Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab28-1

DIHA menyambar beberapa majalah hiburan lalu bergegas ke kaunter membuat pembayaran. Teruja dia melihat Ariyyan dan ARJUNA menghiasi muka hadapan majalah. Ada cerita mengenai perkembangan terbaru mereka. Sepanjang pagi Diha di luar. Membeli sedikit barang-barang keperluan harian, mendapatkan ramuan memasak yang telah habis. Sesudah itu, dia ke salun kecantikan, memotong rambut. Diha rimas jika rambutnya terlalu panjang. Lebih-lebih lagi dengan cuaca yang panas terik, kulit kepala mudah gatal. Mulalah tindak-tanduk jadi serba tidak kena.


Sebelum pulang, dia singgah ke sebuah kedai menjual pelbagai rangkaian minyak wangi. Niat di hati hendak membeli minyak wangi, losyen dan skrub badan. Agak lama dia tidak memanjakan diri. Tidak salah sekali-sekala buat rawatan ala spa di rumah. 


Di situ, Diha dilayan oleh seorang jurujual muda yang ringan mulut. Gadis cilik bernama Alsa tidak jemu menghulurkan bantuan menyarankan wangian sesuai mengikut cita rasanya. Rambang mata Diha memilih haruman mana ingin dibeli. Seleksi minyak wangi yang dicuba semua sedap baunya.


Asyik membelek item-item lain di rak jualan, dia terpandang satu produk dalam botol bersaiz sederhana besar - ‘Enchanted Sleep Pillow & Body Mist’. Diteliti keterangan yang tertera pada label botol tersebut. Serta-merta Diha teringat akan Ariyyan. Ariyyan dan insomnianya. Sejenak, Diha terkenang dialog satu babak filem yang pernah ditonton. 


“Istilah insomnia dipinjam dari bahasa Latin, somnium yang bererti mimpi. Maka,  insomnia pada dasarnya tiada mimpi.” 


'Insomnia,..tiada mimpi. Yalah, macam mana nak bermimpi kalau tak tidur,' gumamnya.


Belakangan ini, Diha puas memikirkan jalan terbaik demi membendung situasi ‘tiada mimpi’ Ariyyan. Dia tidak mahu keadaan bertambah melarat sehingga Ariyyan terpaksa mengambil pil tidur. Dia mahu Ariyyan tidur lenyak, mengundang mimpi indah dalam setiap lena.


“Ini boleh bantu kita tidur?” Toleh Diha ke arah Alsa meminta kepastian. Alsa mengangguk laju. “Semburan ‘Enchanted Sleep Pillow & Body Mist’ berupaya mendorong si pemakai memperoleh tidur serta istirahat secukupnya. Bukan sahaja cepat kering, malah gabungan bahan-bahan seperti kurma jujube dan bunga camomile berhasil membuahkan ketenangan fikiran,” jelas Alsa.


“Sebelum tidur, mbak cuma sembur saja di pembaringan dan bantal. Biarkan sebentar. Dijamin tentu tidur mbak nyenyak deh. Bisa juga disemburin pada tubuh. Harumannya menyenangkan bangat, mbak,” sambung Alsa lantas memberi peluang Diha menghidu botol ‘Enchanted Sleep Pillow & Body Mist’.


“Kalau begitu, saya ambil satu ya. Suami saya kerap berjaga sehingga pagi. Susah tidur," cerita Diha. "Mana tahu semburan ini dapat atasi masalahnya.” Dia meneruskan bicara. Mujur jumpa satu lagi penyelesaian alternatif untuk Ariyyan. Tadi Bahri sempat mengkhabarkan, sewaktu menjemput Ariyyan, lelaki itu kelihatan benar-benar keletihan. Mana tidaknya, siang bekerja, malam berjaga. Lama-kelamaan tubuh mula mengutus isyarat berontak kerana fasa berehat mengembalikan tenaga acap kali diabaikan. Jika kelak, Ariyyan  masih gagal melelapkan mata Diha akan beralih ikhtiar kepada minyak pati (essential oil) pula. Sekarang, penggunaan minyak pati dalam aspek kehidupan seharian semakin diterima. 


Sebenarnya, Ariyyan baru tiba di Jakarta setelah mengadakan persembahan di Batam. Atas tuntutan kerja, dia ke studio kerana terlibat menjayakan sesi rakaman salah seorang artis di bawah pengurusan Chamar Entertainment. Sebaik sahaja mendarat, dari lapangan terbang, Bahri langsung menghantarnya ke sana.


"Aduh, pasti suaminya kecapekan, deh. Mbak dan suami dari Malaysia? Ke Jakarta berwisata ya?” Alsa melanjutkan perbualan. Menerusi tutur kata Diha, dia yakin Diha bukan orang tempatan. Tangannya cekap mengimbas kod bar item menggunakan alat pengimbas. Dimasukkan barang-barang berkenaan ke dalam beg kertas.


“Saya dari Kuala Lumpur. Suami saya asli Bandung. Maaf, saya baru beberapa bulan di Jakarta. Belum fasih bertutur bahasa Indonesia,” terang Diha ramah. Dia menghulurkan sejumlah wang sebagai pembayaran barangan yang dibeli. 


“Nggak apa, kok. Malaysia dan Indonesia,..kitakan serumpun. Bahasanya lebih kurang sama. Bisa dimengerti,” lafaz Alsa. Baki wang Diha dipulangkan.


“Terima kasih, mbak. Kapan punya kesempatan, datang lagi ya.”


“Sama-sama. Insya-Allah,” ucap Diha mengukir senyum. Dia memeriksa telefon. Terdapat pesanan ringkas daripada Bahri menyatakan dia sedang menunggu di tempat biasa. Segera Diha mempercepat aturan langkah. Hari itu, Bahri tidak menemaninya disebabkan terikat dengan urusan kerja atas arahan Ariyyan. Selesai melunaskan tugas, barulah Bahri menjemput Diha.



DIHA duduk berehat di kerusi berhadapan kitchen island seraya membaca majalah masakan kegemarannya. Sesekali dia melontar pandang ke luar rumah melalui tingkap kaca besar. Mengamati keindahan petang dihiasi warna-warni bunga di taman yang dahulu diusahakan  Marsha. Menenangkan. Banyak-banyak ruang di rumah tersebut, dia amat selesa dan seronok berada di situ. Memang jika tidak di bilik, masanya akan diluangkan di dapur.


Dia menyelak halaman majalah yang dibaca. Mencari resepi baharu untuk dicuba. “Hmm, ayam adobo. Yang ini macam menarik,” omelnya. Lantas, Diha membaca lanjut resepi menu terkenal masyarakat Pinoy dari Filipina itu. 


Resepi Ayam Adobo


  • Ayam setengah ekor
  • 1 sudu teh lada hitam (Tidak perlu ditumbuk atau dikisar)
  • 1 cawan kicap
  • 1 cawan cuka
  • 1 labu bawang putih
  • 2 helai daun salam.
  • 4 – 5 sudu besar minyak masak.
  • Garam dan gula mengikut cita rasa.



Cara-cara penyediaan:

Perap ayam dengan kicap, bawang putih, cuka dan lada hitam selama setengah hingga ke dua jam supaya perapan meresap sebati. Selanjutnya, panaskan sedikit minyak. Goreng ayam hingga isinya masak. Pastikan bahagian kulit garing untuk rasa yang lebih enak. Masukkan air perapan ke dalam kuali diikuti daun salam. Didihkan sebentar sehingga kuah memekat. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula. 



“Mudah je resepi ni. Bahan-bahan pun kebanyakannya dah ada.” Diha meneguk kopi panas perlahan. Dia berkira-kira sendiri memikirkan lauk lain yang sesuai disediakan bersama hidangan berkenaan. Tika itulah kedengaran bunyi enjin kereta Ariyyan memasuki perkarangan rumah.


“Assalamu’alaikum. Diha? Diha?!” Ariyyan memanggilnya saat kaki menjejak masuk ke rumah.


“Waalaikummussalam. Saya dekat dapur, Ariyyan,” jawab Diha. Dia baru hendak mengangkat punggung, Ariyyan muncul. Sebaris senyum dihadiahkan buat suami. Ariyyan kelihatan penat. Ketara lingkaran gelap di bawah kedua-dua belah mata. Mata putihnya kemerahan tanda tidak cukup rehat.


“Jaket biru yang aku pakai minggu lepas sudah dibasuh nggak?” tanya Ariyyan. Dia menghampiri Diha. Telatah Diha yang sedang membaca di kitchen island memancing perhatian. Diha memakai kemeja - T berwarna merah jambu dipadankan dengan sehelai knit legging berwarna coklat. Tampak sangat santai bersilang kaki sambil menyelak lembaran demi lembaran majalah di tangan. Ariyyan senang melihat keadaan Diha sedemikian. Paling kurang, dalam ketidaksempurnaan layanannya terhadap Diha, dia tahu si isteri betah dan selesa tinggal di kediaman miliknya itu.


“Sudah. Saya gantung di bilik dobi. Nak saya ambilkan?” 

“Nggak apa. Aku ambil sendiri,” balas Ariyyan melintasinya ke bilik dobi.

“Baca apa?”


Diha mengangkat majalah agar dapat dilihat oleh Ariyyan. Ariyyan memandang sekilas, lalu menyambung langkah.


“Awak nak keluar balik ke?” Suara dikuatkan supaya soalannya didengari Ariyyan.


“Iya. Ada wawancara di Global TV malam nanti,” laung Ariyyan. Beberapa minit kemudian, dia keluar membawa sehelai jaket berwarna biru gelap. Kemeja T yang dipakai tadi juga telah diganti. Sibuk benar Ariyyan sepanjang hari. Aktiviti sampai ke malam. Rasanya lelah membuat persembahan di Batam belum hilang, terpaksa pula berkejar memenuhi komitmen lain. Secara peribadi, Diha tidak pasti dia mampu bertahan menjalani rutin sepadat itu jikalau dia di tempat Ariyyan. 


Tetapi, tidak mengapa. Mungkin kesibukan ini yang diperlukan Ariyyan. Sesuatu yang dapat mengalihkan perhatiannya daripada terus berkabung mendepani realiti pemergian si belahan jiwa. Tanpa kesibukan ini, dia akan tidak putus-putus bersedih mengasingkan diri, melayan rawan hati. Diha bersyukur Ariyyan kembali aktif mengadakan pertunjukan bersama ARJUNA, mula memberi tumpuan pada kerjaya. 


“Kamu potong rambut ya?” soal Ariyyan ketika lalu di hadapan Diha sekali lagi.


“Ya,” Diha mengiakan, spontan menyentuh rambutnya. Terkejut apabila Ariyyan perasan dia menukar gaya rambut. Maklum sahajalah, meskipun serumah, mereka jarang meluangkan masa berdua. Sementelahan, Ariyyan selalu tenggelam diuliti dunia sendiri. Mustahil untuk lelaki itu menyedari perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya. Apatah lagi hal remeh sekecil perubahan gaya rambut. Nyata dia silap.


“Nampak lebih muda kok,” puji Ariyyan sebelum beredar ke ruang tamu. Diha tersipu. Kembang hati dipuji sang suami.


“Terima kasih. Awak nak saya bancuhkan air panas?” tanyanya. “Atau awak nak makan apa-apa buat alas perut?” 


“Nggak usah. Aku harus berangkat segera,” ujar Ariyyan. 



Terjemahan kata:

  • berwisata - berpergian/bercuti bersama-sama, bertemasya
  • capek - penat


Previous: Bab 27
Next: Bab28-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.