DINA memerhatikan Diha yang sedang leka melayan Hakeem bermain di ruang tamu. Dalam pada itu mindanya ligat berfikir. Cuba mencari sesuatu yang munasabah untuk dijadikan paksi bagi meleraikan keraguan yang sejak dari awal gagal diusir.
“Kak,…
Diha menoleh. Senyum.
“Dina dah fikir banyak kali. Still, this doesn’t make any sense,” luahnya.
Diha mengangkat Hakeem lalu meletakkan si kecil di dalam playpen. Perlahan langkah diatur merapati Dina.
“Apa yang tak make any sense?” Lembut dia bertanya.
“Sekarang ni akak bersetuju untuk berkahwin dengan orang asing. Tak dapat agak hati budi dia macam mana. Betullah dia suami Kak Marsha. Tapi, Dina hairanlah. Kak Marsha tak pernah beritahu pun Ariyyan tu suami dia. Kenapa, eh? Lagi satu,..akak rasa Kak Marsha tahu tak yang akak ni peminat ARJUNA. Die-hard fan lagu-lagu Ariyyan?”
“Entahlah,” balas Diha ringkas sambil menjungkit bahu. Tatkala dilihat Dina masih menunggu bicara lanjutnya, dia menyambung, “Mungkin Marsha ada sebabnya sendiri. Akak tak pastilah, dik. Well, to look from the bright sight, itukan Ariyyan ARJUNA. Bukanlah akak tak kenal dia langsung,” gurau Diha cuba membendung kebimbangan si adik.
“Mana sama, kak! Kita kenal dia sebagai artis je. Tak lebih daripada itu. Apa yang kita nampak atas pentas tak semestinya menunjukkan siapa diri dia yang sebenar. Eh, tapi favourite band akak ni dah tak popular kan? Diorang dah tak ada album baru kan?”
“Semuanya terhenti apabila Marsha meninggal. Ariyyan dah tak buat lagu lagi. Nak menyanyi pun macam dah tak minat,” balas Diha. Lantas fikirannya terbawa-bawa mengingati lelaki itu. Tampang mukanya. Suara, tutur dan bahasa tubuh.
“So, akak setuju nak kahwin dengan dia semata-mata nak tunaikan permintaan Marsha?”
“Partly, yes. Akak terhutang budi pada arwah Marsha. Lagipun akak dah janji nak tolong dia. Mainly, akak sendiri terpanggil nak bantu Ariyyan supaya dia boleh bangkit semula. Akak nak dia kembali seperti dulu. Teruskan hidup walau tanpa isteri kesayangan. Hasilkan lagu-lagu indah yang boleh sentuh hati ramai orang,” jelas Diha. Dina tidak membalas apa-apa. Membiarkan kakaknya terus berkata-kata.
“Muzik dah jadi sebahagian besar daripada diri Ariyyan. Sebahagian lagi adalah dunianya dengan Marsha. Dia dah kehilangan Marsha. Sekurang-kurangnya akak boleh usaha agar dia tidak kehilangan semua yang bermakna dalam hidupnya,” tambah Diha lagi.
Dina melepaskan keluhan kecil. Dia sedar lagu-lagu ARJUNA ciptaan Ariyyan banyak memainkan peranan dalam kehidupan Diha. Mendengar lagu-lagu Ariyyan merupakan aktiviti masa senggangnya. Koleksi lagu itu jugalah yang menjadi coping mechanism Diha jika dia tertekan atau kala hati dirundung sunyi.
Diha tidak pandai mengekspresikan kemarahan atau kekecewaannya. Orangnya jenis memendam perasaan. Tetapi, semenjak kecil Diha memang suka mendengar muzik. Mungkin terikut-ikut dengan minat arwah ayah meraka. Setiap kali dimarahi ibu atau ayah, Diha tidak melawan. Jika tersinggung Diha diam membungkam. Kakaknya itu akan masuk ke dalam bilik dan memasang radio. Duduk mengurung diri sehingga perasaannya terubat. Barulah akan nampak kelibatnya selepas itu.
Minatnya kepada ARJUNA hanya pada muzik yang dibawakan oleh mereka. Lebih tepat lagi, Diha serasi dengan lagu-lagu ciptaan Ariyyan. Kebanyakan lagu berentak balada yang dinyanyikan oleh Ariyyan menjadi kegemaran kakaknya yang berjiwa lembut itu. Namun, minat Diha tidaklah terbawa-bawa hingga ingin mengambil tahu tentang cerita atau gosip kehidupan mereka di luar. Jika diikutkan, logik juga Diha tidak tahu-menahu tentang hubungan Ariyyan dan Marsha.
“Tak bosan ke kak asyik dengar lagu ARJUNA je?” Sering Dina menggiat kakaknya. Diha sekadar tersenyum. Kemudian, mulalah keluar hujah-hujahnya yang mengatakan lagu-lagu Ariyyan terus sampai di hati, liriknya tulus, melodinya indah dan macam-macam lagi.
‘Fokus, Dina! Fokus!’ Fikiran yang mula menerawang disentak balik ke realiti. ‘Berbalik pada persoalan asal - perlukah mahu membantu Ariyyan hingga ke tahap itu?’ Satu lagi keluhan terluah dari bibirnya.
“What about love? I mean, it’s hard, kak. Terang-terang cinta dan hati dia untuk orang lain. Akak sanggup nak tempuh hidup begitu? Perasaan akak sendiri macam mana?”
“Dik,..walaupun tanpa cinta, kami tetap boleh hidup bersama kan? Sekurang-kurangnya akak boleh temani dia, dampingi dia,..”
“Tak semudah tu, kak. Lagipun, dia yang pilih untuk tidak move on dengan life dia.” Dina mengingatkan Diha. Kadangkala untuk melaksanakan sesuatu perkara bukanlah semudah yang kita sangka. Dina bimbang seandainya Diha membuat pilihan yang salah.
“Akak pun tak cakap ini perkara mudah, Dina. Tapi, apa salahnya kita cuba. Bukan rugi apa-apa,” jelas Diha.
‘Bukan rugi apa-apa?! Ini melibatkan hidup Kak Diha! Bersetuju untuk berkahwin dengan Ariyyan terlalu besar risikonya. Tiada sebarang jaminan yang Ariyyan akan berubah atau Kak Diha akan berjaya mengubah lelaki itu. Bagaimana kalau perkahwinan ini gagal? Apa akan jadi pada Kak Diha? Semudah itukah Kak Diha boleh kembali pada kehidupannya dahulu? Bagaimana jika Ariyyan membiarkannya begitu sahaja? Menggantungnya tidak bertali? Bukankah setiap orang punya hak untuk hidup bahagia?’ Bertubi-tubi persoalan menerjah benak Dina kala itu.
Dina memandang kakaknya lama. Sedikit kesal dengan keputusan yang dibuat Diha. Padanya, kali ini tindakan Diha agak keterlaluan. Namun, itulah Diha. Pengalaman hidup menjadikan Diha berani mengharungi dunia. Selepas kematian ibu dan ayah mereka, Diha bertungkus lumus memastikan kehidupan mereka berdua sempurna. Setiap kebajikannya terjaga dengan baik. Diha berjaya menggalas peranan sebagai ibu dan ayah kepada Dina. Dia akan sentiasa memastikan Dina selesa, cukup makan pakai dan cukup segala-galanya.
Semenjak teman lelaki yang dikenalinya selama tujuh tahun meninggal dunia, Diha selesa tidak berteman. Meskipun sudah tiga tahun perkara itu berlalu, Diha masih tiada pengganti. Mungkin serik dengan pengalaman cintanya, Diha lebih suka hidup sendiri. Tatkala diajukan bila hendak mencari teman pengganti, Diha selesa mendiamkan diri.
“Cinta tidak teruntuk buat setiap orang.” Itulah balasannya demi menamatkan sebarang perbualan lanjut mengenai cinta dan jodoh.
Hidup bersendiri menjadikan Diha menjadi lebih spontaneous. Lagi-lagi setelah Dina berkahwin. Diha lebih bebas mengatur hidup mengikut kehendaknya sendiri. Membuat apa sahaja yang ingin dilakukannya. Diha pernah tinggal di kawasan pedalaman selama sebulan lebih kerana menyertai aktiviti sukarelawan mendekati penduduk orang asli. Dia turut menyertai larian marathon sempena Hari Alam Sekitar simbolik apresiasinya yang mahu selamatkan bumi. Pernah suatu ketika, Dina menyambut Aidiladha hanya berdua bersama Fahim. Diha di Kemboja menjadi sukarelawan yang terlibat dengan ibadah korban di sana. Langkah Diha memang sukar diramal. Diha tidak suka berkalau-kalau. Baginya hidup perlu ditempuh dan dilalui sebaiknya walau apa jua kekangan yang merentang.
Diha sebenarnya memerlukan seorang lelaki untuk membelai hatinya. Merawat kelukaan lampaunya. Perasaan Diha harus dilentur agar kembali percaya pada cinta. Tetapi, bukankah bersetuju mengahwini Ariyyan menjerumuskannya ke kancah permasalahan yang lebih dalam? Menjadi isteri kepada Ariyyan bermakna dia yang perlu kuat mental fizikal sebagai tulang belakang rumah tangga itu. Tidakkah perasaan Diha kelak akan lebih terdera?
“Dina risaulah, bang. Abang rasa patut ke Dina influence Kak Diha supaya tarik diri dari semua ni?” Sebelah malamnya, Dina menyuarakan kegusaran hati kepada si suami. Mungkin Diha perlukan seseorang untuk mengocak pendiriannya. Biar dia kembali goyah dan mula berfikir secara waras. Bukan mengikut perasaan. Bukan atas dasar simpati pada sesiapa.
“Kita kena hormat keputusan Kak Diha,” ringkas sahaja balasan Fahim. Cukup untuk buat Dina tahu suaminya itu tidak berpihak padanya.
“Tapi Dina kurang setujulah, bang. Seorang kahwin sebab nak tunaikan hasrat arwah isteri. Seorang lagi kahwin sebab terhutang budi.” Diluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Dina, itu sebab yang melorong ke arah jodoh mereka. Asalkan masing-masing cuba menerima satu sama lain dengan ikhlas, Insya-Allah mereka akan bahagia.”
“Tapi Kak Diha tak cintakan Ariyyan!”
“Cinta boleh datang kemudian, sayang. If this could make you feel better, sekurang-kurangnya kita tahu yang Kak Diha cintakan lagu-lagu Ariyyan.” Fahim memeluk isterinya dari belakang. Cuba menenangkan kusut fikirnya. Dina mengeluh kecil. Kata-kata Fahim sedikitpun tidak berjaya mengurangkan gelora hati. ‘Argument lebih kurang macam Kak Diha je!’
Berkerut-kerut dahi Dina berperang dengan diri sendiri. Fikirannya gagal diajak berhenti daripada memikirkan semua itu. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia kena akur. Siapalah dia untuk mempertikaikan hal berkenaan jika semuanya sudah tertulis sebagai ketentuan Allah. Kak Diha lebih berhak dalam menentukan jalan hidupnya. Sebagai adik, Dina hanya mampu doakan yang terbaik.