SUDAH genap seminggu dia menjadi isteri Ariyyan. Semuanya serba asing dan baru buat Diha. Sehari selepas berlangsungnya majlis pernikahan, mereka terpaksa bergegas pulang ke Jakarta. Ariyyan perlu ke Surabaya selama empat hari memenuhi tuntutan kerja bersama ahli kumpulannya. Sepanjang tempoh itu Diha bersendirian cuba menyesuaikan diri di rumah baru. Hanya semalam baru Ariyyan pulang. Itupun sudah lewat malam. Lelaki itu kelihatan terlalu letih. Dia menegur Diha sepatah, kemudian terus menghilang ke dalam bilik. Diha tidak sampai hati mengganggunya. Biarlah Ariyyan rehat.
Pagi itu setelah bersarapan, Diha masuk ke bilik tidur utama. Bilik Ariyyan. Ruang yang penuh sarat dengan kenangan – kenangan Ariyyan bersama Marsha. Sebuah potret besar gambar perkahwinan mereka menghiasi kepala katil. Gambar tersebut menjadi tarikan utama bilik itu. Ariyyan menundukkan sedikit kepalanya memandang Marsha sambil tangannya merangkul erat pinggang isteri. Marsha pula membalas renungan Ariyyan mesra. Tangan kanan diletakkan di bahu kiri Ariyyan manakala tangan kirinya pula di dada si suami. Jelas terpancar kegembiraan Ariyyan dan Marsha sebagai sepasang mempelai yang sangat cocok. Senyuman kedua-duanya nyata ekspresi kebahagiaan mereka.
Pandangan beralih ke katil. Pantas sahaja tangan Diha mengemaskan cadar. Beberapa helai pakaian kepunyaan Marsha di atas tilam dilipat kemas lalu diletakkan rapi-rapi di atas bantal. ‘Rindu benar Ariyyan pada Marsha,’ simpul Diha dalam hati. Pasti pakaian Marsha itu dijadikan teman tidur Ariyyan. Penawar kala hati diamuk rasa rindu. Ubat penenang jiwa.
Kalau menyentuh tentang kehilangan insan tersayang, dia lebih arif mengenai perasaan itu. Ibu. Ayah. Malah dia sendiri dulu bagai hilang separuh nyawa apabila Muammar pergi menghadap Ilahi. Lama juga masa yang diambil untuk Diha belajar menerima hakikat bahawa Muammar tidak akan kembali.
Diha kemudiannya mendekati meja solek di bahagian kiri bilik. Di atas meja itu penuh dengan barang-barang peribadi Marsha; botol – botol losen, minyak wangi, alat solek dan pelbagai aksesori perhiasan diri. Di atas lantai di tepi meja solek pula terdapat beberapa timbunan majalah.
“Banyaknya majalah!” Omel Diha. Dia membongkokkan sedikit tubuh lalu mencapai senaskhah majalah yang paling atas.
Majalah HiasReka yang dialamatkan kepada Marsha di tangannya itu masih berbalut kemas di dalam sampul plastik. Marsha memang meminati seni hiasan dalaman serta dekorasi taman. Diha membelek beberapa naskhah majalah yang lain. Terdapat beberapa jenis majalah yang dilanggan oleh arwah Marsha. Majalah-majalah di bahagian atas semuanya edisi terbaru. Maknanya, biarpun sudah lebih setahun Marsha pergi, Ariyyan tetap meneruskan langganan majalah-majalah kegemaran isterinya.
Teringat akan tujuan asal dia masuk ke bilik, Diha cepat-cepat mengutip pakaian kotor Ariyyan yang bersepah di atas lantai. Ketika itulah, Ariyyan muncul. Air mukanya berubah tatkala mengesan kehadiran Diha di situ.
“Kamu bikin apa di sini?!” sergahnya. Diha terkejut. Tidak perasan langsung akan kehadiran Ariyyan yang entah dari mana. Mungkin lelaki itu baru keluar dari bilik kerjanya yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur utama. Terdapat sebuah pintu gelangsar yang menghubungkan kedua-dua ruang bilik berkenaan.
“Saya ambil pakaian kotor awak. Nak basuh.” Sungguhpun terkejut dengan nada suara Ariyyan, Diha mampu lagi bertenang memberi jawaban yang munasabah.
“Keluar! Aku nggak mahu kamu masuk kamar ini lagi!” tegas suaranya. Lurus jari telunjuk tangan kanan menunjuk ke arah pintu. Diha tidak ingin mengeruhkan keadaan. Buru-buru dia menapak keluar. Semasa melintasi Ariyyan, secepat kilat Ariyyan merampas baju-bajunya dari tangan Diha.
“Saya,..” Belum sempat apa-apa, pintu bilik ditutup kuat oleh Ariyyan. Betul-betul di hadapan mukanya.
‘OK, Diha. Peringatan untuk diri. Jangan masuk bilik tidur Ariyyan! Itu wilayahnya yang kau tak boleh ceroboh,” pesan Diha kepada dirinya sendiri. Mencorakkan hidup baru berumah tangga memerlukan dia banyak bertoleransi. Apatah lagi, dia belum mengenali Ariyyan sepenuhnya. Apa suka dan bencinya.
Diha menarik nafas dalam-dalam. Tindakan Ariyyan sebentar tadi sedikit pun tidak meninggalkan kesan di hati. Gadis itu sudah terdidik dengan pelbagai kemelut dan cabaran hidup. Memulakan kehidupan berdua bersama Dina setelah kematian ibu bapa mereka, memastikan semuanya cukup untuk mereka meneruskan hidup, macam-macam yang telah dihadapi. Sindiran, herdikan, caci-maki. Dia sudah lali. Malah semua itu mengajarnya agar tidak cepat melatah.
Langkah diatur ke bilik dobi bersebelahan dengan dapur. Kemudian, Diha kembali dengan sebuah bakul pakaian di tangan. Pintu bilik Ariyyan diketuk. Tiada jawaban.
“Ariyyan,..” panggilnya perlahan. Kali ini pintu bilik Ariyyan diketuk dengan lebih kuat.
Setelah menanti beberapa ketika, akhirnya Ariyyan membuka pintu. Lelaki itu tidak bersuara. Berdehem tidak. Berdecit pun tidak. Sebaliknya dia hanya berdiri di belakang pintu yang separuh terbuka itu. Pandangan kosongnya dijatuhkan. Pura-pura sibuk memeriksa kuku di jari.
Kesempatan itu diambil oleh Diha untuk meneliti wajah lelaki bergelar suami di hadapannya. Ariyyan nampak tampan dengan sedikit rambut terjurai di dahi. Potongan rambut itu lebih sesuai dengan bentuk wajah Ariyyan berbanding potongan rambutnya beberapa tahun dahulu. Tatkala dia menunduk begitu, nampak ketara garis rahang pada wajahnya. ‘Kacak juga dia ni,’ gumam Diha dalam hati. Mengamati seraut wajah milik Ariyyan dari jarak dekat.
‘Hmm,..tentu lebih kacak jika Ariyyan pandai bermanis muka. Rasanya, sejak kali pertama bersua muka dengan Ariyyan, dia tidak pernah senyum pun. Riak muka selalu serius, marah, kosong, sedih, serius, kosong...’Diha berkira-kira dalam fikirnya.
“Mau apa?” Bena tidak bena Ariyyan mengajukan soalan kepadanya.
Diha tersentak. Kendatipun tidak setinggi mana lontaran suara Ariyyan, nada seriusnya cukup membuatkan khayalan Diha berterabur. Kali ini pandangan Ariyyan pula yang tertancap pada dirinya.
“Err, saya nak minta maaf sebab tadi masuk bilik awak tanpa izin. Janji tak buat lagi! Maaf ye, Ariyyan.” Permohonan maaf Diha tidak mendapat sebarang respons daripada Ariyyan. Lelaki itu senyap membisu.
“Nah, nanti bila awak ada kain kotor, masukkan dalam bakul ni. Letak je di luar pintu. Bolehlah saya tolong basuhkan,” ucap Diha sambil menghulurkan bakul pakaian kepada Ariyyan. Huluran bakul itu tidak bersambut.
“Nggak perlu. Aku hantar dobi aja.”
“Kalau dulu tak mengapalah hantar dobi. Sekarangkan saya ada boleh tolong basuhkan pakaian awak,” Diha cuba berasional. Buat apa susah-susah bazirkan duit. Dia sendiri mampu melakukannya.
Lagipun, bilik dobi di rumah itu lengkap serba-serbi. Dari mesin basuh ke mesin pengering, cecair pencuci ke cecair peluntur, hinggalah ke peralatan menggosok, segalanya ada! Dipendekkan cerita, bilik dobi itu seumpama dijelmakan terus dari katalog IKEA. Terpana Diha saat pertama kali dia masuk ke situ. Kagum. Yalah, orang berkemampuan seperti Ariyyan, tentulah rumahnya dilengkapi dengan segala yang terbaik.
Ariyyan diam. Tidak membalas apa-apa. Dipandang wajah Diha beberapa detik. Merasakan yang Diha tiada apa lagi untuk diperkatakan, Ariyyan menutup pintu. Sekali lagi Diha ‘beramah mesra’ dengan muka pintu. Dia panar seketika.
‘Mmm, biarlah. Tak luak apa pun,’ bisik Diha menenteramkan hati. Namun, dia tetap meninggalkan bakul kosong di luar pintu bilik Ariyyan.