ARIYYAN mengemaskan pakaian yang akan dibawa ke Batam. Kelengkapan dandanan diri turut dimasukkan ke dalam beg. Sesudah itu, dia menghampiri meja perhiasan di ruang tamu. Dia hendak meletakkan wang belanja buat Diha sepanjang peninggalannya. Laci meja perhiasan ditarik. Berkerut dahi Ariyyan melihat wang yang diletakkan minggu lepas masih ada. Tidak berusik.
Kebetulan Diha melintas di hadapannya membawa bakul pakaian kotor. Dia melemparkan senyuman manis tatkala pandangan mereka bertemu.
“Mengapa kamu nggak guna wang yang aku tinggalin?” Ariyyan dengan suara monotonnya ingin tahu.
“Ya?” Terkejut Diha tiba-tiba disoal begitu. Dia berjalan ke arah Ariyyan. “Ada apa, Ariyyan?”
“Wangnya nih. Mengapa nggak diguna?” Lelaki itu mengulang pertanyaan. Mata memandang tepat ke wajah Diha.
“Guna. Duit tu saya guna bila perlu,” jawab Diha lembut. Memang benar. Duit belanja pemberian Ariyyan cuma sekali sekala diambil untuk membeli keperluan rumah. Lazimnya, dia menggunakan wangnya terlebih dahulu.
“Kae nggak luak langsung,..” ulas Ariyyan. Gulungan not rupiah dicapai lalu dikira. ‘Apa si Diha nggak berbelanja?’
“Saya ambil waktu nak beli barang-barang rumah je,” jelas Diha. Berapa sangatlah perbelanjaan setakat mereka berdua. Tambahan pula, jumlah wang yang Ariyyan tinggalkan besar. Tidak terhabis.
“Barang-barang rumah?”
“Hmm.” Diha mengiakan. “Barang dapur,..bahan-bahan masak. Saya beli barang yang awak kirim macam syampu, shaver dan aftershave pun pakai duit tu. Duit awak beri lebih daripada cukup.”
“Udah tu, keperluan kamu?”
“Keperluan saya?”
“Iya, keperluan harian kamu. Mau beli busana, alat solek, pewangi,..”
“Oh, saya guna duit sayalah.”
“Kenapa?”
“Kenapa apa?” soal Diha kembali. Diha tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Ariyyan.
“Kenapa guna wang kamu? Wang kamu disimpan, dong. Aku kan suamimu. Masih mampu menafkahi. Kamu tidak perlu menahan diri berbelanja. Gunakan wang yang kuberi,” tegas Ariyyan. Dia ingin Diha mengerti. Menyara dan menjaga Diha merupakan kewajipannya.
“Saya bukan ada benda sangat pun nak dibeli. Baju, kasut semua ada.” Lagipun, dia terbiasa berbelanja menggunakan wang sendiri. Dia bekerja dan mempunyai pendapatan. Maka, tidak wajarlah dia menyusahkan Ariyyan.
“Soalnya sekarang, aku nggak mahu kamu sentuh wang kamu lagi. Wangnya disimpan. Nah, wang ini untuk belanja rumah. Untuk belanja kamu juga. Keperluan, kehendak kamu, malah seluruh perbelanjaan isi rumah adalah tanggungjawabku. Kalau nggak cukup bilang sama aku,” putus Ariyyan. Tangan kanan isteri diraih. Dia meletakkan gulungan wang yang agak tebal di atas telapak tangan Diha.
“Terima kasih banyak-banyak, Ariyyan,” ucap Diha.
“Sama-sama,” balasnya sebelum beredar ke beranda. Diha memerhatikan langkah dan gerak tubuh Ariyyan. Jauh di sudut hati, dia terharu dengan kesungguhan Ariyyan yang tidak berkira meninggalkan duit untuk dia berbelanja. Selepas menyimpan wang di dalam laci, terus dia ke bilik dobi menghantar pakaian kotor.
“OK, DONE.” Diha selesai menerbitkan entri baharu ‘Giveaway Souvenirs by Siti Yang Menaip’. Pemiliknya, Siti Humairah, seorang yang peramah. Kerap menganjurkan giveaway setiap kali pulang dari melancong. Sesekali, apabila berkesempatan Diha menyertai giveaway anjuran rakan-rakan penulis blog sebagai tanda sokongan. Matlamat giveaway diadakan adalah untuk menambah kenalan dan bilangan pengikut blog. Selain itu, terdapat segelintir penulis blog berkolaborasi dengan produk-produk tertentu melalui giveaway mereka atas tujuan promosi. Blogger-blogger berpeluang berkenalan lebih lanjut antara satu sama lain, mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti blogger di samping memenangi hadiah yang ditawarkan.
Mata Diha terasa berat. Semasa mematikan suis lampu bilik, telinga menangkap bunyi televisyen. Ariyyan belum tidur? ‘Bukankah awal pagi dia akan bertolak ke Batam?’
“Tak boleh tidur ke, Ariyyan? Esok pagi kan awak outstation.” Prihatin Diha bertanya. Ariyyan yang nyata tidak bermaya dihampiri. Lesu. Kebelakangan ini, Ariyyan semakin sukar melelapkan mata meskipun malam sudah larut. Simpati Diha memikirkan keadaannya. Badan penat tetapi mata tidak pejam-pejam. Jika berlarutan begitu, kesihatan bakal terjejas. Sedangkan Ariyyan perlu cergas dan bertenaga ketika beraksi di pentas. Menjanjikan persembahan terbaik adalah tuntutan kerjanya.
“Mmm,..” Ringkas balasan Ariyyan. Pandangannya tidak teralih dari skrin televisyen. Sambil itu tangan kanan memicit-micit tengkuk. Enggan mengganggu Ariyyan, Diha berlalu pergi.
“Aku nggak mahu susu coklat panas!” Keras suara Ariyyan menegah. Mesti Ariyyan berfikir yang dia akan ke dapur membancuh susu coklat panas. Diha tersenyum kecil lalu berpusing menghadap suaminya.
“Tidak, jangan risau. Saya tak buat apa-apa,” ujar Diha. “Tapi, kalau awak nak air panas, semua saya dah siapkan atas kitchen trolley tu. Macam biasa. Tinggal bancuh je.”
Diha membuka pintu kabinet dapur, mengeluarkan set aromaterapi yang dibeli khusus buat Ariyyan di pusat beli belah petang kelmarin. Minyak aromaterapi yang mengandungi pati lavender dan sandalwood itu dipercayai berupaya memberi ketenangan, membangkitkan suasana menyenangkan. Mana tahu boleh bantu Ariyyan tidur.
Dia menitiskan esen minyak aromaterapi ke dalam bekas bertungku khas. Lilin kecil di bawah tungku dinyalakan. Kembali ke ruang tamu, mata melilau memilih lokasi sesuai. Akhirnya, diletakkan bekas aromaterapi berkenaan di atas almari perhiasan berhampiran Ariyyan. Bau harum serta mendamaikan mula memenuhi ruang.
Perbuatan Ariyyan yang mengurut-urut bahu memancing perhatian Diha. ‘Aik, tadi urut tengkuk. Ni urut bahu pula. Sakit ke dia?’ Dia terus mengamati lelaki itu. Ariyyan tampak tidak selesa. Batang tengkuk ditekan-tekan. Sekejap bahunya diurut-urut. Sekejap ditumbuk-tumbuk.
“Kenapa dengan bahu awak?”
“Entah, salah urat barangkali. Sejak sore semalam sengal-sengal,” jelas Ariyyan. Dipusingkan lagi leher ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Membetulkan urat-urat yang sakit.
“Salah tidur ke?”
“Mungkin.”
“Nak saya urutkan tak?” Lembut Diha menawarkan bantuan. Ariyyan berpaling saat mendengar pertanyaannya. “Err,..maksud saya memijat,...memijit..,” sambung Diha kurang pasti istilah bahasa Indonesia untuk mengurut. Seingatnya dia pernah dengar Bibik Murni menyebut ‘pijat’. Kedua-dua belah tangan digerakkan, melakonkan gaya seolah-olah sedang mengurut. Biar Ariyyan faham apa yang cuba disampaikan.
“Kamu mahir memijat?”
“Nak kata pandai sangat, tidaklah. Setakat picit-picit biasa tu reti kot.” Dia tidak arif mengenai urat-saraf dan sendi. Jauh sekali mempunyai kepakaran persis tukang urut. Namun, sekurang-kurangnya dia membantu mengurangkan rasa sakit Ariyyan.
“Saya urutkan ye,..”
Ariyyan mengangguk lemah. “Sakit bangat ni. Aku sampai jadi sesak,” adunya.
“Kejap. Saya ambil minyak.”
Diha ke bilik mengambil botol minyak urut aromaterapi di meja solek. Minyak urut pemberian Dina juga mengandungi pati lavender yang dapat menenteramkan si pemakai. ‘Just what he needs. Insya-Allah, confirm Ariyyan tidur lena,’ desisnya.
Kunci utama tidur dan rehat berkualiti ialah ketenangan fikiran. Menyuruh Ariyyan berhenti berfikir adalah sesuatu yang mustahil. Oleh itu, apa yang termampu Diha lakukan ialah mewujudkan nyaman dalam persekitaran Ariyyan untuk dia berehat.
Diha segera keluar mendapatkan Ariyyan semula. Dia membubuh dua tiga titis minyak urut aromaterapi ke telapak tangan. Kemudian, dia menggosokkan kedua-dua belah tapak tangan hingga panas sedikit sebelum memicit bahu Ariyyan.
“Minyak apa nih wangi kae gini?” Musykil Ariyyan menyoal sambil menghidu-hidu. Dia membiarkan jemari Diha mengurut tengkuk dan bahu. Baru terasa lega. Jika tidak, uratnya dirasakan ibarat bersimpul di sana sini.
“Minyak aromaterapi. Saya tak ada minyak panas,” jawab Diha. Ariyyan diam. Menikmati urutan isteri.
“Tunduk sikit, Ariyyan,” pinta Diha. Urutan ditumpukan ke bahagian tengkuk Ariyyan. ‘Stres betul nih. Silap hari bulan nanti kena darah tinggi pula,’ omelnya.
“Awak tak suka ke minyak ni?”
“Nggak apa. Ini udah memadai. Cuma pelik, karna wangi,” komen Ariyyan. Andai dia tahu Diha pandai mengurut, dari semalam lagi dia meminta pertolongan wanita itu meredakan sakitnya.
Selesai mengurut, Diha meninggalkan Ariyyan meladeni perasaan sendiri. Dia berharap bau aromaterapi yang dipasang dapat ‘mengajak’ Ariyyan melelapkan mata. Lelaki itu perlu istirehat. Esok dia hendak berperjalanan.
Dua puluh minit berlalu, Diha meninjau keadaan Ariyyan. Ariyyan tertidur di katil sofa. Lenyak. Diha melambai-lambaikan tangan kanan di hadapan wajah Ariyyan. Sedikitpun tidurnya tidak terganggu. ‘Alhamdulillah,’ Diha mengucap syukur.
Sejurus, dia teringat pengalaman sewaktu di kampus. Ketika itu, Diha baru kehilangan ibu ayah. Disebabkan tekanan, dia menghadapi masalah sukar tidur. Kendatipun tubuh dan minda terlalu letih, jendera gagal diundang. Prestasi pelajaran pada semester berkenaan merudum dek kerana kelesuan.
Mujurlah salah seorang teman sebilik yang menyedari masalah Diha menyarankan penggunaan aromaterapi. Awalnya Diha bersikap skeptikal. Masakan wangi-wangian berdaya mendorong kita tidur nyenyak. Tetapi itulah hakikat sebenar. Pati aromaterapi yang dibakar akan membebaskan haruman menenangkan. Persekitaran tenang bakal memujuk minda supaya berehat. Berkesan buat dirinya. Kini berkesan buat Ariyyan juga.
Perlahan-lahan diangkat kepala Ariyyan lantas dialaskan sebiji bantal. Ariyyan berkalih. Namun, matanya kekal terkatup. Diha mengambil gitar kesayangan suami dan disandarkan di tepi dinding. Tadi dia tidak perasan pun ada gitar di situ. “Tidur pun nak dengan gitar ke,...” bisik Diha. Dia melarik senyum mengenangkan ragam Ariyyan. Diselimutkan tubuh lelaki itu agar tidak digigit kesejukan.
Setelah memalapkan lampu di ruang tamu, Diha meletakkan segelas air masak di atas meja kopi. Dia menutup permukaan gelas tersebut dengan sebiji piring. Amalan minum segelas air masak sebaik sahaja bangun pagi menjadi kebiasaan Ariyyan sekarang.
“Siapa yang minta air?” Diha terkenang sergahan Ariyyan tatkala mula-mula dia berbuat demikian. Masam mencuka wajahnya memberikan respons dingin menolak gelas berisi air masak yang dihidangkan.
“Saja saya sediakan. Kalau malam-malam tekak awak kering. Tak payah awak susah-susah ke dapur. Tidakpun, awak minum pagi esok. Minum air kosong selepas bangun tidur elok untuk kesihatan kita. Ini petua awet muda dan boleh buang toksin dalam badan,” cerita Diha panjang lebar.
Walaupun hingga esok hari air tidak bersentuh, Diha tetap menyediakan Ariyyan segelas air masak saban malam. Minum atau tidak, terpulanglah. Dia senang hati melakukannya. Lama-kelamaan, Diha perasan air di dalam gelas itu luak. Kadangkala habis diminum. Ariyyan sudah lembut hati.
Keesokan hari, Ariyyan kelihatan lebih segar dan bertenaga. Kedengaran suaranya ceria bernyanyi perlahan. Gembira Diha melihat penampilan Ariyyan pagi itu. Diha memerhatikan gerak-geri suami. Ariyyan seperti tercari-cari sesuatu.
“Cari apa?”
Ariyyan mengangkat muka. “Kunci mobilku.”
“Eh, awak tak pergi dengan Bahri ke?”
Geleng. “Aku mau hantar mobil kepada Ewan, mau diservis. Dari sana, dia yang akan hantarin aku ke bandara,” terang Ariyyan tanpa memandang Diha. Tangan sibuk meraba-raba di sisi sofa. Kemungkinan besar kunci kereta terselit di celahan kusyen.
Diha turut sama mencari. Meja perhiasan, meja kopi, celahan katil sofa, chaise lounge, kunci Ariyyan boleh berada di mana-mana. Berdasarkan pemerhatian Diha, Ariyyan tiada tempat khusus bagi barang-barang miliknya. Di mana dia duduk, di situlah dia meletakkan barang-barang. Diha melutut dan membongkokkan tubuh. Kunci yang dicari agak tersorok di bawah katil sofa. Dia mencapainya.
“Nah.” Diha menghulurkan segugus kunci kepada Ariyyan.
“Makasih. Aku berangkat dulu,” kata Ariyyan. Diha sekadar mengangguk. Kali ini Ariyyan yang menghulurkan tangan dahulu.
“Pandu hati-hati ya, Ariyyan. Have a safe journey. Harap show awak di sana berjalan lancar,” tuturnya seraya mengucup tangan Ariyyan.
“Mmm. Jaga diri baik-baik sepanjang ketiadaanku. Jika pingin keluar, biar bersama Bahri. Usah seorang diri,” pesan Ariyyan
“Insya-Allah,” ucap Diha mesra.
Setapak melewati pintu, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah Diha.
“Kenapa? Ada benda tinggal?”
“Makasih pijatin aku malam tadi,” lafaz Ariyyan.
“My pleasure.”
Diha mengiringi pemergian Ariyyan dengan lirikan mata. ‘Apa sahaja untuk awak. Apa sahaja agar awak kembali jadi Ariyyan yang dulu.’ Sempat dia memanjat doa semoga Allah melindungi setiap langkah suami.
Pautan blog Siti Humairah (Siti Yang Menaip) - http://sitiyangmenaip.blogspot.com/