Diha terkebil-kebil seketika. Pandangan dibiarkan meleret mengikut jejak Ariyyan sehingga tubuh itu hilang di sebalik daun pintu. Berpusing menghadap meja, dia meneliti majalah-majalah yang dibawa si suami. Terdapat tidak kurang daripada 40 naskhah Garden, Living etc Indonesia, Rumah Inspiratif dan iDEA.
Berfikir sejenak, minda mula mencerna rasional di sebalik perbuatan Ariyyan. Dia melarik senyum. ‘Oh, nak pujuk akulah ni.’ Tercuit hati mengenangkan tindakan Ariyyan yang berusaha sedemikian rupa. Pujuk pakai majalah? Beberapa hari lepas bukan main dia melarang Diha membaca majalah kepunyaan arwah Marsha.
Tanpa dipinta, ingatan terbang melayang jauh mengingati sahabatnya. Dahulu Marsha pernah mengadu tentang perangai Ariyyan yang tidak mahir memujuk andai dia merajuk. Lebih teruk lagi, Ariyyan tidak sedar langsung isterinya sedang memendam rasa.
“Sejak itu aku nggak merajuk, Diha. Percuma aja bermasam muka tagih perhatiannya. Sampai dua tiga hari pun dia tidak akan sadar! Aku yang perlu memujuk diri,” celoteh Marsha mencetuskan hilai tawa antara mereka berdua.
“Tak mengapalah, Marsha. Tidak pandai memujuk tak bermakna dia tidak sayang.”
“Iya. Iya. Sikap prihatin serta penyayangnya sudah lebih dari cukup,” bicara Marsha ceria. “Ayangku prihatin bangat orangnya!”
Betul kata Marsha. Satu aspek ketara dalam diri Ariyyan adalah tingkah lakunya yang sering mengambil berat. Sungguhpun kadang kala dilanda angin muram durja yang mahu terus meratapi pemergian Marsha, Ariyyan tidak lupa menggalas tanggungjawab sebagai kepala rumah tangga. Kebajikan dan keperluan Diha terjaga rapi.
Jika diikutkan, boleh sahaja Ariyyan tidak mempedulikannya. Namun, saat ternampak Diha menangis, berasak-asak soalan yang keluar dari mulut lelaki itu. Diha menguntum senyum buat kesekian kali. Memang Ariyyan bukan suami yang romantis. Tetapi perlakuannya, tindak-tanduknya berjaya menawan hati Diha.
Ariyyan turut dilihat sebagai susuk yang selalu mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Pernah suatu hari, Diha perlu ke kedai buku, mencari bahan rujukan bagi melangsaikan kerja. Dia meminta Bahri menjemputnya pada sebelah petang. Terkejut Diha apabila Bahri yang ditunggu, Ariyyan pula yang muncul.
“Eh, mana Bahri?” tanya Diha sewaktu menghulurkan tangan menyalami Ariyyan. “Dia ada hal ke?” Ingin tahu, risau dan hairan bercampur aduk. Selama ini Bahri tidak pernah gagal menjemput juga menghantarnya.
“Aku hantarin ke rumah sakit. Ibu Bahri enggak sihat. Dirawat di sana,” jelas Ariyyan, melirik ke arah Diha sekilas sebelum tumpuan dihalakan ke jalan raya.
“La, kalau macam tu tak perlulah awak susah-susah jemput saya. Saya boleh pulang naik teksi. Saya tak nak ganggu awak kerja,” ucap Diha. Perasaan bersalah hadir bertandang. Tidak pasal-pasal Ariyyan terbabit sama. Walhal, dia pandai balik sendiri andai Bahri tidak ada.
“Nggak apa. Kebetulan hari ini aku nggak punya banyak kepentingan di studio. Aku khuatir kamu sukar dapat teksi sore begini,” balas Ariyyan lagi.
Diha diam. Dia mengagumi lelaki di sebelahnya. Ariyyan merupakan satu nama besar di Indonesia. Kejayaan yang dimiliki hari ini tidak membuatkan Ariyyan menongkah langit. Mendabik dada. Sebaliknya, dia kekal merendah diri dan sudi menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Ariyyan tidak kisah menghantar Bahri ke rumah sakit sedangkan Bahri yang sepatutnya membawa Ariyyan ke sana ke mari. Tidak cukup itu, Ariyyan sanggup meredah kesesakan jalan di tengah kota demi menjemputnya lantaran bimbang dia tiada pengangkutan pulang.
“Awak dah makan?”
Ariyyan geleng.
“Lepas ni awak kena balik ke studio ke?”
“Nggak. Kenapa?”
“Kita makan di luar boleh? Hari ini saya dapat payment. Saya nak belanja awak makan?” Diha memandang Ariyyan mengharapkan persetujuan.
Baru hendak membuka mulut, tiba-tiba kereta di hadapan mereka membrek kenderaan secara mengejut. Ariyyan menekan pedal brek sehingga habis. Spontan tangan kiri didepangkan menahan tubuh Diha daripada terdorong ke depan. Mujurlah kereta yang dipandu sempat berhenti tanpa menghentam bahagian belakang kereta tersebut. Hon dibunyikan lantang!
‘Apaan sih?! Alhamdulillah! Syukur breknya makan,” ujar Ariyyan setelah rasa terkejut hilang. Tangan yang merentang di dada Diha diturunkan.
“Kamu OK? Nggak kenapa-napa?” soal lelaki itu. Badan dipusingkan menghadap Diha. Wajah terpamer riak risau. Pemandu kereta di hadapan mengangkat tangan isyarat memohon maaf sebelum menggerakkan semula kereta. Ariyyan turut meneruskan pemanduan.
“OK,” jawab Diha sepatah. Detakan laju jantung ekoran insiden tadi belum reda. Pada masa yang sama hatinya tersentuh. Tersentuh dengan refleks pantas Ariyyan yang sempat memikirkan dirinya dalam situasi genting seperti itu. Meskipun Diha memakai tali pinggang keselamatan, Ariyyan tetap berusaha memastikan dia tidak terkena impak hentaman yang kuat jika berlaku kemalangan.
‘Sayang juga awak kat saya, Ariyyan,’ desis Diha. Bagai masih terasa tangan Ariyyan kuat menahan tubuhnya. Dia rasa selamat. Rasa dilindungi. Diha bersyukur kerana Allah memberi peluang agar dapat lebih mengenali siapa Ariyyan yang sebenar. Tika itulah tekad dipasang seiring janji sentiasa setia di sisi suami selagi dia diperlukan. Dia akan tetap membantu Ariyyan menjalani kehidupan sebagaimana semasa bersama Marsha.
“Diha, kamu udah makan?” Pertanyaan Ariyyan sayup-sayup menyapa pendengaran. Diha kembali ke dunia realiti. Lekas-lekas dicari arah suara Ariyyan. Lelaki itu berdiri tegak di depan muka pintu menanti jawaban. Kali ini Ariyyan tidak masuk. Menghormati ruang privasi Diha.
Diha menggeleng.
“Saya tak lapar. Awak nak makan ke? Saya boleh masakkan.”
“Nggak. Nggak perlu.”
Ariyyan keluar ke ruang tamu dan membuka laci meja telefon. Dia mengeluarkan menu sebuah restoran Cina Muslim yang biasa dikunjunginya. Restoran itu menyediakan khidmat penghantaran makanan. Ariyyan membelek-belek menu, lantas menghubungi talian restoran berkenaan untuk membuat pesanan. Tiga puluh minit kemudian, makanan yang dipesan tiba. Ariyyan ke bilik Diha, mengajak si isteri makan sekali.
“Diha, makan yuk.”
“Tak mengapa, Ariyyan. Saya tak lapar,” dalih Diha.
“Oh, nah. Saya dah bayarkan bil-bil awak.” Dia menapak menghampiri Ariyyan. Dipulangkan bil-bil yang telah dibayar. Selepas itu, dia ke meja mencapai senaskhah majalah, berpura-pura membaca dengan harapan Ariyyan akan segera beredar.
Ariyyan memeluk tubuh dan bersandar di pintu. Minda ligat cuba menyusun kata-kata. “Terserah kamu sekiranya nggak mau bilang apa yang bikin kamu runsing sampai nangis kae gini. Tapi, aku nggak mahu kamu jatuh sakit.” Langkah diatur mendekati Diha. “Makan, yuk. Lambungmu perlu diisi,” ajak Ariyyan lagi. Kedua-dua tangan Diha dipegang lalu ditarik lembut agar bangun.
Diha buntu mencipta alasan. Hendak tidak hendak dia membuntuti Ariyyan ke ruang tamu. Beberapa buah kotak putih terletak di atas meja kopi.
“Bisa makan Chinese food?” Lirikan mata mengisyaratkan supaya Diha duduk. Diha mengangguk. Dia mengambil tempat bersebelahan Ariyyan di katil sofa.
Ariyyan menghulurkan salah satu daripada kotak makanan kepada Diha. Aroma yang dihidu menjadikan Diha serta merta berasa lapar. “Nah, Mi Wantan Ayam BBQ buat kamu. Aku nggak pasti kegemaranmu. Jadi aku order aja apa yang kufikir enak. Yuk, makan bareng-bareng,” pelawa Ariyyan.
“Terima kasih,” ucap Diha. Dia mula menjamah mi wantan. Sesekali diperhatikan Ariyyan yang kelihatan sangat berselera menikmati Mi Hokkien. Masakan Cina tentu menepati cita rasanya kerana Ariyyan tidak suka juadah pedas. Sambil makan, mereka menonton televisyen. Tiada rancangan menarik yang ditayangkan ketika itu.
“Kamu mau nonton apa-apa cerita nggak?” tanya Ariyyan sambil menekan-nekan butang alat kawalan jauh. Menukar dari satu siaran ke satu siaran.
“Nak!”
Waktu-waktu begini memang rutin Diha berehat di hadapan televisyen. Terutama apabila Ariyyan tiada di rumah. Alat kawalan jauh bertukar tangan. Cepat-cepat ditekan nombor rangkaian yang dikehendaki. Sinetron “Seratus Kali Cinta” sedang ke udara. Diha menguatkan bunyi televisyen. Sesudah itu, dicapai kotak makanannya. Suapan disambung.
“Tengok drama ni boleh?” Diha sekadar berbasa-basi.
“Wah, udah pandai nonton sinetron!” sakat Ariyyan. Ada senyuman kecil terukir sewaktu dia memandang Diha. “Bisa aja. Kamu ikuti sinetron ini?” soal Ariyyan. Enggan membiarkan interaksi mereka terhenti di situ. Ingin mengalihkan perhatian Diha daripada apa jua yang membuatkannya berduka.
Angguk.
“Dah masuk episod ke enam puluh tujuh,“ terang Diha tanpa dipinta. Perbualan selanjutnya berkisar tentang jalan cerita sinetron ‘Seratus Kali Cinta’ kepada Ariyyan. Ariyyan terus menonton bersama Diha walaupun tidak begitu faham hujung pangkal cerita. Sekurang-kurangnya Diha tidak lagi menangis.
“Ariyyan, nanti Chacha pilih siapa? Oli ke Rafi?” Tiba-tiba Diha bersuara. Tidak sabar menunggu penamat sinetron berkenaan. Sudah dua bulan dia mengikuti sinetron itu setiap petang. Jika terlepas, dia akan menyaksikan siaran ulangan pada sebelah malam.
Ariyyan berpaling lalu menghalakan pandangan ke arah Diha. “Kok kamu nanya sama aku? Yang ikuti ceritanya kan kamu, Diha,” tutur Ariyyan. Kelakar pula mendengar soalan Diha itu.
“Kan awak yang buat OST sinetron nih...” ucap Diha perlahan.
“Iya? Gimana kamu tahu?”
“Ada tulis dekat credit title,” jawab Diha. Terselit bangga di hati mengetahui lagu runut bunyi tersebut dihasilkan oleh Ariyyan. Suaminya. Serentak itu, berkumandang sebahagian lagu ciptaan Ariyyan yang dimainkan di pertengahan episod sebelum memberi laluan untuk iklan.
“Ha…tu! Lagu awak,...” Diha teruja. Jari telunjuk dihalakan ke televisyen. Ariyyan cuma tersenyum. Memang dia ada menggubah lagu runut bunyi beberapa buah filem dan sinetron tempatan. Tetapi tidak diingat dengan jelas lagu yang mana bagi filem atau sinetron yang mana.
“So,…”
Ariyyan menjungkitkan kening. “Apanya?”
“Oli ke Rafi?” Diajukan pertanyaan itu semula. Tergaru-garu hati cuba meramal jejaka yang bakal menjadi pilihan si heroin.
“Diha,...” Wajah Diha ditatap. Nada suaranya lebih santai dan bersahaja.
“Aku hanya ciptakan lagunya, dong. Aku bukan scripwriter, bukan juga sang director. Masakan aku tahu kesudahan cerita ini,” kata Ariyyan dalam tawa.
Sejurus dia bangkit. Tatkala melepasi si isteri, spontan jemari mengusap kepala Diha lantas mengelus lembut rambutnya. Tanpa bicara lanjut, langkah diatur ke dapur.
Diha terpempan. Meskipun agak terkejut, perlakuan mesra Ariyyan mengundang rasa senang. Dekat di hati. Mengulum senyum, Diha merapikan kembali rambut yang sedikit kusut diusik Ariyyan.
“Kamu mau air lagi?” laung Ariyyan dari dapur.
Diha memandang botol air teh hijau yang baru separuh diminum. “No, thank you.”
Ariyyan muncul membawa sebotol air mineral sejuk lalu meletakkannya di atas meja kopi. Sejenak dia merenung Diha.
“Kenapa?” tanya Diha. Janggal ditenung sebegitu.
“Lain kali usah nangis sendirian. Aku bisa nangis bareng kamu.” Serius kata-kata Ariyyan menerjah telinga.
Diha tergamam. Kelu. Tidak betah hendak respons bagaimana. Bait ayat Ariyyan menyentuh jiwa. Meskipun kedengaran lucu, dia yakin Ariyyan benar-benar memaknakan tuturnya.
‘Alahai, sweet pula dia nak nangis dengan aku. It’s OK, hubby. Boleh improve lagi skil pujuk-memujuk tu.” Akhirnya, Diha angguk seraya melempar senyum manis. Mereka sama-sama menyudahkan makan sambil menonton sinetron kegemaran Diha sehingga tamat.
Terjemahan kata:
- lambung - perut
- bareng - bersama/dengan