Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 24

PAGI itu Diha ditemani Bahri pergi membeli barang-barang keperluan dapur. Dia turut membeli kopi, teh, minuman coklat, malt dan pek pracampur untuk Ariyyan. Menurut Marsha, Ariyyan gemar minum air panas terutama sekali teh susu. Diha pernah beberapa kali membuatkan air teh susu. Namun, minuman yang disediakan memang tidak bersentuh. Suasana bertambah tegang saat lelaki itu dirundung angin tidak baik. Ariyyan akan marah-marah tidak tentu pasal. Takkanlah Marsha seorang sahaja yang layak bancuhkan kopi buatnya? 


Teh O panas, kopi o, kopi susu, coklat panas, sama kesudahannya. Tidak berusik. Disebabkan Ariyyan masih dalam proses transisi, menyesuaikan diri hidup berdua bersamanya, Diha tidak mahu terus-menerus meneka selera suami. Tidak masuk akal jika disajikan tiga atau empat jenis air tatkala menjamu Ariyyan minum. Untunglah sekiranya dia sudi meneguk minuman. Jika tidak, siapa pula hendak habiskan air-air itu nanti? 


Semalam, Diha melihat katalog IKEA di internet. Pelbagai seleksi troli dapur beroda yang menarik perhatiannya. Timbul idea menyediakan hot drink station khusus buat Ariyyan. Di atas troli akan diletakkan mug, cawan, sudu kecil, serbuk kopi, susu coklat, teh uncang aneka perasa dan paket-paket minuman pracampur. Jadi, andai Ariyyan teringin minum air panas, dia boleh membancuh sendiri air mengikut citarasanya.


Diha meminta Bahri membawanya ke mana-mana kedai menjual peralatan dan kelengkapan rumah. Mujur mereka berjaya jumpa apa yang dicari. Sebuah troli dapur beroda berwarna hitam, sangat sesuai ditempatkan di dapur atau ruang makan rumah. Diha dapat membayangkan hot drink station yang bakal disediakan.


“Ke mana lagi, kak?” soal Bahri sebaik sahaja mereka berdua berada di dalam kereta.


“Pulang, Bahri. Semua barang dah ada,” jawab Diha. Bahri angguk. Kereta dipandu memasuki jalan besar. Tiba di sebuah simpang, kereta diberhentikan mematuhi lampu isyarat merah. 


“Hampir terlupa saya, kak. Bunda saya kirim salam pada kakak. Dia gembira kok kapan saya beritahu yang kak suka sama lauk pecel lelenya.” Bahri membuka cerita. Diha tersenyum lebar.


“Enak bangat, sih! Enaknya sampai terbawa-bawa dalam mimpi!” luah Diha ceria. Minggu lepas, Diha telah menghadiahkan dua helai tudung buat ibu Bahri. Sebagai tanda terima kasih, ibu Bahri menitipkan lauk pecel lele dan sambal badjak. Diha menikmati hidangan tersebut tanpa menoleh kiri kanan. Sangat menyelerakan apatah lagi apabila dimakan bersama nasi panas.


“Eh, Bahri. Lampu dah hijau.”


Bahri segera menurunkan brek tangan seterusnya menekan pedal minyak. Tiba-tiba, sebuah kereta dari arah kanan simpang meluru laju ke arah mereka. Kereta yang dinaiki dirempuh betul-betul di bahagian tempat duduk belakang. 


‘Allahu Akbar!’ Kalimah agung terlafaz dari bibir Diha tatkala tubuhnya menerima impak kuat hentaman.



ARIYYAN bergegas masuk ke dalam kereta. Cuaca tengah hari itu sungguh panas. Berpeluh-peluh Ariyyan dibuatnya. Beg kertas berwarna putih diletakkan di tempat duduk sebelah. Selesai kerja di studio, Ariyyan pergi membeli telefon bimbit beserta nombor telefon baharu untuk Diha. Lebih mudah jika Diha menggunakan nombor syarikat telekomunikasi tempatan. Tidak perlu membayar caj tambahan perkhidmatan roaming. Tentu bil telefonnya bulan-bulan melambung tinggi.


Dia menghidupkan enjin kereta. Alat pendingin hawa dipasang. Udara dingin yang menerpa terasa menyamankan. Baru hendak memulakan pemanduan, Ariyyan mendapat panggilan telefon daripada Bahri. 


“Allo. Ada apa Bahri?”


“Kang, saya mahu maklumkan. Saya dan Kak Diha ditimpa kecelakaan mobil. Kami ditabrak mobil.  Pemandunya nggak patuh sama lampu isyarat. Sekarang ini lagi masih di rumah sakit.”


“Ya Allah! Ditabrak?! Habis, gimana keadaannya?” tanya Ariyyan cemas. Terkejut mendengar berita yang disampaikan Bahri. 


“Mobilnya remuk teruk di bahagian belakang, kang. Di sebelah kanan,” jelas Bahri, beranggapan Ariyyan bertanya tentang kereta. 


“Bahri,... maksudku gimana keadaan kalian? Tunggu. Aku segera ke sana.”


“Nggak perlu kang. Saya sedang nunggu Kak Diha keluar dari kamar doktor. Alhamdulillah, kakak tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Cuma dua jari tangan kirinya yang retak. Usah khuatir, kang. Setelah dijelasin bil rumah sakit, saya akan hantar Kak Diha pulang,” tambah Bahri. Pandangan disorot memerhatikan kelibat Diha yang keluar dari bilik rawatan. Duduk di atas kerusi roda yang ditolak oleh seorang petugas hospital, dia tampak pucat tidak bermaya. 


“Kondisi kamu sendiri gimana, Bahri? Bisa memandu? Biar aku jemput kalian di sana,” putus Ariyyan.


“Saya baik aja. Mobilnya juga bisa gerak. Sebentar lagi kami pulang.” 


“Udah, kalau begitu aku tunggu kalian di rumah aja. Hati-hati pandu mobilnya, Bahri,” ucap Ariyyan.


“Baik, kang,” jawab Bahri sebelum memutuskan talian. 


 ‘Mudah-mudahan kondisi Diha tidak seteruk mana’ Dalam kerisauan Ariyyan memandu pulang. 


Bahri memandang majikannya dengan rasa bersalah. Berkali-kali dia memohon maaf. Di bawah tanggungjawabnya, kereta kepunyaan Ariyyan remuk teruk. Diha tercedera. Tidak dapat tidak, Bahri menyalahkan diri atas apa yang berlaku. 


Ariyyan menenangkan kegusaran pemandunya. Dia tidak kisah itu semua. Sebetulnya, ketika Bahri dan Diha sampai tadi dia tidak terfikir langsung untuk memeriksa kesan perlanggaran atau seteruk mana tahap kerosakan kereta akibat dilanggar. Dia sekadar ingin tahu keadaan sebenar mereka berdua. 


“Jangan bimbang, Bahri. Yang penting kamu sama Diha nggak cedera parah. Wang bisa dicari kok. Nyawa kapan udah melayang tiada guna dikesalin.” Ditepuk bahu Bahri mesra agar tidak runsing memikirkan keretanya. Sesekali mata dihala ke arah Diha yang duduk bersandar di sofa. 


“Udah. Kamu pergi rehat dulu. Gunakan kamar tamu. Aku pesan makanan, kita makan siang bareng-bareng,” ujar Ariyyan. Tangannya membuka laci meja telefon, mencapai menu makanan restoran cina.


“Eh, nggak usah kang. Saya pulang aja,” kata Bahri. Sudahlah bil rawatannya dilunaskan oleh Diha, kini Ariyyan pula mahu menyiapkan makan minum. Siap disuruh rehat di bilik tamu. ‘Ya Allah, kau berkatilah pasangan ini dengan kebahagiaan. Rahmatilah mereka dengan rezeki yang melimpah ruah,’ doa Bahri dalam hati.


“Mau pulang? Yuk aku hantarin.”


“Usah repot-repot kang. Saya telah talifon Endi minta jemput di sini,” terang Bahri yang telahpun menghubungi adiknya sejak di hospital.


“Masakan naik motor, Bahri. Kamu baru sahaja ditimpa kecelakaan. Tentu badan sakit-sakit. Aku bisa hantarin kamu, kok,” Ariyyan meyakinkan Bahri. Dia tidak mempersetujui tindakan Bahri hendak membonceng motor Endi.  Meskipun luka yang dialami tidak serius, setidak-tidaknya rasa terkejut masih bersisa. Bagaimana kalau ada sesuatu berlaku semasa perjalanan?


“Saya nggak apa-apa, kang. Kak Diha yang terkena hentaman teruk. Lagipun, lebih baik kang tengok-tengokkan kakak. Tadi dia diberi suntikan obat tahan sakit,” jelas Bahri. Simpati dia memerhatikan Diha yang terlena di sofa. Serentak itu kedengaran bunyi hon motosikal dari luar. 


“Kang, saya pamit dulu. Endi sudah ada di luar,” Bahri meminta diri. Dia  menyalami Ariyyan. 


Ariyyan mengangguk. “Baiklah. Waspada di jalanan ya. Bahri, esok kamu cuti aja. Istirahat di rumah,” pesan Ariyyan sambil mengiringi Bahri ke luar rumah. Sampai di pintu pagar, Ariyyan menegur Endi ramah. Rupa dan perawakan Endi mirip abangnya cuma tubuh Endi lebih berisi.


“Endi, apa khabar?” Dijabat tangan anak muda itu.


“Alhamdulillah, sihat kang,” balas Endi. Dihulurkan sebuah helmet kepada Bahri.


“Kuliahnya gimana?” Ariyyan bertanya lanjut. Endi penuntut Tahun Dua jurusan ekonomi di Universitas Negeri Jakarta. Pintar budaknya. Cemerlang semenjak di sekolah menengah, dia memperoleh biasiswa penuh bagi meneruskan pelajaran.


“Semuanya aman. Baik-baik aja, kang,” Endi menjawab pertanyaan Ariyyan. Dia tahu majikan abangnya sentiasa mengambil berat tentang mereka sekeluarga. Kejayaan Ariyyan tidak pernah menjadikan dia lupa asal usul. Ariyyan tetap Ariyyan yang dulu, seperti yang dikenal sebelum ini. Sebelum bergelar artis popular. Rendah diri. Tidak sombong.


“Kami berangkat dulu ya. Terima kasih banyak-banyak, kang. Maaf, mobil kang remuk teruk.” Kekesalan terus bersarang  di hati Bahri kerana tidak dapat menjaga amanah majikan dengan baik. Bukan sahaja dia gagal menjaga kereta milik Ariyyan, lebih teruk lagi, dia gagal melindungi Diha.


“Saya benar-benar rasa bersalah, kang. Potonglah gaji saya sebagai biaya,..”


“Aduh, Bahri!” Pantas Ariyyan memotong. “ Usah mikirin hingga ke situ. Tanpa izin Tuhan, semua ini tidak akan berlaku. Kamu sudah berjaga-jaga, tapi Dia aturkan pemandu mobil lain pula cuai. Makanya, kita harus ikhlas merelakan apa yang terjadi. Malah kita perlu bersyukur karea kamu dan Diha selamat. Nggak kenapa-napa,” tambah Ariyyan lagi. 


“Udahlah. Mobilnya aja yang remuk. Bisa dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Seperti aku bilang, andai kita manusia yang remuk, patah,…cedera sana sini, baru patut dikhuatirin. Sukar mau dicari barang gantinya.”


Setelah Bahri dan Endi pulang, Ariyyan masuk semula ke rumah mendapatkan Diha. Dalam lena, sekujur tubuh itu terkulai lemah di atas sofa. Dek kerana posisi tidur yang tidak betul, Diha hampir tersembam ke depan.


“Lorh!” Segera dia ke sofa menyambut Diha dari jatuh. Leher isteri dipaut, tubuhnya dibaringkan. “Kok kamu lena bangat sampai tidur kae gini!” desis Ariyyan. Tudung Diha dilucutkan. Perlahan-lahan kepala wanita itu diriba supaya tidurnya lebih selesa. Tangan kiri Diha yang berbalut dibelek. 


Menurut Bahri, ada keretakan pada tangan dan dua jari Diha. Diperiksa luka-luka lain. Terdapat luka kecil di siku kanan serta telapak tangan kiri. Mungkin terkena serpihan kaca cermin pecah. Mujurlah hanya cedera ringan. Ariyyan menarik nafas lega. Lapang dada memikirkan tiada kecederaan serius yang menimpa Diha. Diam melayani perasaan, Ariyyan mengelus lembut rambut Diha sebelum turut tertidur di situ.


Beberapa jam selepas itu, Ariyyan terjaga. Perutnya pedih minta diisi. Dia menggosok-gosok mata. Diha di pangkuan masih lena. 


‘Kok kuat bangat ubat tahan sakit yang diberi doktor? Nggak bangun-bangun Diha dari lena.’ Dia melirik jam tangan. Petang telah merangkak senja. Lama juga dia tertidur.


“Diha,...” Ariyyan cuba mengejutkan Diha. 


“Kamu mau makan enggak?” Tiada jawaban. Mata Diha terpejam rapat.


Berhati-hati, Ariyyan mengalihkan kepala Diha ke atas kusyen di sofa. Dia lantas bangun dan berdiri. Badannya diregangkan. Kaki yang kebas kerana agak lama meriba kepala Diha digerak-gerakkan. Kemudian, dia mencempung Diha ke dalam bilik. Diha dibaringkan di atas katil. Ariyyan mencapai sebiji bantal lalu meletakkan tangan Diha yang berbalut di atasnya. Biar tangan itu berlapik. Harap-harap bengkaknya surut cepat. Sesudah menyelimutkan tubuh isterinya, dia beredar ke bilik sendiri.


Selesai mengerjakan solat Maghrib, Ariyyan membuka peti sejuk. Dia tercari-cari apa yang boleh dimakan. Tersentuh hati melihat bekas-bekas makanan tersusun kemas. Semua  makanan itu disimpan Diha untuknya. 


Diha memang seorang suri yang baik. Ariyyan perasan, walaupun dia kerap tidak menjamah makanan yang dihidangkan, Diha tetap tidak mengabaikan tanggungjawab menyediakan makan minum. Setiap hari berusaha memasak pelbagai juadah demi memancing selera Ariyyan. Jika dia balik lewat, makanan yang tidak berusik disimpan di dalam bekas. Tanpa jemu, Diha menampal kertas Post-It di pintu peti sejuk agar dia memanaskan makanan menggunakan ketuhar gelombang mikro sekiranya dia lapar. 


“Kalau awak perlukan apa-apa atau nak saya masak makanan lain, kejutkan saya tau.” Baris akhir ayat si Diha setiap kali meninggalkan nota.


‘Mustahil aku tergamak mengejutkanmu semata-mata karna pingin mengisi perut, Diha,’ bisik Ariyyan. Sejurus, dia mengeluh kecil. Bukannya dia sengaja mahu mendera perasaan Diha. Bukan juga dia tidak sudi merasa masakan wanita itu. Tetapi, menjamah makanan yang dimasak oleh Diha secara tidak langsung mengembalikan memori yang kuat terhadap Marsha. Di dapur itulah Marsha selalu memasak lauk-pauk kegemarannya. Di ruang makan itulah Ariyyan berselera menikmati setiap satu hidangan hasil air tangan isteri. Terlalu banyak kenangan antara dia dengan Marsha.


Kembali berpijak pada realiti, Ariyyan teringat akan telefon bimbit baharu yang ingin diberikan kepada Diha. Dia keluar ke kereta mengambil beg kertas berisi telefon bimbit yang dibelinya. Terjengket-jengket Ariyyan masuk ke bilik Diha. Dia tidak memasang lampu. Pergerakannya hanya dibantu cahaya dari luar bilik. Takut mengganggu rehat si empunya diri.


“Diha,...” panggil Ariyyan. Diha tidak bergerak. ‘Hmm, si Diha kalau makan ubat,… tidurnya kae kuda diberi ubat penenang,” omel Ariyyan sambil memandang Diha. Seingatnya, lenyak seperti inilah Diha tidur setelah makan ubat alahannya. Ariyyan menyelimutkan Diha. Dia meletakkan kotak telefon bimbit di atas bantal kosong  bersebelahan Diha lantas mula mengatur langkah ke luar.


Tiba-tiba langkahnya terhenti. Ariyyan berpaling. Sesuatu berlegar di minda membuatkan dia merapati Diha semula. 


“Kamu tahu kan yang kamu bakal persetujui ini adalah untuk lalui sebuah perkahwinan? Sama aku. Gimana kalau sampai kapan pun aku nggak bisa mencintai kamu?” Ariyyan terkenang detik dia menanyakan ‘soalan keramat’ berkenaan kepada Diha.


“Di pihak saya, saya akan reda. Cinta tidak tercipta untuk semua orang. Lagipun, perkahwinan ini sama seperti bab kehidupan kita yang lain. Sebuah percaturan. Dan saya bersedia untuk ambil risiko itu.” 


Raut wajah yang sedang lena diulit mimpi direnung lama. ‘Pasrahnya kamu mengharungi semua ini…’ Lirih nada suara Ariyyan. Di luar sedar, tangan kanan dirapatkan ke bibir. Dia mengucup hujung jemarinya kemudian jari-jari itu ditekapkan perlahan ke pipi kiri Diha. Seolah-olah menghadiahkan sebuah ciuman buat sang isteri. 


“Selamat malam, Diha ‘Afina,” ucap Ariyyan separuh berbisik, hanyut dibawa perasaan. Namun hanya untuk seketika. Dia tersentak. Tidak mengerti apa yang mendorongnya berbuat sedemikian. Kaget dengan tindakan sendiri, buru-buru dia keluar beredar.



Terjemahan kata:

  • pecel lele - ikan keli bersambal
  • mobil - kereta
  • ditabrak - dilanggar


Previous: Bab 23
Next: Bab25-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.