ARIYYAN membisu sepanjang perjalanan pulang. Diha yang memahami turut bungkam. Tiada bicara. Tidak mahu mengganggu emosi Ariyyan yang berkocak. Namun, diamnya cuma seketika. Tanpa diundang, rasa gatal-gatal menyerang ketenteraman Diha. Mula-mula di kaki. Kemudian di tangan. Diha masih mampu mengawal diri. Perlahan-lahan dia menggaru bahagian badan yang kegatalan.
Malangnya rasa gatal makin menjadi-jadi. Melalui samar cahaya lampu jalan, dia meneliti kedua-dua belah tangannya. Bintik-bintik kecil berwarna merah tumbuh melata di atas permukaan kulit. Diha menyingsing lengan bajunya. Juga ada banyak bintik-bintik merah. Rasa gatal dan miang mula membuatkan dia tidak selesa. Tergaru-garu.
“Kenapa sama kamu nih?” Akhirnya Ariyyan bersuara memecah kesunyian di antara mereka. Pelik dia melihat ragam Diha yang tidak senang duduk. Entah mengapa tiba-tiba wanita itu tergaru-garu.
“Gatal! Saya allergic pada udang,” jelas Diha. Jarinya laju menggaru-garu bahu dan lengan. Gatalnya bagai sudah tidak tertahan.
“Apa?! Habis kenapa kamu makan udang?” Ariyyan terkejut. ‘Udah tahu nggak bisa makan udang, kok dimakan!’ getusnya.
“Awak dah susah-susah pesankan untuk saya, saya makanlah,” Diha cuba membela diri.
“Lain kali jangan diturutin aja! Kalau nggak bisa makan, bilang sama aku enggak bisa makan! Usah ikut sembarangan!” Keras nada suaranya memarahi Diha. Waras akalnya tidak boleh menerima tindakan Diha yang membiarkan sahaja dia memesan hidangan udang sedangkan itu menjadi kepantangan dirinya.
Diha mengunci mulut. ‘Hmm, macammana nak beritahu. Tak perasan pun Ariyyan pesan udang. Semasa Ariyyan buat pesanan, aku sibuk pandang muka dia. Satu apa dia cakap dengan pelayan tu langsung aku tak dengar,’ monolog Diha. Terpaksa mengakui salah sendiri.
“Ariyyan, awak bawa saya keluar makan pun dah cukup besar ertinya bagi saya. Takkanlah bila awak dah pesan makanan, saya nak minta yang bukan-bukan pula. Lagipun, sebenarnya saya tak perasan awak order udang tadi.” Jujur dia mengaku. Sambil itu, tangan terus ligat menggaru sana-sini.
“Gatal bangat sih?” Suara Ariyyan kali ini sedikit mengendur. Diha hanya mengangguk.
Ariyyan diam. Dia menyambung pemanduan.
“Ariyyan,..” Tiba-tiba Diha memanggilnya.
“Emmm?”
“Err,..tolong....” kata-katanya tergantung.
“Apanya?”
“Tolong garu belakang saya sebelah kanan, boleh tak? Gatal sangat! Tangan saya tak sampai,” teragak-agak Diha meminta bantuan Ariyyan.
Terzahir simpati melihatkan keadaan Diha sedemikian. Lucu pun ada! Namun Ariyyan tidak senyum atau ketawa. Dia tiada angin untuk semua itu. Tambahan pula dia dihambat rasa bersalah kerana telah memesan makanan tanpa mengambil kira selera mahupun kepantangan Diha. ‘Mana tau sih cewek ini alergi sama udang!’ Rungutannya sekadar bergema di kotak fikiran.
`“Mana? Di sini?” Sambil sebelah tangan memegang stereng, Ariyyan menggaru belakang Diha. Tumpuan dan pandangannya tetap di jalan raya.
“Atas sikit,” pinta Diha. Ariyyan memandang Diha sekilas. Kemudian, jemarinya digerakkan ke atas.
“Sini?”
“Ha, dekat situ. Aduh, jangan garu kuat sangat, Ariyyan!” Diha mengetap bibirnya menahan sakit. Pedih belakangnya digaru oleh Ariyyan.
“Sorry, sorry.” Spontan Ariyyan menggosok-gosok belakang Diha, cuba meredakan kesakitannya. “Aku bawa kamu ke rumah sakit, yuk,” putus Ariyyan. Lelaki itu sudah bersedia mengubah hala tuju destinasi mereka. Sekurang-kurangnya apabila dibawa ke hospital, bolehlah keadaan isterinya diperiksa.
“Eh, tak! Tak payah, Ariyyan,” Diha menolak perlahan. Dia tidak mahu menyusahkan Ariyyan. Alahannya tidak terlalu serius sehingga perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
“Saya ada ubat di rumah. Lepas makan, baiklah gatal-gatal ni nanti. Kita balik terus je,” sambungnya. Dia menarik nafas. Memujuk diri agar bertenang. Perjalanan pulang ke rumah dirasakan begitu panjang buatnya.
SETIBANYA di rumah, Diha bergegas ke biliknya untuk mengambil krim sapu. Ketika itu seluruh muka, tangan dan kakinya dipenuhi bintik-bintik merah. Ariyyan sekadar memerhati sehingga kelibat Diha hilang di sebalik dinding. Berniat mahu berehat seketika, dia memasang televisyen di ruang tamu. Mencari-cari rancangan sesuai yang boleh ditonton.
“Arghhhhh...” Kedengaran jeritan halus Diha. Ariyyan berpaling. Terganggu konsentrasi tontonannya. ‘Apaan sih?’
“Kenapa?” laung Ariyyan ingin tahu. Sudahlah gatal-gatal seluruh tubuh. Tiba-tiba terjerit pula. ‘Apa yang berlaku?’
“Err, tak! Tak ada apa-apa. Banyak sangat ruam merah yang tumbuh ni. Maaf, tak berniat nak kejutkan awak,” laung Diha dari bilik air.
“Berapa ekor udang yang kamu makan tadi?”
Diam. Tiada balasan.
Tangan Ariyyan yang sibuk menukar siaran televisyen menggunakan alat kawalan jauh terhenti. Dia memicingkan telinga. Butang ‘mute’ pada alat kawalan jauh televisyen ditekan. Masih senyap. Tiada respons daripada Diha.
“Pengsankah dia?” Terdetik di hatinya. Ariyyan tidak pasti betapa serius tahap alahan yang dialami oleh Diha. Sejenak, dia berkira-kira sendiri sama ada hendak bangkit melihat keadaan isterinya ataupun tidak.
Memilih untuk tidak memikirkan perkara yang memberatkan kepala, Ariyyan menyambung semula tontonan. “Biarin aja,” tingkahnya. Diha seorang wanita dewasa. Masakan tidak pandai menjaga diri. Namun, waras akal memaksa Ariyyan melakukan yang sebaliknya. Tahu-tahu dia telah melangkah masuk ke bilik Diha.
“Diha?” panggilnya sedikit cemas apabila tidak mendengar sebarang bunyi dari bilik air.
“Diha?!”
“Ya...” Perlahan suara Diha. Ariyyan menguak daun pintu bilik air. Diha sedang menghadap cermin. Dia berada dalam kepayahan cuba menyapu krim sapu ke bahagian belakang badan. Terperanjat Ariyyan melihatnya. ‘Teruk sih alahan kamu,’ desisnya.
“Mari aku bantu.” Ariyyan lantas masuk dan menghampiri Diha.
“Angkat bajunya, Diha.” Dia kini berdiri di belakang wanita itu.
Serentak itu pandangan mereka bertemu melalui pantulan di cermin. Diha mencuri peluang menatap wajah si suami. Seperti biasa, tiada ekspresi yang terlakar pada tampang muka Ariyyan. Kosong.
‘Hurmmm,..ingatkan adalah nak tunjuk muka concern sikit! Muka serius tu jugak,” omel Diha. Kemungkinan otot-otot senyum dan tawa Ariyyan sudah mengeras.
‘Tapi,.. muka serius tak senyum macam tu pun, tetap nampak handsome,’ Diha berdialog dengan diri sendiri. Saat-saat begitu, sempat fikirannya menerawang jauh.
“Bajunya?”
Diha tersentak. Serba salah dia memandang Ariyyan. Sebenarnya dia malu pada Ariyyan. Namun, mengenangkan kegatalan yang bakal dialami sepanjang malam jika tidak disapu krim tersebut, Diha membuang perasaan malu dan segannya jauh-jauh. Bahagian belakang blaus yang dipakai diangkat ke paras bahu.
Ariyyan meneliti gatal-gatal yang dialami oleh Diha. Berkerut-kerut dahinya. Banyak benar ruam yang tumbuh di atas permukaan kulit si isteri. Boleh dikatakan hampir keseluruhan badan dipenuhi bintik-bintik merah. Segera krim sapu milik Diha dicoleknya dengan hujung jari lalu disapukan ke belakang tubuh wanita itu.
Ariyyan tidak terbayang miang dan gatalnya bagaimana. Dia tidak mempunyai sebarang masalah alahan. Maka, dia tidak menyangka begitu sekali kesannya. Jari-jari pantas meratakan krim tersebut agar cepat meresap. Biar dapat menenangkan tuan punya diri.
“Nafas kamu gimana?” Tiba-tiba Ariyyan bertanya. Diha melihat cermin di hadapannya. Ariyyan sedang menunduk. Masih sibuk mengoles krim ke belakang tubuhnya.
“Kenapa pula nafas saya?” Pelik bunyi soalan Ariyyan itu menerobosi pendengaran. Nafas? Apa kaitan gatal-gatal dengan nafas? Bukannya dia ada penyakit asma.
“Iyalah. Biasa aku nonton cerita di TV, orang yang alergi kae kamu akan sesak nafas. Saluran pernafasannya jadi tertutup hingga perlu dibawa ke rumah sakit.” Penjelasan Ariyyan yang bersungguh-sungguh itu mencuit hati Diha. Tetapi, dia tidak ketawa. Baginya, apa yang diperkatakan oleh Ariyyan kedengaran begitu tulus. Tanda dia mengambil berat.
“Ada yang perlukan suntikan khusus lagi!” tambah Ariyyan. Seketika pergerakan jemarinya terhenti. Dia mengangkat wajah, menanti penjelasan daripada Diha.
“Kesan allergy saya tidak seteruk itu. Bila saya kena alahan, saya akan alami gatal-gatal seluruh badan dan bintik-bintik merah macam ruam ni tumbuh. Paling teruk pun bengkak sikitlah sana-sini. Tapi tak adalah sampai tak boleh nak bernafas.”
“Benar nggak perlu ke rumah sakit nih?” Ariyyan menyoal sambil membasuh tangannya di sinki.
“Betul. Saya ada ubat tahan gatal. Lepas makan, tidur. Insya-Allah, esok baiklah,” balas Diha. Dia menghulurkan sehelai tuala kecil untuk Ariyyan mengeringkan tangannya.
“Terima kasih, Ariyyan. Selamat malam.”
“Selamat malam.”
ARIYYAN mengerling jam di meja sisi katil. Tepat pukul dua pagi. Dia belum dapat lena. Fikirannya galau. Sudah berapa batang rokok habis dihisap. Dia sendiri telah hilang jejak untuk kira. Entah kenapa hati dan mindanya tidak henti-henti memikirkan Diha. Mengenangkannya.
Dalam fasa perkahwinan mereka, Ariyyan memandang Diha sebagai wanita yang berpendirian. Punya pendapat dan pandangan tersendiri. Tidak gentar meskipun persepsinya berbeza dengan orang lain. Orang sebegini hidupnya mandiri. ‘Kenapa dia perlu patuh pada permintaan Marsha? Sekalipun jika suka mencabar diri, kenapa harus setuju menjadi isteriku? Terang-terangan dia tahu hatiku teruntuk buat Marsha.’ Ariyyan pening mencari logik persahabatan antara kedua-duanya. Dia terasa dipinggirkan.
Selama ini, dia beranggapan tidak pernah ada rahsia antara dia dan Marsha sepanjang mereka melayari bahtera rumah tangga. Dari mana datangnya pemilik nama Diha ‘Afina ini? Mengapa tiba-tiba muncul hanya setelah Marsha tiada?
Diam tidak diam, sudah genap sebulan mereka bernikah. Melewati tempoh itu, Diha tidak meminta apa-apa. Dia akur apabila ditinggalkan sendirian di rumah. Tidak pula ingin mengikut ke sana ke mari. Dia pandai - pandai belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan di kota yang amat janggal baginya. Malah, ketika berpindah masuk ke rumah itu dan Ariyyan mensyaratkan yang mereka tidak akan tinggal sebilik juga dia tidak memberikan apa-apa reaksi negatif.
Wanita yang dikahwininya itu ternyata seorang yang kuat. Kental luar dalam. Tetapi, buat apa dia di sini? Bukankah sepatutnya dia teroka dunia? Kejar cita-cita dan impian. Cari cinta. ‘Kalau sebelum ini kamu senang mencorak kehidupan mengikut cara dan kebiasaanmu, mengapa kali ini kamu menyerah diri untuk terikat sama aku?’
Dengannya sedikit pun Diha tidak mahu berbalah atau mencari pasal. Dimarah, diherdik, Diha tidak menjawab. Jauh lagi cuba mempertahankan diri. Meskipun kebiasaannya, Ariyyan yang kerap memulakan pertelingkahan dan naik angin tanpa sebab, Diha tetap diam bertahan.
Ariyyan sedar dia bersikap tidak adil terhadap Diha. Sewajarnya dia lebih berusaha menjadi suami yang baik. Tetapi semua itu tidak semudah yang disangka. Kenangan Marsha, cinta Marsha masih utuh melekat di sanubari! Membelenggu diri.
Apa yang berlaku semasa makan malam di Hotel Pullman tadi kembali menerpa ingatan. Tatkala Ariyyan dilanda emosi mengingati detik-detik indah di samping Marsha, Diha sedikitpun tidak terkesan. Begitu juga apabila Ariyyan memesan makanan mengikut citarasa Marsha sedangkan empunya diri tidak boleh makan udang. Diha hanya akur dan makan. Tidak merungut. Tidak bersungut.
Cuma semasa dia terlalu asyik meladeni imaginasi menyuapkan Marsha makanan, Diha menyedarkannya. Dengan lembut dia memanggil nama Ariyyan. Cukup untuk mengajaknya mengenal realiti bahawa susuk wanita di depannya ialah Diha, bukan Marsha. Dia tidak menangis, tidak merajuk. Tidak tarik muka. Andai pasangannya tadi wanita lain, Ariyyan pasti situasinya bakal gawat!
Rokok di celahan jemari dimatikan. Ariyyan bangkit dari katil. Dia ingin pergi melihat keadaan Diha. ‘Jika aku nggak mampu membahagiakan dia, sekurang-kurangnya aku bisa coba prihatin terhadap keadaannya,’ Ariyyan memasang tekad.
“Diha,” Ariyyan mengetuk pintu bilik Diha perlahan. Tiada jawaban. Dia memulas tombol pintu yang tidak berkunci. Terjengket - jengket dia melangkah masuk. Sekujur tubuh Diha sedang lena di atas katil. Diha dirapatinya.
“Diha.” Sekali lagi Ariyyan memanggil. Diha tidur nyenyak. Lenanya langsung tidak terganggu. Mungkin penangan ubat alahan yang dimakannya. Ariyyan memasang lampu di meja sisi katil. Berhati-hati, tangan kanan Diha diangkat lalu diperiksa. Tadi, sungguh banyak bintik-bintik merah yang tumbuh di tapak dan belakang tangan itu. Kemudian, diselak sedikit baju tidur Diha, memeriksa bahagian belakang tubuhnya pula.
‘Syukur, Ya Allah. Alerginya sudah berkurang. Tidak seteruk tadi.’ Barulah Ariyyan dapat berlapang dada. Serta-merta lenyap rasa risaunya.
Ariyyan merenung wajah Diha. Tangan Diha masih kemas dalam pegangan. Detik ini dia betul-betul mengambil peluang menatap Diha dari dekat. Cantik juga ciptaan Allah di hadapannya ini. Berkulit cerah, Diha mempunyai bentuk muka bujur sirih dan berdagu runcing. Alis matanya yang sederhana tebal seakan melengkapkan sepasang mata bundar miliknya. Seulas bibir nipis cantik terletak di wajah. Bibir yang tidak pernah gagal mengukir senyuman setiap kali pandangan mereka bertaut.
Dalam sibuk dia melayani perasaan, wajah dan senyuman Marsha tiba-tiba menerpa ke mindanya. Ariyyan tersentak. Diletakkan kembali tangan Diha. Perlahan-lahan dia membetulkan selimut Diha sebelum menutup lampu dan beredar keluar.
Ariyyan kembali ke biliknya. Ditatap gambar Marsha bersamanya yang tergantung di atas kepala katil. Saat gambar itu dirakamkan, mereka baru sahaja dinikahkan. Sampai bila-bila Ariyyan tidak akan melupakan memori indah itu.
‘Aku kangen berat sama kamu, sayang! Apa yang coba kau lakukan sebenarnya, Marsha? Kenapa kau dera perasaanku kae gini?’ Sakit hati Ariyyan memikirkannya. Dia tidak mahu sebarang naluri indah subur buat Diha. Tidak perlu ada wanita lain di antara dia dan Marsha! Titik! Tika itu Ariyyan kembali meragui keputusannya yang cuba memulakan hidup baru.
Terjemahan kata:
- bangat - sangat
- kangen - rindu