Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 15

Ateh memperagakan rantai yang berada di tangan kepada Lina, sahabat karibnya, merangkap anak kepada Mak Cik Nani, kawan rapat mak dan reaksi yang diterima membuatkan hatinya terus rasa bangga.

“Tengok ni, tengok apa aku pakai.” tutur ateh sambil menyinsing sebahagian lengan baju sekolahnya, ingin menunjukkan apa yang dia ada.

“Wah, besarnya rantai! Liza, mak kau beli rantai ni untuk kau ke?” soalnya dengan mata yang pentas membulat, betul-betul sukar untuk mempercayai apa yang baru dilihat.

“Ha..ha! Yelah. Mak aku belikan. Cantikkan?” soalnya setelah selesai mencarikan alasan.

“Cantik. Untunglah kau Liza, mak kau berniaga, mampulah dia belikan rantai macam ni untuk kau, tak macam mak aku. Mak aku duduk rumah je.” balas Lina, ditemani dengan perasaan kecewa, kerana dia tak punya.

“Tak ada apalah tu, nanti kau pun boleh dapat satu. Masa hari jadi kau nanti, kau mintaklah mak kau beli. Mesti mak kau kasi.” cadangnya sambil-membetul-betulkan rantai yang menggelungsur menuruni batang tangan.

“Tak ada maknanya. Bukannya kau tak tahu macam mana hidup keluarga aku.”

“Ayah aku buat kerja kampung je, bukannya ada pendapatan tetap macam orang lain, dan kalaupun aku mintak, takkan dapatlah.” tutur Lina menceritakan kedudukan, setelah sedar akan keberadaan diri.

“Takpa, nanti aku doakan kau dapat rantai yang sama macam ni. Kalau tak sekarang, mungkinlah satu hari nanti.” balas ateh mahu menyedapkan hati.

“Tapi, memang cantiklah gelang ni. Berapa mak kau beli? Dia beli kat kedai mana?” soal Lina, penuh dengan rasa ingin tahu, kerana jauh di sudut hatinya dia turut menginginkan paling tak satu rantai yang sebegitu.

“Ha? Kat mana? Emm…” balas ateh tak tentu, kerana dia sendiri tak tahu, sebelum akal pembelitnya datang membantu.

“Dekat bandarlah! Dekat kedai kat bandar. Harga dia mak aku tak cakap, dia tak nak bagitahu.” tambah ateh lancar saat dibantu oleh ‘pembisik’ itu.

“Dahlah, jom kita pergi kantin. Perut aku dah lapar ni.” ucap Lina pula bila teringatkan ada perkara lain yang perlu dibuat.

“Ok jom, tapi aku temankan kau makan je tau, sebab aku puasa.” jawap ateh pula.

“Puasa lagi? Rajinnya kau. Setiap minggu kau puasa, kau puasa sunat lagi?” soal Lina sambil sama-sama berjalan meninggalkan bilik darjah mereka.

“A’ah. Aku buat puasa sunat nak ambil berkat. Lagipun kan dah dekat exam, kenalah banyak doa.” balas ateh menunjukkan kepatuhan pada apa yang disyariat, kerana berdasarkan apa yang ustaz kata, diantara 6 waktu doa paling mustajab dan mudah untuk di makbulkan adalah semasa proses berpuasa, di pagi harinya ketika waktu bersahur sehingga masuk waktu subuh, diikuti pula pada petang harinya iaitu ketika waktu berbuka. Tapi di sebalik semua itu terselit juga tujuan untuk menjaga berat badan, kan lebih mudah begitu, kerana sambil menyelam, bolehlah dia minum air, bisiknya puas hati.

 

“Mah?…takpalah.” tutur Mak Nani, sekerat, sambil memikirkan keperluan untuk menyambung lagi sekerat, membuatkan mak menghentikan kerja-kerja memotong ayam diatas papan pengerat.

“Kenapa? Kalau nak tanya tu, tanya jelah terus. Kenapa bertanya sekerat-sekerat.” balas mak sebelum menatap wajah sahabat.

“Aku rasa tak nak cakap, tapi…tak seronok pulak rasanya kalau tak cakap, sebab aku bukan apa, aku risau je.” jawap Mak Nani pula, menambahkan kesangsian di benak mak.

“Apa bendanya? Kau cakaplah dengan aku. Berkaitan dengan apa? Anak aku ada buat salah ke?” soal mak mula curiga.

“Salah tu tak adalah, cuma aku risaukan ateh.”

“Ateh? Kenapa dengan ateh? Lina ada cakap apa-apa ke pada kau?” soal mak yang mula bimbang.

“Lina cakap ateh pakai gelang emas ke sekolah, bahaya Mah!” jawap Mak Nani menzahirkan kebimbangan.

“Gelang emas? Bila? Aku tak tahu pun! Kau biar betul!” balas mak terkejut, segera dia menghabiskan tugas-tugas pemotongan dan membuat pembungkusan sebelum terbongkok-bongkok mencuci tangan yang dipalit darah dan kotoran pada baldi air yang ada berhampiran.

“Ya, hari tu, minggu lepas! Waktu balik sekolah Lina bagitahu yang ateh pakai gelang emas, terkejut aku dibuatnya. Bukan apa, bahaya? Kalau hilang macam mana?”

“Betulke kau tak tahu ni?” soal Mak Nani lagi, mencari apa yang pasti.

“Ya-Allah…betul Nani. Aku tak tahu! Daripada mana pulak dia dapat gelang tu?” soal mak ingin tahu.

“La, bukan Mah ke yang belikan untuk ateh?” jawap Mak Nani, sangsi.

“Ha?” balas mak, lebih terkejut kali ini.

“Lina cakap, ateh cakap pada dia, gelang tu Mah yang belikan untuk dia, beli kat bandar.”

“Ateh yang cakap macam tu?” balas mak sambil memikirkan kewajaran untuk menceritakan segala-galanya, perlu, atau cukup sampai di situ dan jawapannya seharusnya hanya ada satu.

“Ha, betullah tu. Mah belikan untuk ateh, buat dia pakai. Takpa, balik nanti biar Mah nasihatkan ateh.” tambah mak cuma menoktah.

“Iyalah, aku cuma bagitahu apa yang aku dengar. Aku bukan apa Mah, aku takut gelang tu hilang. Kalau dah dijumpa dek orang, tak mungkin dipulang. Berapa kau beli? Mahal kan?”

“A..a’ah, bolehlah.” balas mak sepatah tak mahu menambah-nambah, cukup sekadar melancarkan apa yang dah dimulakan.

“Jangan Mah marah-marah anak tu nanti, nasihat elok-elok, lagipun Lina dengan ateh berkawan, janganlah pulak sampai hilang sahabat. Itulah sebabnya daripada awal aku nak menyampai, aku rasa berat.”  

“Ni, duit untuk ayam tadi, aku beli.” tutur Mak Nani berakad beli.

“Yalah, aku jual.” balas mak, segera melengkapkan.

 

Mak meneliti tempat lipat kainnya, kawasan dia menyimpan harta yang berharga bila yang lain-lainnya telah tiada. Selesai mencari, dia akhirnya meneliti bekas simpanan barang kemasnya itu untuk memastikan kesangsian. Barang pertama yang matanya ingin jumpa tak lain tak bukan adalah gelang tangan malaysia kepunyaan arwah emak yang masih lagi berjaya disimpan sampai ke saat ini, tak sampai hati mahu digadai atau dilelongkan meskipun kehidupan kuat menekan.

“Alhamdulillah, ada lagi rupanya kat sini.” bisik mak menzahirkan kelegaan.

“Hai la anak-anak…” tambahnya pula sebelum menghela nafas berat, saat memikirkan gelagat setiap anak-anaknya.

 

Safi duduk di atas kotak kayu ikan. Sambil duduk dia membuang pandang pada mak yang masih tekun melipatkan straw plastik bewarna demi merealisasikan idea gubahannya. Safi yang melihat kekal senyap, sebelum tangan kecilnya mula merayap. Destinasi yang dituju adalah bakul duit niaga yang ada di situ.

“Gulp!” bunyi tegukan air liur dapat didengari diri sendiri saat kegiatan tak bermoral itu dilakukan. Dalam kesedaran dia akhirnya berjaya melakukan kesalahan itu lagi. Selesai mencopek, dia segera melarikan diri dari situ dengan syiling sekupang yang kemas digenggam.

“Eh, nak ke mana tu?” soal mak setelah menyedari Safi mahu bergerak lagi.

“Nak pergi sana…” jawapnya.

“Sana mana?” soal mak lagi.

“Sana, nak pergi tandas.” balas Safi yang mula cemas, takut kejahatannya diketahui oleh mak.

“Tandas lagi? Kan dah pergi tadi, sekarang nak pergi lagi?” tutur mak sukar untuk mempercayainya kerana dah berkali-kali, namun Safi hanya mampu menggaru-garu dahi sendiri.

“Nak pergi, pergilah! Tapi jangan lupa, lepas guna cuci semula. Penuhkan air dalam baldi tu, lepastu curahkan dalam lubang. Penarik tandas tu tak jalan, jadi kita sendirilah yang kena bersihkan.” tambah mak memberi tunjuk ajar perkara yang harus dilakukan.

“Ha.” balas Safi sebelum bergerak ke bahagian belakang pasar, tempat tandas diletakkan. Dalam perjalanan, tangan yang bertemankan habuan diselokkan ke dalam saku baju yang terdapat di sisi badan, ditemani keseronokan yang tak tertahan, tapi mampukah ianya bertahan?

“Mananya? Dah pukul berapa dah ni? Kenapa tak sampai-sampai lagi?” bebel mak sebelum menjeling jam yang berada di tangan.

“Ya-Allah, dah tiga lebih pun tak sampai-sampai lagi?” tambahnya kesal, bimbang dia terpaksa menqada’kan sembahyang Zohornya lagi seperti semalam setelah kegagalan suaminya itu untuk datang pada masa yang sepatutnya, akibat daripada terlalu leka melayan mata, langsung melupakan keperluan yang lainnya.

“Dahlah Asar masuk cepat, entah-entah tak sempat lagi nanti.” bisik mak perlahan menyatakan, berteman kehibaan setelah sedar akan kesalahan yang bakal dilakukan. Di saat kesedihan, hanya wajah arwah mak yang dapat dia bayangkan dan tanpa sedar air matanya mula berlinangan. Segera air mata itu disapu dengan tangan, tak mahu ada yang perasan.

 

Selesai mengemaskan perkakasan, mak meneliti semula duit niaga harian yang tersimpan di dalam raga sebelum dia mula curiga kerana jumlah duit syiling jadi berkurangan dari yang sebelumnya. Berkerut kening mak memikirkan punca, namun tak lama kerana abah tiba juga akhirnya, dan serentak dengan itu perasaan curiga pantas bertukar jadi lega.

Dalam perjalanan pulang, mak terfikirkan semula misteri kehilangan duit berkupang-kupang dari raga hasil jualan. Mungkin bagi orang besar, syiling hanya diangap sebagai duit kecil, tapi bagi orang kecil, syiling dah dianggap cukup besar. Bisiknya sendiri. Sambil berfikir-fikir matanya berjaya menangkap sesuatu kejanggalan pada saku baju Safi yang nampak berat dan melayut dari badan. Tanpa berlengah tangannya pantas dihulurkan sebelum dia terjerit dengan sendiri.

“Safi! Apa ni!” soal mak selesai melakukan penelitian, dan serentak dengan itu Safi keraskan badan di bawah pokok belimbing batu yang ada di hujung simpang jalan.

“Mak tanya Safi ni kan? Apa ni?” soal mak lagi mengulangi untuk mendapatkan jawapan yang diingini dan siapa sangka hasilnya tiada sebaliknya yang ada hanya air mata. Tersedu-sedu Safi menahan tangisan setelah sedar diri telah melakukan kesalahan.

“Kenapa Safi buat perangai macam ni? Ada ke mak ajar Safi mencuri?” soal mak pula mahu memulakan sesi pengajarannya dan segera dibalas Safi. Tergeleng-geleng kepalanya menafikan, kerana mencuri memang tak pernah ada dalam silibus pembelajaran.

“Dah tu, kenapa Safi mencuri?” soal mak perlahan ditemani perasaan kehibaan saat terpandangkan air mata si anak yang jatuh berjuraian membasahi tanah yang kekeringan.

“Mak nak Safi janji dengan mak! Janji yang lepas ni Safi takkan buat lagi.” tutur mak sebelum menyeka air mata anaknya itu.

“Janji!” tutur mak tegas, minta kefahaman yang jelas dan serentak dengan itu Safi pantas membalas.

“Janji…Safi janji, Safi janji tak buat lagi…” jawapnya sebelum mengesat air mata yang berbaki dengan lengan sendiri.

“Dahlah, dah, jangan menangis lagi.” pujuk mak sambil mengusap bahu Safi yang mula terhenjut-henjut menahan tangis.

“Dah dah! Mohlah kita balik. Kita dah lambat ni, nanti tak sempat pulak kita nak sembahyang.” tambah mak lagi sebelum mencapai tangan Safi dan memimpinnya untuk meneruskan perjalanan mereka lagi.

“Mak…kejap.” tutur Safi minta berhenti.

“Kenapa?” soal mak kembali.

“Ini…” balas Safi selesai menyeluk saku baju sendiri, memulangkan semula semua duit syiling yang telah dikumpulkannya dan dengan perasaan tersentuh mak menerima.

 

“Safi! Safi! Safi anak siapa? Man anak mak!”

“Ha, Ina anak abahkan?” tutur Man yang sedang leka melipat beberapa keping kad mainan bernombor yang bersaiz dua jari orang dewasa itu diatas lantai sebelum menepuk tangan di bahagian sisinya, berusaha untuk menterbalikkan kad-kad berkenaan menggunakan tekanan angin yang dihasilkan. Berlempung-lempang lantai ditepuk tapi hasilnya habuk.

“Mana?! Ina anak mak!” balas Ina pula tak mempersetujuinya. Angah yang ada bersama hanya mampu tersenyum suka manakala mak yang ada di dapur turut sama terpaksa menadah telinga.

“Eh! Bukan Ina anak abah ke? Bukan ke Ina suka sangat mengadu pada abah!” jawap Man, kekal tak mahu mengalah dengan mata yang dijelingkan rendah, lagak kucing jantan minta disesah.

“Bukan! Ina anak mak! Man jadilah anak abah!” bidas Ina, setia mahu berdongeng.

“Taknak! Man tak nak! Man tak nak jadi anak abah! Man nak jadi anak mak, ha!”

“Safi cepatlah! Safi pulak! Safi anak siapa?” soal Man pula pada Safi yang ada disebelahnya.

“Safi anak angah!” balas Safi lancar.

“Eh! Anak angah pulak! Tak pasal-pasal angah pulak yang kena! Kalian ni!”

“Kalian yang bermain, jangan pandai-pandai nak libatkan angah!” balas angah tak percaya sebelum menyekeh kepala Safi perlahan menyatakan bantahan namun hanya dibalas kekehan daripada Safi, Ina dan Man. Mak yang masih berperang dengan sudip dan kuali segera pecah gelaknya.

“Hei budak-budak ni! Sejak bila pulak angah tu beranak!” balas mak dah tak sanggup menahan perasaan sebelum disambut dengan gelakan.

“Apa yang bising-bising sangat tu ha!” jerkah abah yang ada di tanah membuatkan mereka semua segera menutup mulut.

“Shh shh! Senyap! Tengok! Kan abah dah marah!” bisik angah perlahan sambil menegakkan jari telunjuk di mulut, namun tegahan itu takkan dapat mengurangkan rasa hati yang masih kegelian dan serentak dengan itu mereka mula mengaktifkan kod ketawa dalam senyap.  

Previous: Bab 14
Next: Bab 16a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.