Mendepani sebuah pemergian,
menerima detik perpisahan,
tidak semudah jangkaan.
Perlu waktu bina percaya,
bahawa si dia telah tiada.
Perlu belajar seksa rindu,
saat kau hulurkan tangan,
tiada dia untuk menyambut.
Perlu terima tetap terbitnya mentari,
di mula hari, tanpa dia menemani.
Lamunan Diha bak tiada bernoktah. Sudah beberapa ketika dia duduk melengung di bangku panjang di halaman rumah. Menghela udara segar pagi, mengamati kehijauan pepohon dan bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam percubaan menenangkan diri. Fikirannya kacau. Hati libang-libu.
Sebetulnya perbualan dengan Dina semalam sedikit sebanyak menggoncang ketenangan jiwa. Setiap memori bersama Muammar datang menerjah ingatan bersilih ganti. Tidak cukup itu, utusan e-mel daripada Mahirah membuatkannya terkilan.
Irah tak sangka diam-diam rupanya akak dah cari pengganti abang long. Kami semua terkejut. Cepatnya akak lupakan abang. Irah ingat kita berkongsi kesedihan. Kita sama-sama kehilangan insan yang kita sayang. Mungkin kami terlalu mengharap pada akak.
Tahniah atas perkahwinan akak dan suami. Semoga akak bertemu kebahagiaan yang akak impikan.
Kandungan e-mel Mahirah laksana menjerut tangkai sukma. Salahkah dia mengambil keputusan memulakan kehidupan baharu? Mustahil mahu terus-menerus menunggu Muammar. Dia tahu, Mahirah tahu, malah seluruh keluarganya juga tahu Muammar tidak akan hidup semula. Diha terkesan dengan kata – kata Mahirah yang seakan menghukumnya. Tidak bersetuju dia memilih hari-hari tanpa diselubungi lara pemergian Muammar.
Mungkin kami terlalu mengharap pada akak.
Mengharap? Apa lagi yang diharapkan daripada dirinya? Bukannya dia boleh menyeru hayat Ammar. Sakti mana bisa diraih agar Ammar kembali bernyawa, kembali ke pangkuan cinta?
Semoga akak bertemu kebahagiaan yang akak impikan.
Diha mengeluh. Meskipun baris ayat itu seumpama doa, Diha merasakan seolah-olah satu bentuk sindiran ditujukan tepat kepadanya. Bahagiakah dia? Gembirakah dia dengan apa yang dilalui sekarang?
Mengapa pula tidak? Di Jakarta dia ada Ariyyan. Walaupun dalam rumah tangga mereka, seorang di timur manakala seorang lagi di barat, Ariyyan tetap suaminya. Sebahagian daripada kepentingannya. Di Kuala Lumpur, Dina, Fahim dan Hakeem sentiasa di belakangnya. Setia menemani saat susah senang, detik jatuh bangun.
Diha menekan skrin telefon bimbit di tangan. Menonton klip video Hakeem yang baru dikirimkan oleh Dina. Tidak puas melihat keletah si Hakeem, diulang video berkenaan tanpa jemu. Diha sangat rindu akan keluarganya di Kuala Lumpur. Rindu meluangkan masa berbual, bergosip dengan Dina, duduk semeja menikmati makan malam bersama-sama. Rindu melayan Hakeem bermain. Kala itu, biarpun sedaya upaya cuba dihindar, tunas kekosongan meresap menjalar di hati.
“Aduh, kak! Udah ke mana tuh?!” Diha tersentak apabila tiba-tiba suara Bahri menembusi khayalan. Dia mengangkat muka. Bahri berdiri tegak di hadapannya.
“Eh, Bahri. Bila kamu sampai?” Leka meladeni hiba hingga tidak sedar langsung kehadiran Bahri.
“Kak mikirin apa? Jauh benar melamunnya. Saya panggil udah banyak kali kok nggak didengar.”
“Laa ye ke?! Maaflah Bahri. Saya tak perasan,” balas Diha. Menginjak sedikit ke tepi. Memberi ruang buat Bahri melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Mikirin apa, kak?” Bahri mengemukakan pertanyaan yang sama. Nyata ingin tahu punca kekusutan yang membelenggu minda Diha. Sekelumit risau dapat dikesan melalui nadanya.
“Tak ada apa-apalah, Bahri,” Diha berdalih.
“Kok sama saya pun mau sembunyi-sembunyi. Kak Diha yang saya kenal nggak pernah gusar begini. Tuh wajahnya hilang seri, kae ditimpa gerhana,” tutur Bahri. “Kenapa, kak? Dimarahi kang?”
Diha menggeleng perlahan.
“Kak kurang sihat?”
“Sihat. Alhamdulillah. Saya OK. Jangan runsinglah,” ucap Diha, cuba meyakinkan Bahri. Diha tidak mahu pergolakan kalbunya menimbulkan kebimbangan sesiapa. Malah, dia tidak selesa sekiranya perkara tersebut dipanjang-panjangkan.
“Nak tengok video Hakeem tak?” Telefon disuakan kepada Bahri.
“Bisa. Bisa.” Bahri menyambut telefon pintar Diha. Sungguhpun tertanya-tanya dan belum menerima jawaban sahih tentang keadaan Diha, Bahri pasti wanita itu memerlukan seorang teman. Tidak salah jika dia menemankan Diha berbual-bual sebentar. Mereka menonton telatah Hakeem yang ralit bermain. Kedua-duanya ketawa girang melihat Hakeem beria-ia menangis tatkala barang mainannya disorokkan Fahim.
“Imut bangat si Hakeem ya, kak. Lucu deh,” komen Bahri setelah video berdurasi lebih kurang lima minit itu selesai ditayangkan. Diha mengangguk. Renungan kekal tertancap pada skrin telefon yang kini sudah kaku.
“Kak,...” panggil Bahri.
“Mmmm?”
“Kakak sunyi ya?” soal Bahri. Dia bagai boleh meneka punca Diha berkelakuan begitu. Sekuat manapun wanita di sisinya cuba bertahan, kesepian yang datang bertandang tidak mungkin dapat diusir. Menjalani kehidupan serba asing, berjauhan daripada ahli keluarga bukan sesuatu yang mudah. Sementelahan, Diha kerap ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa perhatian wajar si suami. Simpati terhadap Diha menggunung.
Diha terpempan. Pandangan dihala ke arah Bahri. Tetapi Diha sekadar membisu. Dia tahu, dia yang terbawa-bawa akan perasaan sehinggakan Bahri berjaya mengesan perubahan emosinya.
“Khuatirin apa, kak? Kongsi bareng saya, dong. Moga-moga fikirannya nggak rusuh. Nggak lagi terbeban.”
Diha tetap bungkam.
“Kak bilang udah menganggap saya kae adik sendiri. Kok masih mau dirahsia?” Lembut intonasi Bahri memujuk Diha agar lebih terbuka membincangkan masalahnya.
“Entahlah, Bahri. Bila duduk seorang diri begini, saya rasa terpinggirlah.”
“Terpinggir? Lorh, mengapa ngomong kae gitu, kak?”
“Yelah, di Kuala Lumpur, Dina dan Fahim ada life mereka sendiri bersama Hakeem sebagai penyeri rumah tangga. Saban hari tak menang tangan melayan kerenah si kecil. Semua dah lengkap. Sempurna. Saya ada atau tiada, tak menjadi hal,” ujar Diha. “Kalau diikutkan, saya ni bagaikan orang asing yang mencelah, ganggu keharmonian hidup mereka.” Diam sejenak. Mengambil ruang menterjemah kata hati. Bahagiakah dia? Gembirakah dia?
“Di sini, Ariyyan dengan dunianya. Sentiasa sibuk. Kadang-kadang saya terfikir, Entah Ariyyan sedar kewujudan saya di rumah ini entah tidak. Saya ibarat tak belong dekat mana-mana. Macam tak diperlukan,” luah Diha. Jelas ‘kemunculan’ Mahirah mengocak ketenteraman, menggoyah kecekalan.
“Sunyi tu tak dapat nak elaklah.” Baris akhir bicara antara kedengaran dengan tidak. Diha akui dia tewas pada percaturan jiwa. Enggan terus hanyut, digagahkan jua diri melarik senyum. Tawar.
Bahri memandang Diha. Benar telahannya. Memberikan Diha peluang bertenang, kemudian dia berkata, “Kalau bisa bikin kak lebih tenang, kakak taukan saya ada.”
“Dunia saya masih punya banyak ruang. Malah, kehadiran kakak amat dialu-alukan kok,” tambah Bahri sambil tersengih. Memancing keceriaan Diha. Kali ini Diha tersenyum lebar. Tersentuh dengan kata-kata dan keprihatinan Bahri.
“Usah begini, dong. Kedua-dua dunia ini milik kakak. Saya jamin mereka sayang bangat sama kakak. Cuman, keluarga Kak Diha kan jauh di Malaysia. Masakan boleh ketemu setiap hari? Kang Ariyyan pula repot menangani kerja-kerjanya. Saya percaya kapan berkesempatan, kang akan memperuntukkan waktunya buat kakak.” Bahri menenangkan Diha.
“Nah, mari saya tunjuk sesuatu!” Bahri mengeluarkan telefon bimbitnya. Jemari menaip laju di kotak carian Youtube. Video seorang pengantin lelaki di dalam sebuah majlis pernikahan diunjukkan kepada Diha. Si mempelai telah mengulang setiap patah kata tok kadi rentetan terlalu gugup semasa upacara akad nikah. Kemuncaknya, apabila tok kadi selesai membacakan akad, dek kerana gemuruh, dia pantas sahaja melafazkan sah. Terkekeh-kekeh Diha dan Bahri ketawa.
“Kasihannya dia, Bahri. Nervous sangat ni,” ulas Diha. Dia ketawa hingga mengalirkan air mata. Hujung jari mengesat mata yang berair.
“Iya, kak. Tapi, video ini bisa disimpan jadi bahan cerita untuk anak cucu,” balas Bahri masih tertawa. Dihulurkan telefonnya semula.
“Nah, lihat aksi kucing ini, kak. Kucingnya ngorok nggak mau bangun! Lidah terjelir, air liurnya meleleh.”
ARIYYAN sudah siap berpakaian. Sewaktu merapikan penampilan, melalui tingkap bilik Ariyyan terpandang kelibat Diha duduk termenung seorang diri di halaman. Lantas gerak-geri Diha diamati. Mengapa isterinya seperti sedang bersedih? Sekejap Diha seolah-olah berkhayal. Sekejap mata terkunci di skrin telefon. ‘Nonton video barangkali.’ Ariyyan hanya meneka. Sekali sekala Diha tersenyum. Selebihnya, wajah itu kembali sugul.
Diha asyik mengelamun sampaikan kemunculan Bahri langsung tidak disedarinya. Ariyyan mengamati komunikasi di antara mereka. serius. Bersungguh-sungguh Bahri menyoal Diha. Reaksi Diha disulami kemuraman yang terpamer di muka jelas menunjukkan ada yang tidak kena. Ariyyan akui Diha dan Bahri memang akrab. Kedua-duanya serasi sejak saling mengenali.
Diha menghulurkan telefonnya kepada Bahri. Mungkin Diha ingin kongsikan apa yang ditontonnya. Minit-minit selanjutnya, gelak tawa tidak lekang menghiasi ekspresi Bahri. Demikian juga Diha. Namun, mendung tetap berlegar pada seraut wajahnya.
Bahri mengeluarkan telefon bimbitnya pula. Apa yang ditunjukkan berhasil meledakkan tawa Diha. Ariyyan senang memerhati gelagat si isteri. Tawa Diha ibarat melodi indah, berdendang memukau deria telinga. Hati Ariyyan sedikit terhibur. Kendatipun terkejut dengan apa yang dirasakannya, dia memilih untuk tidak membenakan isyarat sanubari. Sebarang isu perasaan harus ditolak tepi. Ariyyan serik. Tidak mahu terjebak dalam kancah permainan emosi.
Puas mengintai tindak-tanduk Diha dan Bahri, dia mencapai beg serta barang-barang lain lalu bergegas keluar. Bahri yang mula-mula mengesan kehadirannya segera datang menghampiri. Diha menyusul dari belakang. Sebaik pandangan mereka bertaut, Diha menghadiahkan senyuman manis.
Ariyyan terharu. ‘Bukankah kamu sedang berduka, Diha? Masih mampu lagi kamu berselindung dan mengukir senyum buatku,’ monolognya.
“Selamat pagi, kang. Bisa berangkat sekarang?” Beg di tangan Ariyyan dicapai. Ariyyan mengangguk. Fokus kini pada Diha yang berdiri tidak jauh daripadanya.
“Aku pergi dulu,” tuturnya. Diha meraih tangan Ariyyan. Menyalam, mengucupnya penuh hormat. Cuma kali ini tiada ucapan mengiringi tindakannya seperti biasa. Tiada untaian pesanan mengingatkan Ariyyan agar berwaspada dan menjaga diri.
“Jaga diri baik-baik di rumah.” Ariyyan menuturkan bait kata yang lazimnya dizahirkan oleh Diha. Jemari Diha digenggam erat seketika sebelum masuk ke dalam kereta. Dia yakin ada sesuatu yang benar-benar mengganggu fikiran isterinya.
Terjemahan kata: