Setelah seharian menanti, akhirnya angah menunjukkan tanda-tanda positif, bila matanya sesekali dilihat terpejam dan tercelik. Manakala genggaman tangan juga sudah dapat sedikit dibalas olehnya. Safi mengurut-urut tangan dan lengan angah perlahan untuk memberikan dorongan.
“Angah…” panggilnya perlahan bersandarkan harapan agar angah akan menjawapnya.
“Hmmm…” balasan yang ditunggu-tunggu sejak seharian menanti akhirnya diperolehi.
“Mak! Angah dah sedar dah!”
“Angah dah boleh jawap kita.” tutur Safi teruja, mengejutkan mak yang baru terlayang di kerusi yang didudukinya.
“Ha? Dah sedar dah!”
“Angah! Ni mak ni!” tutur mak sebelum duduk di sisi. Segera tangan angah dicapai dan digenggam kemas tanda kelegaan.
“Makkk…” panggil angah perlahan, seketika cuma, sebelum dia meyambung lena kerana kesan ubat penenang ternyata masih ada.
“Mak, pakai ni!” tutur Safi sambil menghulurkan sehelai baju sejuk tak sanggup melihat mak menahan kesejukan alat penghawa dingin yang bersifat berpusat. Walaupun mahu dikurangkan, memang takkan dapat.
“Sejuknya…” tutur mak yang sudah mengeletar menahan ketar.
“Itulah sebabnya Safi tak bagi mak tidur dekat sini. Nanti tak pasal-pasal mak pulak yang sakit.”
“Man kerja pagi hari ni, lepastu dia cakap nanti balik kerja pukul tiga dia singgah jemput mak. Mak baliklah rumah nanti, esok kalau mak nak datang, naik sekali dengan Safi. Kita naik motor datang sini.” tutur Safi membuat perancangan.
“Naik motor?”
“Takutlah mak. Kereta dekat bandar ni banyak, dahlah bawak laju-laju pulak tu.” balas mak tak berapa setuju.
“Nak takut apanya. Nanti Safi bawaklah elok-elok. Lagipun esok Man kerja pagi lagi, dah tu nanti macam mana mak nak datang sini? Ke malam baru datang? Mak fikirlah nanti macam mana.” tutur Safi memberikan pilihan sebelum mak akhirnya memberanikan diri juga.
“Iyalah, tapi, Safi jangan bawak laju-laju, mak takut.” balas mak mengulangi apa yang dirasakan.
“Iya, insyaAllah…tapi kan mak!”
“Dekat bandar ni, kalau naik motor memang kena bawak laju sikit, sikit je, sebab kalau bawak perlahan mesti kena hon.” jawap Safi menceritakan pengalaman, membuatkan mak meneguk air liur sendiri.
Genap tiga hari, akhirnya angah kembali. Safi dan maklah yang paling gembira menyambutnya. Bergenang air mata saat terpandangkan senyuman yang angah ukirkan. Senyuman yang penuh dengan keikhlasan.
“Makkk...” tuturnya perlahan.
“Hmmm, kenapa? Angah nak apa? Angah nak minum?” soal mak mencongak apa yang angah hajati.
“Hmm…”
“...angah haus.” jawapnya perlahan membuatkan mak segera mencarikan sedang angah dilihat cuba untuk mengangkat badan. Safi segera membantu angah dan menyandarkannya sebelum pemutar manual katil dipusing untuk meninggikan bahagian hujung kepala.
“Boleh? Ke nak tinggi lagi?” soal Safi sambil menanti.
“Dah.” balas angah, kekal juga perlahan.
“Minum air ni. Guna straw.” arah mak yang sudah menyua.
“Bila mak sampai?”
“Abah…”
“Abah tak datang?” soal angah selesai melengkapkan beberapa sedutan kecil.
“Abah tak dapat nak datang. Nak buat ayam. Nanti lari pulak pelanggan katanya.”
“Man balik kampung, ingat nak jemput abah, tapi alih-alih balik sendiri juga dia.” tutur mak menceritakan. Safi yang duduk bertentangan segera melemparkan pandangan berserta dengan gelengan perlahan. Tak selesa dengan cara mak yang nampak akan lebih membebankan fikiran angah. Melihat keadaan itu, mak segera mengubah topiknya.
“Angah nak makan?” soalnya pula.
“Nak…” balas angah sambil mengangguk-angguk lemah.
“Tadi abah kalian ada telifon, dia mintak mak balik tolong dia berniaga.” tutur mak memberitahu keadaan pada Safi sesampainya dia di wad berkenaan.
“Balik? Dah tu mak kata apa?” soal Safi semula sambil memicit-micit betis dan kaki angah.
“Mak nak cakap apa lagi. Dah keras sangat dah bunyinya tadi. Nak dibantah, nanti tak pasal-pasal pulak dijerkah. Bukannya Safi tak tahu macam mana angin abah. Kalau ada je yang tak berkenan pada dia, ha mulalah. Memuncung tak sudah.” balas mak sambil turut sama memberikan urutan pada kaki yang bersebelahan.
“Takpa, kalau mak nak balik, mak baliklah.”
“Tapi, siapa yang hantar mak nanti? Man ada cuti?” soal Safi kembali.
“Ya-Allah. Takkan…”
“Kenapa dibiarkan pinggan berlapok tak dibasuh sampai boleh jadi banyak macam ni?” keluh mak yang baru pulang. Tak menyangka akan apa yang sedang terhidang. Pinggan mangkuk bekas makanan yang bertimbunan di dalam sinki segera menarik perhatiannya sementelah dia melangkah ke dapur.
“Sejak bila pinggan mangkuk ni tak dibasuh? Takkan tak ada air?” soalnya tak dapat nak percaya, namun bauan yang dihasilkan sudah cukup untuk menceritakan berapa lama ia sudah dibiarkan.
“Ada!” tuturnya setelah memeriksa.
“Hai, entahlah…” keluhnya tak sudah.
Mesin bola yang menjadi alat sukan baru angah, Safi capai sebelum diletakkan di atas ribaan.
“Angah, cuba tiup. Hari ni angah tak buat latihan lagi.” tutur Safi sambil sebelah tangan memegang bahagian saluran tiub, tempat untuk menghembus. Angah segera mengikut apa yang Safi sarankan kerana dia juga mahu mengetahui perkembangan setelah lebih seminggu dia mendapatkan dirinya semula. Hembusan dilepaskan sambil menantikan keputusan, namun hasilnya serupa. Hanya satu daripada tiga yang berjaya dinaikkannya, sedang yang kedua kekal bergolek-golek sahaja. Sekali lagi hembusan dilepaskan, tapi hasilnya masih juga sama.
“Hmm…banyak tu jugak…”
“Sama je macam semalam…” tutur angah yang dah mula rasa lelah sambil mencebikkan bibir. Safi tahu angah kecewa, namun dia juga tahu yang angah dah berusaha.
“Takpa, nanti kita cuba lagi. InsyaAllah, nanti-nanti mesti boleh!” tuturnya memberikan semangat dan angah rasa sedikit terubat.
“Angah nak jalan-jalan?”
“Jom kita jalan-jalan nak? Pergi tengok ikan dekat kolam hari tu. Angah tak rindu ke dengan nimo angah?” soal Safi ingin menceriakan suasana.
“Nak nak! Dah lama tak pergi tengok dia.” balas angah suka, dengan mata bercahaya.
“Ok, kalau macam tu, Safi pergi ambik kerusi roda.” balasnya sebelum segera beredar.
Minggu demi minggu berlalu dan bulan hampir bertemu bulan, malah, dah berbagai-bagai ujian dijalankan. Daripada CT scan, EEG sampailah ke MRI, semuanya sudah dilalui, namun puncanya masih tak dapat diketahui. Paling membimbangkan, angah lebih kerap bertinjakan ketulan-ketulan darah beku yang nampak mengerikan. Safi mula rasa hilang arah kerana dia mula sedar, perancangan Allah sememanagnya tak mudah.
“Allah hu akbar, allah hu akbar…” laungan azan Subuh dikumandangkan menandakan pembukaan kewajiban. Safi yang sudah terjaga lebih awal, duduk bersandar di dinding sambil memerhatikan angah di dalam kesamaran dengan bibir yang kekal juga membalas seruan.
“Safi…”
“Bangun…”
“...sembahyang…” tutur angah yang turut sama terjaga.
“Hmm…” balas Safi sebelum segera bangkit.
“Angah nak pergi tandas? Kalau angah nak pergi tandas jom kita pergi tandas dulu.” tutur Safi pula sambil melipat kain alas tempat tidurnya.
“Takpalah…angah boleh lagi ni.”
“Tak ada rasa nak pergi.”
“Safi pergilah sembahyang dulu…”
“Nanti Safi balik baru angah pergi.”
“Betul ni?” soal Safi meminta janji.
“Hmm, betul. Tapi, Safi janganlah lambat-lambat sangat ya.” balas angah pula, membuatkan Safi tersenyum mendengarnya.
“Angah nak minum air tak?” soalnya pula.
“Boleh. Seteguk je.”
“Nanti takut…”
“...cepat pulak yang lain nak mintak keluar.” balasnya sambil tersenyum nipis.
“Safi pergi sekejap ya. Lagipun takut, lambat-lambat nanti banyak orang. Angah nak ikut tak?” soalnya pula kekal berusaha, namun angah masih kekal dengan pendiriannya.
“Ok, takpalah. Safi pergi dulu. Assalammualaikum…” tuturnya sebelum beredar.
“Allah hu akbar…” tuturnya berbisik, sekadar mampu didengari telinga sendiri. Sujud pertamanya menerbitkan rasa kehibaan yang nyata, sebelum segenap inci tubuh terasa menggeletar dengan sendirinya. Tanpa sedar dia teresak-esak sunyi…di dalam sepi pagi.
“Assalammualaikum…Safi buat apa tu? Angah mana?” soal abah di hujung talian mahu mengetahui perkembangan.
“Waalaikummussalam. Angah? Kejap.”
“Abah cakaplah dengan angah.” balas Safi sambil menghulurkan telifon berkenaan ke tangan angah.
“Angah! Abah!” tutur Safi sebelum kedua-duanya tersenyum dengan sendiri.
“Mak, angah tanya, bila mak nak datang?” soal Safi sambil sesekali membuang pandang pada angah yang sedang baring mengiring menghadapnya.
“Kalau ikutkan mak, sekarang jugak mak nak datang. Tapi, abah kalian nilah yang tak bagi. Katanya kalau mak ke sana nanti, siapa yang nak tolong dia.” balas mak perlahan, namun itu sudah cukup untuk membuatkan Safi memahami keadaan.
“Susahlah kalau macam ni. Kalau asyik nak fikirkan tentang berniaga, memang takkan ada apalah yang boleh jadi. Mak dah cakap pada abah, berhenti jelah membuat ayam ni, tapi abah tak nak.”
“Dia masih nak tunjuk pada Hamid yang dia mampu lagi bekerja. Malu nak dikata kalah.” tambah mak sebelum menghela nafas dalam.
“Mak ni pun bukannya larat sangat dah. Kaki ni, kalau buat berdiri lama-lama, mulalah bengkak, dah macam buah nangka masak. Kalau ditekan, sampai boleh nampak kesan.”
“Nak berehatpun tak dapat. Sakitpun kena juga bekerja.”
“Hujan, panas tak mengira. Berniaga setakat 20 ekor sehari, bukannya boleh dapat untung banyak mana. Lepas buat belanja dapur bolehlah. Kalau setakat nak cari duti belanja rumah, menoreh kebun di hulu tu pun dah cukup dah.”
“Dah tu, kenapa mak tak cakap dengan abah?” soal Safi tak mahu terlalu masuk campur dalam utusan orang tuanya.
“Mak dah cakap dah. Tapi abah kalian tu yang buat tak kisah. Sampai ada satu hari tu, menangis mak sebab dah tak larat sangat, sampai nak mengangkat kaki pun dah tak terdaya, tapi tetap juga diajak untuk menolongnya.”
“Mula-mula kata tolong pegang ayam, tapi bila dah sampai sana, semua kerja pun mak yang kena buat jugak.”
“Agaknyalah, sampai mati pun nanti, masih dengan ayam lagi…” adu mak membuatkan Safi menggaru-garu kepala sendiri. Melihat keadaan itu, angah menjongketkan kepala ingin mengetahui punca namun Safi hanya membalas dengan gelengan manja.
“Mak! Angah nak cakap dengan mak!” tutur Safi sebelum segera menyuakan telifon pada angah.
“Eh!..” balas angah tak percaya, kerana dia tak meminta.
“Safi pergilah balik.”
“Mandi, tukar baju dulu…”
“...sebab sekarang dah pukul berapa dah ni.” tutur angah pada Safi yang sedang menyelak-nyelak helaian akhbar.
“La…sekejap la lagi. Bagi Safi baca sampai habis yang ni.” balas Safi sambil terus menelaah berita yang dipaparkan.