MP 38

So, no more I love you's,
It's too easy to say, yeah,
No more I love you's,
Until I'm OK,

AKU menggoyangkan badan ke kanan dan ke kiri sambil menyanyi. Tangan sebelah ligat menggaul nasi goreng yang sudah siap sepenuhnya menggunakan sudip. Makan nasi goreng sajalah malam ni. Semua dah tak nak bagi aku idea nak masak apa. Bahan pun ngam-ngam cukup untuk goreng nasi aje. Jalan saja...

"No more I love you, huh?" tegur Rery yang tiba-tiba saja muncul di sebelah aku sambil menyandarkan tubuhnya pada dinding dapur. Wajahnya tersorok sedikit di sebalik kabinet dapur.

"Hmmm..." Aku tidak menoleh ke arahnya. Sedang tekun memindahkan nasi goreng tadi dari kuali ke dalam mangkuk besar untuk dihidangkan di atas meja makan.

"I'm asking you, Ju. Why did you say no more I love you?" 

Tangan aku terhenti daripada mencedok nasi goreng lalu aku membawa pandangan aku ke arahnya. Itukan lagu. Dia nak ambil serius dah kenapa? Sentapkah?

"Itukan lagu saja. Kenapa abang? Ada yang tak kena ke?" soal aku dengan nada bersahaja. 

"Memang lagu. Saja aku tanya kau. Tak siap lagi ke masak, hmm?" Rery mengangkat tubuhnya daripada terus bersandar pada dinding lalu menghampiri aku. Dia berdiri di belakang aku membuatkan kepala aku menoleh ke belakang.

Aku tak jawab pun soalan dia. Tiba-tiba saja dia menuntun tangan aku dari belakang lalu menyambung semula mencedok nasi goreng ke dalam mangkuk. Terkaku tubuh aku dibuatnya. Sudahlah belakang tubuh aku terasa bahang badannya. Dia nak goda aku ke apa sekarang ni?

"Kenapa diam? Tergoda?" soalnya dengan nada berbisik. Betul-betul dekat dengan telinga aku. Masak aku macam ni. Kenapa Rery suka buat aku macam ni?

"Erm... Ju boleh buat sendiri..." Aku cuba menarik tanganku dari pegangan tangannya. Namun hanya sia-sia. Dia memang tak nak lepaskan tangan aku langsung malah lagi ligat dia mencedok nasi goreng itu ke dalam mangkuk. Sedar tak sedar, dah hampir separuh nasi goreng berada di dalam mangkuk tersebut.

"Kau tanya aku hari tu, kan? Aku pernah menangis tak selama ketiadaan kau? Jawapan aku, pernah. Aku pernah menangis, Ju. Tapi, aku tak pernah tunjuk dekat sesiapa. Aku dan diri aku saja. Aku rindu sangat dekat kau. Sampai satu hari pernah aku putus asa daripada terus mencari kau." 

Aku terdiam seketika. Ayat yang baru saja diungkap oleh Rery sebanyak sedikit menyentuh hati aku. Dia menangis sebab rindukan aku? Tapi, aku? Aku langsung tak ingat dia. Itulah memeritkan.

"Maafkan, Ju. Sebab Ju langsung tak ingat abang dan kenangan kita bersama semasa Ju kecik." Perlahan aku memusingkan tubuhku menghadapnya. Kedua-dua belah tanganku, aku tahan pada bibir kabinet.

Rery hanya tersenyum kecil sambil menggelengkan kepalanya sekali. "Kau tak salah apa-apa, Ju. Yang mendatangkan masalah ayah aku sendiri. Dan, aku langsung tak sangka yang aku ada ayah sekejam itu. Hanya kerana harta." 

Aku terdiam seketika. Sebut pasal ayah dia. Sampai sekarang aku masih tak tahu lagi, apa-apa info pasal dia orang. Dia orang betul-betul dah mati ke?

"Abang, apa jadi dengan dia orang? Ayah abang. Ivander dengan Jessica. Oh ya, ibu abang sekali. Mana dia?" soal aku kepada Rery. Anak mata aku merenung dalam sepasang anak matanya.

"Ayah aku dah tak ada. Ibu pun dah tak ada, Ju. Aku tak dapat nak selamatkan dia. Dia dah meninggal dunia dalam sebuah bilik. Dia dah lama terkurung dekat situ. Aku lambat..."

Aku mengusap pipi Rery. Aku tahu yang dia sedang bersedih. Tapi, semua yang terjadi bukan silap sesiapa pun. 

"Jess dah mati, Ju. Cuma..." Percakapan Rery terhenti seketika. Sepertinya dia sedang menatap wajah aku. 

"Aku minta maaf, Ju. Ivan terlepas. Dia yang tembak aku. Lepas tu, dia dapat larikan diri. Polis masih lagi mencari jejak dia." 

Aku terdiam seribu bahasa. Ini bermakna, Ivander masih hidup. Betulkah dia masih ada di Itali? Kalau dia dapat melepasi diri dia ke sini, macam mana? Dia nak rampas Noah daripada aku. Tak, tak... ini tak boleh jadi...

"Abang, kalau macam tu. Dia masih nak balas dendam dia yang tak terlunas lagi tu. Macam mana abang? Ju takut yang dia apa-apakan Noah. Apa-apakan keluarga ni lagi..." Air mata aku mengalir deras ke pipi. Entah kenapa aku dihurung dengan perasaan takut. Takut bercampur lelah. Aku dah tak nak berdepan dengan dia lagi.

"Ju, kan aku dah janji yang kau akan sentiasa selamat. Aku ada sentiasa dengan kau, Ju. Aku dah tak ke mana-mana lagi dah. Percayalah cakap aku. Aku akan berkahwin dengan kau. Dan, aku janji yang aku akan bahagiakan kau. Tolong letakkan kepercayaan kau dekat aku." 

Aku mengemamkan bibir. Rery bersungguh-sungguh nak memperisterikan aku. Dia betul-betul tekad nak aku berkahwin dengan dia. Jadi, apa pilihan yang aku ada? Aku pun tak boleh hidup tanpa dia. Lima bulan kehilangan dia, dah menunjukkan yang aku sayangkan dia. Dan, aku cintakan dia.

"Ya, abang. Maafkan Ju. Ju letakkan kepercayaan Ju dekat abang. Abang jangan tinggalkan Ju lagi..." Aku memeluk tubuh tegapnya itu.

"Tak. Aku tak tinggalkan kau lagi. Aku sentiasa ada dengan kau dan Noah. Kita bina hidup baru bersama-sama. Boleh, kan?" 

Perlahan aku menganggukkan kepala. Aku tak percaya yang aku akan berkahwin lagi. Dan, mungkin perkahwinan aku kali ini membawa sinar kebahagiaan. Bukan lagi sebagai isteri di atas kertas.

"Terima kasih, abang. Terima kasih sebab sudi tunggu Ju selama berpuluh tahun."

Rery hanya mendiamkan diri. Tangannya membelai rambut panjangku. Tak lama itu, dia kembali bersuara sambil meleraikan pelukan kami. "Esok kita pergi cari barang untuk perkahwinan kita. Aku tak nak mewah-mewah sangat. Cukuplah keluarga kita saja. Kau okey je, kan?" 

Aku tersenyum lalu menganggukkan kepala. "Ju ikut saja. Janji abang ada dengan Ju."

Rery senyum. "Lepas kita kahwin, kita pergi jumpa peguam keluarga kau dengan aku untuk uruskan harta tu. Kau kena siap-siap buat rancangan. Harta tu kau nak bahagikan macam mana." 

"Baiklah. Ju dah lama fikirkan pasal benda tu. Jadi, ini masanya Ju tunaikan." 

"Dah jom. Aku lapar dah ni. Sejuk nasi goreng tu nanti. Sempat pula kau nak berdrama dengan aku." Rery mencuit hidung aku sebelum melangkah pergi meninggalkan aku seorang diri di dapur.

Eh, eh. Dia yang kacau orang. Aku pulak yang kena. Sabar sajalah dengan Encik Bakal Suami ni.

AKU melepaskan keluhan panjang. Rery ni memang betul-betul menguji kesabaran aku. Dia cakap dia tak nak buat majlis perkahwinan yang mewah-mewah. Tapi, masalahnya sekarang ni. Dah hampir 15 helai dress pengantin yang aku dah cuba. Semua tak menepati citarasa dia. Setiap kali aku keluar dari fitting room, dia imbas aku dari atas sampai bawah. Tak sampai lima saat, dia dah gelengkan kepala dia. Letih oi!

"Abang... penatlah. Sampai bila nak keluar masuk, keluar masuk bilik persalinan ni. Dah lebih 15 helai dress dah Ju cuba. Abang ni saja nak buli Ju ke apa?" rengek aku sambil menyilangkan tangan ke dada. Merenung sebal ke arah Rery yang sedang duduk bersilang kaki di sebuah sofa berhadapan dengan bilik persalinan.

"Haih... semua tak kena pada pandangan aku. Nak buat macam mana? Ada yang dah okey. Tapi, terlalu seksi pula pada bahagian belakang badan kau. Mana boleh. Aurat kau hanya aku saja yang boleh nampak dah lepas ni. Aku tak nak masa majlis nanti, semua tertumpu dekat kau saja." 

Aku mencebikkan bibir. Eh, eh mamat ni. Ada karang aku ketuk dengan batu lesung. Kalau tak nak seksi, baik aku pakai jubah aje terus. Kan senang?

"Kalau macam tu, baik pakai jubah saja. Tak payah pening-pening kepala nak fikir baju apa yang menutup aurat." Cakap pasal menutup aurat, macam segan pula aku dibuatnya. Aku masih lagi belum memakai tudung. Pakaian pun sekejap labuh, sekejap singkat.

"Hah! Jubah. Baju tulah aku nak cakap dekat kau tadi, Ju. Tapi, aku lupa sebutan dia macam mana..." 

Aku menepuk dahi. Rery El-Sharif ni memang betul-betul menguji kesabaran aku. Ya Allah, dah berapa banyak aku buang masa dok keluar masuk bilik persalinan ni. Nasib baiklah owner butik ni jenis tak kisah. Buat malu saja Rery nilah.

"Abang ni. Dengki, kan? Jubah je pun sebutannya. Bukan ballgown ke apa ke?" Aku mula membebel. Sakit hati, weh!

"Alahai, janganlah marah aku. Aku ni fasih pun fasihlah juga. Tapi, tak semua sekali aku tahu. Lidah aku tetap lidah kelahiran Itali. Aku nak sebut benda alah tulah tadi. Tapi, otak aku tak bekerjasama. Kalau kau cakap awal-awal tadikan senang."

"Tengok tu! Salahkan Ju juga. Sudahlah. Abang tanya owner. Ada busana pengantin jenis jubah tak? Hish!"

Rery menggaru-garukan kepalanya yang tiba-tiba terasa gatal. Kemudiannya, dia menganggukkan kepala. Dia nampak aje mulut aku nak sambung membebel. Laju saja dia mendapatkan owner butik tadi. Tahu takut!

"Abang... ni okey tak?" soal aku sebaik saja keluar dari bilik persalinan. Dan, aku harap ini kali terakhir. Sebab jubah yang aku pilih kali ni, memang betul-betul menarik hati aku.

"Abang!" Aku memanggil Rery buat kali kedua. Lama betul dia tilik aku. Tak macam tadi, mungkin jubah ni pun menarik hati dia juga. Akhirnya...

"Ju, cantik. Kau cantik sangat, Ju. Aku suka. Kita ambil yang tu." 

Aku tersenyum lebar. Puas hati! Kalau tak, aku rasa sampai esok tak siap-siap pilih busana pengantin aku. "Cun! Akhirnya dapat bernafas dengan sempurnanya." 

"Ju tunggu sekejap. Aku pergi bayar. Lepas tu, kita pergi makan. Perut aku dah lapar." 

Aku mencebikkan bibir sambil melangkah keluar dari butik tersebut. Lemas! Siapa suruh tak cakap awal-awal nak pilih jenis jubah? Kan dah lapar. Aku juga yang nak kena cakap. Haish!

"Aara..."

Siapa pula lagi yang nak kacau aku ni? Cubalah bagi aku bahagia dengan pasangan aku sekejap. Haih... ke mana saja aku pergi. Ada saja pengacaunya. Tak boleh tengok aku bahagia agaknya!

"Aara..." 

"Kan aku dah cakap. Nama aku bukan Aara. Dan berhenti jumpa aku, Arif!" Nada suara aku sudah naik seoktaf. Mamat ni memang tak faham bahasa agaknya. Memang minta aku ketuk muka dia tu dengan kasut bertumit aku ni.

"Aara, saya tahu saya salah dengan awak. Saya sedar kesilapan saya. Tak boleh ke awak bagi saya peluang? Jangan buat saya macam ni...," ujarnya dengan separuh merayu.

"Arif Halfi, Aara Malika yang kau cintakan dulu tu dah mati. Kau faham tak apa maksud mati? Dah tak ada Arif. Aku bukan Aara Malika yang kau kenal dulu. Bukan sama sekali. Nama sebenar aku Juliana Adra. Aku anak kacukan Itali." Okey. Macam berlagak pulak bila terangkan keturunan sekali. Biarlah! Janji apa yang aku cakap tu betul. Aku bukan lagi Aara Malika.

"Okey. Baik, Adra. Adra ke Aara ke... saya tahu awak masih orang yang sama. Saya silap dalam buat pilihan Adra. Tolong terima saya. Berikan saya peluang terakhir dan saya tak akan sia-siakan peluang yang awak bagi dekat saya." Arif menggenggam kedua-dua belah tangan aku. Jarak kami ketika ini boleh dikatakan sangat dekat. 

"Mesin atm yang mengeluarkan kad peluang dah lama habis. Kau dah terlambat. Aku akan berkahwin dengan dia. Jemput hadir nanti. Aku akan chat kau untuk bagi kad jemputan. Itu pun kalau sudi kau nak datang." Tiba-tiba saja Rery muncul lalu menarik aku rapat ke sisinya. Macam cemburu saja Abang Ayif kita ni.

"Kau siapa sebenarnya? Aku yang kenal dia dulu berbanding kau," marah Arif sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuknya pada dada Rery. Fuh! Berani betul Arif ni. Dia tak sedar ke sekarang ni, Rery lebih tinggi dan tegap berbanding dia. Tolak sekali boleh jatuh tergolek dekat tangga belakang dia tu.

"Aku Rery El-Sharif. Kau kenalkan? Kau sebenarnya yang tak kenal aku. Aku ni dah lama kenal dia berbanding kau. Aku dah kenal Ju sejak dia dalam perut lagi. Kau hado?" 

"Pftt..." Aku menekup mulutku daripada meletuskan tawa yang mungkin mampu menggegarkan bangunan pusat membeli-belah ini. Ya Allah, reaksi wajah masa sebut 'hado' tu. Tegang habis! Tak ada perasaan. Mana dia belajar ni?

Arif terdiam seribu bahasa. Dah tak tahu nak bahas apa lagilah tu. "Sudah-sudahlah, Arif. Aku akan berkahwin dengan dia tak lama lagi. Please, stay away from me. Kau jangan buat aku semakin benci dengan kau." 

"Sampai hati awak buat saya macam ni. Awak buat saya macam saya ni jahat sangat. Langsung tak diberi peluang. Tak apalah, awak berbahagialah sampai mana yang awak mampu. Jangan harap saya lepaskan awak, Aara. Awak cinta terakhir saya sampai mati." Arif pergi meninggalkan kami berdua.

Rery hanya beriak kosong manakala aku mencebikkan bibir. Meluat dengar ayat tu. Klise sangat!

"Orang Melayu kalau bercinta ke putus cinta ke, memang macam tu ke ayatnya? Basi sangat ayat dia, aku dengar. Lemah badan aku. Telinga aku pun rasa tersumbat. Darah aku pun macam tak nak mengalir." 

"Haha! Ya Allah, abang sudahlah. Abang ni suka buat lawak tak kira tempatlah. Siapalah yang ajar abang ni? Dahlah jom. Tadi kata lapar, kan?" Aku menggelengkan kepala seraya memeluk lengannya.

Rery hanya mengangkat bahunya sambil bibirnya diherotkan sedikit. Menyampah aku dengan mamat berlagak ni. Tahulah dia bukan orang Melayu. Sedap-sedap aje dia kutuk. Karang orang lain dengar, tak pasal-pasal kena tendang balik Itali semula. Tak sia-sia...





Previous: MP 37
Next: MP 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.