Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 8

ATAS perbincangan juga persetujuan bersama, Ariyyan dan Diha membuat keputusan bernikah di Malaysia. Hal ini dirasakan sebagai langkah yang terbaik memandangkan keluarga terdekat Diha berada di Kuala Lumpur. Lagipun, Ariyyan tidak mahu perkahwinan barunya menjadi perhatian pihak media di Indonesia. Sudah terlalu banyak gosip yang mengaitkan dia dengan beberapa artis wanita di sana. Baginya, perkara itu tidak wajar dipanaskan lagi. Setelah menunggu beberapa urusan penting Ariyyan di Jakarta selesai, Ariyyan ditemani Armand dan Miranda menuruti Diha pulang ke Kuala Lumpur. 


Sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, mereka bertiga mendaftar masuk untuk menginap di Hotel Hilton manakala Diha bergegas pulang ke rumahnya. Dia perlu ruang masa untuk menyampaikan berita itu kepada Dina dan Fahim. Mengikut perancangan, sebelah petang nanti barulah Ariyyan, Armand dan Miranda akan datang ke rumah,  membincangkan perkara-perkara yang berkait dengan pernikahan mereka.


“Baiklah, Mbak Diha. Kiranya petang ini kami akan menyusul mbak di rumah ya,” ucap Armand sebelum Diha bertolak pulang. Perkhidmatan kereta Uber yang ditempahnya sudah tiba.


“Hmmm,...kalau ada apa-apa masalah, telefon saya ya. Insya-Allah, kita jumpa petang nanti,” balas Diha sambil bersalaman dengan Miranda. Dia memandang Ariyyan yang berdiri tidak jauh daripadanya. Sejak tadi lelaki itu hanya melayan perasaan. Tidak walau sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya. Dihadiahkan sebuah senyuman buat Ariyyan sebelum kaki melangkah keluar dari lobi hotel.


‘Semoga semuanya dipermudahkan,’ desisnya seraya menghela nafas panjang.



DINA IMANI terkejut apabila tiba-tiba kakaknya hendak ke Jakarta. Dia tidak langsung dimaklumkan atas urusan apa kakaknya ke sana. Tiada angin tiada ribut, beberapa hari kemudian, Diha kembali ke Malaysia membawa calon suami. Mengenali Diha, Dina tahu kakaknya itu memang suka melakukan sesuatu di luar jangkaan. Sanggup buat pelbagai perkara mengikut apa yang dirasakannya wajar. Tetapi dia tidak menyangka Diha akan pergi sejauh itu. Berkahwin dengan seseorang yang langsung tidak dikenali semata-mata demi  menunaikan janji kepada insan yang telah tiada.


“Akak, Dina tak kisah pun satu hari akak bangun pagi, buat keputusan sertai program tolong anak-anak di perkampungan orang asli. Sebulan lebih akak duduk kat situ. Punyalah susah kami nak hubungi akak semata-mata nak tanya khabar berita. Dina pun tak pertikaikan keputusan akak sambut raya korban di Kemboja tahun lepas sebab jadi sukarelawan di sana. Tapi yang ini?!”


“Kenapa dengan yang ini? Ada beza ke? Niatnya nak tolong orang juga kan?” tingkah Diha yang sedang memangku Hakeem. Sesekali Hakeem didukung menghadap dirinya lalu anak kecil itu diagah hingga mengekek. 


“Mana ada orang yang berkahwin sebab nak tolong orang?”


“Ada je...,” balas Diha endah tidak endah. Hakeem ditimang-timangnya.


“Kakakkkk! Seriuslah sikit, please.” Geram Dina melihatkan reaksi Diha yang dianggap tidak serius dalam perbualan itu. Lengan kanan Diha dicubitnya, ekspresi rasa tidak puas hati.


Diha mengeluh. “Tak salahkan kalau kakak tolong Ariyyan. Tolong tunaikan hajat terakhir Marsha. Kita terhutang budi pada arwah, Dina. Marsha yang tanggung sebahagian besar kos pembedahan Dina tahun lepas. Ingat lagi tak keadaan kewangan kita waktu tu?”


Dina mengangguk. Memang benar ketika itu mereka sangat terdesak. Pembedahannya nyaris sahaja dibatalkan kerana Diha tidak dapat menyediakan wang biaya kos pembedahan tersebut. Dalam kerunsingannya, Diha menyuarakan masalah itu kepada Marsha. Sekadar meluahkan perasaan. Tidak diduga sama sekali, tanpa berlengah Marsha mengirimkan sejumlah wang yang diperlukan.


“Akak takut sangat akan kehilangan Dina. Akak doa mohon Allah lorongkan jalan agar Dina dapat dibedah dan kembali sihat. Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan akak. Allah hantar Marsha sebagai perantaranya. Padahal masa tu, dia sendiri sedang berperang melawan penyakit. Tetapi dia masih murah hati nak tolong kita.” Ada getir yang menyelinap dalam hatinya tika dia mengingati saat-saat itu.


“Akak rasa tak salah kalau akak cuba laksanakan amanat arwah. Dengan izin Allah, Marsha bantu kita dan Dina dapat jalani kehidupan yang lebih baik. Lebih sihat. Akak dapat adik akak semula. Kenapa akak tak boleh buat benda yang sama untuk Ariyyan?” Diha mengajak Dina berfikir. 


Dina memandang wajah kakaknya lama. Penjelasan Diha yang terhutang budi dengan Marsha langsung tidak dapat meredakan kerisauannya. Memang benar jasa Marsha terlalu besar. Tetapi setarakah tindakan yang bakal diambil oleh Diha dengan budi yang telah dihulur?


“Tapi kak, akak tak kenal dia langsung...” Disuarakan kebimbangannya kepada Diha. “Dengan orang yang kita kenal pun susah kita nak sesuaikan diri, apa lagi dengan orang asing? This is a marriage you know. Not a Facebook friend request yang kita boleh terima tanpa fikir panjang,” tambahnya lagi.


Diha memaniskan muka. Dia tahu, seperti selalu Dina risau akan dirinya.


“Ingat tak kumpulan dari Indonesia yang akak suka sangat tu?”


“Maksud akak, ARJUNA?”


“Hmmm.”


“Mestilah ingat. Akak pasang lagu diorang pagi petang siang malam.” Dina mengusik kakaknya. Malah, ketika ARJUNA mengadakan konsert di Malaysia beberapa tahun lepas, dia turut ikut menemani Diha menyaksikan persembahan kumpulan itu.


“Tengok muka Ariyyan tu betul-betul.” Diha menggunakan jemarinya untuk memalingkan wajah Dina ke arah Ariyyan.  Saat itu Ariyyan sedang berbual dengan Fahim tidak jauh dari tempat mereka berdua duduk. Meskipun berasa sedikit keliru dengan permintaan Diha, diperhatikan juga raut wajah bakal abang iparnya. 


‘Apa kena mengena dia ni dengan kumpulan ARJUNA? Ada-ada sajalah Kak Diha ini!’ gumam Dina dalam hati. 


‘Eh,...’ Dina mula rasa seperti pernah melihat Ariyyan. ‘Kenapa macam cam je dia ni?’ 


“Hah?!” Dina separuh menjerit. Menyedari intonasi suaranya sedemikian, cepat-cepat dia menutup mulut. ‘Biar betul!’ Wajah Ariyyan diteliti lebih dalam. Tidak percaya dengan apa yang dilihat, Dina mengangkat punggung. Dia merapati Fahim dan Ariyyan. Teko air panas di atas meja dicapai lalu Dina menuangkan air ke cawan tetamunya. Kesempatan itu digunakan untuk memandang Ariyyan dengan lebih dekat. Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepadanya.


“Makanlah kuih tu Abang Ariyyan. Jangan malu-malu,” pelawa Dina sebelum gesa-gesa mendapatkan si kakak. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak.


Is that him?! It’s him, right?”


Angguk.


“Ini Ariyyan yang nyanyi ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ tu?” Dina kurang mengikuti perkembangan artis luar. Dia cuma meminati Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Artis pujaannya yang tiada banding dan tara. Dia mengenali ARJUNA pun kerana Diha cukup meminati lagu-lagu dendangan kumpulan tersebut. Menurut Diha, lagu-lagu ciptaan Ariyyan sampai terus ke jiwa. Kena dengan cita rasa.


 “Ya Tuhan, kecilnya dunia!” Dina menggeleng-gelengkan kepala. Minda masih cuba memproses apa yang baru diketahui. ‘Kak Diha dan Ariyyan?! Ariyyan si penyanyi popular?! Seriously?’


“Akak nak kahwin dengan artis terkenallah ni?!” soal Dina dengan teruja. Buntang mata menagih penjelasan lanjut.


“Ish, ke situ pulak dia!” potong Diha pantas. Ditepuk bahu adiknya.


“Kenapa Kak Marsha tak pernah beritahu yang suami dia tu artis? It’s weird, right?! Don’t you think it’s weird?!” Tiba-tiba perkara itu terlintas di benak Dina.


Diha memandang Ariyyan sekilas. Dia cuma diam. 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.