Sudah berbulan-bulan along tak balik sejak kali terakhir mak menghantarnya pulang dan semalam mak mendapat khabar gembira daripada along melalui perbualan mereka di telefon. Along akan pulang hari ni dan demi menyambut kepulangan anaknya itu, mak telah membeli sebiji tembikai merah bersaiz sangat besar daripada penjual lori buah yang kebetulan ada datang menjual di perkarangan pasar awal tadi.
“Nanti along balik kita boleh makan sama-sama.” tutur mak sambil tersenyum gembira.
“Mak, jadi ke along balik hari ni?”
“Haritu macam ni jugak. Kata nak balik lepastu tak jadi, adahal lain pulak. Hari dah petang dah ni, tapi, bayang along pun Safi tak nampak”. tutur Safi, mula meragui.
“Kan along dah janji nak balik. Mestilah along balik. Semalam dia dah telefon bagitahu kan? Takkan along nak tipu pulak.” balas mak sambil beg plastik beralih ke tangan kiri. Keperitan mula terasa di tangan, namun digagahinya juga semata-mata untuk menyambut kepulangan along.
“Mungkin along naik bas yang paling akhir nanti. Dalam pukul 6 lebih, ha, kejap-kejap lagi, lalulah dekat sini.” tambah mak sebelum menoleh ke belakang, memeriksa.
Safi beriringan dengan mak yang sedang menjinjing beg plastik berisi buah tembikai yang nampak sangat berat itu. Cukup besar untuk mereka sekeluarga. Gantang basikal mak yang sudah pecah masih belum dibaiki, jadi akibatnya tepaksa mak berjalan kaki ke pasar setiap hari. Perjalanan yang memakan masa hampir 15 minit itu tak begitu terasa jika berteman.
“Mak, biar Safi bawak pulak.” pinta Safi, meminta giliran membawa.
“Takpa, mak boleh lagi ni. Nanti sampai simpang sana, Safi bawak pulak.” jawap mak.
“Takpun macam ni. Safi pegang sebelah, mak pegang sebelah.” cadang Safi kembali, saat terlihatkan badan mak yang sudah menyenget demi menstabilkan beban.
“Macam tu pun boleh? Ha, kalau macam tu, Safi pegang situ.” balas mak yang sudah mendapat sedikit ilmu.
Tidak berapa lama kemudian, kedengaran enjin kenderaan yang kuat dan berat sedang mendaki bukit. Daripada jauh Safi pasti, itulah bas yang mak maksudkan. Mak segera tersenyum lebar saat bas berkenaan meluncur laju di hadapan mata kerana dia pasti benar yang along ada di dalam perut bas tersebut dan tanpa berlengah kaki dihayun laju mengekori, mana yang termampu sehingga Safi terpaksa berlari demi untuk mengikut rentak mak.
Sampai di selekoh, mak nyata hampa kerana along tiada dan bas yang dikejari berlalu pergi, tanpa ada yang menuruni. Wajah mak yang ceria berubah sepenuhnya. Safi nampak perubahan mak. Dia tahu yang mak sedang bersedih. Safi kecewa. Dia kecewa dengan sikap along yang tidak pernah nak menepati janji. Kecewa kerana along telah membuat mak hampa, untuk kali yang seterusnya.
Mat mula rasa tak selesa bila hati berkata sebaliknya dan untuk itu dia perlu melakukan sesuatu untuk membuktikannya. Selesai menyarung pakaian, Mat dan Usop memulakan rancangan kerana mereka mahu segara mencari jejak along dan membuktikan telahan. Perlahan-lahan pintu rumah dapur dibuka engselnya bila menyedari abah masih kusyuk di atas tikar sejadah.
“Kalian nak ke mana?” soal Safi pada abang-abangnya yang sudah lengkap berpakaian.”
“Shh...janganlah bising! Nanti abah dengar!” balas Mat berbisik sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir.
“Kalian nak pergi mana?” ulangnya semula, berbisik.
“Kami nak keluar kejap. Kalau abah tanya, Safi jawaplah apa-apa.” balas Mat pula.
“Nak jawap apa? Manalah Safi tahu nak cakap apa?”
“Safi cakap je yang kami pergi ambil barang yang tinggal dekat rumah sewa mamak. Ha, cakap macam tu.” balas Mat yang sudah mendapat idea.
“Ok.” balas Safi sambil mengangguk faham kerana dia tahu benar peraturan abah yang tak suka anak-anaknya keluar malam. Selepas Maghrib semua mesti bekumpul di rumah, kerana itulah cara abah, melainkan ada hal-hal penting yang dah tak boleh nak dielakkan.
Mat dan Usop berhati-hati menyeberangi jalan utama, jalan yang sering berlaku kemalangan maut dan pesanan mak, sentiasa tersemat di ingatan. Selesai memastikan keadaan, mereka segera menyeberangi jalan raya berlorong dua itu.
Mereka meletakkan basikal di hujung jalan utama sebelum menapak menghampiri rumah tersebut. Bunyi hilai ketawa penghuninya boleh didengari sampai ke luar rumah dan dalam banyak-banyak suara itu, Mat seperti dapat mendengar suara along yang ada turut serta. Berhati-hati mereka menuju ke pintu utama untuk memastikannya. Sah! Itu memang suara along. Mat dan Usop berpandangan sesama sendiri setelah menyedari.
Usop menudingkan jarinya pada deretan kasut yang tersusun di rak, dan serentak dengan itu, Mat mencebik geram kerana kasut kegemaran along yang baru dibelinya itu takkan dapat mereka lupakan.
“Jom balik.” bisik Mat pada Usop sebelum keduanya beredar dengan mengayuh pulang ditemani perasaan tak tenteram.
Sampai saja di rumah, mereka dikejutkan dengan sapaan abah yang duduk berangin di bawah pokok langsat, dalam gelap malam.
“Dah balik? Bendanya yang tinggal sampai tak boleh tunggu esok nak diambik?” soal abah tegas.
“Buku sekolah Usop ni. Tadi dia tinggal dekat bilik sewa mamak.” jawap Mat dan Usop hanya membatu.
“Hmm.” balas abah sebelum meneruskan konsenterasi pada ‘aktiviti rekriasi’, mengasap…lagi.
Mat duduk bersila di sebelah mak yang sedang sibuk membuat keronsang maniknya. Mak melemparkan pandangannya sekilas ke arah Mat yang jelas kelihatan sugul.
“Kenapa buat muka macam tu? Apa halnya? Kemana kalian sebenarnya?” soal mak sebelum meneruskan kerjanya.
“Mak, along kan…along balik sebenarnya.”
“Tapi, sekarang ni, dia ada dekat rumah ayah angkatnya tu. Tadi Mat dengan Usop dah pergi tengok dah. Dari luar pun kami boleh dengar suara along tengah bergelak ketawa dengan semua.”
“Kasut yang along baru beli tu pun ada tersusun dekat atas rak.” tutur Mat kesal, tak rela mak terus-terusan dibohongi along lagi. Along betul-betul dah melampau, bisiknya sambil mengetap bibir.
Mak tersentak, dan serentak, keronsang di tangan terdampar sepi. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata yang baru didengari. Along sudah tidak mengambil berat tentang keluarganya lagi? Malah dia sudah pandai membohonginya, ibu kandungnya sendiri? Berderau darahnya tak sudah.
Keesokan paginya along pulang dan tanpa langsung ada rasa bersalah dia mengaku yang dia telah bermalam di rumah ayah angkatnya, kerana tidak sampai hati menolak pelawaan yang diterima.
“Semalam masa along sampai hari dah gelap. Ayah ajak along bermalam dekat sana. Mak tak kisah kan?”
“Lagipun along bukannya buat apa-apa yang tak elok.” ucap along mahu menutupi kesalahan walaupun daripada ekor mata, dia dapat lihat mak kecewa bila wajah mendung mak jelas mencerminkan hatinya.
Mak hanya mampu diam kerana dia betul-betul rasa kesal. Benar kata Mat, along sudah jauh berubah dan dia sudah tak pentingkan keluarga sendiri lagi. Buktinya, belum ada apa-apa, along sudah melebihkan keluarga ayah angkatnya itu, sedang dia yang berusaha untuk membesarkannya selama ini, dianak tiri dan kegembiraan yang dinanti semalam berakhir dengan kesedihan, kini.
“Hmm. Takpa lah. Along balik bila?” soal mak perlahan.
“Petang nanti, tapi mak tak payah hantar along. Along balik sekali dengan Zai je nanti. Along bukan apa. Along taknak mak penat.” ucap along selamba, membuatkan air mata mak terus bergenang. Dasar anak tak tahu diuntung. Orang tua sedang makan hati, tapi, dia masih memikirkan untuk berjoli.
Along sedang sibuk mengemaskan pakaiannya. Seluar jeans biru milik Mat yang dipinjamnya itu segera disarung sebelum dia memadankanya dengan baju t-shirt putih bersih…juga hakmilik berdaftar, Mat.
“Nak buat masak apa ikan sungai ni?” soal mak selesai membersihkan.
“Masak goreng garam je mak, macam selalu.” balas along pada mak, sebelum merapikan rambutnya pula.
“Iyalah.” jawap mak seraya mengangguk. Mak kelihatan sibuk menyediakan bekalan along untuk dibawa pulang. Gulai lemak tempoyak ikan baung dengan belimbing buluh telah siap dibungkus kemas. Tak ketinggalan goreng belada ayam dan sambal bilis kacang tanah goreng kering kesukaan along.
Ketika sedang makan, abah tiba-tiba membuka bicara tentang Zai. Safi sudah mengagak semua itu akan berlaku kerana wajah abah dilihat tegang sejak pulang, dan kini, abah mungkin sudah mahu menyatakan pendiriannya.
“Betul ke along ada apa-apa dengan budak tu?” soal abah tegas, mahukan kepastian.
“Ha, along dah suka dia abah.”
“Lagipun mak dengan ayah diapun dah suka dekat along.” balas along perlahan, sambil tertunduk. Tak berani menatap mata abah. Takut disergah. Suapan ke mulut terhenti, dan serentak itu, mangkuk basuh tangan dicapai. Melihatkan ‘angin’ abah yang serta-merta berubah, kebimbangan mak bertambah.
Abah nekad. Pekara itu tak boleh ditangguhkan lagi. Along perlu tahu pendirian mereka tentang hubungannya itu. Safi, Man dan Ina yang sedang makan di rumah depan turut sama memberikan perhatian. Ateh yang baru selesai menyenduk, cepat-cepat menuju ke arah mereka sambil menatang pinggan. Serentak itu, mereka saling berpandangan sebelum suapan diperlahankan.
“Abah tak suka along berkawan dengan budak tu!” marah abah yang sudah beralih ke tingkap pendek di bilik dapur setelah meninggalkan tempat makan, walaupun yang lain-lain masih meneruskan.
“Tapi Along dah sukakan Zai, abah. Along cintakan dia…” tutur along berani. Wajah Abah menyinga kerana itulah kepantangan terbesarnya, pantang kata-katanya dibangkang dan along sangat tahu tentang itu, namun demi cinta, dia meneruskannya juga.
“Abah tak suka keturunan budak tu! Perangai mak bapak dia tu! Ha, itulah yang paling abah tak boleh nak terima!” tegas abah lagi sebelum membetul-betulkan badan dan mengemaskan cengkaman pada jenang tingkap pendek. Mat dan Usop yang ada di tepi hanya memerhati. Pucat wajah mereka, tak menyangka itu keadaannya dan satu hal yang mereka pasti, along akan kena kalau dia berdegil lagi.
“Tapi along dah sayang Zai abah!”
“Tak bolehlah abah nak cakap macam tu, sebab dia tak sama dengan mak ayah dia.” jawap along, makin berani, dan kekal berdegil lagi. Namun, tak kena pada tempat. Natijahnya, pasti ada yang bakal ‘mendapat’.
“Kemana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi?! Macam mana acuannya, macam tulah hasilnya nanti!”
“Abah nak along berhenti! Cukup setakat ni! Dah! Jangan berjumpa dengan budak tu lagi!” bidas abah kekal berkeras, kekal menghalang. Along terdiam, namun riak wajahnya masih serupa. Keras dan tak berupa.
“Kalau abah tahu yang along bergaul dengan budak tu lagi…”
“Awak ni pun, cubalah dibawak bincang elok-elok.” tegur mak pada abah, bimbang along akan lebih memberontak nanti. Mendengarnya, along bingkas bangun sebelum tangan dibasuh geram sambil minda ditemani dengan kata-kata ayah angkatnya tadi.
“Takpa. Kalau mak dengan abah marah, tak suka, along datang sini. Ayah dengan mak kan ada.” tutur Zam sambil memaniskan senyumannya.
(bersambung)