Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 21

SUASANA di dapur meriah dengan suara Diha dan Bahri berbual-bual. Beria-ia Diha mendengar cerita Bahri memasang jerat agar Ariyyan makan lempeng yang telah dibekalkan semalam. “Betul ke ni, Bahri?” soal Diha tidak percaya. Bulat matanya memandang Bahri. Jelas riak ceria terpamer di wajah. Dia tidak salah dengar kan? Meskipun terpaksa berkomplot menggunakan helah, setidak-tidaknya Ariyyan dapat menikmati masakan air tangannya. Bak kata orang tua dulu-dulu,  jika hendak memikat hati suami, pikat selera dan jaga perutnya terlebih dahulu. 


“Iya. Benar, kak. Makannya tanpa ragu. Pada mulanya, kang enggak mahu nikmati lempeng sama sambal bilis. Dibilang nggak tahan yang pedas-pedas. Tapi, selepas dicoba, kang makan bagai enggak mau berhenti!” Cerita Bahri bersulam tawa kecil. Lucu mengenangkan aksi Ariyyan yang tersandar kekenyangan setelah puas makan beberapa keping lempeng kelapa.


“Berkeringat seluruh wajahnya kepedasan, kak. Kang siap ngomong bisa makan lempengnya hari-hari karena enak bangat,” sambung Bahri. 


“Baguslah kalau begitu, Bahri. Saya cuma nak pastikan makan minum Ariyyan terjaga. Saya risau dia kerja keras sangat sampai lupa mengisi perut. Nanti bila perut masuk angin, dia juga yang teruk menanggung akibatnya,” luah Diha. Apa yang disampaikan oleh Bahri membuatkan Diha gembira. Tangan menyenduk lauk kari mamak ke dalam bekas plastik berbentuk empat segi. Hari itu dia menyediakan kari ikan tenggiri terung bulat tanpa santan. Beberapa keping capati dan sebuku roti putih turut dibungkus. Kemudian, Diha memasukkan makanan-makanan tersebut ke dalam sebuah beg kertas lalu dihulurkan kepada Bahri.


“Nah, temankan Ariyyan makan sekali ye, Bahri. Semua yang saya bekalkan cukup buat kalian berdua. Tak payah Bahri susah-susah beli makanan di luar. Boleh jimat belanja,” ujar Diha. Hari itu Ariyyan dijangka akan berada seharian di studio. Hingga malam. Jadi, Diha telah meminta Bahri datang semula ke rumah sebelum waktu makan tengah hari, untuk mengambil makanan yang dimasak. Bekalan Ariyyan.


“Makasih banyak, kak. Beruntung Kang ada Kak Diha yang menjaga kebajikannya,” ucap Bahri. Dia rela hati menolong Diha. Langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan. Tetapi, setiap kali Diha mengirim makanan Ariyyan, setiap kali itulah wanita itu membekalkan makanan buatnya. ‘Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak. Lagipun masakan Kak Diha enak bangat!’ omel Bahri.


Diha senyum. Itu sahaja yang termampu dilakukan bagi memastikan pemakanan Ariyyan tidak terabai. Bukan niatnya memperdaya Ariyyan. Sebaliknya hanya cara tersebut difikirkan sesuai buat masa ini. Dia ingin menjalankan tanggungjawab terhadap suami sebaiknya.


“Oh, tunggu sekejap.” Diha mencapai sebuah bekas makanan di atas meja makan. Bekas berkenaan turut dimasukkan ke dalam beg kertas tadi. 


“Ni ada nasi goreng daging merah. Nasi semalam banyak lebih. Saya gorenglah. Mana tahu kalau-kalau dia nak makan nasi. Tapi, sekiranya Ariyyan tak makan, jadi kamu yang punya. Jangan bazir,” pesan Diha. 


Ariyyan tidak suka makan nasi melainkan jika dia benar-benar lapar. Itu antara ‘fakta menarik’ yang diperoleh melalui hasil carian mengenai Ariyyan di internet. Satu lagi ikhtiar Diha demi mendekati dan mengenali Ariyyan. Kebiasaannya, Ariyyan gemar mengambil makanan yang ringan seperti roti atau biskut terutamanya pada waktu pagi. Apabila perut tidak terlalu kenyang, badan lebih cergas malah berupaya melaksanakan tugas sepanjang hari.


Bahri tidak berdepan sebarang masalah memastikan pakatannya dengan Diha berjaya dilaksanakan. Dia pandai mengumpan Ariyyan makan makanan yang dibawa. Tambahan pula, hidangan-hidangan disediakan oleh Diha amat menyelerakan. Yakin yang Ariyyan tidak akan menolak, dia hanya kena berhati-hati agar caranya tidak begitu ketara hingga menimbulkan syak di pihak Ariyyan.


Bahri mengetuk pintu studio. Ariyyan dan Timok berpaling. 


“Kenapa, Bahri?”


“Maaf kang, mengganggu,” tutur Bahri. Tangannya diangkat, menunjukkan tanda hormat pada Timok. 


“Kerjanya udah selesai? Saya beli makanan nih. Yuk makan bareng-bareng. Nanti telat makan lambungnya sakit kok.” Beriya-iya Bahri mengajak Ariyyan makan bersamanya.


“Bentar lagi, Bahri. Aku pingin habiskan ini dahulu,” balas Ariyyan merujuk kepada kerja yang sedang dilakukan dengan Timok.


“Nggak apa, Ri. Gue bisa sudahin kerja ini. Nggak banyak yang tinggal. Loe pergi makan dulu,” saran Timok. Ariyyan kalau buat kerja memang boleh lupa makan minum.


“Hmm, udah loe bilang gitu, aku isi perut sebentar ya,” putus Ariyyan, menepuk bahu Timok sebelum membuntuti Bahri ke pantri.


Bahri mula mengeluarkan makanan dari beg kertas yang dibawanya. Ariyyan membuka peti sejuk. 


“Es jeruk?” pelawa Ariyyan sambil mencapai dua botol jus oren. Panas-panas begini, tekaknya teringin minum air manis yang dingin. Bahri angguk kepala. Botol-botol di tangan Ariyyan diambil lalu diletakkan di atas meja.


“Kamu beli apa hari ini, Bahri?” tanya Ariyyan. Terpandangkan bekas-bekas makanan yang terhidang di depan mata, langsung dia berasa lapar. Pagi tadi dia cuma mengisi perut dengan beberapa keping biskut.


“Kita ada capati, dimakan bareng kari ikan tenggiri dan terung. Ada roti putih juga bisa kang nikmati sama kuah kari,” terang Bahri. Dihulurkan piring berisi sekeping capati kepada Ariyyan. Kari ikan dihidangkan betul-betul di hadapan majikannya. Selera Ariyyan terpancing sebaik sahaja melihat kepekatan tekstur kuah kari. Ditambah pula aromanya yang semerbak. 


“Yang ini nasi goreng daging merah. Mana tahu andai kang pingin makan nasi. Pilih ikut cita rasa. Terpulang kang mau yang mana. Kalau dihabisin semuanya lagi bagus.”


Ariyyan mengangguk-angguk. “Banyak kamu beli makanannya, Bahri.”


“Kang punya banyak kerja hari ini bukan? Jadi, kalau di sini sepanjang hari pun kang nggak perlu repot mikirin soal makanan. Semua telah tersedia lagi tinggal disuapin ke mulut,” petah Bahri menutur kata. Ariyyan sudahpun mula menyuap makanan. Capati dan kari ikan itu nampak kena dengan citarasanya. 


Sesudah makan, Ariyyan memanggil Bahri. Dia membuka dompetnya, menarik keluar beberapa keping not rupiah. Lantas, wang tersebut diserahkan kepada Bahri. 


“Ambil ni, Bahri.”


“Kang mau nitip apa?” Bahri mengandaikan yang Ariyyan hendak menyuruhnya membelikan sesuatu.


“Nggak. Wang ini untuk kamu,” jelas Ariyyan.


“Untuk saya? Wang apa ini, kang?” Terpinga-pinga Bahri. Mengapa Ariyyan memberinya wang? Gajinya baru dibayar minggu lepas. 


“Aku semata-mata tahu makan setiap apa yang kamu bawain. Tidak perlu bikin apa-apa, makanan sampai terus ke depan mata. Ambil wangnya, Bahri.  Buat tambah-tambah belanja,” balas Ariyyan. Kebelakangan ini, dia kerap menumpang makan hidangan dan lauk-pauk yang dibawa oleh Bahri. Baik juadah masakan ibunya, mahupun yang dibeli dari restoran berhampiran. Bahri tidak akan lupa menjamunya apabila masa makan tiba. Perkara itu seperti sudah menjadi kebiasaaan antara mereka. Secara tidak langsung, pemakanan Ariyyan ketika berada di tempat kerja kini lebih terjaga. 


Menyentuh bab makan, bukannya Ariyyan tidak pandai menjaga diri. Namun, tatkala dihadapkan kerja di depan mata, makan minum jatuh nombor dua.  Keutamaannya kerja, kerja, kerja. Tidak salah jikalau dia memberi Bahri sejumlah wang. Sekurang-kurangnya, dapat menampung kos atau belanja. Lagipun, Bahri bukan orang senang. Kelak, dek kerana setiap hari sibuk memikirkan hal makan minumnya, kebajikan diri dan keluarga Bahri pula yang terabai.


“Eh, usah begitu kang! Aduh, ngapain mau dibayar-bayar! Kang udah terlalu banyak bantuin saya dan keluarga. Kami masih hutang budi sama kang hingga ke hari ini. Maaf ya, saya nggak bisa terima wangnya.” Penuh sopan dan takzim dia menolak pemberian Ariyyan. Riak wajah Bahri jelas menunjukkan yang dia berada dalam keadaan serba salah saat itu.


Alangkah baiknya jika dia boleh memberitahu Ariyyan bahawa semua makanan lazat yang dibawa adalah kiriman daripada Diha. Air tangan Diha sendiri, yang bersungguh-sungguh memasak buat Ariyyan. Bahri sekadar seorang perantara. Seikhlasnya cuba membantu apa terdaya. Mudah-mudahan pertolongan kecil yang dihulur dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-kedua mereka.


Maka, tidak wajar dia menerima walau sesen pun wang Ariyyan. Diha atau Ariyyan tidak berhutang apa-apa dengannya. Sekalipun makanan-makanan yang dibawa untuk Ariyyan datang dari poket sendiri, Bahri tidak akan sampai hati menerima wang berkenaan. Terlampau banyak budi Ariyyan  pada dia dan keluarga. Tidak terkira. Mustahil dia dapat membalasnya.


“Nggak banyak nih, Bahri. Ambil aja.” Ariyyan tetap menyuakan wang kepada Bahri. “Masakan aku sewenangnya makan gratis sahaja tiap hari?” sambungnya, bermuka serius.  


Bahri menggeleng-gelengkan kepala. “Kang sudi menjamah makanan yang saya bawain, saya sudah cukup besar hati.” Sekali lagi dia menolak pemberian Ariyyan.


Ariyyan akhirnya mengalah. “Ya, begini aja. Sekiranya kamu perlu wang, jangan teragak-agak minta sama aku.”


“Iya. Iya.”


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.