ARIYYAN memarkir kereta di hadapan rumah. Mata meliar memandang sekeliling. Kereta Mazda hitam yang biasa dipandu oleh Bahri untuk menghantar dan menjemput Diha tiada di tempat parkir. Tentu isterinya keluar.
Tidak tahan dek penangan cuaca yang panas membahang, Ariyyan meluru masuk. Langsung ke dapur. Hajat hati ingin meneguk segelas air dingin buat menghilangkan dahaga. Selalunya Diha ada menyediakan air lemon atau limau nipis. Ketika mahu membuka peti sejuk, dia terpandang nota lembaran kertas ‘Post-It’ yang dilekatkan di situ.
Masih batuk? Bancuh 1 sudu campuran madu (bekas bertutup merah) dengan air dalam flask. Semua atas kitchen trolley ya.
‘Kok disuruh minum air hangat? Tekak gue lagi kering nih!’ omel Ariyyan. Namun, dia tetap mendapatkan sebiji mug dan sudu. Balang bertutup merah dicapai. Saat itulah telinga menanggap bunyi pintu utama dibuka. Diha sudah pulang.
“Assalamu’alaikum,” sapa Diha sebaik sahaja muncul di dapur.
“Wa’alaikummussalam,” balas Ariyyan, menoleh. Diha melempar senyum. Di tangannya ada beberapa beg guna semula yang sarat dipenuhi makanan serta stok barang dapur. Bahri membuntut di belakang membawa sekampit beras dan dua bungkusan lain.
“Kang, apa khabar?” tegur Bahri ramah.
“Alhamdulillah, baik,” jawab Ariyyan. Dia menginjak sedikit, memberi Diha ruang meletakkan beg-beg di atas kitchen island.
“Oh, biar saya tolong,” ujar Diha. Dia mengambil sudu dari tangan Ariyyan. Campuran madu dituang ke dalam mug berisi air panas seterusnya dikacau sehingga sebati. Disuakan mug kepada Ariyyan. Ariyyan menyambutnya. “Makasih.” Air madu diteguk perlahan.
Bahri sekadar memerhati. Dia senang menyaksikan semua itu. Dia tahu Diha sangat menitikberatkan kesihatan Ariyyan. Malah, Diha sentiasa berusaha menjaga setiap hal kebajikan suami sebaik mungkin.
“Awak dah minum petang?” soal Diha. Ariyyan menggeleng. Cepat-cepat Diha mengeluarkan apa yang dibeli ke atas kitchen island. Plastik berisi kuih pau dicari. Dia menghidangkan sepinggan pau di hadapan Ariyyan. Sesudah itu, dia merendam uncang teh di dalam teko. Dibiarkan teh mengembang barulah dibubuh gula.
“Bahri, yuk minum!” ajak Ariyyan menggamit Bahri agar duduk di tepinya.
“Usah repot-repot, kang. Kak Diha sudah belikan saya pau buat dimakan di rumah,” sopan Bahri menolak pelawaan Ariyyan. Dia menempatkan sekampit beras yang dipikul berdekatan kabinet dapur.
“Eh, Bahri. Marilah! Temankan Ariyyan,” panggil Diha pula. Dia mengeluarkan cawan dan piring dari almari kabinet. Air teh dituang lalu dihulurkan kepada Bahri. Khuatir dianggap jual mahal, Bahri melabuhkan punggung di sebelah Ariyyan.
“Yang untuk di rumah, kamu makanlah di rumah. Kan banyak kita beli pau tadi,” tutur Diha lanjut.
“Makasih, kak,” ucap Bahri seraya menghirup minuman. Sejujurnya dia enggan menyusahkan Diha atau Ariyyan. Apa lagi mencelah kesempatan masa mereka berdua. Waktu-waktu begini sewajarnya diluangkan bersama tanpa kehadiran orang lain.
“Aduh, kamu ini Bahri! Kok harus dipujuk sama Diha baru sudi minum bareng aku. Manja!” Ariyyan mengusik Bahri. Anak muda itu tersengih mendengar gurauan majikannya.
“Bukan begitu, kang. Saya nggak mau mengganggu kang sama kakak,” jelas Bahri.
“Ariyyan, nak air teh panas tak?” tawar Diha.
Geleng.
“Cukup yang ini.” Ariyyan menunjukkan air madunya. Dia sudahpun menghabiskan dua biji pau. Tekstur paunya lembut, intinya mewah. Lazat benar dimakan semasa masih panas.
“Ganggu apanya. Rezeki udah tersedia jangan ditolak dong. Kamu nggak makan, Diha?” Ariyyan bertanya tatkala Diha melintasinya.
“Tak mengapa. Awak makanlah dulu. Saya nak kemas barang-barang sekejap,” kata Diha. Dia memegang tiga kotak bijirin sarapan kegemaran Ariyyan. Kotak-kotak tersebut disimpan di dalam kabinet.
“Kalian dari kota? Kena macet?” Ariyyan berborak dengan Bahri.
“Seperti biasa, kang. Jakarta namanya. Kang baru nyampe?”
Ariyyan angguk. Tangan kanan mencapai sebiji pau lagi. Pau berinti kacang merah dinikmati penuh selera.
“Beli di mana pau ni, Bahri? Enak bangat!”
“Berhampiran SMA hujung simpang sana, kang. Rasanya orang itu baru berniaga. Nggak pernah lihat dia berjaja di situ." Selepas membeli belah, dia dan Diha singgah di sebuah gerai kuih di bahu jalan. Beria mereka memilih pau aneka perasa yang besar-besar dan gebu. "Kak Diha bilang kang batuk teruk. Udah sembuh?” Bahri merisik keadaan kesihatan Ariyyan.
“Iya, malam tadi batuknya terus-terusan. Aku sampai nggak bisa tidur. Diha beri air madu ini. Disapu pula minyak kayu putih di dada dan belakang tubuhku. Alhamdulillah, mujarab! Udah lega sedikit deh,” cerita Ariyyan.
Bahri tersenyum lebar mendengar penjelasan Ariyyan. Sudah lama Ariyyan tidak ceria berbual panjang begitu. Semenjak Marsha pergi, Ariyyan berubah menjadi susuk yang sangat pendiam. Hanya sepatah dua kata yang terbit dari mulutnya kala berbicara.
Usai menghabiskan pau dan air teh, Bahri meminta diri. “Kang, saya pamit dulu. Makasih jamu saya minum petang,” nyata Bahri. Kelibat Diha dicari.
“Kak Diha, pulang ya! Makasih atas pau dan air tehnya. Esok andai pingin ke mana-mana, talifon saya.”
“Baik, Bahri. Terima kasih banyak-banyak. Sampaikan salam saya pada orang tua kamu,” pesan Diha.
“Ya, kak. Insya-Allah,” balas Bahri.
Diha masih mengemas. Setiap apa yang dilakukannya tidak terlepas dari sorotan pandangan Ariyyan. Cekap wanita itu menguruskan keperluan rumah yang dibeli. Barang kering disusun rapi di dalam kabinet serta di atas rak. Bahan-bahan mentah seperti ayam, ikan dan daging disiang kemudian dibersihkan. Bahan-bahan berkenaan diagihkan ke dalam bekas-bekas plastik sebelum dimasukkan ke dalam peti dingin beku.
“Batuk awak macam mana hari ni, Ariyyan? Ada kurang tak?” soal Diha saat pandangan mereka bertemu. Ariyyan berwajah manis, mengangguk. “Tidak seteruk semalam,” jawabnya.
Diha duduk di hadapan Ariyyan. Dia memasukkan sebungkus gula pasir yang dibeli ke dalam balang putih berlabel ‘SUGAR’. Mengenangkan Diha yang sedari tadi belum menjamah makanan, Ariyyan mengambil sebiji pau. Dibelahnya kepada dua bahagian. Satu bahagian dihulurkan kepada Diha manakala selebihnya dimakan.
“Nah, makan dulu, deh.”
“Terima kasih.” Diha tersenyum menerima huluran Ariyyan. Diletakkan sebentar sepek susu coklat yang hendak dibuka di atas meja. Pau kaya dikunyah perlahan. Memang sedap! Patutlah berselera benar Ariyyan makan. Selepas pau dihabiskan, dia bangkit menyambung kerja.
“Mau lagi paunya?” tanya Ariyyan.
“Emm, tak apa. Terima kasih.”
Melihat Diha yang bergerak hilir mudik, Ariyyan lantas teringat akan sesuatu. Dia berlalu ke ruang depan. Mendapatkan sebuah beg kertas di atas sofa lalu membawanya ke dapur. Ariyyan duduk kembali.
“Di mana kamu belajar bikin campuran madu kae gini?” Ariyyan mencetuskan topik bual.
“Hmm?” Diha yang sedang mencuci pinggan berpaling. Dia tidak dengar sejelasnya soalan Ariyyan.
“Gimana kamu tau campuran air madu, jahe dan buah lemon ini bisa buat penawar batuk?” ulang Ariyyan. Serentak itu, dia mengangkat balang mengintai kandungan bertutup merah yang disediakan Diha semalam.
“Oh, saya jumpa di internet. Dalam salah satu laman web home remedy.” Sesudah mengeringkan tangan menggunakan sehelai tuala dapur, dia merapati Ariyyan.
“Home remedy?”
“Home remedy ialah satu bentuk rawatan berasaskan rempah-ratus, sayur-sayuran atau bahan-bahan lain yang mudah kita peroleh di rumah. Tidak bergantung pada ubat-ubatan moden sangat,” terang Diha merungkaikan kemusykilannya.
“Kamu lebih gemar home remedy berbanding obat-obatan doktor?”
“Tidaklah. Home remedy bukan pengganti ubat doktor. Cuma rawatan alternatif. Lagipun home remedy hanya sesuai untuk masalah kesihatan biasa sahaja. Kalau sakit teruk, kena menghadap doktor juga,” ulas Diha. Dia mengambil sebiji pau yang berbaki di pinggan. Kulit luar pau dikupas. Dicubit sedikit isinya dengan jari, kemudian disuap ke mulut.
“Kok paunya dimakan kae gitu?”
“Ya?”
“Tuh, mengapa kulit pau kamu kupas begitu?” Ariyyan pelik dengan tindakan Diha.
Diha tidak sedar perilakunya diperhatikan. Dia mengulum senyum. ‘Boleh tahan Ariyyan ni. Observant. Itu pun dia perasan!’ Menelan sisa kunyahan, Diha menjawab, “Tabiat dari kecil. Dulu-dulu, pau yang dijual dekat kampung saya, kulit luarnya keras sikit. Tak halus dan licin seperti ini. Jadi, saya selalu kupas kulit baru makan.” Dia menawarkan paunya kepada Ariyyan. Si dia menolak.
“Udah empat biji aku makan,” ujar Ariyyan sambil mengusap perut. “Kekenyangan nih!”
“Apa yang mendorongmu memilih rawatan home remedy?” Diajukan pertanyaan penuh minat. Sengaja dia memanjangkan suasana menyenangkan yang mula berputik di antara mereka. Tangan mencapai teko. Mug yang telah kosong dipenuhkan. Pandangan tertumpu pada Diha.
“Sewaktu Dina sakit, kos perubatan penyakitnya tinggi. Wang kami cukup-cukup buat menampung belanja harian. Jika tiba-tiba saya atau Dina jatuh sakit, lari juga bajet nak beli ubat, nak ke klinik. Masa tulah saya berjinak-jinak kenal home remedy. Setakat sakit yang ringan-ringan macam sakit perut, batuk dan demam selesema, kami guna bahan-bahan di rumah je.”
Bersungguh-sungguh Ariyyan memberi tumpuan kepada penceritaan Diha. Jauh di sudut hati dia bersimpati terhadap Diha. Benarlah apa yang diberitahu oleh Armand. Isterinya amat cekal. Kesusahan hidup tidak mematahkan semangat. Sebaliknya, Diha cuba mengatasi setiap kemelut dengan cara tersendiri.
“Selain batuk, apa lagi bisa diobati melalui kaedah ini?” Ariyyan berminat mengetahui lebih lanjut.
Diha berfikir sejenak. “Banyak! Ada home remedy untuk pening kepala, selesema, sakit perut, masalah penghadaman dan macam-macamlah. Air madu awak minum tu, bukan sahaja elok untuk batuk, bahkan boleh dijadikan rawatan penyakit lelah. Satu lagi contoh, daun bunga raya. Itu penawar demam panas,” tambahnya.
“Bunga raya?”
“Hmm. Awak ramas daun bunga raya tu bersama air sampai keluar lendir. Kemudian tepekkan, maksud saya,...sapukan di dahi dan kepala. Lendir daun tu berupaya menurunkan suhu badan kita. Nanti kebahlah demam.”
Ariyyan mengangguk faham. Dia menghabiskan minuman. “Nah, ini buat kamu.” Ariyyan menolak perlahan beg kertas berwarna kelabu ke arah Diha.
Diha memandang kehairanan. “Apa ni?” Diha bertanya. Beg kertas dibuka segera. Roman muka bertukar ceria. “Coklat!” Bercahaya wajah Diha. Pantas kotak hadiah berisi coklat dikeluarkan lantas dibelek. Teruja dia membaca keterangan yang tertera pada label kotak. Terlupa sebentar Ariyyan berada di hadapannya.
“Untuk saya?” Diha tidak percaya. Ariyyan angguk. Dalam perjalanan pulang, dia berhenti di sebuah kedai manisan dan konfeksi. Memang dia berhasrat membelikan Diha sesuatu. Tanda terima kasih kerana Diha menjaganya malam semalam.
“Makasih karna rawat aku malam tadi,” lafaz Ariyyan. Dia mahu Diha tahu, dia menghargai apa yang dilakukan Diha. Tetapi dia tidak pandai menzahirkan secara tepat menerusi ungkapan kata-kata. ‘Mungkin lewat kado ini aku bisa menyampaikan penghargaan padamu.' Berkali-kali perkara itu terlintas di benak.
“Seronoknya! Thanks, Ariyyan! Susah-susah je belikan saya hadiah.” Diha bersuara girang. Spontan kotak itu dirapatkan ke dada lalu didakap kejap. Hati berbunga-bunga.
Menyedari sepasang mata Ariyyan menjadi saksi tingkahnya, Diha tersipu. Gaya dapat hadiah coklat mengalahkan orang dapat jongkong emas! Perlahan-lahan kotak coklat diletakkan di atas meja. Hiasan reben di luar kotak dileraikan. Penutup kotak dibuka.
“Wah! Cantik-cantik coklat ni! Mesti sedap.” Di luar sedar, Diha bertepuk tangan keriangan. Ralit dia meneliti jenis coklat yang terkandung di dalam kotak itu.
Ariyyan tersenyum memerhatikan aksi Diha. Gembira si isteri bukan kepalang. ‘Lagakmu kae boca kecil,’ fikir Ariyyan. Namun, tidak semena-mena senyuman terus luput tatkala minda melayang teringatkan Marsha.
Marsha juga menggemari coklat. Selalunya apabila dia membelikan coklat kesukaan Marsha, bertalu-talu Ariyyan dicium dan dipeluk. Tidak cukup itu, apa yang sering mengundang tawa Ariyyan adalah kelakuan Marsha yang berperang dengan diri sendiri setiap kali Ariyyan menyuapkan coklat ke mulutnya.
“Aduh, aku pingin bangat, deh! Tapi gimana kalau berat badanku naik mendadak?” omel Marsha.
“Makan sahaja, ayang. Memang semua ini untukmu,” pujuk Ariyyan. Dia memeluk erat cintanya demi melepas rindu. Seminggu dia tiada di rumah, mengadakan persembahan di luar kota. Baru detik itu dapat menatap wajah kesayangannya puas-puas. Rambut Marsha yang panjang mengurai dielus mesra.
“Ahh, kelak kapan badanku naik, besar membulat, senang-senang aja dicari cewek lain!” giat Marsha. Dia memuncungkan mulut. Pura-pura merajuk. Niat sekadar bercanda. Sempat dia mencuit hidung suaminya.
“Sampai kapan pun aku akan tetap menyayangi dan mencintaimu. Tidak kira tubuhmu kurus melidi atau bulat kae sebijik belon,” tutur Ariyyan membalas celoteh Marsha. Dia menarik Marsha ke pangkuan. Kemudian, dia menyuapkan Marsha seketul coklat praline. Dikucup dahi isteri penuh kasih. Dia benar-benar rasa bahagia.
“Nah.” Suara Diha memecahkan lamunan. Ariyyan tersedar. Kembali ke realiti. Diha sedang menyuakan seketul coklat. Lelaki itu tersentak. Riak mukanya berubah. Buru-buru dia bangkit dari kerusi. Langkah diatur dua tiga tapak ke belakang. Tanpa menyambut huluran coklat daripada Diha, Ariyyan berlalu pergi.
Diha terpinga-pinga. Apa yang berlaku? “Hmm, MARSHA MODE is on.” Dia membuat kesimpulan. Mendepani situasi sebegini, Diha sedia maklum suaminya tidak boleh diganggu. Ibarat berlindung di sebalik kubu perasaan, benteng pertahanan sudah naik. Tembok pemisah antara Ariyyan dan dunia tertegak utuh.
'Ini fasa celaru Ariyyan. Waktu Ariyyan perlukan ruang sendiri. Nanti OKlah tu,’ monolog Diha optimis.
Fokus kini terhala pada variasi coklat di hadapannya. Diamati satu persatu. Ada bersalut kacang, bersadur karamel. Ada coklat putih, ada juga berinti jem. Macam-macam pilihan! Senyuman mewah terlakar menata wajah. Diha mengambil seketul yang berkenan di hati.
"Sedapnya,....” Diha memejamkan mata, menikmati kelazatan coklat. Lebih enak malah lebih istimewa kerana coklat berkenaan merupakan pemberian Ariyyan.
Terjemahan kata:
- nyampe - sampai/tiba
- repot-repot - susah-susah
- jahe - halia
- lewat - melalui/menerusi
- kado - hadiah
- kapan - bila