MP 17

PINGGAN-MANGKUK yang berada di atas kabinet dapur aku pandang dengan penuh rasa sayu. Sampai bila aku nak jadi hamba dalam rumah ni? Sudah tiga bulan aku menjadi isteri kepada Ahmed Ivander. Tapi seolah-olah bukan seorang isteri tetapi kuli. Semua kerja rumah aku yang kena buat. Mak pula asyik keluar bersama Jessica.

Sejak beberapa hari ini badan aku terasa lesu. Tekak mual. Perut tak berapa sedap. Satu badan rasa tak bermaya langsung. Tapi aku kuatkan juga untuk teruskan hidup. Tak ada yang ada dengan aku saat aku susah begini. Julian sajalah yang selalu menghubungi aku. Sekarang dia berada di Itali, menguruskan syarikatnya di sana.

"Baby..." Ivander merangkul pinggang aku dari belakang. Dahiku dikucup olehnya. Kenapa aku biarkan? Sebab aku malas nak cari pasal dengan dia. Aku tak ada mood.

"Nak apa?"

"I'm hungry."

Aku mengeluh. Sejak bila dia ni kuat makan? Baru aje beberapa jam lepas dah makan. Ni nak makan lagi? Bela saka ke apa?

"Bukan dah makan ke tadi?"

Ivander menyangkut dagunya pada bahuku. Ikutkan hati nak aje aku bagi tumbukan padu dekat muka dia. Tapi, aku hanya mampu berangan saja.

"Nak makan apa?" soal aku malas. Sangat malas. Nada suara pun dengar tak dengar.

"Tak apalah. Aku tak nak susahkan kau. Aku delivery saja. Tapi, kau kena teman aku makan. Okey?"

Aku sekadar menganggukkan kepala. Malas nak cakap banyak. Ikut saja selagi boleh ikut. Macam nilah hidup orang miskin dan tiada pelajaran. Kena tindas.

"Piza, okey?"

Aku sekadar mengangguk.

"Sstt... aduh!" Aku memegang tangan Ivander yang tiba-tiba saja merentap rambutku.

"Aku cakap tu jawablah guna suara. Kau memangkan sengaja cari pasal dengan aku! Aku cakap elok-elok dari tadi. Kau mengangguk aje dari tadi!" tengking Ivander.

Air mataku mengalir perlahan. Hatiku tersentap. Perlahan aku menggelengkan kepala. Sakit.

"Sa... sakit...," esak aku.

"Sikit-sikit menangis. Baru sergah sikit dah menangis. Cengenglah kau ni. Aku cakap lain kali bagi respons yang memuaskan hati aku. Bukan malas-malas macam tu!"

"Maafkan saya..." Aku berkali-kali menolak tangan Ivander supaya dia lepaskan cengkamannya pada rambutku.

Ivander melepaskan rambutku kasar. Dia melangkah ke ruang tamu dengan dengusan. Aku menyeka air mataku dari terus mengalir. Tekak yang terasa mual secara tiba-tiba aku usap-usap perlahan. Kenapa aku asyik mual ni? Janganlah apa-apa terjadi dekat aku. Aku tak bersedia.

Aku berlari masuk ke dalam bilik. Kalender yang berada di atas meja solek aku capai. Dahiku berlapis melihat tarikh terakhir aku datang bulan. Biar betul? Aku dah lewat  sebulan? Kenapa aku tak sedar? Ya Allah...

"Aara!"

Aku meletakkan semula kalender tadi kemudian berlari mendapatkan Ivander yang memanggil aku.

"Ya...," sahut aku dengan nada perlahan. Aku nampak dia baru saja meletakkan sekotak piza dan satu plastik makanan di atas meja makan.

"Ambil pinggan. Kita makan."

Aku menganggukkan kepala. Nak tak nak, kenalah ikut. Kalau tak ikut, habis aku dikerjakan. Aku nak melawan tak terdaya sudah. Lebam dan luka yang berada di tubuhku masih lagi terasa sakitnya. Aku memberontak sikit saja habislah tubuh aku menjadi mangsa Ivander.

"Makan ni."

Pinggan berisi sekeping piza dan satu mangkuk sup cendawan diletakkan di hadapan aku. Kenapa aku nampak piza macam sedap sangat? Kecur air liur dibuatnya. Padahal baru beberapa hari lepas, Ivander bawa balik piza juga. Licin aku kerjakan. Craving semacam.

"Sedap?"

Aku tersenyum kecil sambil menganggukkan kepala. Tak cukup sekeping, aku bantai ambil lagi dua keping. Aku tahu yang Ivander memerhati saja aku yang makan macam tak cukup sekotak piza tu.

"Cukup tak tu?" soalnya.

"Erm... ya..." Aku menganggukkan kepala. Kenapa pelik sangat ke aku makan?

"Banyak makan kau sekarang, kan?"

Itu sindir ke apa? Kenapa dengan aku ni, ya? Dulu Ivander ni mengata aku, tak ada pula aku nak kuat sentap. Sekarang ni dia tanya soalan macam tu pun aku dah sentap, dah kenapa? Aduhai....

"Ya. Saya lapar..."

Dia membelai rambutku perlahan. Aku tersenyum kecil. Suka pula bila dia usap rambut aku. Nama aje suami, mana pernah dapat belaian kasih dari dia. Asyik-asyik kena bantai aje. Aku pun tak tahu apa motif sebenarnya dia nak kahwin dengan aku? Nak seksa aku aje ke?

"Aku minta maaf sebab kasari kau. Kalau kau ikut cakap aku, puaskan hati aku. Aku tak akan buat kau macam ni, sayang. Jangan buat aku marah, okey?"

Aku menganggukkan kepala perlahan. Tiba-tiba aje dia cakap baik-baik dengan aku. Janggal pula rasanya.

"Lepas makan ni, masuk bilik. Aku nak tidur dengan kau. Badan aku penat hari ni."

Aku berkerut. Bukan giliran Jessica ke hari ni? Sudah tiga hari berturut-turut dia tidur dengan aku. Jessica pula memang langsung tak nak berbaik dengan aku walaupun kadangkala aku cuba buat sesuatu untuk menarik hatinya. Bodoh sangat ke aku ni nak berbuat baik dengan madu sendiri?

"Kenapa kau berkerut? Ada tak kena?"

Laju aku menggeleng. Tak nak aku tanya dia pasal Jessica. Nanti salah tanya, habis.

"Tak. Saya cuma pening kepala sikit."

Dia mengemas meja kemudian sisa  makanan dibuang ke dalam tong sampah. Dia menarik aku masuk ke dalam bilik. Sama-sama kami merebahkan diri. Dia memeluk tubuhku. Kepala aku dipicitnya lembut.

"Aku sayang kau, Aara. Aku cintakan kau. Aku tak nak kau pergi tinggalkan aku. Sekali aku sayang, selamanya aku sayang. Please, jangan buat aku marah. Aku tak nak sakiti kau lagi."

Aku terdiam. Terkaku di dalam dakapan Ivander. Apa betul dia maksudkan ayatnya itu? Ikhlas dari lubuk hati dia? Dia cintakan aku? Sayang aku? Mampukah aku percaya?

"Tapi, awak sakiti saya..."

Ivander menolak bahuku supaya mata kami bertatapan. Air mataku bergenang tanpa sengaja. Entah apa yang aku mahu tangisi pun aku sendiri tak tahu.

"Aku tahu aku sakiti kau. Teruk. Tapi percayalah aku sayang dan cintakan kau sejak kali pertama kau masuk dalam rumah aku. Izinkan aku untuk jaga kau."

Aku tak mampu memberi sebarang jawapan. Takut. Aku takut yang aku kena tipu lagi. Julian pernah cakap dulu, tak semua orang mampu berubah dengan sepenuhnya. Kalau berubah pun, masih ada tersisa sikap lamanya. Jadi, kita jangan letakkan kepercayaan kita seratus peratus pada seseorang itu.

"Saya..."

"Tak apa. Aku tahu kau tak percayakan aku. Aku tak kisah. Janji jangan kau tinggalkan aku. Kalau kau tinggalkan aku, aku tak akan biarkan kau bahagia. Pegang ayat ni sampai kau mati."

Ayat dia yang terakhir membuatkan niat aku untuk mempercayainya terbatal. Ya, dia tak akan berubah. Kalau aku tinggalkan dia, seumur hidup aku akan diganggu oleh dia. Tapi, sampai bila aku nak kena hadap semua ni? Jessica yang selalu buli aku tiap kali Ivander keluar atau pergi bekerja. Ivander pula, akan belasah aku sekiranya aku buat dia naik angin. Mak? Mak seolah-olah tak kenal aku. Dia buat halnya sendiri. Sumpah, aku rindu mak....

"Tidurlah." Dia kembali memeluk tubuhku dan tak sampai beberapa saat aku terdengar bunyi dengkuran halus menampar gegendang telingaku.

Senang betul dia tidur. Aku ni nak tidur punya payah. Badan aku ni pun rasa sengal-sengal. Sabar sajalah.

"UWERK! Werkk!" Aku mengurut-urut batang leherku yang terasa perit. Biasanya aku boleh tahan muntah aku. Tapi, kali ni tak boleh. Perut aku menggelodak hebat. Tekak loya sangat. Hati aku mula rasa tak sedap. Tak akanlah aku mengandung?

Aku melangkah keluar dari kamar mandi. Laci almari pakaian aku tarik. Ivander pernah belikan aku alat uji kehamilan. Katanya saja buat persediaan. Dia betul-betul berharap aku mengandung anak dia ke?

Kenapa aku menggeletar saat memegang kotak alat uji kehamilan itu? Kalau betul aku mengandung, Ivander akan layan aku baik-baik ke? Mustahil. Macam mana dia buang aku dan ambil anak aku? Tak. Aku tak akan biarkan dia orang ambil anak aku sewenang-wenangnya. Tak akan.

Setelah 15 minit aku menunggu, akhirnya tiba masa untuk aku lihat keputusannya. Alat uji kehamilan itu aku ambil dari atas meja solek. Mata aku pejam rapat. Dada sudah berombak laju membuatkan aku rasa sesak. Takut.

Mata aku celik perlahan. Serentak itu, pandangan aku jatuh pada alat uji kehamilan itu. Tangan naik menekup mulut. Kepala aku geleng perlahan.

Tertera pada alat uji kehamilan itu yang aku mengandung tiga minggu lebih. Tak mungkin. Perut aku sentuh perlahan. Aku mengandung?

Perlu ke aku beritahu Ivander? Ya Allah, kenapa begitu sulit untuk aku fikirkan jalan yang terbaik?

"Baby..."

Aku terkejut. Lantas aku sorokkan alat uji kehamilan itu di bawah bantalku. Jantung aku rasa macam nak tercabut aje bila tiba-tiba Ivander masuk ke dalam bilik dan peluk aku dari belakang.

"Buat apa?"

Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum kecil.

"Tak ada buat apa. Awak dari mana?"

Ivander duduk di sebelah aku. Bahu aku dipeluk mesra olehnya. Dia mengucup ubun-ubunku lembut.

"Jess panggil tadi minta duit belanja. Dia tu tak habis-habis minta duit aje kerjanya. Penat aku hari-hari cari duit. Dia senang je minta-minta. Tak macam kau. Bukan mata duitan."

Aku terdiam. Tak tahu nak bagi reaksi apa. Dia mengata isteri pertama dia dekat aku. Apa boleh aku buat? Aku baru aje jadi isteri dia tak sampai setahun. Ikutkan hati aku hari tu, tak nak pun lama-lama dengan dia. Tapi, entahlah. Aku mengandung. Mesti lagi susah aku nak bebas dari dia. Dia banyak ugut aku.

Haih... apalah nasib aku macam ni. Jadi sajalah orang bodoh sampai bila-bila, Aara Malika.


Previous: MP 16
Next: MP 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.