MP 62

"WAKEY, wakey Juliana Adra. Don't sleep too much."

Terasa pipiku ditepuk-tepuk oleh tangan kekar seseorang. Terpisat-pisat aku hendak mencelikkan mata. Kepalaku terasa memberat. Fikiranku terasa kosong. Apa yang dah terjadi?

"Baguslah kalau kau dah sedar, Juliana. Aku dah tak boleh nak tunggu lama-lama lagi. Tak nak buang masa." Daguku dicekaknya kasar sehingga kepalaku terdongak. Berkerut dahi aku menahan sakit. Pandanganku masih lagi kabur.

"Kau... kau siapa? Nak apa? Mana anak aku?" soal aku dengan nada suara tersekat-sekat.

"Lukas. Best friend kepada suami kau sendiri. Anak kau? Ada saja. Tengah tidur. Lena betul dia tidur."

Aku terdiam sejenak. Cuba menghadam nama yang disebut olehnya sebentar tadi. Lukas? Kawan baik Rery sendiri? Memang betullah dia merupakan musuh dalam selimut.

"Mana anak aku? Jangan apa-apakan dia. Kau nak apa?"

Lukas meninggung di hadapan aku. Wajahku dielusnya lembut dengan ibu jarinya. Terasa jijik aku saat diperlakukan seperti itu. Aku memang haramkan sesiapa yang sentuh aku selain suami aku sendiri. Lelaki di hadapan aku ini memang tak guna!

"Jangan sentuh aku." Keras nada suara aku melarangnya untuk terus menyentuh aku.

"Kenapa? Kau tak suka? Aku fikirkan kau perempuan yang sukakan belaian seorang lelaki. Rupanya aku silap. Tapi tak apalah. Aku tak kisah pun semua tu. Aku nak rampas hak korang."

"Harta keturunan aku? Ambillah, Lukas. Ambil semuanya! Aku tak kisahlah! Kau nak sedut sampai licin pun aku tak kisah. Asalkan jangan ganggu aku dengan keluarga aku! Cukup-cukuplah!" tengking aku sekuat hati. Air mata sudah mula mengalir ke pipi. Aku dah penat nak hadap semua ni. Asyik benda yang sama. Tak habis-habis dengan harta. Macam harta tu boleh masuk dalam kubur!

"Tapi tak semudah itu. Mungkin kau akan bagi kesemuanya dekat aku. Kalau Rery, aku tak rasa dia akan bagi semua macam tu aje dekat aku." Lukas tersenyum sinis. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu berhadapan denganku.

"Aku dah penatlah, Lukas. Aku fikirkan kau seorang yang baik. Sayangkan persahabatan. Rupanya aku silap menilai. Kebanyakan manusia dalam dunia ini semuanya bertopengkan syaitan. Lebihkan dunia dari segala-galanya. Kau rasa, kau mati nanti. Harta tu boleh angkut semua masuk kubur ke?"

Lukas diam. Langsung tak ada tanda-tanda mahu membalas percakapan aku sebentar tadi. Kenapa? Deep ke? Aku sedar yang dia bukan seorang beragama Islam. Apa yang aku cakap tu semuanya fakta. Kalau dah mati, hanya tubuh saja yang masuk ke dalam tanah. Semua yang ada di muka bumi ini akan ditinggalkan.

"Kenapa kau diam, Lukas? Kau tersentap ke? Famili kau tahu ke apa yang kau buat sekarang ni? Walaupun aku tak kenal famili kau, tapi aku dapat rasakan yang famili kau adalah sebuah keluarga yang baik."

"Jangan kau pernah soal mengenai keluarga aku."

"Kenapa?" soal aku dengan kening sudah terjongket tinggi.

"Bukan masalah kau." Lukas bangun dengan wajah yang sepertinya sedang bengang. Mungkin bengang dengan aku kerana aku bertanyakan tentang keluarganya.

"Kalau kau buat macam ni, kau rasa Rery akan bertolak-ansur lagi dengan kau ke? Aku tak rasa semua tu, Lukas. Kau buat keadaan kau sendiri semakin rumit. Kau dengan Rery dah lama berkawan. Ini yang kau balas dekat dia. Dan kau juga menyebabkan dia kemalangan sampai dia hilang ingatan, kan?"

Kedebam!

Aku terkejut sehingga kedua-dua belah bahuku terangkat dek bunyi hentakkan pada meja yang dihasilkan oleh Lukas sendiri. Dadanya berombak laju. Marah.

"Aku dah letih hidup susah. Keluarga aku tak habis-habis suruh aku berusaha dan bersabar. Dan aku tak boleh bersabar lagi. Apa yang Rery mahukan, semuanya terjamu depan mata. Sedangkan aku?"

"Tapi dia yang banyak tolong kau. Kalau tak, kau tak akan rasa hidup macam sekarang ni!" balas aku dengan suara sudah naik seoktaf. Boleh hilang sabar aku bercakap dengan orang bodoh macam dia ni. Bercakap tak menggunakan akal.

"Tolong. Tak mencukupi. Aku tak puas. Aku nak semua apa yang dia ada. Kekayaan keturunan korang tak akan pernah habis. Aku cemburu. Aku nak semua tu. Aku nak juga merasai apa yang korang rasa!"

Aku mengucap panjang. Cara dia bercakap memang betul-betul menguji kesabaran aku. Dah macam budak-budak. Dah tua bangka macam ni pun masih lagi berfikiran cetek. Ya Allah....

"Terserah pada kau, Lukas. Aku tak tahu nak cakap apa. Kalau aku cakap banyak pun, buang air liur aku saja. Kau nak harta sangat, kan? Kau call Rery dan beritahu dia. Beritahu dia yang kau dah culik isteri dan anak dia. Ambillah seluruh harta yang kami ada tu. Aku tak akan mati pun tanpa harta." Bukan nak berlagak. Tapi itu adalah hakikatnya. Aku tak akan mati sekiranya tiada harta. Tapi aku rasa kosong sekiranya tanpa keluarga aku.

"Aku dah call dia. Dia dalam perjalanan ke sini. Sementara menunggu dia sampai, apa kata kau layan aku? Bila tengok kau dekat-dekat macam ni, menggoyahkan nafsu aku." Dia tersenyum senget. Jarinya mulut menanggalkan kancing butang baju kemejanya itu.

Nafas aku tak keruan. Mamat ni memang dah hilang akal. Dah gila! Memang taklah aku nak layan dia. Menjijikkan!

"Jangan mimpilah, Lukas. Kau jangan berani nak sentuh aku. Teruk nanti aku kerjakan kau."

Lukas terkekeh-kekeh ketawa. Lucu sangat ke ayat aku tadi? Aku serius. Dia boleh ketawa macam orang hilang kewarasan akal. Rery mana? Lambat lagi ke? Cepatlah!

"Lukas! Jangan sentuh akulah!" Aku menjerit kuat apabila Lukas meleraikan ikatan pada tangan dan kakiku. Tubuhku ditariknya kuat sehingga kami berdua terjatuh di atas sofa yang berada tidak jauh dari situ.

"Mama... mama..."

Belum sempat Lukas melabuhkan bibirnya pada bibirku. Kedengaran suara Noah yang sepertinya tercungap-cungap menyeru aku. Tak lama itu, di belakangnya ada yang mengejar anakku. Susuk tubuh itu aku pandang dengan penuh kejutan. Kaget.

"Gavino?"

Gavino memandang aku dengan pandangan kosong. Tidak beriak. Segera dia merentap pergelangan tangan Noah sehingga anakku menangis kuat. Menjerit sehingga bergema suasana ruangan itu.

Aku apa lagi. Mengambil kesempatan dengan memberikan tendangan padu tepat mengenai perut Lukas sehingga dia terjatuh dari sofa. Segera aku bangkit berdiri lalu berlari ke arah Gavino.

Pang! Wajahnya aku tampar dengan sekuat hatiku sehingga kepalanya terteleng ke tepi. Tubuh Noah aku tarik dari dukungannya. Mataku meliar pantas. Mencari senjata yang boleh diguna pakai untuk melindungi diri aku dan Noah.

"Kau memang setan. Berani kau sentuh anak aku!" tempik aku. Pistol yang berada di atas kabinet hiasan aku capai dengan laju. Dadaku berombak laju. Muncung pistol aku halakan secara rawak ke arah mereka.

"Haha!" Lukas ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Dia ni memang nak kena dengan aku. Kalau aku lepaskan tembakan ni, ada juga yang berkecai kepala dia.

"Terbaiklah, Juliana. Aku tak sangka yang kau setangkas ini. Syabas. Kagum aku melihatnya."

Aku mengherotkan bibirku ke tepi. Bahasa Melayu dia baku sangat. Nak aje aku ketawakan. Tapi tak ada masa untuk semua tu. Aku tak boleh hilang fokus. Ada nyawa yang lebih penting sekarang ni. Aku tak nak Noah diapa-apakan. Sekarang ni, Rery mana? Kenapa lambat suami aku ni nak datang menyelamatkan aku?

"Gavino, prendili! (Gavino, tangkap mereka!)"

Gavino menganggukkan kepalanya sekali. Laju saja dia berlari ke arah aku. Dia memang betul-betul buat aku terpaksa untuk tarik picu pistol ini.

Bang!

"Arghh!" Gavino menjerit kesakitan lalu tubuhnya terjatuh di atas lantai. Darah mengalir keluar dari bahunya.

Peluru aku berjaya menembusi bahunya. Noah yang berada di dukunganku hanya menangis sambil leherku dirangkulnya erat.

"Aku dah bagi warning, kan! Jangan dekat dengan aku! Kalau tak, semua mati!" jerit aku sekuat hati. Mahu terkeluar anak tekak aku dibuatnya.

Lukas memandang aku dengan pandangan penuh sebal. Dia bersiul lalu beberapa orang anak buahnya mula masuk ke dalam ruangan itu. Aku melepaskan dengusan kasar. Dia memang tak akan mengaku kalah. Aku kena cari jalan keluar sekarang ni. Perlahan-lahan aku mengundur langkah ke belakang.

"Nak lari mana, Ju? Jalan kau dah mati," ujar Lukas dengan penuh sinis.

Aku terdiam seketika. Memaksa otak untuk bekerja. Mana jalan keluar? Mana!

"Serahkan diri kau, Ju. Aku tak dapat lagi nak merasai bibir dan tubuh kau tu. Bagilah aku can." Meleret-leret nada suara Lukas sekali gus dia menapak mendekati aku.

Beberapa kali aku menggelengkan kepala. Pistol yang berada di dalam genggaman, aku perkemaskan. Aku kena fokus. Jangan lari dari fokus. Ada Noah. Kena selamatkan Noah.

"Dah fikir? Serahkan diri, hmmm?" soal Lukas. Dia pun sudah berdiri betul-betul di hadapan aku.

"Tolonglah, Lukas. Aku tak nak semua ni. Kau cakap kau nak harta saja, kan? Lepaskan aku. Aku penatlah!"

Lukas tersengih. Kepalanya digeleng beberapa kali. "Siapa suruh suami kau lambat sangat datang selamatkan kau? Bosan aku menunggu. Entah-entah dia tak kisah pun pasal kau dengan Noah. Dia lebih utamakan syarikat dia yang sedang dalam keadaan bahaya. Sekelip mata saja boleh jatuh bankrap. Hebat tak aku?"

Aku terdiam sejenak. Kalau Rery utamakan syarikat tu dari aku, aku tak tahulah apa yang aku rasakan sekarang ni. Tapi betul ke, Rery dalam perjalanan ke sini? Buatnya Si Lukas ni mereka cerita saja, macam mana? Dia tengah dalam keadaan gila sekarang ni. Gila harta. Ataupun dia sengaja nak mempermainkan aku. Orang kalau dah sakit mental, tak boleh nak jangka apa yang dia orang akan buat.

"Kau tipu aku, kan?" soal aku dengan dahi sudah berkerut seribu.

"Tipu? Tipu apa sayang?"

"Rery tak tahu pun aku dekat mana, kan? Kau tak call dia pun. Kau saja nak main-main dengan aku!"

Terus ketawa Lukas pecah. Sehingga terdongak kepalanya. Perutnya dipegang. Dan-dan itu juga, kemarahan aku semakin meruap. Betullah apa tekaan aku.

"Bijaknya kau ni, Juliana. Patutlah Rery sayang sangat dekat kau. Dahlah cantik. Bijak pulak tu. Sungguh aku semakin kagum dengan kau."

Aku menggelengkan kepala sekali. Bibir aku ketap sehingga merah. Dek tidak dapat menahan geram, aku terus mengangkat lututku lalu disasarkan pada alat sulitnya sehingga dia meringis kesakitan. Terkaku tubuhnya di atas lantai itu.

"Stupido!" marahnya.

Dia mengarahkan beberapa orang anak buahnya itu untuk menangkap aku. Akan tetapi, aku sudah lebih tangkas bertindak untuk melarikan diri dari situ dengan sisa kudrat yang masih tersisa. Masa tu, aku dah tak nampak dah mana Gavino. Entah ke mana dia pergi. Aku takut yang dia berada dekat-dekat sini dan berjaya menangkap aku.

"Mama... Noah scared."

"Shh... mama here. Kita akan keluar dari sini." Melilau anak mataku mencari jalan keluar dari bangunan terbiar ini. Boleh tahan besar dan luas juga bangunan tak siap ni. Ya Allah... mana jalan keluar?

"Mama... tu..." Jari Noah naik menuding ke arah sebuah pintu yang agak jauh dari kami. Tidak ditutup rapat. Aku boleh nampak di sebalik pintu itu ada semak-samun. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari sekuat hati sehingga keluar dari bangunan menggunakan pintu yang ditunjukkan oleh Noah.

"Juliana!" jerit Lukas dari jauh.

Aku terus berlari masuk ke dalam hutan. Tak fikir dah arah jalan mana yang harus aku tuju. Yang penting sekarang ni, aku dapat lari dari si jahanam itu. Aku pasti aku akan temui jalan keluar nanti.

"Juliana!" Suara jeritan Lukas semakin lama semakin sayup dari pendengaran aku.

Aku berlari tanpa henti. Sehingga tiba di bahu jalan. Jalan raya itu sangat sunyi. Tiada ada kenderaan yang lalu-lalang. Macam mana aku nak minta pertolongan? Sebuah rumah pun aku tak nampak ketika ini. Hanya ada jalan dan juga semak-samun saja. Aku berkira-kira hendak mengambil arah sebelah mana. Kiri atau kanan?

Ya Allah... aku buntu. 


Previous: MP 61
Next: MP 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.