Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 55

Safi sempat membuang pandang pada cikgu disiplin yang baru sahaja melintasi cermin tingkap tempat mejanya berada kerana kelihatan seperti ada yang tak kena bila langkahan kakinya dibuka dua kali ganda laju berbanding biasa, sampai dah hampir-hampir ke tahap berlari dia.

“Dah kenapa pulak tu?” soalnya pada Nurin, rakan yang ada di sebelahnya.

“Entah! Nampak macam ada benda je yang dah jadi.” balasnya, turut sama memerhati. Keadaan kelas yang sedikit riuh akibat ketiadaan guru membuatkan dia mengalihkan semula pandangannya pada rakan-rakan yang ada di bahagian hadapan, tak lama sebelum dia kembali membaca buku teks sejarah yang ada di tangannya.

“Safi! Safi!” tuturnya perlahan selesai menggamitkan jari.

“Ha. Apa?” soal Safi pula sambil menjongketkan dadu.

“Abang kau! Dia kena bawak ke bilik disiplin!” bisiknya ke telinga Safi.

“Dia bergaduh dengan cikgu, lepastu di tumbuk pintu! Sampai berlubang pintu tu!” jawap Siti segera menyampaikan apa yang baru dilihatnya sebentar tadi.

“Ha?! Kau biar benar Siti. Janganlah main-main!”

“Betulke ni?” soal Safi dalam usaha untuk menerima.

“Ya! Takkanlah aku nak tipu. Aku nampak tadi. Aku nampak dia jalan sekali dengan cikgu disiplin ikut tangga dekat belakang sana. Lepastu masa lalu dekat kelas dia, aku dengar kawan-kawan kelas dia cerita tentang ni.” terang Siti bersungguh-sunguh membuatkan Safi segera mengeluh.

“Hai entahlah…dia tu memang selalu macam tu. Gila! Panas baran, besar kepala, semua tu memang dialah tu.”

“Biarkan jelah dia. Bukannya boleh buat apa pun. Kalau itu yang dia nak, lantak. Memang padanlah kena macamtu.”

“Dah kenapa sampai dia cari pasal dengan cikgu? Apa salah cikgu tu?” soal Safi pula ingin menyelidiki puncanya.

“Entah?” balas Siti tak tahu.

“Lantak dialah Siti. Biarkan, biarkan, tapi terima kasih tau. Terima kasih sebab bagitahu aku. Sekarang rahsia dia pada aku dah tambah lagi satu.” balas Safi, menghargainya sebelum tersenyum hambar sahaja.

“Sama-sama.” tutur Siti lalu bergerak ke tempat duduknya pula.

“Ish, ish, ish…tak serit-serit lagi ke dia ni? Janganlah sampai cikgu panggil abah ke sekolah sudah, kalau tak…habislah.” bisik Safi di dalam hati saat terkenagkan peristiwa Usop dibalun abah sepenuh hati beberapa bulan sebelumnya dek kerana ditangkap ponteng sekolah sahaja.

 

“Safi! Safi! Abang kau!” tutur Daus menyampaikan pada Safi yang baru saja ditemui.

“Kenapa? Apa lagi yang si gonjeng tu buat kali ni?” soal Safi, bukan tak percaya, sebaliknya dah terbiasa.

“Abang kau! Abang kau dengan kawan dia jatuh, lepastu kepala dia terhentak pada pemegang tangga dekat dewan serbaguna sana! Dengar kata, ada yang cedera parah!” balas Daus dengan mata yang terbuka luas.

“Dah buat apa dia ke situ? Ponteng lagi? Dah? Dia ke yang kena?” balas Safi, segera ingin mengetahui.

“Tak tahu lah aku, siapa yang jatuh. Entah dia ke, kawan dia ke. Katanya jatuh masa nak bukak buah durian. Cuba baling buah tu daripada atas.”

“Kan ke bapak tinggi tangga dewan tu. Kalau dah jatuh, entahlah.” jawap Daus menceritakannya lebih terpeinci.

“Dah? Dekat mana diaorang sekarang?”

“Kalau tak silap, yang cedera dah bawak ke hospital.” balas Daus selesai menyampaikan semuanya membuatkan Safi dipalit perasaan bimbang yang tak terkata. Walaupun selalu bertaki, tapi dia sentiasa sedar satu benda ni, yang itu adalah abangnya sendiri.

“Harap-harap, bukanlah dia…” tutur Safi sebaik-baiknya cuba untuk menenangkan hati.

 

“Assalammualaikum mak. Mak sihat?” suara along yang sering diingati kedengaran jelas di telinganya.

“Waalaikummussalam. Mak sihat. Along macam mana? Bila nak balik kampung?” soal mak seperti biasa kerana sudah agak lama mereka berhubungan semula. Mak dah dapat menerima along dan along apa lagi, gembira tak terkata. Benarlah kata orang, kasih mak tiada sempadan. Sanggup memaafkan segala kesilapan. Semuanya atas jasa angah yang tak penat melobi. Kini, setelah beberapa tahun berlalu, kemarahan mak dah kendur kembali.

“Balik? Abah macam mana? Abah dah boleh terima along ke mak?” soalnya ragu.

“Kalau along nak balik, along balik jelah. Abah tu tak ada apanya. Lama-lama nanti eloklah dia.”

“Adik-adik macam mana? Semua sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Semua pakat berendam di sungai. Main air. Selagi tak kecut, selagi tu lah tak ingat nak balik.”

“Tu ha! Suaranya boleh dengar sampai ke rumah. Terjerit-jerit. Entah apalah yang seronok sangat tu.” leter mak kerana selebihnya dia bimbangkan keselamatan anak-anaknya.

“Biasalah budak-budak mak. Masa along kecik dulu, along pun macam tu jugak. Balik je sekolah terus berlari ke sungai berendam.” balas along yang sudah mula teruja saat mengingatinya. Kedinginan air sungai seperti dapat dirasai di segenap ruang tubuh dan sekarang dia benar-benar kesal, bertindak meninggalkan keluarga setelah bersusah dan berpayah bersama.

“Mak masak apa hari ni? Makan apa?” soal along pula tak mahu memikirkannya terlalu lama.  

“Mak masak gulai lemak ikan baung dengan rebung yang abah dapat dekat ‘tajo’ pagi tadi. Dapat dua ekor. Sekor abah bawak bagi mamak. Kan mamak suka sangat ikan sungai. Siap pesan lagi. Kalau dapat jualkanlah pada dia. Mak pesan pada abah, jangan ambil duit sebab dah banyak sangat jasa mamak tu pada kita.”

“Wah. Sedapnya mak. Dah lama along tak dapat makan masakan mak. Rindu betul rasanya. Tengoklah mak, kalau abah dah reda sikit baru along balik.”

“Iyalah. Ikut suka along. Mak tak paksa.”

“Along kena sambung kerja semula ni mak. Nanti along telifon lagi. Esok tengah hari along telifon.”

“Tak payahlah, biar mak yang telifon.” balas mak menolak tak bersetuju dengan cara yang dibuat anak.

“Takpa, biar along je yang telifon. Lagipun bukannya kena bayar kalau guna telifon pejabat ni. Kalau guna telefon mak…” jawapnya membuatkan mak menghela nafas dalam kerana itulah perkara yang ingin dielakkannya.

“Takpa, esok biar mak pulak yang telefon. Jangan lupa kirim salam mak pada Zai dengan budak-budak.” balas mak segera memintas.  

“Ok, nanti kirim salam along pada semua. Assalammualaikum.” tuturnya mengakhiri perbualan.

“Waalaikummussalam…” membalas seadanya.

 

Jam di dinding sudah menunjukkan angka 2 pagi. Suara Mat yang sedang terbatuk-batuk jelas kedengaran mengejutkan mak yang sudah lama terlena. Mak hanya memasang telinganya, tak lama sebelum dia benar-benar terjaga bila makin lama, makin teruk bunyinya. Sampai termuntah-muntah. Mak terus mendapatkan Mat yang sedang terduduk, namun yang pelik anaknya itu masih mampu tersenyum suka walaupun badannya sedang menggigil. Peluh dingin turut membasahi seluruh tubuh Mat. Mak jadi tak tentu hala saat melihatnya.

“Mat? Kenapa Mat? Apa yang tak sihat?” soalnya sebelum meletakkan tapak tangan pada dahi dan badan anak bujangnya itu. Namun Mat hanya menggelengkan kepala berteman senyuman.

“Laillahaillallah…Awak! Cuba kemari! Cubalah tengokkan anak ni!”

“Ya-Allah, kenapa boleh jadi sampai macam ni? Apa yang Mat makan siang tadi?” soal mak bertalu, tapi Mat kekal membisu.

“Awak cepatlah! Tengok anak ni!” gesa mak pada abah yang masih belum mahu datang. Abah yang baru tersedar bergerak untuk mendapatkan Mat dengan langkah yang terhuyung-hayang sebelum tangannya menyentuh tubuh Mat yang kedinginan.

Suara mak mengejutkan Safi yang sedang nyenyak diulit mimpi dan keriuhan yang terhasil telah membuatkan dia turut sama bangun untuk melihat apa yang berlaku.

“Mat ke mana tadi?” soal abah selesai memeriksa keadaan. Mat kekal tak menjawapnya. Namun, yang pelik, dia masih mampu tersenyum sambil memeluk kejap tubuh.

“Pergi ambil air!” perintah abah. Mak segera berlari ke dapur untuk mencari sebelum cawan berkenaan segera dihulur kepada abah. Safi nampak mulut abah terkumak-kamit membacakan sesuatu. Selesai membaca dia menghembuskannya ke dalam cawan.

“Ambil air ni. Bagi minum separuh. Separuh lagi buat jaram di badan.”

“Sapu pada muka, tangan, lepastu kaki sekali.” tutur abah serius. Mak segera mengikut segala kata-kata abah. Selesai minum Mat dibaringkan semula dan tak berapa lama kemudian, dia akhirnya terlena.

“Safi tolong mak ambilkan kain tuala atas lipat kain depan, lepastu basahkan. Mak nak letak atas kepala Mat.” arah mak dan dengan mata yang masih berat Safi menurut tanpa banyak soal.

 

Keesokan harinya, Mat sudah pulih seperti biasa dan keadan itu telah menerbitkan kelegaan di hati mak kerana sekarang Mat dah tak sakit lagi.

“Kalau tak sihat, tak payahlah pergi kerja hari ni. Nanti mak bagitahu pada mamak. Hari ni Mat cuti ya. Lagipun dah lama Mat tak pernah cuti kan?” cadang mak.

“Takpa mak. Mat dah sihat. Dah tak sakit lagi dah.”

“Mak, along balik hari ni kan?” ucapnya sambil menatap wajah mak yang ada di sebelah.

“A’ah. Kenapa?”

“Tak ada apalah.” balas Mat, tunduk, takut untuk menyatakan hasratnya ingin berkelana ke Kuala Lumpur. Takut mak tak sudi nak memberinya.

“Kenapanya, cakaplah. Apa dia?” soal mak lagi kerana dia tahu ada yang sedang terbuku di hati anaknya itu.

“Mak…nanti, kalau…kalau Mat nak ikut along kerja dekat KL boleh?” sampainya perlahan dengan wajah yang dialihkan pada mak semula. Mak kelu tak terkata dibuatnya.

“Along kata, dekat tempat along kerja tu banyak kerja kosong. Gajinya pun boleh tahan. Banyak lebihnya daripada kerja Mat sekarang. Kalau campur OT bolehlah dapat sampai beribu.” beriya-iya Mat menerangkannya pada Mak kerana dia sudah teringin sangat merasai kehidupan di bandar. Kata along, KL seronok, macam-macam ada, tak macam di kampung, sunyi.

“Buat apalah nak kerja di bandar tu. Kat sini kan senang. Duduk sama-sama, tak payah menyewa. Makan pun mak dengan abah boleh sediakan. Nanti kat sana tak ada siapa yang tengokkan.”

“Tak payahla ya.” ujar mak membantah selebihnya dia belum bersedia untuk berjauhan dengan anaknya itu. Bimbang dengan gejala-gejala sosial yang acap kali dipaparkan dalam suratkhabar dan di kaca tv. Di tak nak Mat terjebak sama.

“Mak janganlah risau. Along kan ada. Along kata dia boleh tengokkan Mat kat sana.”

“Mak tolong Mat ya. Mak tolong cakapkan pada abah boleh?”

“Mak tolong ya. Sekali ni je.” pujuknya lagi. Mak makin susah hati dan masih belum dapat untuk memberikan keputusan.

Mak sangat sayangkan Mat. Walaupun Mat tak habis sekolah, takpa, dia tak kisah kerana biarpun begitu, Mat memang seorang anak yang baik dan tahu menghormati orang tua. Sayangkan keluarga, malah bertanggungjawab dalam menjaga. Atap rumah yang sekian lama bocor dan berkarat kini sudah berganti baru, semuanya atas jasa anaknya itu. Mak bangga dengan Mat. Sikap Mat yang periang menjadi pengubat tika luka. Seandainya Mat tiada, hilanglah seri dalam hidupnya.

Mak tatap wajah Mat. Mat tersenyum menampakkan giginya yang jarang ditengah. Lesung pipit yang ada di kedua-dua bahagian pipi jelas kelihatan, sama macam Man. Mak jadi lembut hati. Dia tak sanggup untuk menghampakan satu-satunya permintaan daripada anaknya itu.

“Tengoklah. Nanti mak bincang dengan abah dulu. Tapi mak tak janji apa-apa.” ucap mak, namun sudah cukup membuatkan Mat terlompat gembira. Dia tahu, mak pasti takkan menghampakannya.

“Mat pergi kerja dulu ya mak.” tuturnya teruja, sampai terlupa.

“Makan dulu! Mak dah sediakan sarapan tu.”

“Ok, ok. Mak masak apa pagi ni?”

“Ada pulut tanak sekali dengan sambal belada ikan sungai.” jawap mak sebelum turut sama ke depan untuk menyiapkan dirinya juga.

Mat menyuap pulut dengan berselera ke mulut. Daripada rumah depan, mak perhatikan Mat, lama. Sungguh dia belum bersedia untuk berjauhan dengan anaknya itu. Menolak hasratnya? Tak mungkin, kerana itu akan membuatkan dia rasa lebih bersalah. Mak menyesal bila dirasakan dia tak mampu untuk memberikan pendidikan yang terbaik pada Mat sama seperti adik-beradiknya yang lain. Dalam tak sedar kenangan pahit itu muncul di mindanya.

-bersambung-

Previous: Bab 54
Next: Bab 55b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.