Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 14

ARIYYAN merancang mengajak Diha keluar makan malam. Kebetulan dia tidak punya sebarang aktiviti dari petang hingga ke malam. Terbit jua sekelumit rasa kasihan pada si Diha. Dua tiga hari belakangan ini, Diha asyik menjadi mangsa angin tidak baiknya. Sering dia melayan wanita itu dengan kasar. Lagipun, sejak Diha tinggal bersamanya, sekalipun dia tidak pernah mengajak Diha keluar ke mana-mana. Setelah membuat tempahan di sebuah restoran mewah, Ariyyan mendapatkan isterinya.


“Diha,...” Ariyyan memanggil Diha sebaik sahaja ternampak kelibat si isteri. Ketika itu, Diha baru hendak beredar dari ruang tamu. Dia segera berpaling.


“Ya, ada apa?”


“Kamu sibuk malam ni? Kerjanya banyak nggak?” Ariyyan sudah pun berdiri di hadapan Diha. 


“Tak. Kenapa?” 


“Kita keluar makan malam bareng,” jelas Ariyyan.


“Ya ke? Kita dinner kat luar?” Bercahaya mata Diha mendengar ajakan suaminya. Senyuman tulus dan ekspresi ceria Diha membuatkan Ariyyan terpana. Jantungnya seolah-olah berhenti berdetak. Ada sesuatu pada senyuman itu yang menggoncang dada. Baru Ariyyan sedar, selama ini dia tidak betul-betul mengamati seraut wajah Diha. Setiap kali bertentang mata, setiap kali Diha menghulur senyum, dia akan cepat-cepat melontar pandang ke arah lain.


“Hmm. Lepas solat Maghrib kita berangkat,” katanya bersulam sedikit gugup. Buat seketika mereka berdua hanya memandang antara satu sama lain. Kehabisan kata untuk meneruskan perbualan. Lazimnya memang perbualan antara mereka tidak panjang. Ariyyan berdehem beberapa kali, menggaru kepalanya yang tidak gatal lantas mula membuka langkah. 


“Err,..kita nak makan di mana?” Soalan Diha seakan bergema di ruang tamu yang senyap itu. Dalam kepala rancak berfikir pakaian apa yang sesuai dikenakan. ‘Tapi mesti tahu dululah nak pergi makan dekat mana.’


“Hotel tempat kamu menginap dulu,” ringkas jawaban Ariyyan merujuk kepada Hotel Pullman, tempat Diha bermalam semasa kali pertama menjejakkan kaki ke Jakarta. Nampaknya hotel berkenaan memang tempat kegemaran Marsha dan Ariyyan.


Usai menunaikan solat Maghrib, Diha bersiap secepat mungkin. Dia memilih blaus longgar bercorak batik geometri yang berwarna biru lembut. Dipadankan blaus berkenaan dengan sepasang palazzo hitam. Dia memakai sehelai tudung sutera bagi melengkapkan penampilan. Haruman Sarah Jessica Parker kegemarannya disembur pada kedua-dua pergelangan tangan. Setelah merapikan diri di cermin, Diha mencapai beg tangannya lantas keluar ke ruang tamu.


Ruang tamu di rumah itu dibahagikan kepada dua bahagian. Ruang pertama  berkonsepkan kontemporari moden berfungsi sebagai ruang tamu utama, dilengkapi set sofa berbentuk L dan meja kopi yang besar. Pilihan kombinasi warna kelabu dan putih, hamparan permaidani, langsir serta kertas dinding yang sepadan, ruang itu sangat sesuai untuk melayan tetamu yang datang berkunjung. 


Satu lagi bahagian dijadikan ruang rehat keluarga. Terdapat sebuah televisyen pintar 65 inci serta set teater rumah di situ. Katil sofa berwarna coklat berbunga kecil, dihias dengan kusyen-kusyen berbelang hitam dan kelabu merupakan tarikan utama. Sebuah chaise lounge dari tona warna yang sama menyediakan lebih banyak ruang bersantai. Beberapa buah bean bags diletakkan secara rawak di hadapan meja kopi kaca berbentuk bujur. Semuanya saling melengkapi. Itulah ruang utama yang menjadi ‘hati’ rumah itu. 


Diha baru melabuhkan punggung di sofa tatkala Ariyyan muncul di hadapannya. Semerbak bau haruman yang dipakai menerpa deria bau Diha. Ariyyan mengenakan sehelai kemeja berwarna hijau gelap dan sepasang seluar hitam. Langkahnya terhenti sebaik sahaja terpandangkan Diha. Tampak sedikit berbeza malam itu, lama mata Ariyyan turun naik memerhatikan si isteri.


“Sesuai tak apa yang saya pakai ni?” Diha meminta pendapat apabila Ariyyan kelihatan seperti mengadili penampilannya. Angguk. Namun, matanya masih terus memandang Diha. 


“Ada yang tak kena ke?”


Geleng.


“Yuk,” ajaknya. Ariyyan membuka pintu, membiarkan Diha keluar mendahuluinya. Kemudian, dia mengunci pintu rumah sebelum masuk ke dalam kereta.


Diha teruja menghayati panorama indah Jakarta pada waktu malam. Dia belum pernah keluar berjalan-jalan di kota itu pada malam hari. Lagipun, selalu kalau keluar membuat urusan, dia cuma ditemani Bahri. Bukannya Ariyyan. Tentu sahaja perasaannya berbeza.


Sepanjang perjalanan, hati Diha berbunga. Matanya melilau memandang sana sini, menikmati pemandangan sekeliling. Hari itu Ariyyan memandu sendiri. Sekali-sekala Diha mengerling ke arah lelaki di sisinya yang jelas sedang hanyut dalam lamunan.


Sampai di hadapan Hotel Pullman, Ariyyan memberhentikan kereta. Seorang petugas hotel yang merupakan joki kereta datang menghampiri. Dia mengalu-alukan kedatangan mereka. 


“Selamat Datang, Mas Ariyyan. Apa khabar?” soalnya mesra yang mengecam Ariyyan sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta.


“Alhamdulillah. Baik-baik aja,” balas Ariyyan ringkas. Dia menyerahkan kunci kereta kepada joki kereta tersebut untuk diparkir. Diha menuruti langkah Ariyyan. Menyedari yang Diha tertinggal beberapa tapak di belakang, lelaki itu sengaja melambatkan langkah sehinggalah Diha dapat menyainginya.


Ariyyan membalas sapaan beberapa orang petugas hotel. Pasti dia kerap berkunjung ke situ. Tambahan pula dia seorang artis terkenal. Sana-sini ada yang menegur. Sesekali terdengar bisik-bisik suara yang teruja melihat kelibat Ariyyan secara dekat. Ariyyan bersahaja. Melayan apabila perlu. Senyum tetap dihulur mesra. 


‘Susah juga jadi artis ni. Pergi mana-mana orang kenal. Lack of privacy,’ fikir Diha. Mujurlah mereka sekarang berada di hotel bertaraf lima bintang. Tidak begitu ramai orang. Kalau di jalanan atau di tempat umum seperti pusat beli belah, pasti lumat Ariyyan dikerumuni.


Mereka berdua berjalan bergandingan ke sebuah restoran mewah yang terletak di aras sama lobi hotel. Seorang gadis manis penyambut tetamu di restoran itu menyambut kedatangan mereka. Dia memeriksa senarai tempahan dalam rekod selanjutnya mengesahkan tempahan di atas nama Ariyyan. Seorang pelayan lelaki membawa kedua-duanya ke sebuah meja bertanda ‘RESERVED’. Pelayan itu turut menarikkan kerusi Diha dan membantunya duduk. Kemudian, dia menghulurkan menu restoran kepada mereka berdua.


“Menunya, Mas. Hari ini kami ada...,”


Diha sudah tidak dengar apa-apa. Apapun yang diterangkan oleh pelayan di tepi meja mereka langsung tidak menarik perhatiannya. Mungkin kerana tatarias restoran yang membangkitkan mood romantik lagi intim menyebabkan tumpuan Diha hanya tertumpah pada lelaki di hadapannya. Matanya melekat pada wajah Ariyyan yang khusyuk mendengar penjelasan pelayan tentang menu istimewa makan malam. Diha suka menatap redup pandangan mata Ariyyan tika itu. Air mukanya lembut. Tenang. 


‘Selalu aku asyik kena hadap pandangan tajam menusuk tu je,’ komen Diha dalam hati. Pandai pula dia mengomel.


Ariyyan membelek-belek menunya sejenak. “Kamu mau makan apa?” Dia bertanya pada Diha. Biasan cahaya lampu di restoran itu membuatkan matanya kelihatan bercahaya. Diha terus-terusan memerhatikan wajah Ariyyan tanpa jemu.


“Mmm,..awak biasa makan di sini kan? Saya ikut saja,” jawab Diha. Dia tidak kisah makan apapun. Yang penting, yang berharga ialah masa yang diluangkannya dengan Ariyyan. Sudah sebulan mereka bergelar pasangan suami isteri. Dek kesibukan Ariyyan, mereka tidak pernah melakukan sebarang aktiviti bersama. Itu belum mengambil kira waktu Ariyyan enggan diganggu dan ingin bersendiri. Kesudahannya nanti, perkembangan hubungan mereka tidak sampai ke mana-mana.


“Kalau begitu, biar aku pesan makanan buat kamu ya,” putus lelaki itu. Diha menganggukkan kepala. Cara Ariyyan berinteraksi dengannya saat itu sangat mendamaikan hati wanitanya. ‘Bagi makan batu pun tak mengapa kalau dilayan begini,’ mindanya berseloroh. Diha tersenyum kecil. Setiap satu perilaku Ariyyan yang sedang membuat pesanan diperhatikan.


“Banyak yang aku pesan nih! Makan kenyang-kenyang ya.” kata Ariyyan. Dia mencapai gelas air di hadapannya lalu meneguk perlahan.


“OK. Terima kasih,” balas Diha. Sejuk hatinya melihat tingkah laku Ariyyan. Itu kali pertama mereka keluar bersama-sama. Walaupun Ariyyan belum mampu menghadiahkan sebuah senyuman tulus, cukuplah sekadar memaniskan riak wajah. Sebelum bernikah, dia telah berjanji bakal menerima Ariyyan seadanya. Dia bersetuju memberi Ariyyan ruang dan peluang, sebanyak mana yang diperlukan. Dia tidak akan meminta-minta.


Lima belas minit kemudian, makanan yang dipesan tiba. Pelbagai hidangan memenuhi meja mereka. “Salad Ayam Sicilian sebagai pembuka selera, Cendawan Sumbat Berkeju, Daging BBQ sama saus lada hitam, Nasi Herba Ayam Teriyaki, Nasi Mentega Udang Harimau Goreng sama Bawang Karamel. Selamat menjamu selera,” ujar pelayan setelah menghidangkan juadah makan malam.


“Jemput makan. Aku order semua makanan kegemaranmu,” pelawa Ariyyan. Ada kemesraan, kehangatan yang terzahir melalui ekpresinya kala itu. ‘Makanan kegemaran? Aik? Macammana...? Something is not right! Bila masa pula Ariyyan tahu apa yang aku suka makan?’ Diha tertanya-tanya. Namun, dia hanya mendiamkan diri. Tidak mahu merosakkan suasana.


Ariyyan menyendukkan salad ayam ke pinggan Diha. “Nah, seperti biasa,.. tomato kecil kesukaanmu, ayang...” Kemilau sinar di mata Ariyyan ketika itu sepatutnya menggembirakan Diha tetapi pada waktu itulah dia tersedar yang Ariyyan sebenarnya memesan makanan-makanan kegemaran arwah Marsha. Layanan baiknya itu juga untuk Marsha.


Diha sekadar mengangguk. Dia mula menjamah makanan di pinggan. Satu lagi masalah! Tarik balik kenyataan yang kata bagi batu pun boleh makan. Hidangan utama yang dipesan oleh Ariyyan buatnya ialah nasi mentega berlaukkan udang harimau. Mungkin Marsha suka makan udang tetapi Diha tidak boleh makan udang! Nanti seluruh badan akan gatal-gatal. Demi menjaga hati lelaki di hadapannya, Diha tetap makan penuh selera. ‘Don’t spoil the moment, Diha! Makan je perlahan-perlahan.’ Berkali-kali Diha mengingatkan diri.


“Gimana? Enak kan? Ayang, rasa ini pula!” Bersungguh-sungguh Ariyyan cuba menyuapkannya hirisan daging BBQ. Diha menahan nafas. Dia terkaku seketika. Tanggapannya benar. Ariyyan hanyut dalam imaginasi. Bagi Ariyyan,  di mata dan di minda, tika itu dia sedang menikmati makan malam bersama Marsha. Bukan dirinya.


Diha mengangkat muka memandang Ariyyan. Ariyyan perlu disedarkan. Diajak kembali ke realiti, menerima hakikat bahawa Marsha sudah tiada. Dia tidak boleh terus lemas dalam gelora rasa.


“Ariyyan,...” suara Diha seakan berbisik, namun cukup menyedarkan Ariyyan yang kini dia berada bersama Diha bukan Marsha. Bagai dijangka, air muka Ariyyan spontan berubah. Dia meletakkan sudu dan garpu di pinggan. Nafas dihela dalam-dalam lantas dilepaskan berat. Kedua-dua belah tangannya meraup muka. Kesal. Diha tidak bersuara. Lebih kepada tidak pasti reaksi apa yang harus dipamerkan.


“Makanlah, aku mahu ke kamar kecil,” ujar Ariyyan. Napkinnya diletakkan di atas meja lantas dia bingkas berlalu. Diha menganggukkan kepala. Matanya mengiringi langkah longlai Ariyyan.


Selang beberapa minit kemudian, Ariyyan kembali ke meja. Lelaki itu nyata telah hilang selera. Sekali-sekala tangannya menguis-nguis baki makanan di pinggan dengan sudu. Tiada suapan yang masuk ke mulut. Acapkali pandangan mereka bertemu tetapi masing-masing ibarat kehabisan buah bicara.


“Tak nak sambung makan? Awak nak rasa udang ni?” Akhirnya Diha memecahkan ketegangan antara mereka. Ariyyan menolak.


“Udah kenyang,” balasnya ringkas.


Melihatkan angin Ariyyan yang sedemikian, Diha cepat-cepat menghabiskan makanannya. Sempat dia berdoa dalam hati, kalau hendak gatal disebabkan alahannya terhadap udang pun, biarlah gatal apabila sampai di rumah nanti. ‘Mind over matter, Diha. Mind over matter. Insya-Allah tak ada apa-apa.’


Tatkala pelayan datang bertanyakan sama ada mereka ingin memesan kopi atau pencuci mulut, Ariyyan dan Diha hampir serentak mengatakan tidak.



Terjemahan kata:

  • bareng - bersama-sama
  • kamar kecil - bilik air, washroom


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.