Jantung Diha seakan mahu gugur apabila tiba-tiba melihat kelibat Ariyyan. Bila lelaki itu pulang? Tidak ada salam, tidak ada bunyi tahu-tahu tercokoh tegak di muka pintu bilik.
“Ya Allah! Terkejut saya, Ariyyan! Saya ingat saya seorang diri di rumah ni. Tak sedar awak balik.” Dia membongkok mengutip buku yang jatuh.
“Sorry. Nggak bermaksud bikin kamu kaget.”
“Kenapa awak balik awal? Dah habis rakaman ke?” Diha bertanya.
“Pisang gorengnya mana?” soal Ariyyan tanpa menjawab pertanyaan Diha. Pada waktu yang sama, dia sedaya upaya cuba menutup ‘jejak’ yang sedari tadi asyik memerhati gerak-geri Diha.
“Ya? Maaf, Ariyyan. Saya kurang dengar.” Diha bergerak ke komputer. Mematikan lagu yang sedang rancak berkumandang. Perhatian kini tertumpu pada Ariyyan.
“Pisang goreng yang Bahri beli. Kok kamu udah makan semua?” Ariyyan masih dengan misteri kehilangan pisang goreng.
“Pisang goreng apa?” Diha hairan. “Bila pula Bahri...” Segera dia mendapatkan telefon di atas meja. Memeriksa kalau-kalau ada sebarang panggilan atau pesanan ringkas yang dia tidak perasan.
“Sekejap ya.” Tepat jangkaan Diha. Dia terlepas pandang notifikasi Whatsapp. Lantas dibaca mesej yang diterima daripada Bahri.
Kang kepingin makan pisang goreng. Saya udah belikan pisangnya, kak. Ada di dalam beg kertas putih. Saya letak di tepi pintu utama. Maaf nggak sempat maklumin kak siang-siang. Setelah membeli pisang, saya kena macet di jalan. Harus terus menjemput kang.
‘Oh, patutlah Ariyyan kalut pasal pisang goreng,’ bisik Diha. Barulah masuk akal apa yang diperkatakan oleh Ariyyan. Teringin hendak makan pisang goreng rupanya.
Sejenak Diha terdiam. Minda pantas berfikir. Jika disediakan pisang goreng sekarang, bermakna rahsianya akan bocor. Dia tidak boleh lagi berselindung dan curi-curi kirim makanan buat Ariyyan melalui Bahri.
Bahri, tak mengapa ke Ariyyan tahu? Macam mana kalau dia marah?
Sekilas diperhatikan ragam Ariyyan yang tidak senang duduk. Ibarat cacing kepanasan gayanya.
Saya yakin ini masa paling sesuai kang ketahui masakan enak siapa yang dinikmatinya sebelum ini. Saya pasti kang nggak marah. Semoga berhasil ya, kak!
“Diha?”
“Ya?” Diha kembali menatap wajah Ariyyan.
“Kamu masih belum jawab pertanyaanku,” ucap Ariyyan menagih jawaban. Berkerut dahinya merenung Diha. Sudahlah keinginan makan pisang goreng panas lambat tertunai, Diha bagaikan tidak mengerti langsung apa yang dimaksudkannya.
“Oh, ya...ya. Awak pergilah bersihkan diri dahulu. Nanti saya hidangkan pisang goreng untuk minum petang. Awak nak minum air apa? Kopi atau teh susu?”
“Apa-apa aja,” nyata Ariyyan. Sempat mata nakalnya melirik ke arah Diha dari hujung rambut ke hujung kaki.
Lirikan si suami menimbulkan tanda tanya pada Diha. ‘Apa yang tak kena?’ Diha mengerling refleksi diri di cermin di meja solek. Barulah dia faham punca Ariyyan memandangnya begitu. Diha mempamer muka selamba. Cuaca panas membahang menjadikan dia lebih selesa berseluar pendek. Tambahan pula dia bersendirian di dalam bilik.
Sebaik sahaja Ariyyan beredar, cepat-cepat Diha mengganti seluar, menukar kepada sepasang seluar panjang berwarna hitam. Kemudian dia keluar ke ruang tamu, melilau mencari beg kertas putih yang ditinggalkan oleh Bahri. Dibuka beg kertas tersebut. Terdapat dua sisir pisang abu. Cukup masak untuk digoreng. ‘Pandai si Bahri ni pilih pisang,’ puji Diha seraya mengorak melangkah ke dapur.
Sesisir pisang diletakkan di atas kitchen island. Tanpa berlengah, lincah tangan Diha mengupas kulit pisang. Sehabis dikupas, pisang-pisang dibelah dua. Diha memasukkan tepung gandum serta sedikit tepung beras diikuti secubit serbuk kunyit dan secubit garam ke dalam sebuah mangkuk. Bahan-bahan tadi digaul bersama air hingga menjadi bancuhan tepung yang sebati. Baternya sedang-sedang. Tidak terlalu pekat juga tidak terlalu cair.
Diha memanaskan minyak masak di dalam kuali. Sementara itu, satu sudu besar marjerin cair dicampurkan ke dalam adunan. Sedikit marjerin akan membuatkan tekstur pisang goreng lebih rangup. Berasa lebih lemak. Akhir sekali, Diha menaburkan sesudu besar bijan putih ke dalam bater. Memang jika menggoreng pisang atau cempedak, dia gemar menggunakan bijan putih sebagai ramuan tambahan.
Sesudah minyak panas, potongan pisang yang disaluti bater digoreng. Semerbak bau enak mula memenuhi ruang. Diterbalikkan pisang-pisang agar gorengannya sekata. Selang beberapa minit, pisang-pisang diangkat dan diletakkan di atas pinggan beralas kertas tisu dapur. Biar baki minyak dapat diserap sebelum dihidangkan. Dia memasukkan lagi potongan pisang yang telah dicelup adunan tepung ke dalam kuali. Kalau mengikut Bahri, sepinggan pisang goreng tidak cukup untuk Ariyyan.
“Asyik bangat kang makan, Kak Diha. Nggak lihat kiri kanan! Bising mulut kang ngomong pisangnya rangup, lemak. Dimakan hampir semua, kak. Saya sendiri cuman bisa rasa sepotong.” Beria-ia Bahri bercerita. Pada hari itu, Diha membekalkan sebekas pisang goreng buat hidangan minum petang Ariyyan yang bekerja di studio sampai ke malam.
“Ye ke? Kasihan kamu, Bahri. Tak apalah. Nanti kita beli pisang, saya gorengkan banyak-banyak untuk Bahri ye.”
“Eh, nggak usah, kak. Jangan repot-repot! Yang penting proyek kita berhasil dijayakan kae apa yang direncana. Paling utama, lambung Kang Ariyyan terisi dengan hidangan-hidangan sedap yang kakak sediakan,” tutur Bahri bersungguh-sungguh.
Diha tersenyum mengenangkan perkara itu. Sementara menggoreng, dia membancuh air teh susu panas kegemaran Ariyyan.
Selesai mandi dan solat Asar, Ariyyan bergegas menuju ke dapur. Tidak sabar hendak menjamah pisang goreng rangup. “Aromanya aja penuh satu rumah!” komen Ariyyan teruja.
Di dapur, kelihatan Diha sibuk menggoreng pisang. Ariyyan jadi keliru. ‘Mengapa pisangnya digoreng semula?’ Dia mendiamkan diri. Kemusykilan tidak diluahkan. Ditarik kerusi meja makan lalu punggung dilabuhkan. Mata tidak lepas memerhatikan Diha yang sedang menuangkan air ke dalam cawan.
“Sekejap ye, Ariyyan.”
Angguk. Sebuah kotak sederhana besar di atas kitchen island memancing perhatian. Terdapat pelbagai pek makanan berbungkus seperti kerepek pisang, kerepek belinjau bersira, keropok jangek dan kek lapis.
“Makanan-makanan itu untuk siapa?”
“Hmmm?”
Ariyyan menjuihkan bibir ke arah kotak tersebut. “Mau dikirim ke Malaysia?”
“Ha ah.” balas Diha ringkas. Dia mahu menyediakan gift basket untuk Sha Mohamed, rakan bloggernya. Kelmarin, Dina memaklumkan bahawa dia menerima kiriman dua buah novel baharu daripada Sha. Kenalan blogger yang mesra dipanggil Kak Sha ini memang suka mengutus hadiah berupa buku atau novel. Apabila terbit novel baharu di pasaran, tentu Sha akan membeli satu naskhah tambahan supaya dapat diberikan kepada teman-teman. Secara peribadi, Diha benar-benar kagum dengan apa yang dilakukan Sha. Sha bukan setakat berkongsi minat dengan orang lain, malah secara tidak langsung menggalakkan si penerima menyuburkan budaya membaca bersama-samanya.
“Eh, kalau ada yang awak nak makan, ambillah. Banyak tu saya beli.”
Geleng. “Nggak apa.”
“Nah, pisang goreng khas untuk awak panas-panas. Jemput makan,” pelawa Diha sambil meletakkan sepinggan pisang goreng di atas meja. Secawan air teh susu panas berasap tipis dihidangkan di hadapan Ariyyan.
“Terima kasih,” ucap Ariyyan. Hati masih tertanya-tanya. Namun, saat dia mula menjamah pisang goreng, minda berjaya mencerna duduk perkara sebenar. Itulah pisang goreng yang sangat diinginkannya. Rasa lemak yang sama. Kerangupan yang sama. Kendatipun sukar diterima dek akal, Ariyyan perlu akur pada hakikat yang terentang di depan mata. Pisang goreng enak yang diidam-idamkan, tidak mungkin diperoleh dari mana-mana warung. Tidak dijual. Disediakan sendiri oleh Diha, surinya.
Ariyyan berdehem beberapa kali, memecahkan kesunyian antara mereka. Air panas diteguk perlahan. Kemudian dia memandang Diha.
“Kiranya selama ini, pisang goreng yang Bahri kerap bawa ke Chamar, kamu yang masak?” Roman muka Ariyyan ketika itu nampak serius tetapi Diha tidak mengesan ketegangan dalam nada suara sang suami.
“Mmm.” Diha mengiakan antara dengar dengan tidak.
“Lempeng dan sambal bilis?”
Angguk. Sempat dia mengintai gorengan di dalam kuali.
“Lauk kangkung terasi?” Ariyyan terus menyoal. Tangan mencapai
sepotong lagi pisang goreng. Dikunyah penuh asyik. Meskipun begitu, tumpuannya tetap pada wajah Diha.
Angguk.
“Kari mamak juga?”
“Awak nak marah ke ni? Banyaknya tanya!” Lancar saja kata-kata meluncur keluar dari mulut Diha. Dia tidak pasti akan reaksi Ariyyan tika itu, sedang marah ataupun sebaliknya.
Ariyyan sekadar menggeleng. Soalan Diha dibiarkan tergantung tidak berjawab. Lambat-lambat, senyuman kecil terukir di bibir. Sungguh dia tidak menyangka juadah-juadah lazat yang menambat cita rasanya titipan daripada isteri. Senyum Ariyyan kian lebar memikirkan wujud pakatan antara Bahri dan Diha. Bila dan bagaimana mereka boleh mula bersekongkol? Siapa dalang yang mencetuskan idea rancangan ini? Dia tidak punya sebarang klu. Patutlah saban hari, ada sahaja makanan yang dibawa Bahri untuknya.
Tanpa bicara lanjut, disuakan sepotong demi sepotong pisang goreng panas ke mulut. Habis sepinggan, Diha mengunjukkan sepinggan lagi pisang goreng yang baru diangkat dari kuali. Berselera Ariyyan menyambung suapan. Sejak hari itu, dia semakin gemar dan selesa makan di rumah, menikmati masakan air tangan isteri.
Pautan blog Sha Mohamed (Blog Kasihku Amani) - http://kasihkuamani.blogspot.com/
Terjemahan Kata:
- kaget - terkejut
- ngomong - cakap
- repot-repot - susah-susah
- proyek - projek
- terasi - belacan
Nota Girang: Jangan lupa pilih watak kegemaran anda. #teamdihaafina atau #teamariyyan