Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab28-2

Usai merapikan penampilan, dari bilik dobi Ariyyan kembali menapak ke dapur. “Nggak usah. Aku harus berangkat segera,” jawabnya tatkala Diha menawar diri membuatkan minuman panas. Dia telah menukar pakaian. Jaket biru kini tersarung di tubuh, dipadankan dengan kemeja T hijau yang dipakai.


“Minta sikit kopinya.” Laju Ariyyan menghirup air kopi dari mug Diha. Sejak tadi, aroma kopi panas Diha menggoda selera.


“Eh, kopi itu,...” Belum sempat Diha menghalang, muka Ariyyan berubah riak. Berkerut dahi lelaki itu. Dalam kepayahan dia cuba menelan kopi yang diminum.


“Pahit!!!” Ariyyan menjelirkan lidah. Terkejip-kejip matanya. Diha lekas-lekas menghulurkan segelas air masak kepada Ariyyan. Pantas dia meneguk air hingga habis. Mata dipejamkan rapat-rapat, berharap kepahitan yang menakluki tunas rasa akan hilang.


“Saya tak habis cakap lagi, Ariyyan. Awak dah teguk kopi tu,” kata Diha. Tika itu, Diha dapat melihat betapa penatnya si suami. Wajah dan kedua-kedua mata sembap. Pasti Ariyyan tidak cukup tidur sepanjang berada di Batam.


“Kok kenapa kopinya pahit? Apa tiada gulakah di rumah ini, Diha?” Ariyyan bertanya. Spontan tangan kanan mengurut-urut leher. Masih tebal rasa kurang enak melekat di tekak. Mug kopi Diha ditolak jauh-jauh.


Diha ketawa kelucuan mendengar komen Ariyyan. Kelakar juga reaksi Ariyyan yang terkulat-kulat menahan pahit. ‘Mesti lepas ni bertambah tak sudi minum air yang aku siapkan.’ Terlintas sangkaan nakal bermain di fikiran.


“Maaf. Maaf. Saya suka minum kopi tanpa gula. Barulah kita boleh betul-betul hargai kualiti kopi yang sebenar. Bagi saya, kalau campur susu dan gula,  dah tak autentik. Manis je,” terang Diha menyuarakan pandangan peribadi.


Ariyyan menggelengkan kepala.  Begitulah Diha. Sentiasa miliki persepsi sendiri terhadap sesuatu. Dia memandang Diha dengan muka kelat. Bagaimanalah Diha mampu menikmati kopi sepahit itu? Menjadi kegemaran pula!


“Nak saya bancuhkan kopi manis untuk awak tak?”

Geleng.

“Aku berangkat dulu ya.” 


Diha tidak menjawab. Keadaan Ariyyan yang kepenatan tidak berdaya itu mengganggunya.


“Diha,...” panggil Ariyyan saat menyedari Diha tenggelam dibawa khalayan. Tiada lagi di situ .

“Ya?”

“Aku pergi dulu,” ulang Ariyyan.

“Ariyyan, awak tak tidur ke dua tiga hari ni?” Pintas Diha mengutarakan pertanyaan. “Awak nampak letih sangat.” 


Ariyyan terdiam sejenak. “Bukan nggak tidur. Kurang tidur.” Dia berusaha memaniskan tampang muka. Terharu akan keprihatinan Diha yang mengambil berat. “Kenapa?” Ariyyan berasa pelik. Setahunya, Diha sedia maklum tentang kesulitan tidur yang dialami.


“Awak dah lambatkah?” Soalan Ariyyan ditingkah soalan oleh Diha.


Ariyyan menilik jam tangan. Dia punya banyak waktu. Cuma situasi trafik di Jakarta amat sukar dijangka. Maka, dia harus bijak merangka perjalanan. “Nggak. Aku mahu bertolak awal. Takut kena macet di jalan,” jelas Ariyyan. Khuatir andai terlewat tiba ke tempat yang dituju. Terjebak dengan pelbagai kemelut sebelum ini, dia enggan komitmen mahupun profesionalismenya dipertikaikan.


“OK. Saya perlukan lima minit je. Awak duduk dekat kerusi ni,” pinta Diha. Ariyyan kehairanan tetapi diikutkan juga permintaan isteri. Diha cepat-cepat merendam dua uncang teh di dalam sebuah mug berisi air panas.


“Bahri ada di luar?”

Angguk.

“Sedang nunggu di mobil.”


Diha mencapai telefon lantas mendail nombor Bahri. Baru satu deringan, kedengaran suara ceria Bahri menyambut panggilan di hujung talian.


“Waalaikummussalam. Bahri, boleh masuk ke dapur sebentar? Saya nak minta bantuan kamu.” Kemudian, Diha bergegas ke bilik. Dia menyarungkan sehelai jubah dan memakai tudung. Tangan mengeluarkan sesuatu dari laci meja solek. Melangkah semula ke dapur, Bahri  sudah berdiri di sisi Ariyyan sambil tersengih.


“Ada apa, kak?” 

“Nanti saya beritahu. Kejap ye,” ucap Diha. Dia membongkokkan tubuh. Mata sembap Ariyyan diteliti. Garis-garis halus di keliling dan tepi mata nyata kelihatan.


“Ariyyan, tolong tutup mata,” ujar Diha. Ariyyan yang sedari tadi mendiamkan diri hanya menurut. Diha mengoleskan sapuan nipis krim di bahagian bawah mata Ariyyan lalu menekan-nekan perlahan dengan hujung jari kelingking supaya krim menyerap sekata. Krim mata yang mengandungi Vitamin E, mentega shea dan minyak rose hip berfungsi melindungi kulit lembut dan sensitif di sekitar mata. 


“Apa ini?” soal Ariyyan. Tiba-tiba mata terasa dingin. Serta-merta jari menyentuh mata. “Eh, jangan usik!” tegah Diha. “Saya sapu krim. Eyebag awak teruk sangat.” Selain daripada mengurangkan kemunculan kedut, krim itu turut berkesan menyurutkan kesembapan mata dan menghilangkan lingkaran hitam. Selanjutnya, uncang teh yang direndam dilalukan seketika di bawah air paip di sinki. Tumpuan kini dialihkan kepada Bahri.


“Bahri, saya bekalkan uncang teh. Sepanjang perjalanan, pastikan kang Ariyyan letakkan pada pelupuk matanya, ya. Usah diangkat atau dibuang selagi tidak sampai ke destinasi,” pesan Diha.  Selepas itu, dia berpaling menghadap Ariyyan.


“Di stesen TV kelak, sebelum siapa-siapa solekkan awak, pakai krim dan titiskan eyedrops ini. Biar surut merah mata awak.”


“Nggak perlu repot-repot, kok. Udah kondisiku nggak cukup istirahat, tentulah mata jadi kae gini,” kata Ariyyan. Meskipun demikian, krim mata dan ubat titis yang dihulurkan oleh Diha tetap disambutnya. Bahri sekadar diam memerhati.


“Ariyyan, peminat-peminat di luar sana tu nak jumpa awak, hendak saksikan idola mereka dalam keadaan sempurna. Bukan nak tengok mata katak awak ni,” omel Diha. Jarinya sempat meratakan baki krim yang tersisa.


Terhambur tawa Ariyyan dan Bahri. Tercuit hati mendengar lawak selamba Diha, menyamakan mata Ariyyan seumpama mata katak. Hakikatnya, apa yang diucapkan Diha tidak salah. Lingkaran hitam di mata Ariyyan memang benar-benar ketara.


“Udah bisa gerak?” 

“Boleh,” balas Diha. Dia memberi plastik kecil berisi uncang teh dan sebuah beg kertas sederhana besar kepada Bahri. Terdapat roti dan pastri yang dibeli di kedai roti untuk hidangan minum petang. Dia tidak menyangka Ariyyan ada program hingga ke malam. “Buat kalian makan di jalan. Bimbang kang kelaparan,” bisik Diha. Bahri mengangguk tanda faham.


“Selamat tinggal, Diha,” lafaz Ariyyan.

“Jalan baik-baik ya. Saya harap apabila awak keluar TV nanti, mata awak segar dan bercahaya,” tutur Diha bersungguh-sungguh sekaligus mengundang segaris senyum di wajah Ariyyan. Sekurang-kurangnya hari itu, angin Ariyyan baik walaupun keletihan.  


“Nggak mau berbaring, kang?” tanya Bahri sebaik sahaja Ariyyan masuk ke dalam perut kereta. Dia sudahpun memegang uncang teh, bersedia menjalankan amanah.


“Nggak apa. Aku sandar aja.” Ariyyan membetulkan kedudukan. Setelah, memastikan majikannya selesa, Bahri meletakkan kedua-dua uncang teh pada mata Ariyyan sepertimana yang diajarkan.


“Krim mata dan obat tetesnya mana kang?”

Ariyyan menepuk-nepuk poket kiri seluar. Bahri tersengih.

“Prihatin bangat Kak Diha sama kang,” ulas Bahri. Ariyyan bungkam tanpa respons. Tidak mengiakan tidak juga menidakkan. Namun jauh di sudut hati, Ariyyan akui dia senang dilayan sebegitu.


Sesudah Ariyyan pergi barulah Diha teringat akan semburan badan yang dibelinya untuk Ariyyan pagi tadi. Diha mendapatkan sebatang pen dan sehelai pelekat ‘Post-It’. Sekembalinya ke ruang tamu, teruja dia menulis sesuatu di lembaran ‘Post-It’ berkenaan.


Diha turut mencoret cara-cara menggunakan semburan ‘Enchanted Sleep Pillow & Body Mist’ sebagai panduan Ariyyan. Beg kertas tersebut disangkutkan di tombol pintu bilik suami. Diha tersenyum puas. Setakat ini usaha melaksanakan misi membanteras masalah ‘tiada mimpi’ Ariyyan berjalan lancar.


‘Moga awak dapat tidur nyenyak setiap malam. Biar hanya mimpi-mimpi indah yang menakluki lena awak.’



Previous: Bab28-1
Next: Bab29-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.