MP 25

Dua tahun berlalu...

"MAMA!" Lantang suara Eusoff menjerit sehingga terkejut aku dibuatnya. 

"Ya sayang! Mama dekat bawah ni," sahut aku. Sekejap saja Eusoff sudah genap tiga tahun. Noah pula sekarang dah dua tahun. Rindu pula dekat hero aku seorang tu.

"Mama, Eusoff bosan. Dai, andiamo a giocare! (Jom, kita pergi bermain!)" ujar Eusoff dengan petahnya.

"Bene! (Baiklah!)" jawab aku sambil melambung kecil tubuh Eusoff ke atas sebelum melabuhkan kucupan bertubi-tubi pada kedua-dua belah pipi gebunya itu. Terkekek-kekek dia ketawa. Suka sangat setiap kali aku melambung tubuhnya.

"Ayah dengan ibu mana?" Mata Eusoff meliar mencari kedua-dua susuk tubuh orang tuanya itu.

"Eusoff lupa, ya? Ibu dengan ayahkan balik Malaysia sekejap. Ada kerja. Eusoff duduk dengan mama saja." 

Eusoff menganggukkan kepalanya berkali-kali. Sudah serupa burung berlatuk pula tengoknya. Eusoff ni sekarang dah banyak akal. Ada saja reaksi dan tindakannya yang selalu menghiburkan hati aku. Kalaulah Noah ada dengan aku sekarang, mesti dia pun pandai hiburkan aku.

Hari ini hari cuti, jadi aku tak dapatlah nak tengok Noah dekat pusat asuhan. Sejak dua tahun yang lalu, aku bekerja sebagai pengasuh di sebuah pusat asuhan yang agak terkenal di Kota Venice. Aku kerja dekat situ pun lepas aku dapat tahu yang Noah dihantar di situ. Kesian anak aku, kecil-kecil dah kena tinggalkan dekat sana. Ivander dengan Jessica memang tak pernah nak jaga dia pun sebenarnya. Semuanya sebab harta.

"Mama... nak jalan-jalan boleh tak?" soal Eusoff sambil bermain-main dengan jari-jemarinya. Sajalah tu nak buat muka comel supaya hati aku cair. 

"Okey, kita pergi makan ais krim, nak?" 

Laju saja Eusoff menganggukkan kepala. Eusoff Al-Qadr ni kalau bab-bab keluar atau makan memang laju. Sepantas kilat saja. Tak ada membantah apa-apa pun. Memang senang nak jaga dia. Tak banyak ragam. Jaga dia masa kecil dulu memang senang. Mudah saja kerja aku dan Melina. 

"Kita tukar baju dulu, ya!" 

Eusoff mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara. Suka sangat!

"ERM... sedapnya ais krim ni mama..." Eusoff menjilat-jilat ais krim yang baru saja aku beli tadi untuknya. Sekarang ni kami berada di sebuah Central Park berdekatan dengan rumah. Waktu hujung minggu macam ni, memang ramai penghujung yang datang bersiar-siar. Ada yang bersama keluarga. Ada yang dengan kawan-kawan. Semuanya melepaskan tension setelah penat bekerja pada hari biasa.

Buk!

Langkah aku dan Eusoff terhenti tatkala terdengar bunyi sesuatu. Aku menggenggam tangan Eusoff erat sebelum tubuh dibawa paling ke belakang.

"Sei cieco? (Buta ke?)" herdik seorang remaja kepada seorang kanak-kanak lelaki yang sudah jatuh tersungkur di atas lantai berbatu itu. Ais krim yang berada di tangan kanak-kanak itu juga sudah selamat mendarat di atas rumput. 

Aku mengecilkan mataku supaya dapat melihat wajah kanak-kanak itu dengan lebih jelas. 

"Stupido! (Bodoh!)" Budak remaja tadi berlalu meninggalkan kanak-kanak itu dengan kata-kata yang kesat. Aku hampir saja hilang sabar. Selamba dia aje cakap anak aku bodoh. Kau tu yang bodoh!

"Kau tu yang bodoh!" teriak aku selamba. Aku tahu suara aku mampu menarik perhatian orang ramai yang berada di taman itu. Sudahlah aku bercakap dalam Bahasa Melayu. Lagi peliklah dia orang pandang aku. Peduli pula aku sekarang ni.

"Noah, sayang..." Aku membantu Noah berdiri. Pakaiannya aku kebas-kebas supaya bersih dari pasir yang melekat pada pakaiannya. Masalahnya sekarang ni, siapa yang jaga anak aku? Kenapa dia boleh seorang diri dekat taman besar macam ni?

"Mama..." Noah terus memeluk aku erat. Ya, aku memang suruh Noah membiasakan dirinya memanggil aku dengan panggilan mama sejak dia kecil lagi. Aku yang mengasuh dia dekat pusat asuhan tu, jadi tak salah rasanya aku gelarkan diri aku mama. Aku ingatkan Ivander dengan Jessica bijak sangat. Rupanya bodoh tahap dewa. Dia orang langsung tak ambil tahu siapa yang asuh Noah sejak kecil lagi di pusat asuhan. Aku pun tak pernah nampak dia orang datang ke pusat asuhan tu. Bila aku bertanya kepada rakan sekerja aku, dia orang cakap Jessica dengan Ivander jarang ada dekat sini. Nampak sangat dia orang ulang-alik dari Malaysia.

"Noah, okey sayang?" 

Noah menggelengkan kepalanya. Dia menyembamkan wajahnya pada bahuku. Dah kenapa dengan anak aku ni? 

"Noah nak itut mama..." 

"Kenapa nak ikut mama? Mama bukan sesiapa pada Noah." 

Sekali lagi dia menggelengkan kepala.

"Mama, mama Noah. Noah nak itut mama. Mama bayik dengan Noah." Petah sungguh anak aku ni cakap dalam Bahasa Melayu. Mungkin sebab aku sendiri yang ajar dia dari dulu lagi.

"Siapa buat Noah?" Tubuhnya aku bawa ke dukunganku. Eusoff pula aku pimpin tangannya. 

"Mumy seyayu putul Noah. Mumy tak cayang Noah. Dady un sama. Noah cakit... (Mumy selalu pukul, Noah. Mumy tak sayang Noah. Dady pun sama. Noah sakit...)" 

Aku terkesima tatkala Noah menunjuk beberapa kesan lebam pada kedua-dua belah lengannya. Kurang ajar! Dia orang dera anak aku. Dasar manusia yang tak ada hati dan perasaan langsung! Tak apa. Inilah peluang aku untuk rampas semula Noah daripada dia orang. Ni semua bukti aku sebelum aku muncul depan dia orang. 

"Noah, ikut mama dengan Abang Eusoff. Mama akan jaga Noah sama macam mama jaga Abang Eusoff." 

Noah mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia merangkul leherku erat sambil melentukkan kepalanya pada bahuku. Sudahlah sakit didera ditambah pula sakit tersungkur dengan ais krim terjatuh. Kesian betul nasib anak aku ni.

"Mama will give you a new ice-cream, okay? Please, don't cry. Mama loves you." Sebak hati aku menuturkan ayat itu. Aku rasa yang aku ni teruk sangat sebab biarkan Noah dekat dia orang. Bodoh sangat aku ni. Tapi, aku buat semua ni ada sebab. Sebabnya, aku nak matikan Aara Malika dan munculkan Juliana Adra. 

Satu hari nanti, Juliana Adra akan muncul depan dia orang. Tunggu saja Julian uruskan beberapa perkara lagi. Aku tak akan biarkan Noah diambil oleh sesiapa pun. Sekarang ni, Noah di tangan aku. Biar dia orang menggelupur Noah diculik. Aku tak kisah pun. Berani ke dia orang nak laporkan pada polis? Sedangkan dia orang pun culik anak aku, dua tahun yang lepas.

"Cik Juliana Adra." 

Langkah aku terhenti sekali gus membawa tubuh paling menghadap si pemanggil. Suara dia boleh tahan garau semacam. Dengar dari slang dia memanggil aku, aku tahu dia bukan asal-usul dari sini.

"Eh, awak rupanya Chen. Saya ingatkan siapa." Bibirku melengkung sebuah senyuman kepada Lee Chen Ho. Pengawal peribadi yang diupah oleh Julian untuk Noah. Dialah yang Julian maksudkan dulu.

"Maaf, saya terlepas pandang dekat Noah. Tuan Julian call saya tadi." 

"Tak apalah. Mujur saya jumpa dia. Erm... awak datang sorang dengan Noah?" 

Chen menganggukkan kepalanya.

"Ivander dengan Jessica ada dekat sini?" 

"Dia orang dah sebulan tak balik sini. Mungkin masih di Malaysia. Perbualan terakhir yang saya dengar mengenai urusan mereka di syarikat Princeville yang berada di Malaysia. Saya dah minta anak-anak buah saya tengokkan. Jadi, cik tak perlulah risau pasal mereka." 

Aku tersenyum sambil menganggukkan kepala. Kalau Chen yang jaga Noah, boleh aku berkesempatan nak luangkan masa dengan Noah.

"Erm... Cik Adra. Boleh tak malam ni kita keluar bersama? Bawa Eusoff dengan Noah. Saya dah minta izin dengan Tuan Julian. Saya ada dapat tiket free untuk masuk ke sebuah taman tema terkenal dekat sini."

"Nak! Nak!" Eusoff mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara sambil melompat-lompat. Haih... anak-anak...

"Boleh. Awak jemput saya ke? Atau..."

"Saya jemput cik. Jam 8 malam nanti."

Aku menganggukkan kepala. "Noted. Nanti kalau awak dah on the way. Awak chat saya, okey?"

"Baiklah. Saya hantar cik ke rumah, ya. Cik jalan kaki?" 

Aku sekadar menganggukkan dan mengorak langkah untuk pulang ke rumah sambil memimpin Eusoff dan mendukung anakku, Noah Al-Qadr. Sesekali aku mengerling ke arah sisi Chen. Dia memang nampak segak dan profesional. Memang sesuailah dengan kerjaya dia. Tak sia-sia, Julian upah dia dari dulu. Kerja yang dia buat semua tip-tiop.

"Erm... Chen. Awak dah dapat jejak Rery tak?" 

"Saya masih belum dapat jejak dia lagi. Tapi, mengikut maklumat yang saya dapat Tuan Rery sekarang berada di Itali. Selama dua tahun, dia berada di Itali dan tak balik ke Malaysia. Cumanya, saya dan anak-anak buah saya masih lagi menjejak lokasinya. Maafkan saya, cik."

Aku menggelengkan kepala. Aku cuma tanya saja. Dia punya jawapan... sampai minta maaf bagai. Allahu. Sabar sajalah Chen ni. Profesional sangat. 

"Tak apa, Chen. Kalau awak dah dapat jejak, tolong beritahu saya. Jangan beritahu Julian atau Melina. Saya tak nak dia orang tahu. Biar saya yang tahu dulu. Sebab saya tengah musykil pasal dia sorang ni."

Chen menganggukkan kepalanya. Kami sama-sama melangkah menuju ke rumah yang tidak jauh dari situ. Setiap hari aku tertanya-tanya, mana Rery pergi? Dia menghilang macam tu saja. Kali terakhir aku jumpa dia sewaktu aku kerja dekat situ. Lepas tu... puff! Dia menghilang tanpa sesiapa pun tahu. Kalau tanya Julian, dia lagilah tak nak bekerjasama langsung. Suka sangat tukar topik. Dan aku pelik juga dengan diri aku ni, kenapa aku sibuk sangat nak tahu pasal Rery? Salah ke aku ambil tahu pasal dia? As friend? Hmm...


Previous: MP 24
Next: MP 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.