Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab116b

Kursus penternakan yang memakan tempoh tiga hari itu akhirnya tamat mengikut jadual. Program malam yang terakhir, peserta dijamu dengan jamuan makan malam yang bermenukan produk daging lembu dan kambing. Prosudur biasa setiap kali kursus berjalan, acara penutup sewajibnya adalah makanan.

“Safi! Kak La tak boleh nak tunggu sampai habis. Sebab baru tadi, suami akak telefon bagitahu yang anak akak demam. Panas sangat badannya tu katanya. Risau akak. Akak rasa akak kena balik sekarang.”

“Tapi kalau akak balik sekarang, nanti Safi nak balik dengan siapa?” tuturnya bimbang.

“Takpalah kak. Nanti..”

“Takpa-takpa kak! Nanti saya hantarkan. Lagipun kami berjiran.” sampuk Naz yang ada turut sama mengambil bahagian dalam kursus berkenaan.

“Betul ni? Alhamdulillah. Kalau macam tu, akak balik dulu. Safi, maafkan akak ya.”

“Takpa, akak baliklah. Cepat balik tengokkan anak tu. Nanti apa-apa bagitahu.”

“Iyalah. Akak gerak dulu. Terima kasih Naz. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum bergegas pulang. Safi dan Naz turut sama berkongsi kebimbangan.

“Anak dia besar mana?” soal Naz pula.

“Kecik lagi. Baru nak masuk 5 bulan. Anak sulung pulak tu.”

“Anak sulung? Bukan ke akak tu nampak macam dah…”

“Tua?” pintas Safi, segera.

“Bukan tua…dah berusia…” balas Naz membetulkannya.

“Kahwin lambat. Biasalah orang perempuan zaman ni, tak terburu-buru.”

“Macam awak?”

“Bukan macam saya, sebab saya tak nak kahwin.”

“Ish! Mana boleh cakap macam tu. Tak baik!”

“Kita kahwin nak?” tutur Naz lancar.

“Hai…,tak payahlah nak melawak!” balas Safi hampir tergelak.

“Siapa yang melawak? Saya cakap betullah ni.”

“Awak, kahwin dengan saya!” pinta Naz semula membuatkan Safi segera beredar meninggalkannya.

“Gila!” bisik Safi, namun sudah cukup untuk membuat Naz mendengarnya.

“Apa awak cakap! Saya dengar!” balas Naz yang dah mula berlari memintas.

“Awak!” tuturnya sambil berjalan dengan tapak kaki kedepan.

“Jatuh nanti! Jalan tu elok-elok, boleh tak?! Banyak batu dekat bawah tu!” balas Safi mengingatkan dan tak perlu lama, ianya berlaku. Jalan batu kelikir yang tak berturap, memang tak tegap.

“Ha! Kan dah cakap. Kalau berjalan pandangnya kedepan. Ni tak, mata ke mana, kakinya entah ke mana. Apalah awak ni…” bebel Safi membuatkan Naz ketawa sendiri.

“Sayang jugak awak dekat saya ya…” balas Naz membuatkan Safi terus hilang kata-kata untuk membalasnya.

 

“Awak…” tutur Naz sepatah ditemani hati yang tak keruan rentak sesampai mereka di depan pintu pagar rumah.

“Hmm. Kenapa?” soal Safi tak bertangguh.

“Saya rasa…”

“Boleh tak…” balas Naz, kekal tersekat-sekat.

“Ya-Allah! Awak ni kenapa? Kalau nak cakap, cakap jelah. Dah kenapa banyak sangat pausenya? Apa ingat keset rosak?” tutur Safi cuba menceriakan suasana namun wajah Naz nampak makin serius pula.

“Awak, boleh saya datang rumah?” soal Naz jelas, membuatkan Safi berubah keras.

“Nak datang?”

“Boleh! Kalau nak datang, datanglah…”

“Datanglah kalau berani!” jawab Safi mengemukakan cabarannya.

“Betul ni?!” balas Naz hampir terlompat, gembira teramat.

“Betullah!” lancar Safi membalas.

“Dah tu maksudnya awak terima? Betul ke ni?” soal Naz masih sukar untuk mempercayainya.

“Datanglah dulu. Lepastu nanti barulah tahu.”

“Terima kasih sebab hantarkan saya balik dengan selamat hari ni. Selamat malam. Assalammualaikum.” tutur Safi sebelum beredar meninggalkan Naz dengan seribu satu tanda tanya. Benar atau sebaliknya?

 

Perjalanan panjang turut dilalui ‘mereka’, tak jauh beza dengan kali yang terakhirnya. Figura si peneman setia yang hingga kini tidak diketahui gerangannya. Hatinya rasa berbunga dan entah kenapa, serta apakah puncanya dia sendiri tidak pasti.

Langkahan yang perlahan di awalan, berubah kencang tak terduga dan dengan sekuat hati, Safi berlari demi terus mengekori, namun, si dia makin jauh meninggalkannya. Dengan sepenuh kekuatan, Safi berusaha dan terus berusaha untuk mendekatkan jaraknya, tapi apakan daya, dia tidak juga berjaya.

“Hahhh…!” keluh Safi yang tiba-tiba terbangun daripada lena dengan kedua-dua belah tangan menekap ke dada. Mimpi yang sama! Berulang dan terus berulang dan situasi yang sama dilaluinya semula.

“Siapa dia ni?!”

“Kenapa mesti dia selalu datang dalam mimpi aku?!” rintihnya perih. Debaran di dada berkecamuk nadanya. Tinggi dan rendah tak menentu arah membuatkan diri rasa betul-betul terseka dan terdera.

“Ya-Allah…apakah maknanya mimpiku ini ya-Allah?”

“Bantulah aku ya-Allah, bantulah aku untuk memahaminya…” bisik Safi dengan air mata bergenangan ditemani susuk belakang tubuh jejaka peneman mimpinya yang selama ini hanya dikenali sebagai dia.

“Siapa sebenarnya dia…” tambahnya yang sudah mula memegang kepala.      

 

Previous: Bab116a
Next: Bab117a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.