Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 2

Hari ini.


DIHA 'AFINA memeriksa barang-barangnya agar tidak ada yang tertinggal kelak. Dia sedang bersiap-siap untuk ke Jakarta, Indonesia. Gadis itu berasa sangat teruja. Dia akan menjejakkan kaki ke bumi Jakarta buat kali pertama. Sebelum ini, walaupun bekerja sendiri, apabila ada kelapangan Diha lebih selesa bersantai menghabiskan masa di rumah. Tambahan pula dahulu adiknya, Dina, sering sakit dan mendambakan perhatiannya. Dia sendiri dengan rela hati menjaga adiknya sehingga sembuh. Jadi, bercuti atau melancong ke tempat lain bukanlah satu pilihan yang dirasakan wajar buat masa itu.


Mujurlah setelah dibedah pada awal Oktober tahun lalu, penyakit yang dialami Dina pulih sepenuhnya. Sebaik sahaja Dina sembuh, adiknya itu melangsungkan perkahwinan dengan Fahim. Keluarga sebelah Fahim yang memohon agar pernikahan mereka disegerakan supaya Fahim sama-sama dapat memikul tanggungjawab menjaga Dina. Alhamdulillah! Allah telah mengatur yang sebaik-baiknya untuk mereka dua beradik. 


Kini Dina bahagia bersama Fahim dan bayi mereka, Hakeem yang menginjak usia empat bulan. Melihatkan adiknya mula mengecapi kehidupan sempurna di samping suami dan anak tersayang, Diha sudah mampu menarik nafas lega. Tertunai janji-janjinya pada arwah ayah dan ibu. Baru terasa ringan bahunya. Mengenangkan kedua-dua arwah orang tuanya, hati Diha didatangi pilu.


Encik Affendi dan Puan Nurdaniah dipanggil Yang Maha Pencipta ketika Diha berada di tahun akhir pengajian di universiti. Mereka terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya sewaktu mahu pulang ke kampung menziarahi saudara yang uzur.


“La,...kakak balik nanti tak sempat jumpa ibu dengan ayah la ni? Sebab kakak bertolak balik petang sikit. Selepas habis tutorial,” ujar Diha saat berbual dengan ayahnya.


“Insya-Allah, kami tak lama pun di kampung. Selesai ziarah keluarga Pak Cik Mahat, kami pulanglah. Alah, kakak kan balik tiap-tiap minggu. Tak sempat jumpa minggu ni, kita jumpalah minggu depan,” tutur Encik Affendi cuba memujuk anak sulungnya. Dia sudah betah dengan keletah manja Diha. Saban minggu, setelah semua kuliahnya selesai, Diha akan bergegas pulang. ‘Homesick’ katanya.


“Anak ibu nak tumpang manjalah tu,” kedengaran suara ibunya pula. Kebiasaannya, jika mereka berbual di telefon, ayah akan menggunakan loudspeaker supaya ibu turut dapat menyertai perbualan mereka.


“Heheheh, mestilah. Rindu tau! Nasib baiklah kampus kakak dekat dengan rumah. Senang nak balik jumpa ibu, ayah dengan adik,”balas Diha manja.


“Kakak,” suara ayahnya tiba-tiba bertukar nada. Kali ini lebih serius.


“Bila ayah dengan ibu tak ada, kakak yang jadi ketua keluarga. Jaga adik baik-baik. Adik tu sakit, kakak kena sabar sikit. Jangan buli adik pula,” lembut intonasi suara Encik Affendi berpesan pada anak sulungnya.


“Ayah ni....bila masa pula kakak buli adik?” Diha separuh terjerit. Sangkanya pengucapan si ayah ketika itu sekadar usikan buatnya. Tidak terlintas sama sekali bahawa itulah amanat terakhir orang tuanya sebelum kembali menemui Sang Pencipta.


Seawal usia dua puluh satu tahun, Diha belajar erti tanggungjawab keluarga. Bukan sekadar bertanggungjawab ke atas diri sendiri, tetapi juga terhadap satu-satu adiknya yang menderita penyakit jantung. Dina muda empat tahun daripadanya. Adiknya yang bakal menempuh peperiksaan SPM tahun itu sudah tentu memerlukan sokongan penuh daripada dirinya. Mereka hanya ada satu sama lain untuk bergantung. Diha harus kuat. Tiada masa untuk meratapi pemergian ayah dan ibu. Tiada ruang untuk menangisi nasib diri. 


Saat penuntut-penuntut lain sibuk menikmati kehidupan remaja bersama teman-teman sebaya, Diha menggalas tanggungjawab sebagai ibu, ayah dan kakak sekaligus. Dia jugalah doktor merangkap jururawat yang merawat adiknya di rumah. Tatkala teman-teman sebaya hanya memikirkan kebajikan diri sendiri, Diha perlu mengurus adiknya, mengurus rumah dan kewangan mereka.


Duit pinjaman pendidikan digunakan dengan hemat. Malah Diha terpaksa bekerja secara sambilan untuk memperoleh wang tambahan bagi tujuan membiaya kos perubatan Dina. Sakit adiknya tidak boleh dijangka. Dia kena sentiasa bersedia. Sungguhpun dengan tahap kesihatan yang tidak menentu, Dina dapat menempuh peperiksaan SPM dengan baik. Alhamdulillah, adiknya berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Dina kemudian berpeluang meneruskan  pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di UiTM Shah Alam dengan biasiswa penuh. Ringan sedikit beban kewangan yang ditanggung oleh mereka. Diha cuma perlu bimbang tentang kos sara hidup mereka sahaja.


Semasa menuntut di universiti, mungkin disebabkan jadual kuliah yang padat, penyakit Dina menjadi semakin teruk. Diha yang ketika itu sudah berjawatan ketua editor, terpaksa mencari pekerjaan baru yang lebih fleksibel. Dia bekerja dari rumah. Semua itu dilakukan demi Dina. Mujurlah ada kemudahan komunikasi seperti persidangan video dan e-mel yang membolehkan Diha melakukan tugas-tugas pejabat dan pada masa yang sama memantau perkembangan adiknya. 


Bermula dari situ, Diha punya masa lapang untuk berjinak-jinak dengan penulisan blog. Pekerjaan yang tidak terikat dengan waktu pejabat memberi ruang padanya mencari peluang-peluang lain yang boleh menambah pendapatan. Dengan kemahirannya berbahasa dan atas bantuan beberapa orang kenalan, Diha membuat tugas-tugas terjemahan. Selain itu, dia turut menulis kolum untuk beberapa majalah tempatan. 


Mereka bernasib baik kerana masih ada rumah peninggalan arwah ayah dan ibu. Sekurang-kurangnya mereka tidak hidup bergelandangan. Diha tersenyum kecil. Benar. Allah tidak akan menduga seseorang hamba dengan sesuatu di luar kemampuannya. Dia sendiri tidak menyangka yang dirinya dan Dina mampu melalui semua itu bersama.


“Dah siap, kak?” Lembut pertanyaan Dina menerobos pendengaran. Adiknya itu sudah terpacul di muka pintu bilik. Diha tersenyum lantas mengangguk laju.


“Abang Im dah dalam perjalanan balik. Dalam lima belas minit lagi sampailah. Dia balik je, kita bertolak ye,” tutur Dina. Petang itu dia dan suaminya akan menghantar Diha ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Jakarta.


“OK,” balas Diha ceria.


Dina memandang kakaknya yang sedang menarik beg beroda ke pintu bilik. Tidak banyak barang yang dibawa. Hanya satu bagasi bersaiz sederhana besar.


“Dah sampai sana, macammana akak nak ke pejabat lawyer tu nanti?” soal Dina. Sudahlah menjejakkan kaki ke tempat baru. Seorang diri pula tu. Dina tidak dapat membuang rasa bimbang yang bersarang di hati.


“Akan ada yang jemput akak nanti. Jangan risaulah,” kata Diha cuba memadamkan kerunsingan Dina. Mereka jarang berenggang. Tidak hairanlah jika Dina risau akan keselamatan dirinya.


“Agak-agak berapa lama akak kat sana?” tanya si adik lebih lanjut.


“Tak pasti. Mungkin beberapa hari. Kalau urusan di Jakarta selesai cepat, cepatlah akak balik. Apa-apa akak akan inform pada Dina nanti ye,” ucap Diha.


“OK. Akak siaplah. Dina tunggu kat bawah,” ujar Dina sebelum beredar. Tangannya menarik bagasi Diha untuk dibawa ke tingkat bawah.


Thanks, dik.”


Surat daripada Kantor Hukum Armand & Miranda dibacanya semula. Urusannya ke Jakarta kali ini ada kena mengena dengan arwah Marsha. Dia cuma perlu membawa dirinya sahaja. Kos tiket kapal terbang, penginapan dan duit belanja semuanya ditanggung. Dirapatkan surat itu ke dada. Ingatannya melayang mengingati arwah Marsha. 


‘Telah lebih setahun kau pergi, Marsha. Moga kau ditempatkan di sisi kekasih-kekasih-Nya,’ doa Diha dalam hati. Lantas dia berteleku seketika, membaca Surah Al-Fatihah lalu menghadiahkannya buat arwah. ‘Moga kau tenang di sana.’


Diha menarik nafas dalam – dalam dan melepaskannya perlahan. Matanya dipejamkan rapat. Sebentar lagi, dia bakal menjejakkan kaki di bumi Jakarta, tempat asal Marsha. Dia akan berpeluang melihat dan mengalami sendiri setiap satu yang diceritakan oleh Marsha. Diha membuka matanya. Sebaris senyum terlukis di wajah. 


“Jakarta, aku datang.” 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.