Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab25-1

GELAK tawa memenuhi ruang makan. Dina terkekeh-kekeh mentertawakan reaksi Diha yang pura-pura bermasam muka. “Habis tu,.. lauk favourite kakak tak da ke, bu?” soal Diha tidak puas hati. Tindakan nakal si adik yang asyik menghidu aroma lauk kurma ayam kesukaannya betul-betul  membuatkan dia geram.


Sorry, kak. Dina kan anak kesayangan ibu. Well, what to do,..” giat Dina. Ekspresi Diha berubah. “Ayahhhhhh,…” rajuknya diadukan pada Affendi. Si ayah tersenyum menggelengkan kepala. “Amboi, muncung mulut tu panjangnya! Boleh ikat pakai tali,” usik Affendi sambil melakonkan gaya seolah-olah menyimpul ikatan pada mulut Diha.


Sekali lagi letus tawa Dina. “Sudah,..sudah. Tak makan kita nanti asyik berkelahi je. Tak kanlah ibu tak ingat kakak. Ambil dalam peti sejuk kerabu mangga kakak. Kakak kan suka makan kerabu mangga sejuk-sejuk.” Lembut suara Nurdaniah menenangkan Diha. Tangan menepuk perlahan lengan Affendi, menghantar isyarat supaya tidak terus mengusik si puteri sulung.


Sepantas kilat Diha bangun meluru ke peti sejuk. Kerabu mangga ibu memang yang terbaik. Tiada tolok tanding. Sewaktu berpaling untuk kembali ke meja, dengan tidak semena-mena suasana bertukar gelap. Diha panik.


“Diha,…”


Diha menoleh. Dia hampir tersepuh tika pandangannya dan pandangan Muammar bertaut. ‘Mengapa Muammar di sini? Bukankah ,…’ Helaan nafas semakin sesak. ‘Bukankah Muammar dah,…’


“Jangan bimbang. Saya ada,” pujuk Muammar datang merapati. “Saya akan bantu awak harungi semua ini. Awak kena reda. Allah lebih menyayangi ibu dan ayah. Awak mesti kuat. Dina bergantung pada awak sekarang ini.”


Serta-merta Diha direnggut pilu. Ibu dan ayah sudah tiada. Mereka pergi terlalu cepat. Dia tidak bersedia mendepani walau sebuah pemergian. Apatah lagi dua sekaligus. Serentak itu, Diha menangis. 


Gelap.


Wajah ayah, ibu dan Muamar muncul silih berganti ibarat paparan slaid di layar putih. Dengan mata berkaca, Diha menatap setiap wajah yang dirindui. Tiba-tiba, ketiga-tiga susuk itu beredar, kian lama kian jauh meninggalkannya. Diha berlari mengejar mereka.


“Ibu! Ayah! Tunggu kakak!”


“Muammar! Tunggu!” 


Cuai mengatur langkah, Diha tersadung langsung terjatuh. Dia terjaga. Nafasnya turun naik. Mengurut dada, dia beristighfar. ‘Astaghfirullah hal ‘adzim. Aku bermimpi rupanya.’ Kepala yang terasa berat dipicit-picit. Kesan ubat tahan sakit yang dimakan semalam masih bersisa. 


Sedaya daya dia cuba membuka mata luas-luas. Dunia keliling seakan berputar. ‘Aku kat mana ni?’ Dia tertanya-tanya, kemamar. Setelah mengamati keadaan sekitar, barulah Diha sedar dia berada di bilik tidurnya. Sedikit demi sedikit Diha mula mengingati apa yang berlaku. Dia dan Bahri terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain. Diha mengangkat tangan kirinya yang berbalut. Dia menyeringai menahan ngilu. Bukan itu sahaja, seluruh badan turut sakit-sakit dan sengal.


Diha melirik jam di atas meja sisi. ‘Pukul berapa nih? Hah, dah pukul lima?!’ Bergegas Diha bangun mencapai tuala lantas ke bilik air. Sempat lagi untuk mandi dan solat subuh sebelum masuk waktu syuruk.


Usai solat Diha memanjat doa panjang. Doa buat ibu, ayah dan Muammar. Terbatas dunia, itulah yang termampu dititip kepada mereka. Meskipun ketiadaan insan bergelar ibu bapa acapkali menggamit rindu tidak bertepi, dia bersyukur kerana berpeluang merasa kasih sayang tulus kedua-duanya. Kendatipun, Muammar pergi tanpa ucap selamat tinggal, sekurang-kurangnya dia  mengotakan janji.


“Jangan bimbang. Saya ada. Saya akan bantu awak harungi semua ini.” Bergentayangan kata-kata Muammar di telinga.


‘Terima kasih, Ammar. Awak dah tunaikan janji awak. Awak tolong saya hingga ke detik akhir hayat awak,’ monolog Diha. 


Air mata yang berjuraian dibiarkan. Dia membaca al-Quran. Alunan ayat-ayat suci bergema di segenap ruang bilik. Mendamaikan. Menenangkan. Diha akur dia terpaksa belajar merelakan pemergian mereka. Ibu, ayah termasuklah Muamar merupakan pinjaman Allah. Bukan milik mutlaknya. 


Sesudah mengaji, Diha berbaring di katil. Badannya tidak bermaya. Dia tidur semula dan terjaga beberapa jam kemudian. Berkalih membetulkan posisi tubuh, dahinya terhantuk pada bucu sesuatu. Sambil menggosok-gosok dahi, Diha membuka mata. ‘Kotak handphone? iPhone X pulak tu. Siapa punya ni?’ 


Diha bangkit. Bersandar di kepala katil, kotak telefon dibuka cermat. Sebuah iPhone X berwarna kelabu cepat-cepat dikeluarkan. “Ariyyan belikan aku iPhone X?! Mahal nih!” omel Diha teruja. Selain daripada alat pengecas telefon, casing dan aksesori bebas tangan (handsfree), terdapat satu pek kad sim di dalam kotak berkenaan.


“Eh, ada nombor telefon baru jugaklah,” ujar Diha tersengih-sengih. Nombor telefon tempatan, rangkaian AXIS. Telefon baharu pemberian Ariyyan dipegang erat. Kembang mekar bunga-bunga di taman sanubari. Dia hanya meminta nombor telefon Ariyyan agar mudah dihubungi. Sebaliknya, lelaki itu membelikan telefon serta nombor baharu.


 “OK, masa untuk explore aplikasi telefon!” lafaz Diha girang. Butang ‘Contacts’ ditekan. Ariyyan sudah memasukkan nombor telefonnya, Bahri dan Bibik Murni di situ. Diha meneliti susunan nombor telefon Ariyyan. Dibandingkan pula dengan nombornya. Nombor telefon mereka hampir sama. Cuma selisih satu nombor di hujung. 


“Mesti dia langgan pelan telefon tambahan. Cantik je nombor aku dengan dia dekat-dekat. Thanks, Ariyyan,” bisik Diha. 


Mengenangkan Ariyyan, melodi indah menerjah menghuni lubuk jiwa. Walaupun dia mamai di bawah pengaruh ubat petang semalam, Diha menyaksikan sendiri betapa runsingnya Ariyyan. Sebaik sahaja kereta yang dipandu Bahri memasuki pekarangan rumah, Ariyyan segera berkejar membuka pintu kereta dan mendapatkannya.




“Gimana keadaan kamu?” Kerisauan jelas terpapar di wajahnya. Diha sekadar mengangguk lemah. Mata dirasakan ibarat digam. Mulut bagai terkunci. Tidak larat bersuara, dia membiarkan Ariyyan membantunya keluar dari kereta. Ariyyan juga yang memapah Diha masuk ke dalam rumah. Diha terharu. Sedikitpun Ariyyan tidak mengendahkan kerosakan teruk kereta akibat kemalangan tersebut. Dia keutamaan Ariyyan kala itu.


Keluhan kecil terhambur spontan melalui ulas bibir. Ariyyan seorang suami yang baik. Cukup sempurna. Namun, dia terus-terusan dibayangi kisah duka. Kisah duka yang menghindarnya daripada menjadi Ariyyan dahulu. Ariyyan yang sebenar.


Terlintas di minda untuk menghantar pesanan ringkas kepada Ariyyan. Dia tidak berani sembarangan menelefon lelaki itu. Bimbang kalau-kalau mengganggu Ariyyan di tempat kerja, silap-silap percuma kena herdik. Maklumlah, anginnya sukar ditelah.


'Assalamu'alaikum, Ariyyan. Terima kasih banyak-banyak ye sebab belikan saya smart phone dan nombor telefon baru.'


‘W/salam. Sama-sama. Udah bangun? Aku minta Bibik Murni datang hari ini agar bisa temani kamu.  Usah kaget andai kamu dengar ada orang lain di rumah.’


Diha tersenyum membaca pesanan ringkas balasan Ariyyan. Lantas dia teringat akan ‘insiden cemas’ saat pertama kali dia dan Bibik Murni bersua muka. Minggu berikutnya, Bibik Murni menceritakan setiap satu yang terjadi antara mereka kepada Ariyyan tanpa meninggalkan apa-apa butiran. Diha masih ingat tingkah laku tenang Ariyyan mendengar butir bicara Bibik Murni. Hujung bibirnya terjungkit tatkala Bibik Murni melakonkan semula aksi memaut lengan Diha, pada masa yang sama memeluk kejap pasu bunga yang terlepas dari tangan. Macam nak senyum. Macam nak ketawa. Riak wajah Ariyyan ketika itu nampak serba tidak kena tetapi comel juga. ‘Mungkin urat muka tu dah ketat dek kerana terlalu lama tidak senyum lebar-lebar atau ketawa. Ish, pandai-pandai saja aku nih!’ Dia mengutuk diri sendiri yang sesuka hati mengadili riak si suami.


Diha membaca semula pesanan ringkas si suami berulang kali. Dia tahu dia patut bersyukur bersuamikan Ariyyan. Sesibuk manapun, Ariyyan tetap ada ruang memikirkan dirinya. Biarpun terdapat kesulitan dan halangan dalam hubungan mereka, biarpun Ariyyan belum menerima Diha sebagai isteri, Ariyyan sentiasa memastikan kebajikannya terjaga. Jika diikutkan, hari ini bukan hari Bibik Murni mengemas rumah. Sungguhpun begitu, Ariyyan telah meminta wanita itu datang meneman dan menengok-nengokkan keadaannya.


‘OK. Thanks so much. Maaf ganggu awak kerja.’ Diha menaip pesanan balas. 


Selepas membersih dan merapikan diri, dia keluar dari bilik. Langkah diatur ke dapur mencari Bibik Murni. Bibik Murni sedang sibuk memasak. Bau masakan yang menyelerakan menyapa deria baunya. Diha memberi salam.


“Waalaikummussalam.” Bibik Murni berpaling. 


“Nak Diha sudah bangun, ya. Gimana keadaan Nak Diha hari ini?” Bibik Murni bertanya khabar. Membiarkan sebentar apa yang dimasak di atas dapur, segera dia membancuh secawan susu coklat panas untuk Diha. 


“Mari diisi lambungnya,” ajak Bibik Murni mempersilakan Diha duduk. “Sudah telat ni. Bibik udah masak makanan enak-enak khusus buat Nak Diha,” katanya. Pantas Bibik Murni menghidangkan makanan di hadapan Diha. Gulai lemak sayur pakis, paru goreng berlada dan tempe goreng. Kecur air liur Diha melihat semua itu.


“Terima kasih, bik. Kenapalah bibik susah-susah masak? Dalam peti sejuk tu ada lauk dan nasi kelmarin. Saya boleh panaskan. Dah lebih dari cukup dah,” ucap Diha.


“Nak Diha kan belum benar-benar pulih. Tuh, tangannya masih bengkak. Masa sih mau berbuat itu ini. Bentar bibik ambilkan senduknya. Atau mau bibik suapin?” 


“Eh, tak mengapalah. Saya boleh makan sendiri. Dah tua macam ni malulah nak manja-manja dengan bibik,” tutur Diha disulami tawa kecil.


“Bisa saja. Nggak ada salahnya!” Balas Bibik Murni ceria. Dia menghulurkan sebatang sudu kepada Diha. Ayam goreng bumbu di dalam kuali diangkat lalu dihidangkan panas-panas. “Kan nak Diha waktu ini lagi perlu perhatian,” sambung Bibik Murni. Diha mengulum senyum memikirkan panggilan ‘Nak Diha’ oleh Bibik Murni. Tetapi, apabila membahasakan Ariyyan, suaminya dipanggil Pak Ariyyan pula. Diha tidak kisah. Panggilan sedemikian dirasakan lebih mesra. Malah, dia selesa andai Bibik Murni menganggapnya sebagai anak.


“Tadi masa bibik sampai, Ariyyan sudah pergi kerja?” soal Diha sebelum menghirup susu coklat panas. Setelah itu, dia menyambung suapan nasi.


“Nggak. Pak Ariyyan tunggu hingga bibik tiba baru dia berangkat. Pak Ariyyan tunjuk sama bibik obat-obat yang bibik harus beri pada Nak Diha. Dia minta bibik masakkan makanan agar Nak Diha bisa istirahat sebaiknya.”


“Terima kasih ya, bik. Susahkan bibik saja.”


“Bibik senang hati lakukan ini semua, kok” jawab Bibik Murni ikhlas. Tangan menyendukkan lauk sayur pakis ke pinggan Diha. Didekatkan sambal hijau ke arah Diha supaya boleh dinikmati bersama ayam goreng. Diha makan dengan berselera. Selesai menghabiskan makanan, Bibik Murni menghulurkan beberapa biji pil untuk dimakannya.




Previous: Bab 24
Next: Bab25-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.