Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab32-2

Buat kesekian kali, Diha menarik nafas  dalam-dalam. Dia mengeluh. Fikiran dibiarkan melayang mengingati Mahirah, adik perempuan kepada Muammar. Ada apa Mahirah datang mencarinya? Kenapa tiada angin, tiada khabar Mahirah muncul?


“Kak,…”

“Hmmm?”

“Akak OK?” soal Dina prihatin. Pasti apabila menyentuh tentang Mahirah, memori Diha terhadap Muammar subur kembali.


Diha angguk. Tetapi wajahnya keruh dianyam resah.


“Betul ni?

“Irah datang seorang? Ke dengan Aunty Chah?”

“Seorang.”

“Dina cakap apa?”


“Dina beritahulah akak dah tak duduk sini. Menetap di Jakarta. Mahirah cakap dia rindu kat akak. Berbulan-bulan tak dengar khabar. Akak lost contact dengan dia ke?” tanya Dina. Dia turut mengenali Mahirah serta beberapa ahli keluarga Muammar.


“Ya. Dah tak berhubung lagi.” Lambat respons Diha. “Akak yang banyak mengelak. If I keep in touch with her, Aunty Chah atau adik-adik Muammar, akak tak akan mampu teruskan hidup. Sampai ke hari ini mereka sekeluarga tak dapat terima Muammar dah tiada. Dina bayangkanlah, lebih tiga tahun arwah pergi. Tetapi, setiap kali berbual, she will keep on saying stuff like, “Kalau abang masih ada...”,  “Kan best kalau abang lihat semua ni,..”


I know they love him very much but  it’s hurting me,” terang Diha. 

“Faham. Tak mengapa, kak. It's for your own good.” 

“Apa reaksi Mahirah? Dina maklumkan pada dia tak akak dah kahwin?” Soalan-soalan diaju, ingin mengetahui lanjut intipati perbualan antara Dina dan Mahirah.


“Dah. Dia terkejut. Nampak macam jauh hati jugalah. Dia terkilan sebab akak tak jemput dia,” cerita Dina. Terimbas  di mindanya riak muka Mahirah berubah secara mendadak tatkala dikhabarkan berita Diha sudahpun bergelar isteri.


“Tak mengapalah. Kita pun tak jemput sesiapa,” balas Diha, enggan menghurai apa-apa tentang hal berkenaan. Memang tiada sebarang majlis meraikan raja sehari. Tiada walimah menguar-uarkan penyatuan dua jiwa. Mereka sempurnakan perkara wajib sahaja. 


Ingatan Diha terbang menyingkap kupasan memori silam. Mengenang insan yang pernah singgah bertamu di hati. Muammar Bin Mukhizam. Dia mengenali Muammar semenjak tahun satu di universiti. Semester pertama di kampus menjadi titik tolak permulaan hubungan  antara dia dengan kekasih. 


Pagi itu Diha terlewat ke kuliah. Dalam keadaan tergesa-gesa, dia gagal mengesan lokasi dewan kuliah. Penat berkejar ke sana ke mari, akhirnya dia berjaya sampai sebelum pensyarah tiba. Tidak manis anak murid hadir lebih lambat daripada guru. Bagaimana hendak diraih keberkatan ilmu?


Seorang pensyarah wanita bertubuh kecil masuk memperkenalkan diri di hadapan dewan. Diha sedikit keliru. Jika tidak silap, kelas ini akan dikendalikan oleh pensyarah lelaki. ‘Tukar kot.’ Dia menyimpul tanggapan sendiri.


Welcome to Introduction to Engineering.” Sebaris ayat pensyarah membuatkan Diha tersentak. ‘Huh? Introduction to Engineering?’ Pantas diteliti jadual kelas. Dia berada di dewan kuliah yang betul. Kenapa kelas kejuruteraan? Kelasnya pindah ke mana? ‘Aduh, lecehla begini,’ gerutu Diha.


Dalam pada dia resah gelisah, bahu dicuit dari belakang. Diha berpaling. Seorang penuntut lelaki berkaca mata melontar senyum.


“Salah kelas ke?” Spontan tangan kanan dihulurkan meminta slip jadual kelas Diha. 

“Err,..entah...kalau ikutkan butiran di jadual tu, kelas saya di sini,” jawab Diha gugup. Sesekali mata melempar pandang ke hadapan. Pensyarah yang bernama Dr. Sufiah sedang menulis sesuatu di papan putih. 


“Awak salah kelas. Ini dewan kuliah En10. Kelas awak di E10. Bangunan sebelah,” jelas lelaki itu memulangkan kembali slip jadual Diha. Senyuman masih tidak lekang dari bibir.


“Oh ye ke? Alamak, saya kena keluarlah. Dah jadi pendatang haram kelas lain pula,” Diha berjenaka menutup panik. Segera dikemaskan buku nota dan pen. Perlahan-lahan dia bangun angkat kaki. Mujurlah dia duduk di bahagian belakang. Maka, tindakannya tidaklah memancing perhatian penuntut-penuntut lain.


“Jom.” 


Diha terperanjat apabila tiba-tiba ada suara yang menyapa. Dia menoleh ke sisi. Pemuda berkaca mata tadi berjalan bersaing dengannya ke blok sebelah.


“Eh, tak apa. Saya boleh cari sendiri.” Diha serba salah. ‘Mengapa dia ni suka-suka  je keluar tinggalkan kelas? Tak nak belajar ke?’


“Saya pun salah kelas juga. Lecturer dah masuk baru member sebelah tu cakap E10 di bangunan sebelah. Kita sekapal,” ujarnya menerangkan situasi sebenar. Sambil tersengih dia membetulkan kedudukan kaca mata yang dipakai dengan hujung jari. Lantas, kedua-duanya ketawa. Lucu mengenangkan apa yang baru berlaku.


Anyway, saya Muammar. Panggil Ammar,” Muammar memulakan sesi taaruf setelah tawa reda.


“Saya....,” belum sempat dia membalas, Muammar mencelah, “Diha ‘Afina Bt Affendi. Pelajar Tahun Pertama Ijazah Sarjana Muda Bahasa & Linguistik.” Lancar Muammar menuturkan butiran mengenai dirinya.


Diha panar. “Macam mana....” Sangsi terlakar nyata di wajah.

“Kan saya baca slip jadual awak,” terang Muammar menghadiahkan sebuah lagi senyuman. 


“Ohhh...” luah Diha lega. Segala prasangka yang bertunas di fikiran Diha tercantas. Manalah tahu jejaka di sisi punya niat tidak elok. Dunia sekarang harus selalu waspada. Tambahan pula, rentak kehidupan kampus masih serba asing buatnya. 


Insiden tidak terduga semasa hari pertama kuliah membuahkan bibit-bibit mesra antara mereka. Kebetulan Diha dan Muammar banyak mengambil subjek yang serupa pada semester tersebut. Lantaran sering bertemu, menghadiri kelas bersama-sama, hubungan melibatkan hati mula berputik.


Muammar seorang yang sangat memahami. Penyabar. Menghormati orang tua. Mungkin kerana dia anak sulung daripada lapan adik-beradik, diri terdidik menjadi insan yang amat bertanggungjawab. Sungguhpun sebaya, pemikiran si teman lelaki jauh lebih matang berbanding dirinya. 


Susuk itulah yang setia mendampingi, memberi semangat dan sokongan apabila dia kehilangan ibu bapa. Muammar tidak marah andai Diha gagal meluangkan masa atau membatalkan temu janji mereka pada saat-saat akhir ekoran terpaksa menjaga Dina. Malah, kadang kala dia turut menawarkan diri menolong sedaya boleh.


“Jangan bimbang. Saya ada. Saya akan bantu awak harungi semua ini. Awak kena reda.” Suara pujukan Muammar kala dia ditimpa kesusahan terngiang-ngiang di telinga.


Muammar menerima Diha seadanya tanpa syarat. Setiap baik buruk. Setiap kelebihan dan kekurangan. Tempat dia kerap mengadu nasib atau menyuarakan pendapat. ‘Teman berbalah’ bilamana persepsi Diha terhadap sesuatu bercanggah dari landas kebiasaan. Sekiranya Diha menyatakan begini, Muammar akan mencabar dengan hujah yang bertentangan. Di akhir bicara, dia sentiasa mengingatkan Diha, tidak salah jikalau mempunyai pandangan berbeza. Kita perlu bersikap terbuka, menyediakan diri mendepani pelbagai kemungkinan. Berfikir secara kreatif, di luar batas kelaziman. Think outside of the box. 


“Jangan sewenangnya mengikut idea majoriti hanya kerana idea tersebut popular dan diterima ramai. Orang yang tidak berfikir di luar kotak akan cepat merasa puas. Maka daya fikir tidak berkembang. Kreativiti jadi terhad.” Malar segar pesanan Muammar dalam ingatan. 


Percintaan mereka terjalin hingga tujuh tahun. Bersedia membawa hubungan ke fasa selanjutnya, sibuk membuat persiapan untuk bertunang, si cinta hati meninggal dunia. Muammar menghembuskan nafas terakhir dalam lena, akibat serangan asma. 


Diha hilang pertimbangan. Pemergian tanpa pesan itu terlalu mengejut. Betapa Allah lebih menyayangi sang kekasih. Sebelum ini pun penyakit lelah yang dihidap Muammar tidak seteruk mana. Hampir tiga bulan Diha murung. Hidup tidak terurus. Tetapi akhirnya dia akur. Tidak ada walau sesiapapun, baik ibu, ayah, Muammar mahupun Dina merupakan kepunyaan mutlaknya. Semua milik Allah, sekadar dipinjamkan sementara dan bakal pulang juga menemui Yang Maha Pencipta. 


“Emak Muammar pun tersinggung. Kakak dah lama sangat tak jenguk dia. Mahirah cerita, Aunty Chah masih harap akak terus berhubungan dengan mereka sampai bila-bila biarpun arwah dah tak ada.” Suara Dina memanggilnya kembali berpijak ke realiti.


“Hmm, memang dah lama akak tidak ke sana. Susahlah,” ucap Diha. Terhambur keluhan kecil dari seulas bibir. Bukan dia tidak sudi menjenguk syurga Muammar. Aunty Chah sudah dianggap ibarat ibu sendiri. Namun, Diha tidak sanggup dihambat duka. Kesedihannya bukan calang-calang. Hingga ke satu tahap, derita yang dialami bagai tidak tertanggung. Setiap kali menziarahi ibu Muammar, Diha akan terseksa. Kenangan-kenangan bersama arwah Muammar semakin jelas terlayar di panggung minda, kasih kian subur. Ke mana hendak dihalakan rasa cinta yang menggunung? Bagaimana dapat dilupakan lelaki itu sekiranya setiap apa yang dilihat, didengar menguatkan lagi ingatannya terhadap Muammar?


Diha senyap. Hilang punca meneruskan kata-kata. Mustahil dia mampu puaskan hati semua orang. Dia meraup muka. Tenteram hilang. Sukma bergolak digamit rindu.


_____________

Nota Girang: Selamat Menyambut Hari Raya Korban. Terima kasih kerana sudi baca Lelaki Langit Bumi. Siapa watak pilihan kalian setakat ini?

#teamariyyan atau #teamdihaafina?



Previous: Bab32-1
Next: Bab32-3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.