setelah kaki berjaya dicecahkan.

“Angah! Ateh! Tunggu! Kami pun nak ikut mandi sekali.” teriaknya pada angah dan ateh yang dah mula berjalan ke sungai, jamban mandi mereka sekeluarga, meninggalkan mak dan abah berdua-duaan sahaja bila Mat dan Usop juga dah lama keluar menjala. Menyedari keadaan itu abahpun mulalah memancing mak untuk menghiburkannya dan tanpa menunggu lama abah merapatkan dirinya pada mak yang ada duduk bersebelahan dengannya.

“Ish! Awak ni dah kenapa?” tutur mak tak puas hati dengan tindakan spontan suaminya itu membuatkan abah tersenyum, meleret sampai ke telinga.

“Janganlah nak mengarut tengah-tengah hari buta macam ni! Malu kita kalau nampak dek anak-anak nanti!” tegah mak lagi sebelum berusaha menolak tubuh suaminya itu jauh darinya.

“Lah! Kan ke budak-budak tu semua dah tak ada kat rumah.” balas abah dengan senyuman yang serupa, kekal minta dimanja sebelum bertindak merangkul pinggang mak pula, membuatkan mak rasa rimas tak terkata.

“Awak ni…saya cocok awak dengan jarum ni kang, baru awak tahu! Nak sangat ke?” ugut mak lagi tak selesa berkeadaan begitu pada waktu-waktu seperti itu, lagipun dia fasih benar dengan sikap anak-anaknya yang tak ubah macam hantu. Sekejap-sekejap hilang, tapi belumpun sempat apa-apa dah ada semula. Macam magik pun ada. Naik pintu dapur terus turun ke pintu depan, ataupun naik pintu depan sebelum turun ke pintu dapur. Namun tegahan itu belum cukup untuk membuatkan abah berhenti. Sebaliknya makin ditegah, makin naik minyak pulak dia.

“Ya-Allah awak ni! Dahlah! Kan ke tengah-tengah hari buta ni! Awak ni kenapa?” tegas mak lagi sebelum bertindak menolak tubuh abah menjauhinya.

“Alah, We Man tu boleh je. Bini dia tak kisah pun.” bidas abah pula tak bersetuju dengan layanan yang mak berikan.

“Ha, elok sangatlah tu, berkawan dengan We Man! Tak tahu lagi awak dah berapa kali dia kahwin cerai? We Jah tu dah masuk isteri ke-tiga yang dia kahwin, ke awak pun ada hati nak buat sama macam dia?” jawap mak tak suka dibandingkan dengan sesiapa kerana biarlah mereka dengan cara mereka. Lagipun nak buat macam mana, sebab dah namapun manusia dan dah seharusnya mereka berbeza. Abah yang mendengar terus ketawa, gembira.

“Awak cemburu kan saya ya?” tuturnya dalam ketawa.

“Ceh! Nak cemburu buat apa! Lantak awaklah! Tak kuasa saya nak memikirnya.” balas mak, malas nak melayan membuatkan abah merungkaikan pelukan kerana dia sendiri juga tak bersedia untuk ditangkap oleh anak-anak ketika sedang bermesra-mesra, membuatkan mak segera menghela nafas lega.

“Awak tahu tak, dulu saya rancang-rancang nak ada 12 orang anak. Sekarang ni, baru ada lapan, jadi…” tutur abah berkira-kira sebelum dipintas mak yang dah tersenyum songsang.

“Anak banyak ni pun dah tak tertanggung. Ni ada hati nak tambah sampai berpuluh?”

“Esok-lusa bila anak-anak semua dah mula masuk sekolah, awak ingat mudah? Dengan yuran dan semua belanja-belanja yang lain bagai…janganlah ada yang sampai tak tersekolah dek kita nanti.”

“Dibuatnya semuanya berjaya masuk ke universiti, mampu ke kita nanti? Dahlah anak rapat-rapat. Ke perlu ada yang kita dikorbankan?”

“Tak ingat awak apa yang jadi pada Kak Yah Isa tu? Demi nak melepaskan sorang anak belajar di u, masa depan anak-anak yang lain terpaksa dikorbankan. Tak ingat awak?” jelas mak, mengingati apa yang terjadi pada jiran sekampungnya.

“Itu nanti-nantilah kita fikir. Rezeki, adalah tu nanti. Buat apa kita nak pening-pening kepala memikirkannya sekarang? Yang ke depan, ha, biar kedepan.” balas abah bersahaja, jenis yang tak suka memeningkan kepala.

“Senangnya awak bercakap…” bidas mak pula tak suka dengan sikap acuh-tak acuh suaminya itu.

“Ha, kalau awak nak sangat, lepasni awak jelah yang beranak!” tambah mak, menyatakan isi hati membuatkan abah ketawa besar dan mak yang melihat hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan tak mahu menambah, tapi usianya dah banyak sangat, dah dekat nak minopous dah pun, ada ke lagi bersisa buahnya? Ke dah sampai ke hujung? Duganya di dalam hati bila menyedari umurnya dah melepasi angka 4 dan 0.

“Hmm, kalau dah tak ada yang nak melayan…biar saya cari yang lain jelah.” tutur abah sedikit perlahan, membuatkan mak terngadah.

 

Mak perasan sejak beberapa hari kebelakangan ini badannya mula rasa tak selesa. Kepala selalu pening dan ada masanya dia rasa loya bila dada dah tak ketentuan rasa. Bila keadaan sebegitu berlaku, segera di mencapai minyak angin cap kapak dan melumurkannya di bahagian kening, tengkuk, dada dan tekak.

“Mak kenapa? Mak sakit ke?” soal Man yang baru datang mendekat.

“Hmm? Hmm, mak rasa pening. Rasa macam nak muntah pun ada. Entahlah, entah sakit apa entah.” balas mak sambil terus meratakan minyak berkenaan.

“Mak mengandung ke?” soal Man pula, teruja, sampai nampak lekuk lesung pipit 20 sennya.

“Ha? Mak mengandung? Betul ke mak mengandung?” soal Safi yang datang berlari, tak percaya bila mendengari, sambil tersenyum dengan sendiri.

“Ish kalian ni! Mengandung apanya? Kan mak dah nak minopous dah ni!” balas mak sambil menggeleng-gelengkan kepala, pening dengan gelagat anak-anaknya itu.

“Mi..mi. Mino..pous tu apa?” soal Man pula.

“Hei, dah tak boleh nak beranak, dah tua dah!” jawap mak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Orang ingat nak dapat adik…” balas Safi perlahan sebelum turut sama bertindak mendekat dan melihat.

“Tolong sapu minyak ni dekat belakang mak.” arah mak pula, masih berusaha untuk melegakan tubuhnya.

“Siapa?” balas Man kerana soalan diajukan secara terbuka.

“Siapa-siapalah. Siapa yang rajin, ha, cepat tolong mak.” jawap mak pula sambil menyuakan botol minyak angin berkenaan sebelum disambut Safi.

 

“Ingatkan mak mengandung…” tutur Man perlahan bersama rasa kekesalan membuatkan Safi segera memberikan perhatian.

“Kenapa? Man nak sangat ke dapat adik lagi?” soal Safi pula sekadar mahu melayannya.

“Iyalah, kalau mak mengandung kan elok. Nanti adalah adik baru, lepastu mesti dah tak ada siapa yang sayang pada Ina dah, macam sekarang!”

“Abahpun mesti dah tak sayang dah pada Ina, mak pun sama. Mestilah nanti mak dengan abah akan sayang pada adik kan? Ha, lepastu baru padan dengan muka Ina.”

“Masa tu dia dah tak boleh nak tunjuk eak lagi dah!” tutur Man menyatakan apa yang dipendam membuatkan Safi ketawa dibuatnya.

“Tapi mana Man tahu yang adik nanti baik? Apa jadi kalau adik pun sama macam Ina. Suka ambil barang orang, suka report pada mak dengan abah apa yang kita buat, lepastu menangis bila kita tak bagi apa yang dia nak, ha, samalah macam perangai Ina. Dahtu nanti, macam mana?” soal Safi pula setelah memikirkan situasinya membuatkan Man memikirkannya semula.

“Iya tak iya jugak apa yang Safi cakap tu. Nanti kalau adikpun sama macam Ina…” balas Man sambil memandang kakaknya itu sebelum dibalas dengan anggukan daripada Safi.

 

“Ina cepatlah! Takkan tak siap-siap lagi?” tutur Man yang sudah berada di bahagian makmun lelaki, kawasan kanan selepas imam.

“Tunggulah!” balas Ina pula, masih lagi menanti telekung kain batik mak selesai di kemaskan di kepala.

“Takpun Ina tak payah sembahyanglah! Lagipun Ina tu budak lagi, tak besar lagi.” tutur Man lagi suka menyakiti hati pesaing terhebat kasih sayang kedua-dua orang tuanya itu.

“Nantilah! Orang dah nak siap dah ni!” jawap Ina pula sebelum menanti mak mengemaskan pin yang berada di bawah dagu.

“Dah dah. Dah siap dah.” tutur mak, selesai memakaikan telekung serbaguna yang direkanya itu, sekadar mahu mengajar anak-anak mengikut apa yang sewajibnya dilakukan sebagai kalifah yang diutus Allah. Menyembah pada yang Esa, dzat teragung yang tak mampu dilihat sesiapa, bernaung DIA di tempat selayaknya, tempat yang tak terjangkau dek akal manusia, tapi sememangnya ada, kerana buktinya, DIA sentiasa memakbulkan doa setiap makhluk-makhlukNya.

 

“Allah…hu akbar!” takbir abah memulakan sebelum diikuti dengan yang lainnya. Selesai bertakbir abah memulakan bacaan doa iftitah dan disusuli dengan surah al-Fatihah lalu diakhiri dengan surah al-Ikhlas sebelum abah bertakbir sekali lagi. Begitulah keadaannya untuk rakaat yang kedua pula, namun belumpun tamat rakaat yang ketiga, yang penghabisan, Man dah mula menguap besar sampai terkeluar suaranya.

“Hik hik hik…” gelak Ina yang ada di belakangnya. Tak dapat menahan diri dengan lawak jenaka. Cukup perlahan, namun kekal kedengaran. Man segera memalingkan muka saat mendengarnya sebelum turut sama tersenyum menampakkan barisan gigi yang lompong di sana-sini. Safi yang berada di sebelah Ina turut sama menerima tempiasnya, dan tanpa dipaksa dia tersenyum juga. Cuma seketika sebelum mereka fokus semula bila terfikirkan siapakah imamnya.

 

“Siapa yang ketawa tadi?” soal abah kasar dan tegas, selesai sesi zikir yang panjang, sampai kakipun dah mula rasa kebas.

“Man bah! Man yang ketawa!” adu Ina memberitahu keadaan sambil menghadiahkan Man dengan pandangan yang bersahaja.

“Ina ni! Tadi Ina pun ketawa sekali!” tutur Man segera membidas.

“Hei hei hei! Dah dah, jangan nak bertular-tular. Sama je semuanya.” tutur abah menoktah. Cepat-cepat Man menundukkan mukanya, takut dimarahi untuk tempoh masa yang lebih lama lagi.

“Lain kali, kalau nak sembahyang dengan abah, sembahyang elok-elok! Jangan nak suka-suka! Jangan nak ketawa-ketawa. Sembahyang ni bukan benda yang boleh buat main-main!” tutur abah semula menegaskan akan keperluan. Safi turut sama tunduk tak berbunyi sambil mendengar ingatan yang diberi.

“Dah, pergi ambil jahama. Kita sambung baca yang semalam.” tutur abah mengarahkan sebelum Safi dan Man sama-sama bangun dan menuju ke almari kain tinggi mak untuk mengambil apa yang dikehendaki. Mak yang ada di dapur sempat juga memerhati keadaan yang terjadi.

 

“Awak tu, cuba berlembut sikit bila mendidik anak-anak.” tutur mak perlahan setelah mematikan suiz lampu dan merebahkan tubuhnya di sebelah abah yang sudah bersedia untuk tidur.

“Dah kira berlembut dahlah saya tu. Dah tu awak nak saya jadi selembut mana lagi?” balas abah sedikit tegang tak puas hati dengan teguran yang diberi.

“Baru saya cakap sikit, awak dah melenting. Awak tak ingat apa yang jadi pada Usop waktu awak mengajar dia mengaji dulu? Tak ingat awak lagi? Sampai menangis-nangis anak tu awak kerjakan.”

“Tengoklah, sampai sekarang pun dah tak nak belajar mengaji. Nak dipaksa? Ada ke gunanya? Hari ni kita ajar, lepastu esok dia lupa. Kalau belajar sebab takut, bukannya sebab suka, ha, itulah jadinya.” tutur mak mengungkit apa yang terjadi beberapa tahun sebelumnya.

 “Dah tu awak nak saya buat macam mana lagi? Itu pun dah kira baik sangat dah, saya tak gunakan rotan macam orang lain. Dulu waktu saya mengaji dengan tok guru saya lagi susah. Disuruh menghafal satu muka surat al-quran sehari. Ini disuruh membaca jahama semuka pun payah.”

“Memanglah susah, bila kita mengajar kat depan, tapi mata melekat pada tv yang ada kat sebelah.”

“Dah tu, padamlah.” jawap mak pula memberi jalan penyelesaian.

“Tapi saya nak dengar berita.” balas abah pula sambil membetul-betulkan bantalnya dan mengiring menghadap kearah mak.

“Hmm, dah tu awakpun samalah. Dua kali lima, lima kali dua. Memang tak ada gunalah mak marahkan mereka.” pantas mak mencelah sebelum abah tersenyum suka selesai mengesahkan kesahihannya. Sambil tu sempat juga abah melingkarkan tangannya ke arah pinggang mak dah mula minta dimanja, membuatkan mak berdecik kecil.

“Ish awak ni! Budak-budak tu tak tidur lagi.” bisik perlahan tak mempersetujui tindakan.

“Lah, dah tidur dah kan? Kan dah senyap dah semuanya tu?” soal abah pula, turut sama berbisik sukar untuk mempercaya.

“Iyalah, kata awak. Baru tadi saya tengok celik lagi bijik matanya. Awak macam tak tahu je macam mana perangai anak-anak awak tu, bukannya boleh percaya! Samalah macam awak.” tegas mak pula, belum bersedia, sedang abah bertambah-tambah pula senyumnya. Tanpa berlengah pelukannya pada pinggang mak dikemaskan biarpun sedar, ianya dah tak seramping waktu mula-mula dulu.

 

Previous: Bab 5b
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.