MP 42

"KENAPA tiba-tiba je kau nak sambung belajar dekat Australia? Ada apa-apa yang kau rahsiakan daripada aku ke?" soal Rery kepada Rae.

Aku di sebelah Rery hanya mendiamkan diri. Sepertinya aku tahu kenapa Rae tiba-tiba saja memaklumkan pada kami semua yang dia nak sambung pengajian di luar negara. Adakah disebabkan aku? Sebab dah banyak kali, dia cuba mengelak daripada aku. Aku nak tegur dia pun, sampai sekarang masih tidak berpeluang.

"Aku nak sambung belajar, tak ada kena mengena dengan sesiapa pun. Sebab aku rasa, aku nak sambung belajar. Kenapa? Setahun aku, kalau nak sambung belajar dalam usia aku ni. Masih boleh lagi," jawab Rae dengan riak tenang. Tak ada menunjukkan yang dia sedang menyembunyikan sesuatu. 

"Aku tak kisah. Tapi, kita dah selalu bersama walaupun jarang berjumpa. Nak lepaskan kau dekat Aussie tu jauh, Rae." Ada nada kecewa di hujung ayat Rery. Aku tahu Rery tidak mahu berjauhan dengan darah dagingnya sendiri. 

"Kau jangan risau. Mama dengan papa dah izinkan aku pergi." Kekal saja riaknya membalas soalan Rery.

"Memang mama dengan papa bagi keizinan. Tapi, aku ni lebih berhak menentukan sebab dia orang hanya keluarga angkat kita. Aku ni abang kandung kau. Kau tahukan, musuh di mana-mana sahaja kecuali dekat sini. Boleh dikatakan ketat. Bukan main sembarangan masuk. Bukan boleh lepas senjata api secara suka-suka. Aku risau." 

Akhirnya Rae melepaskan keluhannya. Mungkin tewas dengan Rery. Nampak saja beku. Heartless. Tapi, kalau dah dengar suara Rery berubah macam tu. Siapa aje yang tak rasa serba-salah? Aku pun selalu kena macam tu dengan Rery. Boleh dikatakan sepanjang aku berkahwin dengan Rery. Dia memang banyak mengalah dah sekarang walaupun dia suka sangat menyakat aku.

"Okeylah. Aku mengalah. Aku sambung belajar dekat sini je tapi negeri lain. Deal?" Rae mengalah.

"Okay, deal. Negeri mana?" 

"Kelantan." 

"Kenapa Kelantan?" soal Rery dengan keningnya terjongket sebelah. Banyak betul soalan suami aku ni? Dah macam komander.

"Ermm..."

"Nak cari awek Thailand lah tu," sakat Julian yang sudah sekian lama mendiamkan diri. Dari tadi, dia hanya mendengar saja perbualan Rery dan Rae. Mungkin tak tahu nak menyampuk dari mana.

"Ceit!" Rae berdecit.

"Kantoi! Yelah tu, nak cari awek Thailand." Melina ketawa.

Aku menggelengkan kepala. Kalau betul Rae nak cari perempuan Thailand, memang mengejutkan aku. Betul-betul kacukan nanti anak dia orang. Ayah dari Itali, mak dari Thailand. Macam-macam bahasa boleh belajar. Fuh, syok!

"Tak ada masa lah aku nak cari perempuan. Aku nak sambung belajar memandangkan masalah semua dah selesai. Cuma kena berjaga-jaga sajalah. Tak semua tempat selamat." 

Serentak mereka menganggukkan kepala. 

"Cerita pasal Ivander, kali terakhir dia jumpa Adra. Dia ada cakap apa-apa?" soal Julian.

Aku menganggukkan kepala. "Dia cuma nak melawat Noah sebelum dia serahkan diri dekat balai polis. Adra tak sure dia betul-betul atau tak. Lepas tu, dia ada cakap yang dia nak melawat Eusoff. Hampir je kena belasah dengan abang."

Julian hanya tersenyum tawar. "Abang bukan apa. Terkejut tiba-tiba dia muncul. Polis tengah jejak dia. Even dekat sini dengan Itali. Dua-dua tengah cari dia. Abang pun tak tahu, lorong tikus mana dia ikut. Macam mana dia boleh lepas."

"Tapi, dia betul-betul dah berubah kan? Kalau tak, mesti dia dah apa-apakan Adra." Melina mencelah.

Julian menganggukkan kepalanya. Rery dan Rae hanya mendiamkan diri. 

"Tak apalah. Kita doakan yang baik-baik. Adra pun dah maafkan dia, jadi tak salah kita semua maafkan dia. Manusia tak lari daripada membuat kesilapan. Kita pun tak ada hak nak menghukum." Melina tersenyum sambil membelai rambut Eusoff yang tekun menonton video animasi di dalam telefon bimbit Julian bersama Noah.

"Ya, Adra setuju. Benda yang lepas tak usahlah dikenang lagi. Sekarang ni, masing-masing dah ada tanggungjawab sendiri. Jadi, baiki diri kita semampu boleh. Kita pun ada banyak buat salah juga." Aku menyokong kata-kata Melina. Memang betul, kita jangan sangka yang kita tak pernah berbuat salah. Kita seorang manusia yang tak lari dari terus membuat dosa. Maka, sedarlah diri untuk memperbanyakkan ibadah.

AKU mengemas katil terlebih dahulu kemudian barulah merebahkan diri dengan senang hati. Lama betul Rery berbincang dengan Rae. Sampai mengantuk aku dibuatnya. Dah beberapa kali aku menguap. Aku mengiring ke arah kanan. Si anak bujang aku dah nyenyak tidur sambil hisap botol susu dia. Tak boleh lepas botol susu tu. Kalau tarik, secara automatik mata dia akan terbuka. Penangan botol susu betul.

"Honey..." 

Aku memalingkan wajahku pada muka pintu. Nasib baik, aku tak terkejut. Kalau tak, satu kerja nak tidurkan Noah semula. Rery ni pun satu, tiba-tiba saja dah tercegat dekat muka pintu bilik tu. Tak dengar pula dia buka pintu.

"Ya, biy?" jawab aku sambil mengubah posisi dari baring kepada duduk.

"Rae nak jumpa honey sekejap. Dia tunggu dekat dapur." 

Aku mengerutkan dahi. Mulut aku berat pula nak bertanya. Aku hanya menganggukkan kepala lalu melangkah keluar dari bilik, menuju ke tangga. Manakala, Rery sudah rebah di atas tilam bersama Noah.

"Rae?" tegur aku sebaik saja memijak anak tangga yang terakhir. Aku menoleh ke kiri, kelihatan Rae sedang bersandar pada bibir kabinet sambil bersilang tangan. Di tangan kanannya, terdapat segelas air jus mangga.

"Hai, Ju." Bibir Rae tergaris sebuah senyuman. Kecil.

"Ada apa?" soal aku seraya melangkah mendekatinya.

"Aku ada nak cakap sikit. Anggap sajalah satu luahan yang selama ni aku pendam sebelum aku bawa diri aku sambung belajar dekat Kelantan nanti."

Aku terdiam sejenak sebelum menjatuhkan kepala beberapa kali. "Apa dia?" 

"Aku suka kau, Ju." 

Sebaris ayat itu agak memeranjatkan aku. Tapi, sehabis mungkin aku mengawal air muka daripada kelihatan begitu ketara. Aku tak nak pula Rae terasa hati atau apa-apa.

"Kau jangan cakap apa-apa selagi aku tak habis cakap..." Dia meletakkan gelas yang sudah kosong ke dalam singki.

"Aku memang dah lama suka kau. Suka tambah sayang sama dengan cinta. Aku cintakan kau. Tapi, aku tahu dengan perangai aku yang dulu tu membuatkan kau semakin menjauhkan diri daripada aku. Dari situ aku sedar, aku tak layak dapat balasan cinta daripada kau. Pada masa yang sama, aku takut kalau sesiapa yang akan berkahwin dengan kau selepas Ivan ceraikan kau. Aku takut kau berkahwin dengan orang yang aku tak kenal langsung." 

Aku terdiam seribu bahasa. Kehilangan kata-kata. Rae cintakan aku. Ivander cintakan aku. Arif pun masih menagih cinta daripada aku. Kenapa semua jatuh cinta dengan aku? Aku buat apa sampai dia orang boleh jatuh cinta dengan aku? 

"Aku bersyukur yang kau berkahwin dengan abang aku. Abang kandung aku. Yang aku memang percaya, dialah yang terbaik buat kau. Aku luahkan perasaan aku ni sebab aku nak rasa tenang bila aku dah sampai Kelantan nanti. Kau jangan risau. Rery dah tahu isi hati aku. Dia pun dah maafkan aku. Aku harap kau boleh maafkan aku. Dan, doakan untuk aku semoga aku bertemu jodoh dengan perempuan sebaik dan setabah kau," ujarnya panjang lebar sebelum tangannya mencapai sehelai selendang yang berada di atas kabinet dapur lalu diberikan kepada aku.

"Aku tak tahu nak bagi hadiah apa dekat kau. Aku harap kau suka dengan pemberian aku ini."

Aku mengusap kain selendang itu perlahan. Lembut sangat. Warna dia pun sedap mata memandang. Cantik.

"Terima kasih, awak." Nada suara aku sedikit bergetar pada hujungnya. Entah kenapa, hati aku terasa sebak mendengar luahan Rae. Aku rasa serba-salah sangat buat orang jatuh cinta dengan aku tanpa dapat aku balas cinta mereka. Hari tu, Ivander luahkan perasaan dia. Buat aku menangis dengan kata-kata syahdu dia. Sekarang ni, Rae pula yang buat dada aku kembali terhimpit dengan perasaan yang sama.

"Jangan menangis. Nanti abang belasah aku. Aku hanya luahkan perasaan aku. Aku tetap sayangkan kau. Sayang kau sebagai keluarga aku. Kakak ipar aku. Walaupun aku lagi tua daripada kau." Rae tertawa kecil. 

Aku tersenyum segaris. Tak tahu nak cakap apa. Speechless.

"Terima kasih sekali lagi, Rae. Saya doakan awak bahagia dengan kehidupan awak untuk hari-hari seterusnya. Saya yakin yang akan ada jodoh yang lebih sesuai untuk awak. Allah Maha Adil." 

Rae tersenyum lalu menganggukkan kepala. "Aku minta maaf sebab pernah buat kau terluka. Hina kau semua. Aku nak kau janji dengan aku. Jaga anak buah dan abang aku. Kau pun jaga diri. Jangan fikirkan diri sendiri je. Ingat orang sekeliling kau."

Aku mengangguk. "Baiklah. Terima kasih atas pesanan awak tu, Rae. Selamat maju jaya." 

Rae hanya tersenyum sebelum berlalu pergi ke tangga. Aku hanya memandang susuk tubuhnya yang sedang mendaki tangga sehingga dia hilang daripada pandangan aku.

Aku minta maaf, Rae. Aku tak tahu yang kau ada simpan perasan dengan kau dulu. Aku pun tak sempat nak jujur dengan kau. Kalaulah dulu kau tak sakitkan hati aku, aku rasa kita dah bersama sekarang. Sebab sebelum Rery rapat dengan aku, kaulah lelaki pertama yang rapat dengan aku selepas Arif. Masa tu aku akui, yang aku sukakan kau. Selepas apa yang jadi, perasaan suka itu kian pudar. Maafkan aku...


Previous: MP 41
Next: MP 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.