Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 16

KEESOKAN harinya, angin Ariyyan orak - arik. Sepanjang malam dia gagal melelapkan mata. Hanya menjelang pagi barulah dia terlena. Itu pun tidak lama. Ingatannya terus-menerus terkenangkan Marsha. Rindu pada buah hati yang telah pergi ibarat ombak deras menghempas pantai kalbu dan seakan-akan enggan surut.


“Ariyyan,” tegur Diha semasa mereka berpapasan di pelantar tangga yang menuju ke ruang tamu. Ariyyan buat bena tidak bena. Air mukanya keruh. Dia melintasi Diha seolah-olah Diha tidak wujud. Pelik. Diha sekadar menyorot pandangan memerhatikan langkah lemah Ariyyan.


‘Ini macam dah shut down secara total nih. Semalam boleh lagi bercakap dengan aku. Hari ni aku jadi invisible. Apa yang tak kena?’ Laju minda Diha berfikir. Serasanya malam tadi, meskipun setelah insiden di restoran dan Diha diserang gatal-gatal, semuanya berakhir dengan baik. Mereka tidak bertelagah. Diha keliru. Tidak tahu apa yang wajar dilakukan. Seandainya salah percaturan, angin Ariyyan akan bertambah buruk.


‘Tak mengapalah. Dia dambakan ruang untuk diri sendiri,’ desis Diha. Hasrat mengajak Ariyyan bersarapan bersama dimatikan. Pasti lelaki itu tidak ingin diganggu. Dia berdiam sebentar, berkira – kira dengan fikirnya.


Gelagat Ariyyan yang terkedang kaku di sofa dikerling dengan ekor mata. Suaminya sedang mengecualikan diri dari dunia. Tenggelam dalam lamunan. Sebatang rokok yang menyala terselit di celah jemari. Sekali-sekala dia menyedut rokoknya dalam-dalam. Kemudian, berkepul-kepul asap dilepaskan ke udara. Abu dari puntung rokok kadang-kadang jatuh begitu sahaja di atas lantai. Sedikitpun tidak dipedulikan oleh Ariyyan. Mujurlah tiada sebarang permaidani atau hamparan mudah terbakar di situ. Jika tidak, mesti Diha terpaksa berdiri di sisinya sambil memegang alat pemadam kebakaran. 


Sesudah beberapa ketika, keadaan Ariyyan tetap seperti itu. Termenung memandang siling. Tubuhnya kejur tidak bergerak. Entah apalah yang bermain di fikirannya, Diha tidak mungkin mampu meneka. Biarlah dia melayan lamunan. Ariyyan punya hak berbuat apa – apa  mengikut kehendaknya di rumah ini.


Jam dinding menunjukkan pukul sepuluh pagi. Ariyyan masih belum bersarapan. Tangan Diha pantas membuka bungkusan lontong yang dibeli dan memasukkannya ke dalam sebuah mangkuk. Menung-menung pun, perut perlu diisi.  Mangkuk berisi lontong dipanaskan seketika di dalam ketuhar gelombang mikro supaya Ariyyan dapat menikmati lontong kesukaannya itu panas-panas. Barulah terpancing selera.


Pagi tadi, awal-awal lagi dia keluar membeli hidangan itu di sebuah gerai berhampiran rumah mereka. Itupun dengan bantuan Bahri. Bersusah payah si Bahri menghantar mesej menunjuk arah. Diha tidak berdepan sebarang masalah untuk mencari lokasi gerai tersebut.


Spontan Diha teringat cerita Marsha mengenai suaminya yang sangat gemar makan lontong.  “Dia bisa makan dua hingga tiga mangkuk, Diha!”


Memikirkan Marsha, kesedihan bertandang di sanubari. Sampai ke saat ini, tetap ada rasa terkilan yang tersisa di hati. Dia tidak sempat bertemu Marsha sebelum temannya itu menghembuskan nafas terakhir. Kalaulah dia dapat memutarkan kembali masa, dia ingin berada di sisi Marsha pada detik-detik akhir nyawanya.


‘Sudah, Diha. Jangan asyik berkalau-kalau! Ini semua ketentuan Allah. Kuatkan semangat!’ Diha memujuk diri. Cuba bina kekuatan. Segera dilontar kesedihannya jauh-jauh. Tumpuan kini kembali terarah kepada Ariyyan yang keras membatu ibarat tugu di ruang tamu. 


Diha membancuh air teh susu panas. Juga kegemaran Ariyyan. Diletakkan mangkuk lontong dan secawan teh susu berasap tipis di atas dulang. Kemudian, dihidangkannya di meja kopi betul-betul di hadapan Ariyyan. Dia turut meletakkan senaskhah akhbar hari itu di situ. 


“Dia sibuk bangat, Diha. Jadi, untuk tahu perkembangan dunia atau berita semasa, dia suka baca akhbar sewaktu makan pagi.” Diha terkenang sebahagian daripada perbualannya bersama Marsha. Antara sedar dengan tidak, banyak tentang Ariyyan yang diketahuinya melalui Marsha. Mereka kerap bertukar cerita hidup masing-masing. Bezanya tika itu, Diha langsung tidak punya klu, si suami yang selalu diceritakan oleh Marsha ialah Ariyyan. Setahu Diha, suami Marsha sibuk bekerja, kerap ke luar kota. Oleh itu, apabila sunyi datang bertamu, Marsha dan Diha akan meluangkan masa bersama, berbual-bual, berkongsi cerita.


 “Usah neko-neko, Diha! Kamu tahukan kamu itu bukan Marsha?!” Khayalannya dihentikan suara Ariyyan. 


‘Huh, apa?! Keropok leko? Neko-neko?’ Diha kurang jelas dengan apa yang dituturkan Ariyyan. Tidak ada walau sekelumit kemesraan pun pada nada suara lelaki itu. Disergah lagi ada. Diha semakin lali berhadapan dengan intonasi dinginnya. Berbanding dahulu, kini dia lebih tenang menangani ragam Ariyyan. Seperti biasa, dia diam. Tidak membalas apa-apa.


Melihatkan reaksi Diha yang sedemikian, Ariyyan mendengus lantas bangkit dan masuk ke bilik. Daun pintu dihempas kuat. Diha menghela nafas sambil melabuhkan punggung di sofa. Buntu. ‘Ariyyan ni tak lapar ke?’ Hatinya mula gusar memikirkan kesan terhadap kesihatan suaminya jika asyik mogok lapar begitu.


Sudah lima belas minit Ariyyan berkurung di dalam bilik. Setelah agak yakin yang Ariyyan tidak akan keluar semula, Diha mencapai tudung saji lalu menutup lontong dan air teh susu. Mana tahu nanti apabila perutnya lapar dia terdorong untuk menjamah makanan.


Tidak tahu hendak berbuat apa lagi, Diha membuka komputer riba. Niat mahu mengemas kini blog. Dua tiga hari ini dia tidak menulis sebarang entri baharu. Diha duduk menghadap skrin komputer. ‘Nak tulis apa ya?’ Jari mengetuk-ngetuk perlahan permukaan meja. Ketandusan idea. Andai diluahkan rasa kurang enak dalam hati sekarang, tentulah tidak wajar. Lagipun, Diha tidak selesa terlalu mendedahkan kehidupan peribadinya. Sedari dulu, Diha meletakkan sempadan tertentu pada dirinya dan setiap apa yang dikongsikan di Blog Tentang Sesuatu. 


Apabila idea yang ditunggu tidak datang menjengah kotak minda, langsung dibatalkan sahaja hasrat untuk berbloging. Dia mengunjungi halaman Youtube. Pantas jemarinya mencari klip-klip video persembahan Ariyyan dan ARJUNA. Ditontonnya satu demi satu. Dari satu video ke satu video yang lain.


Lelaki itu punya semangat jitu ketika di atas pentas. Boleh dikatakan di Malaysia, Ariyyan ibarat Faizal Tahir. Miliki aura dan karakter yang kuat. Menyaksikannya membuat persembahan, kita sebagai penonton akan turut sama teruja. Ariyyan sentiasa bertenaga menghiburkan peminat-peminat. Staminanya tinggi. Dia berlari ke seluruh pelosok pentas, mendampingi peminat setia ARJUNA serapat boleh. Persembahannya penuh warna. Tidak pernah menghampakan. Jauh lagi klise. Pasti ada kelainan yang seringkali cuba ditampilkan.


Melalui klip-klip video yang terdapat di Youtube, Diha menilai karakter suaminya. Sebelum ini dia hanya berpeluang mengenali Ariyyan dari cerita-cerita arwah Marsha. Dia sendiri walaupun meminati ARJUNA, tidak mengikuti perkembangan kumpulan tersebut secara serius menerusi media massa. Terpana Diha melihat betapa banyaknya koleksi video Ariyyan di laman berkenaan. 


Diha menaip ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ di kotak carian. Berpuluh-puluh hasil carian yang ditemui. Untuk lagu itu sahaja ada pautan muzik video, persembahan ARJUNA menjayakan pelbagai konsert di sekitar Indonesia dan tidak ketinggalan video cover version pengguna-pengguna Youtube yang menyanyikan semula lagu pujaan hati mereka.


Diha mengarahkan kursor ke satu pautan bertajuk ‘Separuh Jiwaku Milikmu (Versi Asal)’. Video merakamkan Ariyyan mendendangkan lagu ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ secara akustik dengan iringan petikan gitarnya. Dia membaca caption di bawah video. Rakaman itu ialah lagu asal ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ yang mula-mula dicipta oleh Ariyyan sebelum diubah menjadi versi lebih baik yang berjaya menjulang nama ARJUNA di persada muzik.


Mata Ariyyan terpejam rapat. Suara dilontarkan bersama luahan emosi. Bersahaja jemari memetik gitar, menghasilkan melodi indah yang mengiringi nyanyiannya. Dia benar-benar menghayati setiap bait lirik lagu berkenaan. Lirik lagu asal sedikit berbeza daripada lagu yang dirakamkan dalam album.


Selesai menonton video itu, Diha menyaksikan pula klip video ARJUNA menerima anugerah sewaktu berlangsungnya sebuah acara hiburan berprestij di Indonesia. Jelas kegembiraan terpancar di wajah masing - masing tatkala dinobatkan sebagai ‘Kumpulan Paling Popular’ tahun tersebut mengalahkan kumpulan-kumpulan pesaing yang tidak kurang hebatnya. Dalam ucapannya, Ariyyan sempat berterima kasih kepada para peminat yang menyokong ARJUNA dan ucapan istimewa tentu sekali ditujukan buat arwah Marsha.


Selain daripada klip-klip persembahannya bersama ARJUNA, terdapat bermacam-macam lagi klip video melibatkan Ariyyan yang dimuat naik para peminat. Jenuh juga andai ingin ditonton kesemuanya. Ada rakaman Ariyyan menjadi tetamu jemputan rancangan di stesen-stesen televisyen, memenuhi undangan persembahan secara solo dan liputan ketika dia melakukan kerja amal. Tidak ketinggalan, rakaman video Ariyyan di sisi Marsha menghadiri acara-acara tertentu. Diha menghabiskan masa hampir dua jam di hadapan skrin komputer.


Dia membuat kesimpulan sendiri tentang perwatakan suaminya. Baginya, Ariyyan berhati lembut. Berjiwa halus. Melalui pertuturan, tindak tanduk dan bahasa tubuh, lelaki itu sensitif terhadap persekitaran dan insan-insan di sekelilingnya. Bukan sahaja merendah diri, malah Ariyyan dilihat sebagai seorang yang prihatin dan suka mengambil berat akan orang lain. Mungkin atas sebab-sebab itulah setiap karya si pemilik nama Ariyyan ini terlalu puitis. Empatinya tinggi. 


‘Kalaulah jiwa lembutmu itu dapat kusentuh.’


Diha mencari kalau-kalau ada rakaman persembahan ARJUNA beberapa bulan selepas Marsha meninggal dunia. Memang Ariyyan bagaikan turut ghaib seiring pemergian cintanya. Tidak banyak video yang dikongsi oleh peminat setelah Ariyyan memasuki dunia hitam fasa berkabungnya. Aktiviti-aktiviti ARJUNA tergendala serta-merta.


Dalam diam, dia membandingkan persembahan Ariyyan sebelum dan sesudah pemergian Marsha. Sepasang mata itu seolah-olah hilang cahaya. Jika dulu Ariyyan berlari ke segenap ruang pentas sambil bernyanyi, menari mengikut alunan muzik, bermain gitar atau piano, sekarang persembahannya tidak segah dulu. Magisnya bagai sirna. Ikut pergi bersama Marsha.


Menjelang tengah hari, Diha masuk ke dapur. Nasi kelmarin yang berbaki boleh dibuat nasi goreng. Rasanya tidak perlu dia menyediakan lauk-pauk untuk makan tengah hari. Ariyyan belum tentu ada selera menjamahnya. Makanan pagi tadi pun tidak berusik. 


Pada awalnya, Diha mahu memasak nasi goreng cili api. Juadah yang pedas-pedas dan berempah acap kali jadi pilihannya. Namun, baru tangan hendak mencapai ikan bilis, Diha teringat akan Ariyyan yang tidak suka menikmati hidangan sebegitu. Sebetulnya, menurut penceritaan Marsha menerusi rakaman videonya, lelaki itu memang tidak tahan makan pedas.


‘Nanti dia tak boleh makan pula,’ fikir Diha. Sekarang dia hidup berdua. Selera Ariyyan pun perlu diambil kira. Diha mengeluarkan isi ayam, sayur campur dan sebiji telur. Dia menukar menu dan mula menyediakan nasi goreng Cina. 


Setelah siap memasak, Diha ke bilik, mengambil sehelai kertas nota ‘Post-It’. Dalam keadaan Ariyyan yang sukar dibawa berbincang, cara inilah dirasakan sesuai untuk berkomunikasi dengan suaminya.


Ariyyan, ada nasi goreng di bawah tudung saji.


Diha menulis pesanan buat Ariyyan di atas kertas ‘Post-It’ tersebut dan melekatkannya di pintu peti sejuk. Kemudian, dia menyendukkan nasi goreng ke pinggan. Entah mengapa tiba-tiba dia hilang selera. Sudah tidak rasa lapar. Tanpa disedari, angin Ariyyan turut mempengaruhi mood Diha kala itu.


‘Makan nantilah,’ bisiknya. Diletakkan pinggan berisi nasi goreng di bawah tudung saji sebelum beredar.



Terjemahan kata:

  • neko-neko - macam-macam/ berbuat perkara yang aneh-aneh atau yang bukan-bukan









Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.