DIHA mengangkat gitar Ariyyan yang terdampar di lantai ruang tamu. Dibelek-belek gitar itu buat seketika. ‘Ariyyan bad mood lah ni. Tak pasal-pasal kau pun jadi mangsa,” omel Diha, seolah-olah sedang bercakap dengan gitar kepunyaan suami. Gitar tersebut dipegang kemas. Satu demi satu tali gitar dipetik perlahan. Sekadar suka-suka. Ceria dia mengamati bunyi yang terhasil.
“Kamu bikin apa?!” Diha tersentak. Dia tidak sedar dari mana Ariyyan datang. Tahu-tahu terpacul di situ. Dia mengukir senyum. Wajah Ariyyan yang kelihatan tidak terurus dek kerana sudah beberapa hari tidak bercukur, ditatap penuh kasih. Di matanya, Ariyyan tetap nampak kacak dan sempurna walau kusut-masai begitu. ‘Masamnya muka! Kalau awak senyum sikit kan bagus,..’ sempat Diha bermonolog.
“Tengah tengok gitar awak. Gitar kesayangan awak kan?” soal Diha. Memulakan interaksi dua hala.
“Nggak,” balas Ariyyan. Sengaja menafikan meskipun apa yang dikatakan oleh Diha itu benar. Hakikatnya dia tiada angin melayan bual si isteri. Gitar diambil dari tangan Diha. Pada masa yang sama, terbit rasa musykil di hati. ‘Gimana dia bisa menebak ini gitar kesayanganku? Ada-ada saja cewek ini!’
“Itu gitar pertama awak kan?” Diha meneruskan perbualan. Selangkah dia merapati Ariyyan.
Diam. Tiada respons.
“Arwah datuk awak yang hadiahkan gitar ini masa awak mula-mula tunjuk minat dalam bidang muzik dan belajar main gitar. Ni pelekat ‘Guns and Roses’ dekat body gitar ni, awak beli sendiri dengan wang saku. Dalam banyak-banyak gitar, ini yang paling awak sayang. Awak selesa cipta lagu,..rakam lagu guna gitar ni,” ulas Diha panjang lebar, mengumpan minat Ariyyan.
“Mana kamu tau?! Dari Marsha?!” herdik Ariyyan. Amarah menakluki hati mengenangkan entah apa lagi yang dikongsikan antara Marsha dengan Diha. Jika bukan melalui mulut Marsha, bagaimana Diha boleh tahu mengenai gitar itu hingga ke butiran-butiran kecil? Haruskah Marsha memperincikan setiap kegemaran dan kebenciannya pada orang asing? Tidakkah Marsha sedar, segala kenangan, kisah suka duka mereka sewajarnya kekal eksklusif milik mereka. Tidak perlu dikisahkan kepada sesiapa. Jauh di sudut sanubari, dia teramat kecewa. Tersinggung. Tiada kata yang tepat dapat menggambarkan amukan perasaannya kala itu. Kerancuan!
Sehingga kini persahabatan Diha dan Marsha terus dipertikaikan minda Ariyyan. Jika tidak berkenalan rapat, bagaimana Diha tahu perkara-perkara mengenai dirinya, mengenai Marsha yang tidak didedahkan kepada umum? Andai betul bersahabat baik, kenapa dia tidak pernah maklum akan kewujudan persahabatan kedua-duanya.
Diha terkejut disergah sebegitu rupa. Namun, dia tidak berganjak. Dia berdiam sebentar. Menimbang tara sambil menyusun kata-kata sebaik mungkin. Dia perlu bersuara. Perlu ikhtiar mendekati Ariyyan. Hubungan mereka tidak patut kekal terumbang-ambing begini. Mata bundar Diha lembut memandang Ariyyan.
“Ariyyan,...”
Tiada jawapan. Hanya renungan kosong Ariyyan yang terhala ke arahnya.
“Kita hidup serumah. Takkan sampai bila-bila pun awak nak cakap kasar, nak marah-marah setiap kali saya sentuh barang awak?
Senyap sunyi.
Yakin bahawa dia berjaya memancing sekelumit perhatian si suami, Diha menyambung tutur, “Kita dua orang dewasa yang berakal. Boleh berfikir secara rasional. Tak boleh ke kita berkomunikasi dengan cara baik? Macam orang biasa.” Penuh waspada Diha meluah baris-baris ayat. Takut seandainya dia mengguris hati Ariyyan.
“Saya bukan musuh awak, Ariyyan. Saya tak berniat nak rampas apa-apapun daripada awak.”
Ariyyan tidak membalas. Akal ligat mencerna apa yang disampaikan oleh Diha. Ada sesuatu pada kata-kata Diha yang menyentak kalbu. Merenjat daya fikir dan kewarasan akal. Dia mengeluh. Tubuh dihempas ke sofa. Gitar kesayangan didakap erat. Diha tersenyum melihatkan tindakan ariyyan. Polos ibarat anak kecil dalam rajuk, memeluk mainan yang enggan dilepaskan.
“OKlah. Saya minta maaf usik gitar awak tanpa izin. Lain kali tak buat dah. Janji. If you need anything, saya di dalam bilik ye,” putus Diha lalu mengatur langkah masuk ke bilik. Tiada guna dia berada di situ dan membuat Ariyyan berasa tidak selesa. Sebolehnya dia ingin menghindar dari tercetus sebarang perselisihan antara mereka.
“Mana kamu tahu ini gitar kesayanganku?” tanya Ariyyan tiba-tiba. Nada suaranya sudah mengendur. Naluri lelakinya mula mengalah. Dia bangkit. Tubuh dipaling mencari kelibat Diha.
Diha tidak jadi berlalu. Perlahan-lahan dia menghampiri Ariyyan semula. Raut muka dimaniskan. “Saya baca di internet,” jelasnya.
“Internet? Kapan aku bicara mengenai gitar ini di internet?” Ariyyan keliru. Belakangan ini dia sering mengelak daripada ditemubual wartawan. Jika adapun, cuma menjawab pertanyaan berhubung perkembangan kariernya dan ARJUNA. Mengulas tentang itu semua pun dia malas, inikan pula untuk saja-saja membuka cerita berkait gitar kesayangannya.
“Cerita lama. Di Kapanlagi.com.” Diha merujuk kepada sebuah laman web hiburan terkenal Indonesia. “Saya goggle awak. Jumpa cerita awak dan gitar tu.”
“Goggle? Kamu goggle aku di internet?” Hairannya makin memuncak.
Diha mengiyakan.
“Buat apa?”
“Nak tahu tentang awak lah.”
“Mau tau tentang aku? Untuk apa?”
“Nak lebih mengenali awak,” terang Diha jujur.
Ekspresi Ariyyan terus berubah. Perasaannya sukar ditafsir. Sejauh itu kesungguhan Diha cuba mendekati diri. Lantas Ariyyan teringat insiden di pejabat Armand. Janjinya pada Diha sebelum dia melamar wanita itu sebagaimana yang dihajati Marsha.
“Aku mohon maaf siang-siang sekiranya aku nggak bisa menjadi suami yang baik buat kamu. Aku harap kamu sabar. Aku perlukan lebih masa.”
Diha tenang mendengar penjelasannya.
“Apa yang bakal kita lalui,...” Ariyyan berdehem beberapa kali. Mencari kekuatan diri. “Maksudku, perkahwinan ini tidak akan menjadi sesuatu yang mudah. Sejujurnya, aku belum siap,..belum sedia melayari hidup baru dengan sesiapa. Tapi, aku akan coba seikhlas mungkin menjalani kehidupan sama kamu."
Satu keluhan panjang dilepaskan. Adakah dia seorang suami yang baik? Yang layak buat Diha. Adakah dia telah benar-benar berusaha ke arah itu? Sejurus, bayangan paras Marsha menerpa ingatan. Ariyyan meraup muka. Buntu apabila terpaksa mendepani situasi serba tidak kena sedemikian. Pandangan dialihkan. Bertandang rasa serba-salah dalam diri membuatkan dia tidak sanggup menentang mata Diha.
Menyedari wajah Ariyyan bertukar riak seumpama bulan dilanda gerhana, Diha cepat-cepat mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu Ariyyan terus-terusan berada dalam kemelut atmanya sendiri.
“Ariyyan,...”
“Hmmm.”
“Boleh saya tanya pasal lagu ‘Cintamu Bukan Milikku’?”
Ariyyan menjungkit kening. “Ada apa dengan lagu itu?” soal Ariyyan. Kalau diikutkan, dia berat mulut untuk bersuara. Tetapi disebabkan Diha beria-ia mencipta ruang agar mereka dapat berbual, diturutkan sahaja rentak si isteri. Tidak menjadi nanah pun sekiranya sekali sekala dia melentur hati cuba berlembut dengan Diha.
“Masa awak rakam lagu tu memang pakai gitar je ke? Tak pakai alat muzik lain?”
Ariyyan angguk.
“Awak yang main?”
Angguk lagi.
“Saya suka lagu tu. Petikan gitar awak menyentuh perasaan,” puji Diha. Tiada reaksi ketara daripada Ariyyan namun Diha dapat mengesan gerakan kecil di hujung bibirnya.
‘Alahai,..senyum ke tu?’ desis Diha. Lucu melihat reaksi Ariyyan.
“Hmmmm,... entah berapa banyak hati awak dah sentuh melalui petikan gitar dan muzik awak kan?” ucapnya kagum.
Meskipun Ariyyan bungkam membisu, Diha pasti Ariyyan mendengar semuanya. Tampang muka si suami yang pada awal tadi tegang dan keruh, kini mula kelihatan tenang.
“Bagi saya awak natural. Jiwa awak sebati dengan muzik yang awak mainkan. Bila saya dengar awak petik gitar sambil nyanyi, best sangat! Melodi dan jiwa awak bersatu. Feeling habis!” Seandainya dia kedengaran seperti seekor burung kakak tua tanpa henti bercakap dengan diri sendiri sekalipun, Diha tidak peduli. Biar Ariyyan tahu karyanya dihargai. Dia ingin menyuntik semangat supaya lelaki itu keluar dari kepompong kemurungan.
“Semoga awak terus hasilkan lagu yang indah-indah. Yang hebat-hebat! Lagu awak bukan sekadar santapan halwa telinga, malah jadi peneman untuk orang sunyi macam saya.” Diha meluahkan apa yang terlintas di kepalanya. Tidak kiralah Ariyyan hendak dengar atau tidak.
“Err, awak nak saya simpankan gitar tu ke?” tanya Diha. Dia bimbang kalau-kalau gitar berkenaan menjadi mangsa angin tidak baik Ariyyan buat kali kedua. Nilai sentimentalnya tinggi. Banyak berjasa!
“Nggak apa. Biarin di sini aja.”
“Saya masuk bilik dulu.”
“Iya,” balasnya sepatah.
Ariyyan mengiringi langkah Diha menggunakan ekor mata. Sebaik sahaja dia kembali bersendirian, dia merebahkan diri ke sofa. Ariyyan memejamkan mata rapat-rapat. Salah satu kusyen kecil di atas sofa itu dijadikan alas kepala. Setiap butir bicara Diha terngiang-ngiang di telinga.
“Hmmmm,... entah berapa banyak hati awak dah sentuh melalui petikan gitar dan muzik awak kan?”
“Semoga awak terus hasilkan lagu yang indah-indah. Yang hebat-hebat! Lagu awak bukan sekadar santapan halwa telinga, tetapi peneman untuk orang sunyi macam saya.”
Di luar sedar, Ariyyan mencapai gitarnya. Pujian dan komen Diha meresap ke dalam sukma seumpama satu bentuk dorongan halus. Menular ke setiap inci tubuh. Spontan dia memetik not demi not. Menghasilkan alunan indah lagu ‘Cintamu Bukan Milikku’. Petikan gitarnya bagaikan bergema memecah hening di ruang tamu itu. Ariyyan hanyut meladeni emosi yang halai balai.
...dan dari balik dinding, sedang mendengar dengan nafas tertahan, Diha tersenyum sendiri.