Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab33-1

Jari-jemari laju menari di atas skrin iPad. Lepas satu, satu butang ditekan. Bersungguh-sungguh mata meneliti kandungan yang dipaparkan. Dia berganjak ke halaman seterusnya. Baca lagi. Ariyyan mengeluh. Tiada jawapan dapat diperoleh melalui ‘Tentang Sesuatu’. 


Sedari tadi dia melayari internet, membaca entri-entri blog Diha. Itu kali pertama dia mengunjungi ‘Tentang Sesuatu’. Semuanya akibat buntu mengenangkan perubahan sikap Diha. Manalah tahu Diha meluahkan perasaan, berkongsi cerita berhubung punca kedukaannya di situ. Atau ada yang boleh dikaitkan dengan tingkah laku aneh Diha. Hampa. Tiada sebarang klu. Penulisan Diha jarang mengulas perihal kehidupan peribadi. Jika adapun, hanya secara umum. Tiada yang terperinci. Malah, berdasarkan tarikh tertera, sudah hampir seminggu Diha tidak menerbitkan entri baharu. iPad dicampakkan ke tepi. 


Ariyyan mati akal. Seharian Diha berkurung di dalam bilik. Kemelut apa yang membelenggunya? Ariyyan runsing. Diha tidak pernah berkelakuan sebegini. Terpandangkan bil-bil utiliti serta kad kredit di meja sisi katil, Ariyyan bangkit. Helaian bil-bil dicapai. ‘Bisa dijadikan alasan menjengah dia. Aku minta tolong jelasin bil.’


Dahulu, apabila tiba waktu melangsaikan bil-bil, Kaka, pembantu peribadinya akan menguruskan hal itu. Semenjak Diha menawarkan diri melunaskan pembayaran menerusi pindahan wang dalam talian, Ariyyan selesa menyerahkan urusan tersebut kepada Diha. Segala pembayaran ditolak dari akaun. Lebih mudah. Lebih menjimatkan masa. 


Pintu bilik Diha diketuk beberapa kali sebelum dibuka. Memang selalu pintu itu sekadar ditutup, tidak berkunci. Ariyyan terkaku sebentar tatkala melihat Diha duduk termenung bertemankan tangisan. Menyedari kehadirannya, lekas-lekas Diha menyeka butir-butir jernih yang jatuh mengalir membasahi pipi.


“Ya, Ariyyan. Ada apa?” Dia berlagak biasa.


Ariyyan berasa pelik. Pertanyaan Diha tidak dihirau, tergantung begitu sahaja. ‘Dia menangis? Diha punya masalah apa? Mungkinkah ada hubungan dengan kemurungannya sejak pagi?’


Kehairanan, lelaki itu melangkah masuk mendekati si isteri. Diha sedaya upaya cuba menyorokkan muka yang lencun dibasahi air mata. Dia berpura-pura memerhatikan sesuatu pada skrin komputer. Ketika menoleh menghadap Ariyyan, wajah sengaja tidak diangkat. Khuatir andai Ariyyan berjaya mengesan dia sedang menangis.


“Kamu kenapa?”

“Tak ada apa-apa.” Pantas Diha membalas. Agak kesal kerana suaranya yang serak rentetan tangis membuktikan sebaliknya. ‘Nak menipu pun tak ada skil!’ Dia mengutuk diri sendiri.


Ariyyan tidak berpuas hati. Dagu Diha dipegang lembut. Wajahnya didongakkan sedikit. Sepasang mata milik Diha merah dan sembap mengesahkan sangkaan. ‘Ternyata kamu menangis!’


“Kamu kenapa?”

Diam.

“Apa yang bikin kamu menangis seperti ini?”

Tiada jawapan.  

“Kamu sakit?” soal Ariyyan prihatin. 

Senyap.

“Diha, aku lagi nanya nih…”

“Tak.”

“Kangan sama keluarga di Malaysia?” 

Diha menggeleng.

“Kamu marah sama aku?” Dia terus meneka.


“Tak,” sangkal Diha. Kesesalan mula menakluki sanubari. Siang  tadi Bahri, sekarang terpaksa mendepani Ariyyan pula. Dia ralat sewenang-wenangnya memberi ruang kenangan lama mengocak emosi dan kewarasan fikiran. Tidak pasal-pasal mengundang curiga suami. Diha berharap agar Ariyyan berhenti mengaju pertanyaan lantas beredar pergi. Namun, Ariyyan langsung tidak bergerak. Kekal di situ. Respons Diha tidak berhasil memadamkan keraguan lelaki itu.


“Habis tu, mengapa sampai merah-merah matamu menangis?”

“Tak. Saya tak nangislah,” nafi Diha menegakkan benang yang basah. Moga Ariyyan percaya. Nafas kian sesak disoal siasat sedemikian. Bila-bila masa sahaja dia boleh tumpas dan empangan air mata bakal pecah melimpah keluar.


“Ya Allah, Diha! Mata kamu tuh udah merah membengkak! Kok masih mahu bilang nggak nangis?!” Kata-kata Ariyyan jelas menzahirkan rasa tidak percaya. Dia merenung Diha. ‘Untuk apa kamu berselindung?’ 


“Err,..awak perlukan apa-apa ke, Ariyyan?” Diha bertanya, mengalihkan tumpuan Ariyyan. Tidak betah diasak soalan demi soalan. Sesi ‘tarik tali’ antara mereka kena segera ditamatkan. Sebaik sahaja terpandangkan bil-bil tangan suami, dia menyambung, “Nak saya bayarkan bil?” 


Ariyyan mengangguk. Lensa mata terpaku pada satu titik. Renungannya melekat di wajah Diha. Tindakan Diha yang seolah-olah menyembunyikan sesuatu membuatkan dia terganggu.


“Bak sini. Nanti saya tolong bayarkan,” ucap Diha. Cepat-cepat dia mengambil bil-bil daripada tangan Ariyyan. 


“Ingat lagi kata laluannya?” 


“Mmm,” jawab Diha ringkas. Mustahil dia lupa. Kata laluan akaun bank Ariyyan adalah kombinasi nama Marsha dan tarikh perkahwinan mereka. Berasa tidak selesa dengan sesusuk tubuh Ariyyan yang tercegat di sisi, fokus dilontar ke hadapan skrin.


Meskipun bimbang akan keadaan Diha, Ariyyan keberatan menyoal lanjut. Pujuk-memujuk bukan kemahirannya. Dia tidak pandai menelah sukma atau menebak minda. Bab ini Ariyyan sering keliru. Tidak pasti bicara apa wajar diungkap untuk mendamaikan rajuk. Siapa-siapa yang merajuk dengannya memang sia-sia. Dahulu, dia acapkali tidak sedar kala Marsha berkecil hati. Bawa perasaan, damba pujuk rayu belahan jiwa. Lelah memancing perhatian Ariyyan, Marsha dalam marah-marah menerangkan situasi diri yang tersinggung.

 

‘Mungkin aku harus lebih ambil tahu mengenai perasaannya,’ desis Ariyyan. Bingung. Sejurus kembali ke bilik, direbahkan badan ke atas katil. Akal ligat memikirkan Diha. Dari segi luaran, Diha seorang wanita yang lembut dan penyayang namun berjiwa kental. Tidak mudah luntur semangat. Kalau diikutkan, sudah berapa kali sang isteri dimarahi, ditengking malah disergah. Diha tetap tenang menerima kekasarannya. Sekalipun tidak menggunakan air mata demi menagih simpati Ariyyan. Tetapi hari ini Diha berbeza. Apa  yang menyebabkan Diha menangis?


Dia mengeluh. Pandangan kosong yang ditebarkan ke seluruh bilik terhenti apabila ternampak timbunan majalah langganan Marsha di tepi meja solek. Sejenak ingatan terarah mengingati insiden beberapa hari lepas.


“Ariyyan, surat-surat awak ada di atas meja tu.” Diha memaklumkan kepadanya seraya melangkah ke dapur. Ketika itu, dia baru pulang. Surat-surat dicapai lalu dibelek satu persatu.


“Ariyyan...” Kedengaran Diha memanggil lembut. Dia sekadar berpaling tanpa bersuara. Diha muncul semula. Segelas air limau nipis dihulurkan kepada Ariyyan.


“Boleh tak saya baca majalah tu?” pinta Diha sambil menunjuk sampul berplastik jernih di tangan Ariyyan. Ariyyan memandang sampul yang dimaksudkan oleh Diha. Majalah ‘Livingetc’ langganan Marsha. Sungguhpun Marsha telah lama pergi, dia tidak membatalkan sebarang langganan majalah kegemaran arwah isteri.


“Untuk apa?”

“Saja nak baca. Hilangkan bosan.”

Ariyyan diam. 

“Nggak bisa!”

“Kenapa?”

“Aku sudah bilang nggak bisa, bukan?” 

“Saya nak pinjam je. Dah baca saya pulanglah balik,” mohon Diha penuh mengharap. “Jangan risau, saya jaga elok-elok.”


“Nggak! Nggak bisa! Titik!” Keras nadanya menegah lalu beredar bersama surat-surat dan majalah tersebut. Ariyyan perasan perubahan riak wajah Diha saat itu. Tentu si Diha berjauh hati. Tetapi dia tidak mahu ambil peduli. Ariyyan enggan berkongsi memori Marsha dengan sesiapa. Diha yang sengaja mencari pasal.


Tersentak dari lamunan, Ariyyan bingkas bangun. Dia mengangkat majalah-majalah kepunyaan Marsha yang termampu dek kudrat dua tangan lalu mengendong majalah-majalah berkenaan menuju ke bilik Diha.


“Diha, nih untuk kamu.” Majalah-majalah dilamunkan betul-betul di hadapan Diha. Diha terperanjat. Nyata dia sedang mengelamun. Ariyyan berdiri menanti reaksi wanita itu. Tangan kiri diletakkan di belakang kerusi Diha. Senyuman lebar merekah di bibir. Seikhlas yang boleh cuba mengundang ceria si suri.


“Apa ni?” Terkejut Diha melihat timbunan majalah yang dibawa Ariyyan. Kesemuanya majalah milik Marsha. ‘Mengapa perlu Ariyyan melonggokkan majalah-majalah itu di sini?’

 

“Kelmarin katanya mau dibaca. Mana tau bisa tenangkan hatimu. Usah nangis lagi, deh,” pujuk Ariyyan sebelum keluar meninggalkan Diha sendirian.


Previous: Bab32-3
Next: Bab33-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.