Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab25-2

Sesudah makan, Diha berehat di ruang tamu. Teringatkan si adik, Diha menelefon Dina. Ingin bertanya khabar dan menceritakan keadaannya.


Sudah lebih lima belas minit mereka berdua berbual. Sesekali telefon dijarakkan dari telinga. Bebelan Dina yang berulang kali menyuruh dia menjaga diri membuatkan Diha tersengih.


“Boleh tahan juga Dina ni kalau berleter ye,” usik Diha. “Simpan leteran tu untuk Hakeem la,…kasihan akak tak pasal-pasal kena tadah telinga.”


“Hey, orang risaukan dia,...akak cakap Dina berleter?!” Dina separuh terjerit. “Betul ke akak OK? Are you sure?”


Sure.” 

Very very sure?" 

Yes. Very sure, dear."

"Lately, Akak tak blogging eh? Dina tengok ‘Tentang Sesuatu’ tak ada entri baru pun.”

"Ha ah. Blog lama tak berusik. Tak de idea nak menulislah sekarang ni. ”


“Hati-hati tau guna tangan tu sementara nak baik. Walaupun akak cakap retak je, Dina tetap bimbang. Dina tak sedap hati ni,…Please take care of yourself.”


“Iye, iye,..dah sepuluh kali pesan dah,” balas Diha bertingkah tawa. 


I wish I could be there with you. Akak bab-bab sakit, akak suka ambil mudah.”


Don’t worry. Insya-Allah, akak jaga diri elok-elok. Tahu tak, semalam akak mimpikan ibu dan ayah. Kita semua tengah makan. Macam biasalah kita gaduh-gaduh,.. Siapa yang paling ibu sayang,..Siapa sebenarnya princess ayah..."


Kadang-kadang apabila terkenangkan kedua-dua ibu bapa, hati umpama dihempas  ombak rindu tidak bertepi. Biarpun telah lama Affendi dan Nurdaniah pergi menghadap Ilahi, kesedihan menangisi kehilangan ibarat luka dalam yang tidak pernah pulih. Kerinduan terhadap mereka laksana badai kencang yang tidak akan tenang. 


Oh, I missed both of them so much,” luah Dina. 


“Akak pun…and I dreamed of Muammar too.”


“Akakkkkk,…betul akak OK?” Suara Dina kembali cemas. “Ke sakit akak lagi teruk daripada yang akak cerita kat Dina?”


“Huh? Maksud Dina?”


“Yelah. Selalu kalau akak sakit, tak sihat,…memang mimpi ibu ayah. Tu dah biasa. Tapi ni, siap mimpi abang Muammar! You must be really sick.” Dina membuat kesimpulan sendiri. 


“Ish, tak adalah. Itu kan mainan tidur. Akak OK. Luka-luka kat badan ni pun sikit je. Janganlah bimbang sangat. Dina doakan akak sembuh cepat ye,” pinta Diha mengakhiri interaksi mereka. 


Dia memasang televisyen. Sebuah rancangan bual bicara dibiarkan bergema memenuhi ruang, sekadar menghilangkan bosan. Diha mengangkat tangan kirinya perlahan. Bahagian jemari yang berbalut dibelek. Sekali sekala dia terpaksa menahan rasa nyeri. Mujurlah kecederaannya tidak serius. Keretakan cuma pada dua jari di tangan kiri. Tangan dominannya masih mampu melakukan kerja-kerja. 


Alat kawalan jauh televisyen ditekan-tekan, mencari siaran menarik. ‘Mmm,..tak ada cerita 'OK Jek' ke hari ni?’ omel Diha. Belakangan ini dia gemar mengikuti sitcom 'OK Jek'. Siri itu mengisahkan sisi kehidupan tukang ojek yang beroperasi secara online. Gelagat serta konflik harian yang dilalui watak-watak amat seronok ditonton.


“Nak Diha.” Bibik Murni menyapanya. Diha berpaling. Wanita itu duduk bersimpuh di tepinya.


“Ya. Ada apa, bik?” tanya Diha. “Eh, bik. Duduklah di atas. Jangan duduk di bawah. Sejuk lantai tu.” Sempat dia menegur tindakan Bibik Murni yang duduk bersimpuh di lantai. Sebagai seorang pekerja, Bibik Murni betul-betul menjaga batas perilaku. Di hadapannya dan Ariyyan, Bibik Murni sentiasa membongkokkan sedikit tubuh tanda hormat. Tidak curi tulang. Malah, Diha tidak pernah nampak dia duduk di atas sofa atau di mana-mana bagi melepas lelah.


“Nggak apa-apa. Tadi bibik lihat mobilnya sebelum Pak Ariyyan tunda ke bengkel. Remuk teruk! Nak Diha duduk di belakang semasa kecelakaan itu ya?”


Diha mengangguk.


“Pasti sakit, sengal-sengal badan Nak Diha akibat ditabrak. Mari bibik pijatin.” Bibik Murni menawarkan diri mengurut Diha. Di tangannya ada sebotol minyak urut. 


“Eh, tak mengapalah, bik! Tak perlu susah-susah.” Terharu Diha atas keprihatinan yang ditunjukkan. “Doktor dah beri saya ubat tahan sakit. Esok lusa hilanglah sakit-sakit ni.” Lembut Diha menolak. Dia enggan menyusahkan Bibik Murni. 


“Nak Diha kan terkena hentaman kuat. Biar bibik pijat badannya tuh. Kelak lagi nyaman,” pujuk Bibik Murni beriya-iya. Riak wajah yang sarat kasih dan perhatian seorang ibu menenangkan Diha.


“Nak Diha, usah malu sama bibik. Baring di ambal, yuk. Jangan khuatir. Bibik pijat perlahan-lahan ya,” Bibik Murni memberikan jaminan. Berhati-hati dia membantu Diha berbaring di atas permaidani. Sebiji kusyen diberikan kepada Diha untuk dibuat alas kepala.


Bibik Murni mahir mengurut. Jari-jarinya cekap mengesan urat-urat yang sakit. Hilang sengal pada sendi-sendi Diha. Lenguh-lenguh pada seluruh tubuh turut berkurang. Diha berasa lega dan selesa diurut sehinggakan dia tertidur. Sesudah mengurut, Bibik Murni mengejutkan Diha. 


“Nak Diha, usah tidur di sini. Yuk, bibik tuntun ke kamar.” 


Diha membuka matanya malas-malas. 


“Ya Allah, bik. Sedap sangat bibik urut sampai tertidur saya.” 


“Kan bibik udah bilang,…kapan udah nyaman kae gini, bisa tidur dan istirahat dengan lebih sempurna. Mari! Bibik bantu Nak Diha ke kamar ya,” ujar Bibik Murni sekali lagi. Tangan dihulurkan, mengajak Diha bangkit.


“Tak apa, bik. Biar saya baring di sini dulu. Nak luruskan pinggang sekejap. Nanti saya masuk bilik sendiri,” balas Diha sambil membetulkan posisi tubuh. Kesedapan diurut oleh Bibik Murni, dia malas bergerak. Mahu terus menyambung tidur.


“Kalau begitu, Bibik sambung mengemas dahulu.” Alat kawalan jauh televisyen dicapai lantas butang ‘Off’ ditekan. 


“Hmm. Terima kasih banyak-banyak, bik,” ucap Diha sebelum memejamkan mata semula.



ARIYYAN bergegas balik ke rumah setelah urusan-urusan di Chamar Entertainment selesai. Dia berpesan kepada Bibik Murni agar menunggunya pulang dari kerja. Sebaik sahaja melangkah masuk, Ariyyan terkejut besar melihat Diha yang tertiarap di atas lantai. Panik, cepat-cepat dia mendekati Diha. Mata Diha terpejam rapat. 


Segera dia mengangkat tubuh Diha yang terkulai lalu dipangku. “Diha? Diha?! Kamu kenapa sih?” Ditepuk-tepuk pipi si isteri, cuba menyedarkannya. Mata melilau mencari kelibat Bibik Murni. 


“Bibik Murni?! Bibik?!” Ariyyan memanggil wanita itu. Bibik Murni tidak kelihatan.


“Bibik?! Bik?!” Jahar bunyi lantunan suaranya. 


Bibik Murni muncul dari dapur, terkocoh-kocoh datang mendapatkan Ariyyan. “Ada apa, pak?” Pelik juga Bibik Murni mendengar intonasi Ariyyan sebegitu. “Maaf, saya lagi mencuci pinggan di belakang.”


“Gimana bisa jadi kae gini, bik?” Cemas Ariyyan mengajukan pertanyaan mengenai Diha. Dia mengambil senaskhah suratkhabar dari atas meja kopi kemudian menggunakannya untuk mengipas muka Diha. Bibik Murni yang tidak tahu hujung pangkal cerita terpinga-pinga. Apa sebenarnya terjadi? Sewaktu dia meninggalkan Diha di ruang tamu, semua baik-baik sahaja. Diha menyambung tidur selepas tubuhnya diurut.


Ketika itulah Diha terjaga. Lena tidur terganggu dek kekecohan yang dicetuskan oleh Ariyyan. Terperanjat Diha apabila menyedari dia berada dalam pangkuan suami. Wajah Ariyyan benar-benar rapat dengan wajahnya. Beberapa helai rambut lelaki itu yang terjuntai menyentuh pipi. Tangan Ariyyan pula tidak henti-henti mengipas mukanya. Diha kehairanan. ‘Apa Ariyyan buat ni?’


“Ariyyan? Kenapa ni?” tanya Diha.


Allahu Akbar. Kamu sudah sadar? Gimana kamu rasa sekarang ini?” Garit-garit kerisauan nyata mendominasi ekspresi. Suratkhabar di tangan masih  mengipas muka Diha. Memastikan Diha mendapat pengudaraan yang cukup.


“Saya OK.”


“Kamu pengsan tadi, Diha,” jelas Ariyyan setelah melihat si isteri terkebil-kebil memandangnya. Dia membetulkan kedudukan kepala Diha di pangkuan. “Yuk, aku bawa kamu ke rumah sakit. Kemungkinan besar ada komplikasi.”


“Tidaklah,” nafi Diha. Komplikasi apa? Mengapa Ariyyan mengatakan dia pengsan?


“Nggak, pak.” Bibik Murni turut menidakkan. Respons hampir serentak daripada Diha dan Bibik Murni membuatkan Ariyyan keliru. 


“Apanya yang tidak?” Penuh musykil dia menagih penjelasan.


“Saya tak pengsan,” tutur Diha. Namun kata-kata Diha tidak dapat dicerna minda si suami. Tertiarap sedemikian rupa masakan tidak pengsan? Wajah Diha ditatap lama. Dia makin celaru.


“Nggak pengsan?” Kali ini pandangan dihalakan ke arah Bibik Murni. “Sebetulnya apa yang berlaku pada Diha, bik?” Kemusykilannya dilontarkan kepada wanita separuh abad itu. Bibik Murni menghampiri mereka berdua.


“Nak Diha nggak pengsan, Pak Ariyyan. Tadi Nak Diha tidur meniarap. Katanya pingin luruskan pinggang,” jawab Bibik Murni berusaha menjernihkan suasana. Ketara roman muka majikannya dibaluti kerisauan.


“Tidur?!” Nadanya antara percaya dengan tidak. “Kamu cuma tidur? Nggak pengsan?” Ariyyan mahukan kepastian. Diha mengangguk laju. Bibik Murni angguk buat kesekian kali. 


“Saya tidur.”


Astaghfirullahal 'azim. Aku fikir ada sesuatu terjadi pada kamu.” Ariyyan menghela nafas lega. Dia bersandar pada bahagian tepi sofa. Kepala Diha dibiarkan di atas ribaan.


“Kamu tidur rupanya.” Terhambur tawa Ariyyan. Dia meraup muka beberapa kali. “Hampir copot jantungku mikirin ada perkara buruk menimpa dirimu,” terangnya bersungguh-sungguh. Bibik Murni tersenyum kelucuan. Lapang dada tatkala kekeliruan yang timbul berjaya dileraikan. Bimbang jikalau Ariyyan menganggap dia gagal menjaga Diha dengan baik sebagaimana yang dimandatkan. ‘Sayang benar Pak Ariyyan pada Nak Diha,’ desis Bibik Murni.


“Kenapa kamu tidur kae orang pengsan?” soalnya diiringi tawa yang bersisa. Diha hanya senyum. Dalam keadaan pisat-pisat, dia terpana melihat wajah manis Ariyyan sedang ketawa. 



Terjemahan kata:

  • ditabrak - dilanggar
  • pijatin - urut, picit
  • nyaman - selesa
  • pingin - ingin
  • copot - jatuh, luruh

Previous: Bab25-1
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.