MP 69

JAM tangan yang terbelit pada pergelangan tanganku dikerling sekilas. Masa masih lagi berbaki satu jam lagi sebelum anak-anak menamatkan sesi persekolahan mereka pada hari ini. Sungguh pantas masa berlalu. Pejam celik, pejam celik saja dah nak masuk waktu tengah hari. Tak ada apa sangat yang kami buat pada hari ini. Sekadar berjalan sambil bercerita sesama sendiri.

"Tekak ni terasa pulak nak makan susyi. Kita singgah Sushi King sekejap awak," ajak Melina.

Aku hanya menganggukkan kepala. Tangannya aku kembali genggam kemudian kami bersama-sama menuju ke Sushi King yang tidak jauh dari situ. Aku pun tiba-tiba saja terasa mahu makan Sushi King. Jarang-jarang aku nak mengidam makanan macam ni. Biasanya kalau keluar makan bersama Rery, dia yang paling kuat sangat mengidam macam-macam makanan. Aku pun bedal sajalah.

"Kita bungkus sajalah. Lepas tu, kita terus ambil dia orang dekat sekolah. Takut sesak pulak waktu lunch macam ni."

"Betul juga." Aku menganggukkan kepala. Bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Melina. Waktu tengah hari macam ni, memang tak boleh nak lari dari kesesakan. Waktu orang semua sedang memburu makanan.

Seusai membungkus susyi pilihan aku dan Melina, kami terus melangkah keluar dari bangunan pusat membeli-belah. Aku memboloskan diri masuk ke dalam kereta di bahagian pemandu. Enjin kereta aku hidupkan. Kemudian tak sampai beberapa saat, aku memusing stereng menggerakan keretaku keluar dari kawasan parkir itu menuju ke sekolan anak-anak. Dalam hati berharap agar dapat cepat sampai ke sana. Tak mahulah tersekat dalam kesesakan jalan raya.

FUH! Tepat-tepat saja masa aku berhentikan kenderaan di hadapan tepi pagar sekolah mereka. Boleh tahan juga kesesakan jalan raya tadi. Tapi syukurlah tidak terlalu lama. Melina sempat lagi terlelap sewaktu kesesakan. Nak tak nak, aku kenalah besarkan biji mata supaya tidak mengikut jejak kakak iparku ini.

"Dah sampai ke?" soal Melina sambil menggeliat kecil. Dia menoleh ke arah luar tingkap. Loceng sekolah baru saja berbunyi nyaring. Maknanya dia orang baru saja dibenarkan pulang ke rumah.

"Sudah. Nyenyak awak lelap, ya. Nasib baik saya tak join sekali." Aku melepaskan tawa kecil.

"Sorry la. Berat pula kelopak mata ni. Tu terlelap tu." Melina tersengih.

Aku mengusap bahunya. Fahamlah bila dah setengah hari berjalan dalam keadaan perut sudah membesar seperti itu. Memang cepat letih. Kaki pun terasa lenguh yang amat.

"Mana dia orang ni? Dah lambat 10 minit dah ni. Budak-budak lain semua dah keluar. Tu tak silap saya budak satu kelas dengan Eusoff tu. Semua dah keluar. Eusoff dengan yang lain tak keluar-keluar."

Aku mengerutkan dahi. Betul juga kata Melina. Selalunya dia orang dah keluar dah waktu-waktu macam ni. Mana pulalah dia orang pergi ni? Nak cakap aku lambat. Aku sampai tepat pada masanya.

"Awak tunggu dalam kereta kejap. Saya pergi tengok. Kunci kereta, ya," pesan aku kepada Melina.

Melina menganggukkan kepalanya. Aku menolak dedaun pintu kereta kemudian melangkah keluar dari dalam kereta. Perlahan aku menyusun langkah menuju ke pondok pengawal yang terletak di tepi pintu pagar sekolah. Aku cuba bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas. Tapi malangnya pak cik tu tak tahu. Aduh... aku dah mula panik macam ni. Tak akanlah ada musuh lagi nak menculik anak-anak aku? Ah, mulut janganlah cakap yang bukan-bukan. Makin tak tenang hati aku macam ni.

"Mama..."

Aku memalingkan tubuh ke belakang. Kelihatan Ryana dan Ryan saling berpegang tangan sambil berlari anak ke arah aku. Aku terus mendukung mereka berdua. Pipi labuh mereka aku kucup beberapa kali. Ya Allah, si kembar selamat di dalam dakapan aku. Cuma tinggal Eusoff dan Noah yang masih tak nampak batang hidung lagi.

"Sorry mama kami lambat. Cikgu suruh kemas kelas," beritahu Ryan.

"Oh, ya ke? Tak apalah. Mama risau juga kamu berdua keluar lambat. Biasanya laju aje."

Ryana dan Ryan hanya tersenyum. Kedua-duanya melentukkan kepala di atas bahuku. Penat sangat tampaknya. Aku setia menunggu di tepi dinding pondok pengawal. Ya Allah, mana Eusoff dengan Noah ni? Lindungilah mereka, Ya Allah.

Hampir setengah jam aku menunggu mereka. Tak lama itu, Ryan menuding jari ke arah dua orang budak lelaki yang sedang berjalan ke arah kami dengan pakaian mereka yang sangat kotor.

"Eusoff? Noah? Kenapa ni? Ya Allah, korang pergi mana? Lama mama tunggu. Mama dah panik tau."

Noah memeluk kaki aku erat manakala Eusoff hanya berdiri sambil menundukkan wajahnya. Memang aku terkejut sangat melihat pakaian mereka seperti ini. Baru hari pertama bersekolah semula setelah lama bercuti. Masuk sekolah terus kotor macam ni pakaiannya.

"Kenapa ni, sayang? Kenapa diam?" Aku menurunkan tubuh si kembar ke atas lantai. Wajah Noah dan Eusoff aku usap lembut. Mata aku dapat tangkap kesan lebam dan luka serta beberapa garis calar pada wajah dan juga lengan mereka.

"Ni kenapa ni? Korang bergaduh dengan siapa sampai teruk macam ni sekali?" soal aku dengan nada tegas. Dah seorang pun tak nak beritahu aku apa sebabnya. Tu yang buat aku makin risau.

"Tadi kelas darjah satu, dua dan tiga ada latihan sukaneka. Tapi cikgu tak ada pun. Cikgu cuma pesan supaya bermain dekat padang. Lepas tu, ada kawan kelas Noah dengan kawan kelas Eusoff. Ada juga beberapa budak dari kelas lain. Baling bola dekat Noah yang tengah jalan sambil bawa air dekat padang. Noah jatuh dalam lumpur. Bola tu kena kepala dia kuat. Kepala Noah lebam tu, mama."

Allahuakhbar... sakit jantung aku mendengar cerita daripada mulut Eusoff. Memang patutlah aku tak sedap hati masa dalam perjalanan ke sini. Cumanya aku tak naklah ikutkan sangat perasaan aku ni yang suka overthinking.

"Noah okey, sayang? Sakit dekat mana-mana lagi?" Aku mendukung tubuh Noah. Tak lama itu, Noah melepaskan tangisannya sebaik saja dia menyembamkan wajahnya ke leherku. Sebak aku mendengar tangisan Noah. Pasti dia sedang menahan kesakitan.

"Bukan sampai situ aje, mama. Lepas tu, dia orang baling lagi bola banyak-banyak. Eusoff masa tu baru baru aje keluar dari tandas dekat dengan padang tu. Cepat-cepat Eusoff lari dekat Noah. Dia orang ejek Noah macam-macam mama. Perkataan yang tak elok. Eusoff pun kena sekali sebab lindung Noah dari kena bola-bola tu. Bola tu bola keranjang mama. Keras. Sakit kena dekat badan." Eusoff menyambung lagi ceritanya.

Sakit jantung aku dengar cerita Eusoff. Tak akan tak ada seorang cikgu pun yang memantau mereka masa tu. Apa-apa terjadikan bahaya. Ya Allah....

"Kita pergi klinik. Jom... ni mumy nampak terkejut besar dia. Eusoff tolong mama pimpin Ana dengan Yan."

Eusoff hanya akur. Dia memimpin tangan Ryana dan Ryan. Kami bersama-sama melangkah menuju ke kereta. Dari jauh, aku dah nampak dah reaksi wajah Melina yang sudah berkerut-kerut dahinya. Pantas dia menolak dedaun pintu lalu keluar dari kereta.

"Anak mumy kenapa ni? Allahu..."

Eusoff terus memeluk erat tubuh ibunya. Melina memandang ke arah aku sambil dahinya berkerut. Aku hanya memberi isyarat tangan yang mengatakan nanti aku akan ceritakan kepadanya. Sekarang ni, aku nak bawa Noah pergi klinik. Tak tahu ada kecederaan dalaman ke apa. Ini kalau Rery tahu. Aku gerenti seratus peratus yang Rery akan datang sekolah dan berjumpa dengan cikgu.

SELEPAS saja membawa mereka ke klinik, kami terus pulang ke rumah. Noah sudah tertidur di atas sofa. Penat sangat. Habis wajah dan badannya penuh dengan lebam. Memang tak patut langsung. Patutnya ada cikgu yang memantau mereka. Ini tidak. Aku dah dapat rasa. Naluri seorang ibu biasanya semua betul. Budak-budak tu semua nak membuli Noah disebabkan kaki dia.

"Haih... sekolah ni pun satu. Ada dibiarnya budak-budak macam tu main kat padang tanpa pengawasan. Ingat dia orang tu semua behave sangat ke? Entah apa permainan yang dia orang ambil. Karang main benda tajam ke apa. Kan dah jadi satu hal pulak. Ish... panas betul hati," bebel Melina sebaik saja dia melabuhkan punggung di sebelah Eusoff.

"Entahlah, Mel. Saya pun pening ni. Nanti Rery balik tengok anak dia macam ni. Mahu muka tu tak berubah jadi singa bengis. Dahlah banyak pulak tu lebam. Luka lagi. Dahlah Noah baru aje baik daripada kena tembak. Aduhai..."

"Bukan setakat Rery aje. Julian tu sekali. Mesti bebel punya. Macam tak kenal tu dia macam mana."

Aku menganggukkan kepala. Setuju dengan apa yang Melina cakap. Ini kalau Rery bergabung dengan Julian. Mahu meletup sekolah tu nanti. Tak fasal-fasal kena hadap kebengisan dua ekor singa. Jangan main-mainlah....

"Eusoff sakit lagi ke badan, sayang?" soal Melina sambil mengusap lembut belakang tubuh anaknya itu.

"Sikit aje, mumy. Noah yang banyak kena sebelum Eusoff datang. Noah nak lawan pun macam mana. Ramai budak-budak buat dia."

"Cikgu tak cakap apa-apa ke?" soal aku kepada Eusoff.

"Cikgu cakap. Tak ada apa-apa pun sikit aje tu. Kata budak lelaki kenalah kuat."

Fuh! Panas hati aku dengar cikgu ni bagi pesanan. Budak lelaki aje mesti kena kuatlah? Ajaran sesat manalah yang dia orang ni belajar, ya. Dah jadi cikgu pun macam tak layak jadi cikgu.

"Eh, eh... macam tu pulak cikgunya bercakap. Bukan nak check ke apa. Dahlah tinggal macam tu aje. Buatnya apa-apa terjadi. Nak salahkan siapa? Nanti kata kita serang pengajar pulak."

Aku angguk sekali lagi. Setuju sangat apa yang Melina cakap. "Betul. Ini kalau Rery tahu cikgu tu cakap macam tu. Memang habislah kena kaw-kaw."

"Kena beritahu. Biar dia orang bukak mata sikit. Kita hantar anak-anak sekolah dan secara automatiknya cikgu kenalah bertanggungjawab. Bukannya lepas tangan. At least pun bawalah ke bilik rawatan. Check apa yang patut. Ini boleh pulak cakap macam tu."

Itu dia... kalau Puan Melina dah marah. Bukan dia aje yang marah. Aku ni pun tengah tahan panas hati yang membara-bara. Anak aku baru nak sihat. Kena macam ni.

"Mama... sakit...," adu Noah sambil menggerakkan tubuhnya ke kanan dan kiri.

"Ya, sayang. Sakit dekat mana? Dah sapu ubat krim dah tadi." Aku mendapatkan Noah yang berada di sofa di sebelah aku. Kepalanya aku ribakan. Kemudian perlahan aku mengusap wajahnya yang berkerut-kerut menahan sakit.

"Lenguh... lenguh..."

"Kesianlah Noah. Sampai hati dia orang, ya. Kita jaga anak kita baik-baik. Sampai ke dia orang jadi macam tu pulak." Melina menggelengkan kepala. Eusoff yang berada di dalam pelukannya hanya membisu sambil memandang ke arah Noah.

"Entahlah. Saya pun tak tahu nak cakap apa. Sedih sangat tengok Noah macam ni. Sakit-sakit badan. Doktor pun cakap sampai ada yang tersalah urat. Takut ada efek sampai ke besar nanti."

"Banyakkan bersabarlah, Adra. Insya-Allah Noah sembuh. Dia kuat. Nanti biarlah suami-suami kita ambil tindakan dekat sekolah tu."

Aku hanya menganggukkan kepala. Noah yang tadinya baring, perlahan bangun lalu duduk di atas ribaku. Pinggangku dipeluknya erat. Wajahnya disembamkan ke dadaku.

"Sabar ya, sayang. Nanti baik. Mama dah sapu krim tadi. Noah kena tidur. Berehat. Mama sentiasa dengan Noah." Aku mengucup lama dahinya. Sebak hati aku.

"Tak boleh nak tidur. Sakit-sakit," adu Noah.

"Okey. Tak apalah. Mama tak paksa Noah tidur. Noah duduk diam-diam. Berehat. Ke Noah nak makan?"

Perlahan Noah menggelengkan kepalanya. Mesti anak aku ni hilang selera makan kalau dah keadaan dia macam ni. Haih... seram pulak aku nak tunggu Rery balik ni nanti. Kena bersiap sedialah. Jangan bergegar rumah sudah.

"Mama, mumy... masa rehat tadi. Semua ejek Noah tempang. Cacat. Eusoff marah dia orang makin ejek. Kesian Noah. Noah makan sikit aje makanan dia. Lepas tu, ada budak lelaki ni datang tolak makanan Noah sampai jatuh." Eusoff bersuara setelah lama mendiamkan diri. Mungkin tengah berfikir cara nak menyampaikan berita yang menyesakkan jiwa aku sekarang ni.

"Noah tak makanlah ni dari tadi?"

Noah mengeratkan pelukan pada pinggangku. Soalan aku tidak dijawab olehnya.

"Ya Allah... kenapa sampai macam ni sekali Noah kena buli? Kesian anak mama ni. Sayang mama..." Aku mengusap tubuh belakangnya perlahan. Takut terkena pada kesan lebamnya.

"Adra, ada baiknya awak bawa berbincang dengan Rery pasal Noah ni. Bila saya dengar macam ni, saya dapat rasa esok-esoknya Noah boleh kena benda yang sama. Entah-entah lebih teruk. Baik cari solusi lain. Hari tu saya dengar yang Rery kata kalau Noah tak selesa sekolah situ. Boleh homeschool, kan?"

Aku menganggukkan kepala. Ya, aku kena berbincang dengan Rery. Kalau tak, perkara ni boleh jadi melarat-larat.

"Noah... kalau Noah sekolah di rumah saja. Noah selesa tak? Noah okey?"

Noah menggelengkan kepalanya. "Noah nak sama dengan abang. Noah tak nak sorang-sorang. Noah okey mama. Noah nak school. Tak nak belajar dekat rumah."

"Kalau macam tu, kena cari sekolah yang boleh terima Noah. Pasal Eusoff ni, Julian okey saja kalau untuk Noah. Noah memang dah rapat dengan Eusoff dari kecil."

"Betul juga, Mel. Tak apalah, Noah. Nanti kita bincang dengan papa, ya. Nanti mama nak minta tolong Noah ceritakan dekat papa semuanya apa yang terjadi, okey? Mama tak nak Noah selindung-selindung. Noah tahukan papa macam mana? Once dia dapat tahu daripada orang lain nanti dia susah nak percaya Noah lagi."

Noah mengangguk-anggukkan kepalanya. "Baik, mama. Nanti Noah cerita dekat papa semuanya sekali. Nanti mama teman Noah."

Aku menjatuhkan kepala sekali. "Ya, sayang. Mama teman. Papa tak akan marah Noah. Cikgu tu kena ambil tindakan bukan cakap macam tu dekat Noah. Nanti beritahu papa dengan mama siapa cikgu yang cakap macam tu. Papa mesti nak jumpa pengetua sekolah nanti ni."

Noah diam. Dia menyembamkan semula wajahnya ke dada aku. Kasihan sangat aku lihat keadaan anak aku ni. Ya Allah... Engkaulah lindungilah anak aku. Biarlah aku yang sakit jangan dia. Tak sanggup aku nak lihat Noah dalam keadaan seperti ini. Ni belum lagi Rery yang tahu. Haih....


Previous: MP 68
Next: MP 70

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.