Perjalanan ke Kuala Krai menaiki perkhidmatan KTM, mengambil masa hampir 6 jam. Mak, Man dan Ina duduk di kerusi yang disediakan sedang Safi beratur di kaunter untuk mendapatkan tiket yang diperlukan. Pengalaman pertama kali menaiki kereta api sangat mengujakan dan yang pasti, ia akan dikenang selamanya.
Hon dibunyikan, menandakan ada kereta api yang bakal memunculkan diri. Terasa berdebar bila gelogak rim tayar besi serta rel bertemu di dalam laluan yang makin lama, makin jelas di pendengaran. Hari ini dalam sejarah. Pengalaman seumur hidup, yang akan sentiasa disimpan di dalam kotak fikiran. Rasa macam pergi bercuti pun ada sampai Man dan Ina tak dapat nak menyembunyikan senyuman.
“Nanti kita akan lalu banyak terowong. Masa lalu terowong tu, gelaplah nanti. Takut jugak rasanya. Nasib baiklah kalian ada.” tutur pada mak pada Safi, Man dan Ina yang sedang leka memerhati.
“Banyak ke terowongnya mak? Banyak mana?” soal Ina pula, macam tak percaya.
“Entahlah, tak pernah pulak mak mengiranya. Tapi rasanya, lebih lima, enam ke tujuh. Entahlah, dah lupa dah mak.” jawap mak selesai mengingati. Safi ketawa ringan mendengarnya.
“Hehehe!”
“Kenapa Safi ketawa?” soal Ina seperti sudah dapat membaca.
“Tak ada apa! Lah, ketawa pun tak boleh ke?”
“Ha, jangan cakap…”
“Dah dah dah! Dah boleh masuk dah.”
“Jom, jom kita masuk!” arah mak tak mahu ketinggalan.
Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kuala Krai akhirnya dimulakan dan sepanjang perjalanan, mereka ditemani dengan pemandangan alam semulajadi yang penuh kehijauan. Laluan yang menempuh kebun-kebun dan kawasan rumah kampung itu, tampak sangat ikonik dipandang mata, kerana ia seperti mewakili kita. Tenang dan aman sahaja keadannnya.
Setibanya di kawasan terowong yang mak maksudkan, mereka mula rasa teruja, namun tempohnya hanya seketika. Tak berapa lama, mereka merasianya semula, kegelapan ciptaan manusia. Setiap kali ia berlaku, debarannya kekal terasa sebelum setibanya mereka di terowong yang paling panjang dan paling lama gelapnya. Akal jahat Safi datang serta-merta. Sengaja dicuit telinga kiri Ina dengan tangan kirinya. Ina yang duduk bersebelahan segera membalas dengan cubitan di lengan.
“Aduh! Sakit lah!” bisik Safi. Di dalam kegelapan dia tersenyum gembira. Memang sudah menjadi rutinnya untuk mengganggu ketenangan adik bongsunya itu. Seronok lagi syok!
“Padan muka! Itulah balasannya kalau suka sangat kacau orang! Nak lagi?” balas Ina. Suaranya turut dikawal. Takut mengganggu penumpang yang lain.
“Taknak-taknak.” balas Safi sebelum mengulanginya lagi sekali, lepastu sekali lagi. Mak dan Man yang duduk di hadapan memasang telinga, sampai satu tahap Mak dah tak boleh nak tahan dah.
“Kalian ni kenapa?” bisik mak pula.
“Mak tengoklah Safi ni, dia buat Ina!” rengek Ina, si manja.
“Mana ada! Ina ni yang pengecut sangat…”
“Lagipun, macam mana mak nak tengok, kan gelap. Hehehe…” jawap Safi sambil ketawa. Dia puas. Dah lama dia ‘berpuasa’ daripada menyakat adik kecilnya itu. Bahagianya hanya dia yang rasa dan mak dah tak tahu nak cakap apa.
“Safi nak duit! Ina nak beli jajan.” pinta Ina sambil menadah tangan dan Safi segera memberi apa yang adiknya itu perlukan.
“Safi nak apa?” soalnya sambil memeriksa.
“Takpa, beli je apa-apa.” jawap Safi tak berapa kisah akannya, sebelum dia teringat akan kegemarannya.
“Kacang ada? Kacang?”
“Safi, jom pergi sana nak?” tutur Man, mengajak.
“Nak pergi mana?”
“Sana, pergi tempat makan. Mak kata dekat belakang sana ada tempat makan.” balas Man dengan senyuman berlesung pipitnya.
“Ok, jom. Tapi mesti mahal makanan dekat dalam ni. Iyalah, samalah macam kapal terbang.” bisiknya pada Man yang duduk di bahagian kerusi hadapan sebelum kedua-duanya berbalas senyum.
“Ina tak payah ikut. Ina tunggu mak.” arah Safi yang sudah mula bangun.
“Haaaa…Ina nak ikut!” rengeknya tak gembira.
“Eeee, mengada-ngada la Ina ni! Nanti kalau Ina ikut, mak macam mana? Siapa nak teman mak.” balas Safi memarahi.
“Kalau Ina nak pergi, pergi.”
“Ambik duit ni buat beli apa-apa nanti. Kalian jalan elok-elok. Jangan buat benda yang bukan-bukan.” tutur mak mengingatkan sebelum mengeluarkan beg duit dan mencari apa yang diperlu.
“Takpa mak, takpa. Safi ada duit. Mak ada nak pesan apa-apa tak? Mak nak makan apa?” soal Safi pula.
Melalui tingkap kaca, lama Safi memerhatikan setiap satu yang telah ditinggalkan. Bukit berbatu, pokok kayu, tanda-tanda yang ada pada jalan dan semuanya diambil sebagai ilmu untuk menambahkan pengetahuan. Kepala Ina yang sedang nyenyak terlena hampir terlurut daripada pangkal bahu dan mujurlah dia sempat menyambutnya. Selesai dibetulkan, dia membuang pandang pada penumpang-penumpang lain dan kebanyakannya dilihat sudah mula merehatkan mata. Mereka bergembira, tapi, abah tiada. Abah buat alasan berniaga, sedang Safi tahu yang sebenarnya abah dah malas nak ambil tahu tentang semua itu.
“Awak tak nak ikut sekali? Nanti kalau Mat tanya, saya nak jawap apa?” soal mak pada abah yang sedang berlunjur di muka pintu.
“Awak jawap je lah apa-apa! Saya dah malas nak ambil kisah dah!”
“Baru je beberapa bulan! Tak sampai pun setahun, dah buat perangai lama. Memang tak pernah nak berubah!” marah abah dengan telinga merah.
“Memang daripada dulu lagi tak pernah-pernah nak menyenangkan orang!”
“Tak ingat awak?”
“Sejak dia lahir. Lahir-lahir je dia, saya tak ada kerja. Sampai kena makan bubur kita sekeluarga. Saya dah tak nak ungkit lagi perkara ni, tapi saya geram.”
“Perangai dia yang buat saya ingat perkara dulu.” tutur abah kekal dengan amarah.
“Sudah sudahlah! Daripada dulu lagi awak salahkan dia.”
“Tak habis-habis awak tuduh dia bawa malang. Awak lupa, yang rezeki di tangan Allah. Bukannya datangnya daripada seorang anak.” tutur mak kecewa.
“Habis tu, salah siapa peniagaan saya hancur? Masa angah lahir, bisnes maju, lancar, sampai tak habis makan, tapi bila dia lahir semuanya hilang! Awak tahu apa! Saya yang merasa susahnya!” tutur abah geram. Mak terus mendiamkan dirinya sambil menghela nafas dalam.
“Dahlah. Dah malas dah saya nak bertengkar.”
“Nasi dengan lauk saya dah sediakan. Awak tinggal perangatkan nanti. Lusa baru kami balik.”
“Usop, mak pergi dulu.” ucap mak tak mahu memanjangkan cerita, seperti selalu.
“Okey. Usop kan ada. Biar Usop jaga abah. Mak jangan risaulah. Lagipun esok cuti, Usop boleh tolong abah kat pasar. Mak kirim salam Usop pada Mat.” pesannya.
“Insya-Allah. Kami pergi dulu. Assalammualaikum.”
“Okey, waalaikummussalam...” balas Usop dari tingkap rumah, sambil matanya tetap menghantar pergi mereka berempat beranak.
Menjelang waktu Maghrib barulah mereka sampai di stesyen yang ditujui. Dalam gelap-gelap terang, mereka masih dapat melihat perkataan Kuala Krai tertera di papan penanda yang diperbuat daripada batu itu. Kedatangan mereka disambut Mat yang telah berada di situ lebih awal.
“Mat!” jerit Safi, Man dan Ina, teruja sebelum bergegas menyalami abangnya dan Mat gembira bila akhirnya mereka dapat bertemu semula.
“Mak…mak sihat?” sapa Mat sebelum menyalami tangan Mak pula dan mak seperti biasa, takkan dapat menahan air matanya.
“Mak sihat. Mat macam mana?” balas mak sambil memeriksa tubuh Mat yang sudah sedikit berisi itu.
“Mat sihat. Tengok, Mat dah makin gemuk duduk dekat sini. Mak Su hari-hari hantar makanan pada Mat, mana tak sihat. Takpalah mak, nanti sampai rumah kita sembang panjang-panjang.”
“Kita ambik teksi dekat sini.” tuturnya memandu, sambil menjinjing beg dan barang-barang yang mak bawa.
Dengan menaiki teksi mereka tiba di rumah sewa Mat yang terletak hanya 5 minit dari stesyen. Setibanya mereka di sana, mereka disambut oleh Mak Su sekeluarga, tuan punya rumah sewa Mat. Baik orangnya. Mat sudah dianggap seperti anak sendiri, malah anak-anaknya sangat sayangkan Mat. Mungkin kerana sikap Mat yang suka tersenyum itu, memudahkan dia bergaul dengan semua.
“Mak Su, Pak Su mana?” soal Mat.
“Dio biaso la. Kejo. Dio royat gi Kota Bharu. Luso baru kelik. Ha, gi salea nenek tu.” arahnya pada anak-anak, dan dengan pantas mereka menurut.
“Budak-budak ni suko sokmo duduk rumoh Abang Mat dio ni.” tambah Mak Su. Mak membalas dengan senyuman penghargaan kerana di situ Mat langsung tak disisihkan.
“Tadi saya ada bawa bekal. Banyak ni. Cukup untuk kita semua. Nanti lepas sembahyang, boleh kita makan.” pelawa mak.
“Takpo, takpo. Akak makae. Su dah makae tadi. Su kelik dulu, nak solat. Nanti naiklah ke rumoh.” pelawanya pula.
“Insya-Allah.” balas mak menghargai persaudaraan yang dihulurkan.
“Mak, Mat pergi kerja dulu. Nanti tengah hari Mat balik.” tutur Mat yang sudah bersiap untuk bekerja.
“Mat kerja dekat mana hari ni?” soal mak ingin tahu.
“Hari ni Mat ikut Pak Leh kerja dekat belakang sana. Tuan rumah tu mintak besarkan dapur dia. Semalam Mat ada beli ayam dengan ikan, ada dekat dalam peti tu. Safi, nanti Safi masak ya.” pesannya pula.
“Ok, tapi nak masak apa?”
“Safi masakjelah apa-apa. Ha, buat gulai masam tempoyak pun sedap jugak. Guna tempoyak yang mak bawak semalam. Masak sedap-sedap, nanti Mat balik makan.”
“Ok!” jawap Safi mematuhi.
“Mat pergi kerja dulu…Assalammualaikum.” tuturnya sebelum beredar.
“Waalaikummussalam…” balas mereka, bahagia.
Sikap Mat yang rajin dan cepat bergaul sangat disenangi semua. Masalah Mat cuma satu. Ketagihannya pada barang terlarang. Sekali cuba dah susah nak berhenti dan natijahnya, janji hanya tinggal janji. Mengundang padah pada keluarga dan diri sendiri. Namun, mak dilihat masih kekal cekal menempuhi dugaan llahi. Menyesal? Tidak pernah terlihat, walaupun sekali. Safi kagum dengan mak. Mak banyak mengajarnya erti sabar dan berserah.
Pagi tu seperti yang dijanjikan, mereka berangkat pulang. Pak Su berkeras mahu menghantar mereka ke stesyen kereta api dan akhirnya mereka akur. Safi perasan, wajah Mat tak seceria selalu. Sedih mungkin, kerana dia bakal ditinggalkan lagi. Pergerakannya terbatas dan setiap bulan dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran. Kehidupannya macam orang biasa, boleh kerja, bebas bergerak, cuma dia tak boleh keluar melebihi dari kawasan daerah yang dah ditetapkan. Paling seronok, tiada masa melawat seperti mana di pusat sebelumnya.
Waktu perpisahan semakin hampir dan entah bila lagi mereka akan dapat berjumpa. Bunyi kereta api yang baru tiba kedengaran sayup-sayup menyapa telinga. Mak segera menggenggam tangan Mat erat untuk memberikannya semangat.
“Mat sabar ya. Ingat! Jangan lupa solat. Nanti kalau ada lapang, mak datang lagi.” ucap mak dan Mat membalas dengan anggukan, perlahan.
Mat pandang wajah mak dan adik-adik. Dia sedih kerana mereka harus berpisah semula. Namun dia bersyukur, setidak-tidaknya dia masih diterima dalam keluarga. Setitik air matanya yang jatuh pantas diseka. Safi, Man dan Ina turut berkongsi rasa. Sedih bila memikirkan yang Mat akan ditinggalkan sendirian di situ. Ikutkan hati, mahu saja dibawa Mat pulang sekali, sebelum disorokkan ke dalam almari, tapi, apakan daya, abangnya itu sudah tertambat kaki.
“Mat…kami balik dulu.” tutur Safi sambil menyalami Mat sebelum diikuti oleh Ina dan Man.
“Ingat, kalian belajar rajin-rajin, jangan ponteng sekolah…”
“Jangan sampai jadi macam Mat.” pesannya sebelum semuanya berdakapan ditemani air mata yang cuba sedaya-upaya untuk ditahan.
“Mat ingat pesan mak. Jangan lupa solat!” tutur mak lagi sebelum kereta api berangkat pergi sambil tangan terus melambai dan melambai lagi.