Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 3

ARIYYAN sugul. Permulaan hari baru tidak membawa sebarang erti buat diri. Hari itu semangatnya sama seperti hari-hari sebelumnya. Tidak mengharapkan apa-apa. Tidak juga menjanjikan apa-apa. Bagi Ariyyan, hidupnya kini tiada makna. Kosong tanpa erti.


Selesai mandi, tangan ligat mencari baju yang bersih di sebalik timbunan kain di atas lantai. Dia sendiri malas ambil peduli sama ada longgokan pakaian itu bersih, kotor ataupun kedua-duanya. Sehelai kemeja T Polo berwarna putih dihidu beberapa kali. Disarungkan kemeja T tersebut ke tubuh. Seterusnya dia mengenakan sepasang jeans hitam Levi's. Siap berpakaian, dia  menyisir rambutnya dengan jari-jemari. Sekadar mengemaskan gaya.


Ariyyan memandang pantulan diri di cermin. Dia melepaskan keluhan berat. Kegelapan dan kesuraman hari-hari mendatang ibarat sedang merenungnya tajam saat itu. Dia jadi benci melihat refleksi imej sendiri. Lama dia kaku di situ. Fikirannya melayang jauh. Hatinya terasa benar-benar kosong. ‘Mengapa hidupku jadi kae gini?’ Ariyyan mengeluh lagi.


Deringan telefon bimbit dari dalam bilik menggangu lamunan Ariyyan. Panggilan itu tidak dipedulikan. Dia ingin terus berjeda di situ. Tidak mahu dunianya diganggu. Selang beberapa minit kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Lambat-lambat Ariyyan keluar dari bilik air.


“Halo,” bicara Ariyyan malas. Dia berdehem beberapa kali membetulkan suara. Kemudian senyap sebentar mendengar tutur kata si pemanggil.


“Iya. Bisa.” Dia menjawab ringkas. “Tapi hari ni aku nggak ke studio,” ujarnya kepada suara di hujung talian. Sambil itu jemari pantas menaip sesuatu di iPad. Membuat peringatan penting.


“Perlu ke kantor pengacara,” tambahnya sebelum menamatkan panggilan. Dengan pantas Ariyyan mengumpul barang-barang peribadi miliknya – telefon bimbit, iPad, sekotak rokok dan pemetik api, dompet serta kunci kereta. Dia mengenakan jam tangan. Sempat dilirik muka jam tangan tersebut, ingin tahu bacaan waktu sebenar. Bimbang terlewat untuk temujanjinya dengan Armand sekejap lagi, Ariyyan bergegas ke pintu. Ketika itulah loceng pintu rumah berbunyi. Ariyyan membukanya. 


“Selamat pagi, Pak Ariyyan,” ramah suara Bibik Murni menyapa. Dihulurkan beberapa pucuk surat yang diambil dari peti surat kepada Ariyyan. Bibik Murni merupakan pembantu rumah yang diupah oleh Ariyyan untuk membersihkan kediamannya seminggu sekali. Perempuan berbadan gempal itu sudah berkhidmat dengannya hampir satu tahun. Ariyyan berpuas hati dengan cara Bibik Murni melakukan kerja-kerja.


“Pagi,” jawab Ariyyan. Dia menyelak satu persatu surat-surat yang diberikan kepadanya. Bil utiliti. Katalog promosi. Bil kad kredit. Tiada apa yang perlukan perhatian segera. Ariyyan meletakkan surat – surat tersebut di atas meja. Tangannya terhenti pada sekeping sampul jernih bersaiz agak besar yang dialamatkan kepada Marsha. Dia mengambilnya. 


Sampul jernih  itu  berisi majalah ‘Livingetc Indonesia’, majalah rekaan dan idea hiasan dalaman kegemaran Marsha yang dilanggan setiap bulan. Meskipun telah setahun lebih Marsha pergi, Ariyyan tidak tergerak langsung untuk menghentikan langganan majalah-majalah si isteri. Biarlah kenangan dan memori Marsha terus hidup bersamanya. Perlahan jari telunjuknya menyentuh nama Marsha yang tertera di atas sampul. Detik itu, jantungnya umpama terhenti seketika. Ariyyan memejamkan mata. Perasaaannya berbaur. Hati terasa pedih, sedih dan kecewa.


Ariyyan cuba bertenang. Dia membuka mata. Bibik Murni masih berdiri tegak di hadapannya. Wanita itu telah lali melihat kerenahnya bermain dengan emosi. 


Bibik Murni tidak bersuara. Sekadar memandang penuh simpati. Dia tahu apa yang difikirkan oleh Ariyyan. Dia faham apa yang dilalui oleh majikannya itu. Bibik Murni benar-benar berharap semoga satu hari nanti, Ariyyan akan dapat mengatasi kekecewaannya dan memulakan hidup baru.


“Oh iya, ini upahnya untuk hari ini, bik,” Ariyyan menghulurkan sejumlah wang yang dikeluarkan dari dompet kepada Bibik Murni. Dia perlu beredar. “Saya harus pergi ni.” 


“Iya. Terima kasih, pak.” Bibik Murni menyambut huluran Ariyyan dengan senyuman. “Ada apa-apa kerja khusus yang perlu saya lakukan hari ini?” soal Bibik Murni. Lelaki itu berfikir sejenak.


“Nggak. Kemas seperti biasa aja. Nanti kapan udah selesai, jangan lupa kunci pintunya sebelum keluar,” pesan Ariyyan. Langkah diatur ke kereta Audi putih miliknya yang diparkir di hadapan rumah. 


Masuk ke dalam kereta, Ariyyan tidak terus memandu. Disandarkan kepalanya sebentar. Berusaha mengosongkan minda. Kedua-dua belah tangan sedia berada di atas stereng, tetapi minda Ariyyan menerawang entah ke mana. Lama juga dia begitu. Ariyyan kembali tersedar apabila telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej baru diterima. 


‘Jangan lupa pertemuan kita pagi ini. Gue tunggu loe di kantor.’ 


Pesanan daripada Armand dibaca oleh Ariyyan. Armand merupakan temannya sejak sekolah. Bijak dan petah berbicara, rakannya itu merupakan seorang peguam hebat di Jakarta. Mempunyai firma guaman sendiri yang diusahakan bersama adik perempuannya, Armand sudah lebih enam tahun menjadi peguam untuk Ariyyan dan keluarga. Khidmatnya diperlukan seawal pembabitan Ariyyan dalam dunia muzik. Malah, apabila Ariyyan menubuhkan syarikat produksinya sendiri, Armand banyak membantu dan memberi nasihat dari aspek perundangan.


Perjalanan dari rumah ke pejabat Armand memakan masa hanya dua puluh minit jika tidak ada kesesakan lalu lintas. Tetapi, keadaan di Jakarta yang terkenal dengan kesibukannya terutama sekali pada waktu puncak menjadikan tempoh perjalanan boleh menjangkau hingga satu atau satu jam setengah.


Ariyyan segera menghidupkan enjin kereta. Tali pinggang keselamatan dipasang lalu dia mula memandu. Dengan pandangan yang terhala ke hadapan, mindanya melayang memikirkan pertemuan yang bakal berlangsung sebentar nanti. Ada rasa curiga bertandang di hati. Apa yang mahu disampaikan oleh Armand? Mengapa tidak diberitahu berkenaan apa? Jangan-jangan ada lagi pihak tampil membuat tuntutan terhadap dirinya yang kerap gagal menghadiri persembahan. Dalam keadaan sekarang, dia tidak kisah walau siapapun yang datang mendakwanya langgar kontrak, langgar janji atau langgar apa sekalipun. Mereka tidak mungkin akan mengerti apa yang sedang dialaminya.


Tiba di Kantor Hukum Armand & Miranda empat puluh lima minit kemudian, Ariyyan disambut mesra oleh Armand. Setelah mengarahkan setiausahanya untuk membuatkan minuman, Armand membawa Ariyyan masuk ke bilik pejabatnya. Di sebalik pintu bilik yang tertutup rapat, perbincangan mereka dimulakan.  


“Apa semua ini, Man?! Loe ingat gue tolol?!” Ada kemarahan dalam nada suara Ariyyan. Dipandang wajah peguam di hadapannya itu lama. Ariyyan kebingungan. Perkara yang baru dikhabarkan kepadanya tidak masuk akal langsung! Tiada walau satu pun yang dijelaskan oleh Armand mampu diterima dek waras akal.


“Gue cuma pelaksana sahaja, Ri. Ini amanat terakhir isteri loe. Gue hanya  mengikut apa yang almarhumah Marsha wasiatkan.” Lembut nada suara Armand cuba menenangkan Ariyyan. Di matanya Ariyyan kelihatan agak cengkung berbanding dulu. Air mukanya keruh menggambarkan kusut fikiran si empunya diri. Dalam hati, Armand bersimpati atas nasib yang menimpa sahabatnya itu. Apakan daya, bukankah jodoh, ajal dan maut semuanya di tangan Yang Maha Agung?


“Maksud loe,...” kata–kata Ariyyan terhenti seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba mengawal kemarahan yang membuak-buak dalam dada. Nafasnya dilepaskan kasar dengan rengusan kecil.


“Maksud loe,...  dalam kantor ini ada satu sosok wanita yang harus gue jadikan isteri? Itu yang Marsha mahu?!” soalnya tidak percaya. Sempit dada dirasakan walau dia sendiri yang menuturkan kata-kata itu.


Armand menganggukkan kepala laju. Matanya terarah kepada Ariyyan. Reaksi sedemikian daripada Ariyyan memang sudah dijangka. Tetapi, mahu tidak mahu, amanat Marsha perlu dilaksanakan.


“Gila, Man! Cinta gue pada Marsha sampai mati! Mana bisa galang ganti!” Keras lontaran suara Ariyyan kali ini. Dia memegang kepalanya. Buntu. Bingung.


“Tenang, Ri,” saran Armand. “Tiada siapa yang bilang dengan mengahwininya, loe akan menduakan atau menggantikan Marsha. Dia ada di kamar sebelah. Dia juga,...” Belum sempat dia menghabiskan ayat, Ariyyan sudah menerpa keluar. Terkejar-kejar Armand mengikut langkahnya. Beberapa orang pekerja berpandangan sesama sendiri. Ketegangan yang tercetus turut menarik perhatian mereka.


Tanpa mengetuk pintu, Ariyyan menerjah masuk ke bilik pejabat bersebelahan. Miranda, adik Armand yang merangkap rakan perniagaan di firma guaman itu sedang berbicara dengan seorang gadis. Nyata dia terkejut dengan tindakan Ariyyan. Begitu juga gadis di hadapannya. 


“Siapa kamu?!” Melengking suara Ariyyan bertanya. Langkah diatur laju mendapatkan si gerangan yang menjadi punca amarahnya. Dia kini berdiri di hadapan gadis bertudung yang berkulit kuning langsat itu. Kian lama dirasakan kemarahannya kian gagal dibendung.


 “Gimana kamu bisa kenal sama Marsha? Apa yang kamu mahu sebenarnya?” Matanya tidak berkelip merenung tajam gadis tersebut. Kali ini jarak antara wajah Ariyyan dan tuan punya badan hanya beberapa sentimeter sahaja. 


Diha kaget ditujah asakan soalan lelaki yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Segala pergerakannya terkunci. Hanya mata bundarnya yang berkelip sekali sekala. Dia terperanjat disergah sedemikian rupa. Dalam kekalutan, raut muka yang sedang marah itu ditatap. Dia seperti pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Tetapi dengan potongan rambut yang berbeza. Seingatnya, dahulu pemilik wajah itu berambut pendek. Rapi. Kemas. Tidak panjang hingga mencecah bahu. Diha bergelut dengan mindanya sendiri. Siapa? Di mana? 


“Hah?!” Diha tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut. Cepat-cepat tangannya menekup mulut.


‘Ariyyan?! Lelaki inikah suami arwah Marsha? Diakah yang dimaksudkan Marsha? Marsha tidak pernah beritahu pun yang suaminya seorang artis terkenal di Indonesia. Ariyyan?! Vokalis kumpulan ARJUNA? Suami Marsha?’ Bertubi-tubi persoalan demi persoalan menerjah benaknya kala itu. 


Diha tidak percaya apa yang dilihatnya. Biarpun penampilan Ariyyan waktu itu tidak seperti penampilan biasanya ketika membuat persembahan di pentas, Diha tetap dapat mengecamnya. Apatah lagi tatkala wajah Ariyyan betul-betul di hadapan mata. ‘Ariyyan ARJUNA suami Marsha?’ Sekali lagi persoalan yang sama berlegar-legar mengasak fikiran.


Segera Diha tunduk menjatuhkan pandangan ke lantai. Gentar berdepan dengan renungan Ariyyan yang ibarat seekor harimau bersedia membaham mangsa pada bila-bila masa. Amarahnya jelas. Nafasnya turun naik. Dadanya yang berombak-ombak cuma tunggu waktu untuk meledak. Saat demi saat Diha dapat merasakan dirinya semakin mengecil. Dia mengeraskan diri. Tidak berani menggerakkan walau jari kelingkingnya sekalipun. 


Tiba-tiba telefon bimbit Diha berbunyi. Lantang berkumandang lagu ‘Separuh Jiwaku Milikmu’ nyanyian Ariyyan yang menjadi nada dering telefon bimbitnya. Jelas kedengaran suara Ariyyan melantunkan bahagian korus lagu tersebut dari dalam beg tangannya. Kali ini setiap pasang mata yang berada di bilik itu tertumpu ke arah Diha. Diha gugup.


“Err,...” Diha memejamkan mata rapat-rapat. Dia sangat berharap itu semua tidak berlaku. Janggal sungguh dirasakan. Malu pun ada. Dalam banyak-banyak nada dering yang ada dalam telefonnya, mengapalah dia memilih ‘Separuh Jiwaku Milikmu’! Sudahlah berdering nyaring di depan tuan punya lagu.  Pada saat – saat tegang pula. Bukankah kebarangkalian untuk insiden ini berlaku terlalu tinggi? ‘It’s a bad start. Wrong timing. Aishhhh, buat malu je!’ gumamnya dalam hati.


‘Mesti Ariyyan ingat aku ni salah seorang peminat fanatik. Tak pun dia anggap aku stalker? Itu yang dari Malaysia datang sini cari dia! Ish...tidak ke naya?! Tidak pasal-pasal kena tahan polis pula nanti!’ Diha gelabah sendiri. Diangkat wajahnya untuk melihat ekspresi Ariyyan. Namun, dia gagal menafsir reaksi lelaki itu. Di sebalik renungan tajam yang dilontarkan khusus buatnya, ada sesuatu pada air muka Ariyyan yang sukar dimengerti. Sukar difahami.


‘Macam manalah kau nak faham, Diha. Kau kenal dia tak sampai lima minit pun!’ getusnya sendiri. Lagipun, Ariyyan yang selama ini dilihat melalui persembahan-persembahan di kaca televisyen nyata sekali berbeza dengan Ariyyan yang ini. Mungkin ketika itu dia menyaksikan Ariyyan atas kapasitinya sebagai seorang artis yang sedang menghibur. Bukan Ariyyan secara peribadi, yang telah lebih setahun meratapi pemergian isteri tersayang. 


Phonenya...” Suara Armand menyentak dialog minda.


“Ya?” Diha inginkan kepastian. Pantas dia berpaling mencari tuan empunya suara. Baru  dia sedar yang dia masih lagi di pejabat peguam Marsha. 


Phonenya nggak mahu dijawab?” soal Armand serba salah.


Tumpuan kini terarah kepada telefon bimbitnya yang masih berbunyi. Cepat-cepat Diha menekan butang ‘Reject’. Kemudian, dengan tangan yang terketar-ketar dia mematikan telefon bimbitnya sebelum memasukkan semula ke dalam beg. Kedua-dua belah tangan dirapatkan ke sisi tubuh. Cuba menyembunyikan kegugupannya.


Senyap. Baik Diha mahupun Ariyyan dua-dua tidak mengeluarkan suara. Apatah lagi Armand dan Miranda. Sepi sejenak. Armand berdehem beberapa kali sebelum memperkenalkan mereka antara satu sama lain. 


“Ariyyan, ini Mbak Diha ‘Afina dari Malaysia. Mbak Diha, saya kenalkan,...Ini Ariyyan, suami dari almarhumah Marsha.”


Tidak menunggu lama, Ariyyan angkat kaki. Berlalu meninggalkan ruang itu.


Terjemahan kata:

  • kantor - pejabat
  • pengacara - peguam


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.