Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 19

[Tentang Sesuatu – Resepi Cucur Bilis dan Jagung]


Sebenarnya saya pernah menulis entri berkenaan resepi Cucur Bilis dan Jagung beberapa tahun yang lalu. Cuma kali ini saya tambahkan dua tiga ramuan lain :- capsicum (lada benggala) kuning, merah serta daun sup bagi meningkatkan lagi kelazatan cucur. Biar lebih enak. Hidangan pun tampak lebih menarik dengan gabungan warna cili benggala. Apa yang penting, langkah penyediaannya mudah tetapi hasilnya tetap memikat selera.


Resepi Cucur Ikan Bilis dan Jagung


Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 ½ cawan tepung gandum
  • 1 tongkol jagung manis (diambil isinya)
  • ½ cawan ikan bilis (tumbuk kasar, jangan sampai lumat)
  • 1 biji telur
  • 1 labu bawang besar (potong dadu)
  • 1/4 biji cili benggala merah (potong dadu atau dihiris halus memanjang)
  • 1/4 biji cili benggala kuning (potong dadu dihiris halus memanjang)
  • 2 tangkai daun bawang (diracik halus)
  • Sedikit garam. Jangan letak terlalu banyak kerana kita sudah peroleh rasa masin dari ikan bilis.
  • Secubit serbuk kunyit
  • 2 – 2 ½ cawan air
  • Minyak masak untuk menggoreng


Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung, isi jagung dan ikan bilis yang telah ditumbuk kasar ke dalam mangkuk besar.
  2. Kemudian masukkan bawang besar, cili benggala, daun bawang, serbuk kunyit, telur dan garam secukup rasa.
  3. Tuang air sedikit demi sedikit hingga dapat kepekatan bater yang sesuai. Gaul semua bahan biar sebati. Elak masukkan banyak air sekaligus. Bimbang nanti bancuhan tepungnya tercair pula. Baternya perlu sedang-sedang sahaja. Tidak terlalu pekat, tidak terlalu cair.
  4. Panaskan kuali dan minyak masak. Sudukan bater ke dalam kuali. Goreng sehingga warnanya bertukar keperangan. Balik-balikkan cucur semasa proses menggoreng supaya hasil gorengan cantik sekata.
  5. Hidangkan bersama sos cili atau sos pencicah pilihan masing-masing.


Senangkan? Selamat mencuba! Jadikan hidangan cucur ini sebagai salah satu menu cicipan kegemaran kalian. Jika ingin kelainan, tukar ikan bilis dengan udang kecil. Bagi penggemar cendawan, apa kata kalian masukkan hirisan cendawan shitake ke dalam bater cucur. Pasti menepati cita rasa.


Menyediakan resepi ini sering mengingatkan saya kepada seorang sahabat baik yang telah kembali ke Rahmatullah. Dia dan suami cukup suka akan hidangan ini. Lagi-lagi apabila dicicah sos cili Thai.


Al-Fatihah buatmu, Marsha. Semoga rohmu tenang dan damai di sisi Sang Pencipta. 



Bunyi ‘beep’ dari komputer riba mengejutkan Diha. Petanda notifikasi baru masuk. Diha malas bergerak. Minda terus ligat berfikir. Nampaknya semua tips dan pesanan Marsha tidak wajar diguna pakai dalam keadaaan sekarang. Tidak praktikal sama sekali. Semakin dia berusaha merapatkan jurang hubungan mereka, semakin dia tercampak jauh. Ariyyan yang ini kompas hidupnya berubah 180 darjah. Lantas Diha teringat perbualan dengan Bahri pagi tadi. 


“Kang Ariyyan masih dingin melayan kakak?” Diha tidak terkejut mendengar pertanyaan Bahri. Bahri kerap menjadi saksi layanan dingin Ariyyan terhadap dirinya. ‘Mood swing’ Ariyyan bukan boleh dijangka. Ada orang atau tidak, ikut kepala dia sahaja.


“Maaf ya, saya nggak sepatutnya masuk campur. Saya sayang sama Kang Ariyyan. Saya juga senang bangat sama kakak. Secara peribadi, saya nggak setuju kang melayan kakak sebegitu.” Berhati-hati Bahri menuturkan kata. Bimbang soalannya membuatkan Diha berkecil hati. Dia tidak mahu melanggar sebarang garis sempadan antara seorang pekerja dengan majikan tetapi Bahri kasihan melihat keadaan Diha.


“Tak mengapalah, Bahri. Saya yang tak pandai ambil hati dia. Eh, makanlah. Jemput makan, Bahri. Sejuk lempeng tu nanti,” pelawa Diha. Secawan teh panas disuakan kepada Bahri.


“Usah repot-repot begini, kak. Kang Ariyyan lagi belum bersarapan nih,” Bahri berbasa-basi. Segan dilayan sedemikian oleh Diha. Tuan rumah sendiri belum menjamah makanan, dia pula yang terlebih dahulu duduk menghadap hidangan.


“Tak susah mana pun. Makanlah. Ariyyan tak sarapan di rumah,” tutur Diha perlahan. Dia memaniskan muka. Sebaik sahaja pandangannya jatuh ke wajah Bahri yang sedang tersenyum lebar, Diha mendapat idea.


“Bahri,...”


“Iya, kak.”


“Boleh tak saya minta tolong sama kamu? Saya siapkan bekal untuk Ariyyan. Bahri tolong beri pada dia bila dah sampai di studio. Boleh kan? Kalau saya beri sekarang, tentu dia tak sudi hendak makan,” pinta Diha sambil cuba menjelaskan situasi sebenar.


Bahri tersengih. “Bisa aja. Bisa diatur, kak. Rugi besar andai Kang Ariyyan nggak makan lempeng kelapa sama sambal ini. Aduh, enak bangat!!” puji Bahri apabila Diha meletakkan sekeping lagi lempeng di dalam pinggannya. Berselera dia menyuap lempeng ke mulut. Diha gembira mendengar persetujuan Bahri. Cepat-cepat dia membungkus beberapa keping lempeng kelapa dan sambal ikan bilis buat suami.


“Bahri, saya nak tanya sesuatu…” Teragak-agak Diha menyusun bicara. Dia sudahpun duduk di kerusi berhampiran Bahri. 


“Bisa aja, dong,” balas Bahri. Tangannya laju menyenduk sambal ikan bilis ke pinggan. “Mau nanya apa, kak?”


“Dulu kan, semasa arwah Marsha masih hidup, apa yang dia buat ketika Ariyyan bad mood?” tanya Diha jujur. Dia kehabisan ikhtiar. Perlukan bantuan talian hayat. 


Bad mood?” soal Bahri inginkan kepastian. Suapannya terhenti.


“Iya, waktu anginnya tidak baik.”


“Mengapa kak bilang begitu?”


“Saya tak tahu nak buat macam mana kalau Ariyyan bad mood. Mati akal,” jelas Diha. Bahri yang paling rapat dengannya di Jakarta. Rasanya tidak salah jika dia meminta pandangan Bahri. Lagipun, Bahri telah lama berkhidmat untuk Ariyyan. Lelaki muda itu mungkin lebih mengenali dan memahami rentak Ariyyan.


“Kalau kakak sendiri, kak bikin apa?” Bahri menyoal Diha pula.


“Maksud kamu?” Diha tidak faham akan pertanyaan Bahri.


“Iyalah, kenapa harus kak repot-repot mikirin apa yang almarhumah lakukan. Kakak tentu punya cara kakak sendiri, kan? Sekiranya kakak asyik mikir dan melakukan perkara-perkara sepertimana biasa dilakukan oleh almarhumah kak Marsha, nescaya mengundang kemarahan kang. Apa tidaknya, kak sudah ibarat jelmaan almarhumah yang muncul semula di depan mata kang. Benar bukan?”


Diha terdiam. Kata-kata Bahri yang lembut tersusun bagaimanapun menjadi satu pukulan kuat menghentak kewarasan daya fikirnya. Mengapa tidak terlintas di fikirannya sebelum ini? Wajah Bahri dipandang. Bahri sekadar senyum dan mengangguk. 


Betul juga. Sepanjang mereka hidup bersama, semua yang dilakukan untuk Ariyyan memang berdasarkan amanat serta pesanan Marsha. Mesti tindakan-tindakannya menggamit memori Ariyyan malah menguatkan lagi ingatan terhadap arwah isteri tercinta!


Alahai, maknanya selama ini dia yang secara tidak langsung mendorong Ariyyan terus-terusan menangisi pemergian Marsha! Salah strategi. Salah percaturan. Dia sendiri membiarkan perbuatannya dibayangi tingkah laku Marsha. ‘Maafkan saya, Ariyyan.’


“Bahri, yuk. Aku udah siap nih,” panggil Ariyyan, tiba-tiba muncul di pintu dapur. Serentak Bahri dan Diha berpaling. Ariyyan sudah bersedia untuk keluar. Beg tergalas di bahu kiri manakala sehelai jaket hitam dibawa di tangan. 


Diha memerhatikan Ariyyan. Segak bergaya walau hanya mengenakan sehelai kemeja T tidak berlengan berwarna biru dipadankan dengan sepasang jeans lusuh. Bau pewangi Hugo yang dipakainya semerbak memenuhi ruang. Tanpa mempedulikan Diha, dia terus meluru ke pintu utama. Tergesa-gesa Bahri menghabiskan baki makanan di pinggan. Sempat juga Diha menitipkan beg kertas berisi sarapan buat Ariyyan. 


“Tolong ya. Saya bekalkan banyak lempeng ni. Cukup untuk kamu makan sekali.”


Bahri angguk sambil tersenyum lebar. “Jangan runsing, deh! Anggap saja perkara ini udah selesai.”


Diha turut mengikut langkah Ariyyan ke pintu. Saat lelaki itu hendak melangkah ke luar rumah, Diha memaut tangan kanan Ariyyan lalu menciumnya.


“Pergi dulu,” ucap Ariyyan ringkas. 


“Jalan baik-baik ye, Ariyyan,” pesan Diha seperti biasa.


Tersentak dari lamunan panjang, Diha menggenggam kedua-dua tangannya penuh semangat. ‘OK, Diha. Tak ada masa untuk putus asa!’ Dia memasang tekad, menggunakan pendekatannya tersendiri demi mendekati Ariyyan. Kali ini, dia perlu lebih bersungguh-sungguh memastikan yang dia tidak akan tersilap langkah.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.