Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 72

Benarlah kata orang, hati ibu memang sukar untuk difahami. Safi tak tahu macam mana mak boleh menerima along semula setelah begitu banyak onar yang dilakukannya pada keluarga. Along kini gigih menagih kembali sebuah kemaafan daripada mak kerana dia tahu, mak pasti akan memaafkannya seperti selalu.

“Macam mana mak boleh terima along balik?” soal Safi kehairanan.

“Bukan ke abah dah pesan jangan. Abah kan dah tak nak along balik lagi dekat sini. Kalau abah tahu, mesti abah mengamuk nanti.” ucapnya membutirkan kerisauan, selesai mak dan along berhubung. Dia tak suka melihat abah memarahi mak. Dia tak nak abah gelar mak derhaka lagi dan cukuplah sekali perkataan itu didengari.

“Biarlah apa yang abah kalian nak kata. Mak dah tak kisah.”

“Kalian tak tahu. Nanti bila kalian dah ada anak, barulah kalian tahu.” balas mak sayu. Safi terus hilang kata-kata mendengarnya, tapi dia yakin, badai pasti melanda dan abah tak akan semudah itu untuk merelakan kepulangan along kali ini. Pendiriannya sudah di beritahu sejak dulu dan sering diulang-ulang saban waktu.

“Habislah…!” bisiknya di dalam hati selesai membuat penelitian rapi. Mak dilihat sengaja menempah musibah dan hidup mak memang tak pernah mudah. Daripada dulu lagi keadaannya tak pernah berubah kerana mak sentiasa perlu beralah untuk memuaskan hati abah.

 

Angah sibuk menghantar beg-beg pakaiannya beserta lauk-pauk yang dibekalkan ke dalam bonet kereta, kereta pertama yang baru dibeli, dan berani dibawa, sebelum dia mendapatkan mak pula.

“Mak, belanja bulan ni. Ada lebih sikit sebab bulan ni angah dapat bonus. RM 100 yang lebih tu untuk buat tambah-tambah bayar bil air, elektrik.” ucap angah perlahan takut didengari abah. Angah tak mahu abah marah. Tak mahu dikatakan melebihkan mak berbandingnya.

“Eh! Kenapa banyak sangat ni? Takpayahlah sampai bagi sebanyak ni. Angah gunalah untuk diri sendiri.” tutur mak, tak sanggup menerima semua yang angah beri kerana setelah dihitung jumlahnya sudah mencapai angka RM 800. Sudah terlalu banyak anaknya itu bekorban untuk keluarga. Perbelanjaan persekolahan adik-adik turut diuruskan angah sehinggakan dia dan abah dah tak payah bersusah. Beberapa helai note RM 50 diketepikan lalu diberikan semula kepada angah.

“Mak ambik! Simpan! Gunalah bila perlu.” serentak angah menolak.

“Angah dah ada bahagian angah, yang ni memang untuk mak dengan abah.”

“Tak pun, mak tolonglah simpankan untuk angah.” tuturnya sambil tersenyum sebelum menyalami dan mengucup pipi itu. Selesai dengan mak, dia menuju ke arah abah yang sedang berlunjur di tengah pintu.

“Abah, angah balik dulu.” ucapnya. Duit belanja yang sedia berada di dalam genggaman bertukar tangan. Nilai yang sama dengan mak, RM 800. Tak lebih, tak kurang kerana dia perlu adil dan saksama, setiap masa pada kedua-duanya.

 

Sejak tahu mak berhubungan semula dengan along, sikap abah berubah dingin. Bercakap pun jarang. Kalau ada yang penting barulah dia bersuara. Mak tahu yang abah marahkannya, tapi dia tak dapat nak buat apa. Kasihnya pada along tak dapat dibendung. Demi along, dia sanggup bertahan dan demi along juga, dia sanggup disisihkan.

“Nak masak apa hari ni?” soal mak pada abah yang baru melintasi.

“Huh! Masak jelah apa-apa!” balas abah seperti biasa sebelum turun ke tanah dan mak hanya mampu tertunduk sahaja.

 

“Assalammualaikum…” tutur along yang sudah sampai di muka pintu. Abah yang sedang berbaring pantas bangun sebelum turun ke tanah dengan perasaan marah. Jangankan salamnya, muka along pun langsung tak dipandang. Keadaan itu telah memberikan signal pada along agar dia kekal menjarakkan dirinya. Mak yang baru datang menyambut hanya mampu melihat sahaja.

“Waalaikumussalam. Dah sampai dah? Dahlah naik, bawak anak tu naik sekali.” arah mak kekal menggalakkan.

 

“Awak hari ni nak masak apa?” soal mak pada abah selesai duduk di atas kotak kayu usang yang sudah semakin bergoyang-goyang. Sunyi! Itulah yang terjadi walaupun mak kekal memerhati.

“Saya ingat hari ni saya nak masak kerabu ayam. Kan awak suka makan. Lagipun hari tu awak ada cakap yang awak nak makan kan? Takpa nanti saya buatkan.” tutur mak lagi, kekal memujuk hati suami, namun abah masih kekal begitu, tak mahu membalas kata-katanya.

“Awak…” belum sempat mak menyambung, abah dah mula bangun. Mak hanya mampu melihat abah berlalu sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Tak bersuara, tapi hanya ada rupa.

 

“Assalammualaikum…mak buat apa tu? Sihat?” tutur Safi bertanya khabar bonda.

“Waalaikumussalam. Mak sihat.”

“Baru nak rehat lepas siap masak. Sambil-sambil tu tunggu waktu Zohor masuk. Safi buat apa tu?” soal mak berbalas.

“Safi dekat bilik, baru siap makan. Tengah tunggu Zohor jugak. Nanti petang ada kelas lagi. Ada masa sikit ni, tu ingat nak telefon mak. Kalau tak nanti takut tertidur.” balasnya gembira.

“Abah mana? Abah buat apa?” soal Safi pula.

“Abah? Entahlah. Entah ke mana perginya. Sejak keluar tak balik lagi sampai sekarang.”

“Entahlah, mak sendiripun dah tak tahu nak cakap apa dah…” tutur mak perlahan membuatkan Safi terus dihambat persoalan.

“Dah kenapa pulak tu? Abah gaduh lagi dengan mak?”

“Gaduh tu tak, cuma…”

“Dah dekat dua minggu abah kalian tak bercakap dengan mak. Mak tanya, tak dijawapnya. Setiap kali pun macam tu. Muka tak habis-habis memuncung, sampai mak dah tak tahu nak buat apa dah.”

“Usop pun sama, satu mak tanya, satu dijawapnya. Mak masak, tapi sikit je yang luak. Mak…” terang mak berkongsi rasa membuatkan Safi segera menggaru kepala.

“Ni mesti sebab kes along balik hari tu kan? Takpalah mak, sabarjelah. Lama-lama nanti, eloklah abah tu. Mak buat je macam biasa. Tak payah fikir sangat, kan abah memang selalu macam tu, hangin memanjang.”

“Nanti dah hilang anginnya bercakaplah dia semula.”

“Kebun macam mana?” soal Safi ingin mengetahui perkembangannya.

“Entahlah, mak sendiri pun tak tahu sebab dah lama mak tak pergi. Nak ajak Usop, tak pernah ada lapangnya. Abah? Lagilah. Susah sangat nak melekat di rumah.”

“Man sibuk kerja. Ada masa, sampai ke malam pun tak balik lagi dia. Sekarang ni sibuk memasang jubin, sambil-sambil tu ada kerja buat rumah pulak. Sibuknya, tak payah cakaplah. Berapa hari lepas, sampai ke pagi baru balik. Puas mak tunggu, takut benda tak baik jadi pada dia.”

“Bila ada cuti, pergi pulak mengikan dengan kawan-kawan. Menggila mencari ikan sampai masuk ke hutan. Dah pagi pun masih tak balik-balik lagi.” tutur mak terus dan terus menceritakan hal-hal yang berlaku di rumah dan Safi kekal memberi perhatian pada apa yang mak sampaikan.

 

Angah segera mengeluarkan buah tangan yang telah dibelinya sewaktu bercuti bersama rakan-rakan sekerja hujung minggu sudah.

“Mak nah! Angah beli ni untuk mak, masa pergi Taman negara hari tu.” tutur angan sambil menyua botol kaca yang ada di tangannya.

“Madu? Angah beli madu?”

“Ha, madu. Pak cik tu cakap madu asli. Cubalah mak rasa.” cadang angah pula dan mak memang takkan perlu menunggu lama bila terkenangkan khasiatnya.

“Hmm…tipu ni…”

“Ni bukan madu asli. Baunya pun lain. Rasanya…”

“Hmm! Memang bukan.” tutur mak setelah memastikan.

“Tapi pak cik tu cakap asli. Takkanlah…”

“Zaman ni, memang banyak orang begini. Jual lain, tapi cakap lain. Mak masih ingat lagi bau dan rasanya macam mana. Arwah atok kalian dulu kerjanya mencari madu. Mak ni, bukan hanya makan, pergi ikut mencarinya sekali. Tu, dekat belakang busut tu, dekat batang pokok kayu simpoo tu, entah ada ke tidak lagi kayu tu, dekat situlah tempat lebah selalu bersarang.”

“Bila dah cukup masa, atuk kalian tilik guna daun sireh, nak tahu dah penuh ke belum madunya. Kalau dah penuh, malamnya nanti baru pergi mengambil, guna andang daun kelapa.”

“Dah puas dah mak makan madu, tapi memang bukanlah macam ni rasanya. Yang ni memang madu buat je ni.” tutur mak panjang lebar membuatkan wajah angah segera berubah, tak gembira.

 

“Hei hei! Kereta!” jerit mak tadkala kereta angah baru ingin keluar di simpang.

“Ya-Allah! Terkejut! Eee…mak ni!” ngomel angah di hati sambil ditemani debaran yang turut datang bertandang.

 

“Lepas ke?” soal mak.

“Lepas!” balas angah yang sedang berusaha memuatkan keretanya dalam kotak parking yang kelihatan sempit akibat dihimpit di kanan dan kiri oleh kenderaan yang lebih besar saiznya.

“Takpun, takpa. Biar mak turun tengok.”

“Takpayah! Boleh ni!” tutur angah dah mula nak naik angin, namun mak dah membuka pintunya.

“Ya-Allah…apalah…” tutur angah kekal tak mempersetujuinya.

 

‘Vroom!’ lonjakan berserta hentakan kuat dirasakan sebelum muka angah berubah pucat, terkejut.

“Ya-Allah…Apa yang dah jadi?” soal mak sebelum membuka semula ikatan tali pinggangnya.

“Macam mana boleh jadi macam ni? Kenapa sampai terlompat? Angah tekan apa tadi?” soal mak pada angah yang turut sama bergegas keluar untuk melihat. Keadaan bumper hadapan yang tersangkut pada penghadang konkrit jalan membuatkan angah kecewa tak sudah kerana itu kereta barunya.

“Angah bawak macam mana tadi…dah tu kita nak buat macam mana ni?” bebal mak tak habis membuatkan angah makin rasa sebal.

“Hish!” retusnya tak gembira.

 

Abah mula buat perangai. Sudah mula keluar malam dan hanya balik di tengah malam. Sengaja nak mendera hati si isteri, membalas perbuatan yang dirasakan sengaja dilakukan untuk menyakiti hati.

“Awak nak ke mana?” soal mak pada abah yang sedang menyisir rambutnya.

“Keluar! Ambik angin! Panas dalam rumah ni!” balas abah bersahaja, dalam usaha menguris hati mak.

“Usop! Dah siap dah?”

“Dah dah.”

“Ha, kalau dah, jom!” tuturnya pula sambil membuka engsel pintu. Mak hanya mampu melihat gelagat keduanya. Usop menjadi penyokong setia abah. Ikut saja kehendak abah biarpun dia tahu yang ianya salah. Dahlah tak tahu menasihati, malah sengaja menambah-nambah. Bahagia yang mak cari nampaknya kini semakin jauh, jauh dibawa pergi abah.

 

“Sembahyang Usop…kenapa susah sangat nak sembahyang…” tegur mak pada Usop yang sedang menyandarkan belakangnya pada dinding. Mendengarnya, rokok yang ada di tangan terus disedut lebih dalam sebelum asap yang berkepul-kepul dibebaskan tanda ketidakpuasan hati yang rasa seperti dipicit-picit kini.

“Dah lama macam ni. Usop pun bukan budak lagi. Sampai bila nak hidup macam ni? Sembahyang, puasa tu semua…” tak sempat mak menghabiskan abah dah mencelah.

“Biarkanlah dia!”

“Dah sampai masanya nanti, tahulah dia! Saya dulu pun macam tu juga. Tengok sekarang macam mana. Bukannya…” bela abah tak sudah, membuatkan Usop tersenyum puas hati, dan mak hanya mampu mengeluh sendiri. 

Previous: Bab 71
Next: Bab 73

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.