Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 5

Beberapa jam kemudian, Ariyyan masih di bilik pejabat Armand. Banyak perkara yang menagih penjelasan. Banyak persoalan yang memerlukan jawaban segera. Tetapi, situasi perbincangan antara Ariyyan dan Armand kali ini tidak setegang tadi. Ariyyan kini sudah mula tenang dan boleh diajak berbincang.


“Loe udah siasat siapa sebenarnya dia?” tanya Ariyyan kepada Armand. Dia perlu tahu latar belakang gadis itu dengan lebih lanjut. Dia masih tidak faham letak duduk perkara. Tidak dapat menerima bagaimana watak Diha tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan Marsha.


“Marsha telah ceritakan semua tentang gadis ini. Gue juga minta kenalan di Malaysia jejaki dia untuk pastikan latar belakangnya.”


“Loe upah private investigator?”


Armand mengangguk. Kaca matanya dibetulkan dengan hujung jari.


“Memang pekerjaannya tulis blog aja? Kok tegar cari makan dengan menulis cerita tentang orang lain!” tutur Ariyyan seraya mencebik. Pandangan negatifnya terhadap penulis-penulis blog atau blogger memang tidak pernah berubah. 


Bukan apa, Ariyyan banyak kali terkena. Pernah suatu masa, seorang penulis blog wanita membuat entri panas dengan mengaku bahawa dia merupakan kekasih gelap Ariyyan! Bila masa pula dia selingkuh? Malah dengan berani penulis blog itu memuat naik gambar mereka berdua di belakang pentas sebagai bukti bahawa mereka sedang berkasih-kasihan. Sedangkan waktu itu, Ariyyan sudi bergambar dengannya kerana dia salah seorang peminat bertuah yang memenangi pas belakang pentas.


Terdapat juga penulis-penulis blog hiburan yang suka menimbulkan huru-hara dalam kehidupannya. Pasti ada gosip panas berkenaan dirinya yang ditulis di blog- blog hiburan saban minggu. Hari ini dia berduet dengan seorang artis wanita, pasti esoknya akan timbul gosip kononnya mereka bercinta. Jika seharian dia menghabiskan masa dengan penyanyi wanita di studio rakaman, menerbitkan lagu baru, sudah tentu akan timbul cerita kurang enak di blog-blog hiburan yang mendakwa mereka asyik memadu kasih.


Bukan itu sahaja, bahkan ada penulis blog yang berani bertindak demi kepentingan diri. Semata-mata untuk meraih minat pembaca, penulis blog berkenaan sanggup menabur fitnah yang boleh menjejaskan kerjaya Ariyyan. Stamina Ariyyan ketika membuat persembahan bertenaga di atas pentas dikaitkan dengan pengambilan dadah! Tidak cukup dengan tuduhan melulu itu, tanpa rasa bersalah, si penulis berusaha menghubungi pihak pengurusannya. Kononnya mahu memberi peluang kepada Ariyyan membersihkan nama. Ariyyan diminta membuat kenyataan balas untuk disiarkan secara eksklusif di blog tersebut. 


Ariyyan malas mahu ambil pusing itu semua. Jika dirasakan sesuatu perkara melampaui batas, Armand sudah dilantik untuk bertindak bagi pihaknya. Namun jika tidak memberi sebarang impak pada kerjaya dan kehidupan peribadinya, Ariyyan lebih senang berdiam diri. Cuma dia memang tidak akan bersangka baik pada golongan yang menganggap mereka berhak menulis apa saja atas dasar kebebasan bersuara.


“Menulis blog hanya sabahagian daripada minatnya. Dia graduan sebuah universitas terkenal di Malaysia. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa & Linguistik. Asalnya, dia menyandang jawatan sebagai ketua editor di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Kemudian, dia memilih untuk bekerja dari rumah karena masalah peribadi. Selain menulis blog, dia turut menulis kolum di beberapa majalah tempatan,” terang Armand.


“Tulis apa? Gosip? Bongkar-bangkirkan hidup orang lain?” Nada sinikalnya memang tidak dapat disembunyikan. Saat itu bukan saatnya untuk berbasa-basi. Malah, Ariyyan langsung tidak boleh menerima pendapat sesetengah pihak yang bertanggapan bahawa menjadi penulis blog juga merupakan satu pekerjaan.


“Ri,...” Armand menegurnya lembut. 


“Nggak semua orang gemar menulis tentang keburukan orang lain sahaja. Penulisannya di majalah-majalah berkisar tentang isu kepenggunaan dan alam sekitar.”


“Umur? Statusnya?”


“27 tahun. Jomblo. Setakat yang gue pastikan, dia enggak punya teman lelaki. Menurut Almarhumah Marsha, dia pernah bercinta dengan seseorang tetapi pacarnya telah...”


“Man, kepala gue enggak punya ruang untuk kisah cinta orang lain!” Cepat Ariyyan memotong. Menempelaknya. Tangan kanan diangkat ke aras kepala, menghantar isyarat bukan lisan agar Armand tidak menyambung kata-kata.


“Lorh, loe jugak yang nanya berkenaan statusnya,” balas Armand, tidak puas hati.  Berdongkol hatinya apabila tutur kata dipotong Ariyyan sebelum sempat dia menghabiskan cerita.


Ariyyan mendengus, “Sendiri atau berpunya? Itu udah cukup, dong!” Armand diam. Dia meletakkan fail yang mengandungi maklumat tentang Diha di atas meja. Malas melayan angin Ariyyan yang sedemikian. Dia tidak akan menang.


“Keluarganya?” soal Ariyyan apabila dirasakan Armand diam membisu, enggan melayan kerenahnya. 


“Man,...” 


“Siapa keluarganya? Di mana mereka sekarang ini? Aku pingin tahu.”


“Kedua-dua ibu bapanya sudah kembali ke Rahmatullah. Saudara terdekat hanyalah adik perempuannya, 23 tahun. Married. Punya seorang bayi yang baru lahir,” sambung Armand.


“Mengapa dia?” Terkeluar juga apa yang bersarang di benak Ariyyan. 


“Maksud loe?” 


“Ada beribu, berjuta wanita di dunia ini! Di Jakarta saja, banyak cewek lain yang bisa gue jadikan calon isteri kalau gue mahu! Mengapa dia? Apa istimewanya dia hingga gue perlu rentas laut, seberang sempadan hingga ke Malaysia?” Ariyyan mempertikaikan pilihan Marsha. Sesungguhnya jauh di lubuk hati, dia berharap Armand ada jawabannya.


Armand tidak membalas. Sekadar mengangkat bahu. Perkara itu di luar batas kuasanya. Termeterai janji antara diri dengan arwah Marsha untuk tidak membincangkan isu itu bersama Ariyyan. Ariyyan tidak perlu tahu mengapa Marsha memilih Diha, bukan gadis lain. 


Jengkel hati Ariyyan apabila Armand tidak memberikan sebarang respons. Dia bersandar di kerusi. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Minda diajak berfikir jauh. Apa yang amat mengganggu fikiran Ariyyan ialah dia tidak pernah mendengar Marsha menyebut nama Diha. Tidak pernah sama sekali. Apatah lagi bercerita tentang Diha padanya. Mustahil mereka telah beberapa tahun berkawan! Untuk apa Marsha merahsiakan yang dia punya teman di Malaysia?


“Loe kenal Marsha, Man. Semua perkara bisa jadi bahan bualnya. Mengapa Marsha nggak pernah bilang sama gue kalau dia punya kenalan di Malaysia?” Ariyyan menyuarakan kemusykilannya.


“Mungkin loe terlepas pandang,” Armand cuba mematikan prasangka Ariyyan. Sebolehnya dia tidak mahu Ariyyan terus-terusan mempersoalkan tindakan arwah Marsha.


“Nggak mungkin. Kalau Marsha sendiri yang minta gue nikahi cewek ini, tentu dia punya peranan penting dalam hidup Marsha. Paling tidak gue akan pernah dengar Marsha berbicara tentangnya. Gue pasti, dong. Amat pasti! Nggak pernah meski sekalipun dia ngomong sama gue perihal cewek ini.” 


Gadis itu pula masakan sewenang-wenangnya bersetuju untuk dikahwini? Pelik. Untuk apa?


“Fikirin, Man! Mengapa dia senang-senang terima semua ini?! Dia ada agenda! Gue nggak tau apa. Mahu hidup senang barangkali!” Prasangka Ariyyan itu membuatkan Armand berasa sedikit kesal. Dalam situasi runcing sedemikian, Ariyyan tidak bijak mengawal emosinya.


“Jangan ngomong begitu, Ri. Dia juga nggak tahu apa-apa tentang perkara ini seperti loe. Malah loe harus ingat, dia belum menyatakan persetujuannya. Ini semua atas budi bicara kalian,” jelas Armand.


“Kalau loe mau berprasangka sekalipun, mikirin dulu dong! Dia nggak tahu sama sekali suami yang selalu diceritakan Marsha itu ialah loe. Baru hari ini, di kantor ini, dia tahu suaminya Marsha itu Ariyyan, artis popular! Selebriti! Mau diambil kesempatan gimana? Almarhumah meminta dia berjanji untuk melakukan sesuatu dan janji itu dituntut untuk dikotakan hari ini,” tambahnya lagi.


“Janji?! Janji apa? Berjanji untuk jadi isteri gue?”


“Itu loe bincang sama Diha sendiri. Gue nggak punya kuasa bercerita lanjut mengenai janji antara Diha dengan Marsha. Sulit! Ini soal amanah! Konklusinya, sebagai menghormati permintaan terakhir Marsha, loe perlu melamar Diha. Menikahi Diha,” tegas Armand. 


“Iyalah. Tapi nggak mungkin segampang itu bisa setuju kahwin sama orang yang kita nggak kenal!” bentak Ariyyan. Langsung tidak dapat diterima oleh akalnya. Sejauh mana hubungan antara Marsha dan gadis itu hinggakan dia tanpa banyak bicara rela menjadi isterinya.


“Dia belum setuju, Ariyyan! Gue ulang ya. Dia belum setuju!” Armand mengingatkan lelaki itu buat kesekian kalinya. Matanya memandang tepat ke mata Ariyyan.


“Kita juga enggak tahu apa tanggapannya terhadap semua ini. Sekiranya dia nggak setuju dinikahi, ya biarin aja! Dia langsung bisa pulang terus ke Malaysia selepas ini. Mungkin bagi Diha, almarhumah sekadar teman biasa. Tidak perlu repot-repot untuk kotakan janji orang yang sudah pergi,” tutur Armand panjang lebar.


“Tapi di pihak loe, gimana? Bebannya pada loe, Ri. Masakan bisa tidur lena mengenangkan amanat terakhir Marsha yang loe sendiri enggak mahu tunaikan? Loe udah berjanji sama Marsha, bukan?” sambungnya lagi.


Ariyyan mendengus kasar. Sebatang rokok dinyalakan dan diletakkan di celah dua jarinya. Ariyyan menghisap rokoknya dalam-dalam. Kemudian, berkepul-kepul asap rokok dilepaskan ke udara. Fikirannya yang kecamuk gagal ditenangkan. Lelaki itu melepaskan keluhan demi keluhan. Kata-kata Marsha terngiang-ngiang di benaknya.


“Aku yakin dia dapat memahamimu. Mengerti passion mu yang sangat dalam pada musik. Aku sendiri nggak pernah menafsir karyamu kae gitu, ayang. Sebagaimana dia bisa mendalami hasil gubahanmu, aku yakin dia juga bisa menelah jiwamu.” 


“Aku lakukan ini demi kebaikanmu, ayang. Mengenali dirimu, aku tau ayang akan terus-terusan meratapi pemergianku. Usah begitu, dong. Aku pergi ke tempat yang lebih baik, bukan?”


Ariyyan memegang kepalanya. Buntu. Semua itu benar-benar menghimpit perasaannya. Mindanya kusut. Serabut! Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia beredar pergi dari situ. Dia ingin pulang. Mengunci dirinya diam-diam dalam rumah. Meminggirkan diri terus dari dunia luar.


Armand menghampiri Ariyyan. Dia duduk menghadap temannya. Lama dia memerhatikan Ariyyan. Membiarkan Ariyyan terus berada dalam kemelut emosi tidak akan membawa kepada apa-apa penyelesaian.


“Ri, gue fikir kalian berdua perlu berbincang. Sekurang-kurangnya loe akan tahu duduk perkara yang sebenar,” akhirnya Armand bersuara memberikan cadangan.




Terjemahan kata:

  • jomblo - tidak mempunyai kekasih
  • segampang - semudah
  • kantor - pejabat
  • cewek - perempuan
  • repot-repot - susah - susah
  • ngomong - cakap


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.