MP 33

HARI ini aku bangun sebelum jam loceng telefon bimbit aku berbunyi. Tepat-tepat jam 6:59 pagi. Lagi seminit nak pukul 7:00 pagi. Noah yang berada di sebelah aku, masih lagi nyenyak tidur sambil tangannya erat memeluk leherku. Rambut yang terjuntai menutupi dahinya, perlahan aku selak ke belakang. Dahi dan pipinya aku kucup lembut. Perlahan bibirku mengukir sebuah senyuman. Suka bila setiap kali melihat Noah sedang lena dibuai mimpi. Iras wajah Noah lebih kepada dirinya sendiri. Tiada iras Ivander. Kalau iras aku, mungkin bahagian mata dan bibir. Julian sendiri cakap, biasanya anak lelaki ikut iras wajah ibunya. Mungkin Noah lebih ikut aku bila dah besar nanti. Semestinya anak aku ni seorang yang kacak bila dah meningkat dewasa. 

"Herk... herk..." Noah merengek perlahan sambil tangan naik menggosok wajahnya. Mata masih lagi terpejam. 

"Shuh... shuh..." Aku mendodoikan semula Noah sambil membetulkan baju tidurnya yang ternaik ke atas. 

"Mama nak mandi sekejap. Noah tidur ya, sayang. Mama loves you." Sekali lagi aku mengucup dahinya. 

Noah menganggukkan kepalanya perlahan dengan mata yang masih lagi terpejam. Susah sangat nak buka matanya tu. Mengantuk sangat gayanya. Padahal boleh tahan awal juga dia masuk tidur dengan aku.

Tok. Tok. 

Langkah aku terhenti sebaik saja terdengar bunyi ketukan pintu. Sempat aku mengerling ke arah bahuku. Kelihatan luka pada bahuku semakin mengering. Ada darah sedikit saja pada balutanku. Laju aku mengorak langkah ke arah pintu bilik. 

"Ju..."

"Ya Allah, terkejut Ju. Ingatkan siapalah tadi. Suara tu tak boleh elok-elok sikit ke?" marah aku dengan nada perlahan. Tak berniat mahu mengejut Noah kerana masih awal lagi. Karang dia ingat aku nak keluar, tinggalkan dia. Berdrama air mata sekejap lagi tak pasal-pasal.

"Dah memang suara aku macam ni. Nak buat macam mana? Kau cair dengan suara serak aku pagi-pagi ni mengaku sajalah." 

Eh, eh. Perah santan banyak sangat agaknya. Angkat bakul sendiri. Sejak bila aku cair dengar suara dia yang baru bangun tidur tu? Oh, Gosh!

"Excuse me. Sorry sikit, ya. Tak ada kerja Ju nak mengaku yang Ju cair dengar suara abang serak baru bangun tu. Fikir macolah? Sorry la. Hati Ju hati batu. Jual mahal sikit. Bukan senang-senang abang nak tackle." Aku tersenyum sinis. Pagi-pagi dah cari gaduh dengan aku. Memang hobi dia agaknya. Tak sah kalau tak sakat aku. Suka sangat cari pasal. Ada saja idea dia nak menyakat aku.

"Ahh..." 

Laju saja Rery menekup mulutku dan dengan sepantas kilat dia masuk ke dalam bilikku. Sempat lagi aku mengerling ke arah Noah. Nasib baik, anak aku tidur lagi. Hampir saja aku nak terjerit kuat. Terperanjat aku, weh! Dia main tolak aje pintu bilik aku sampai terbuka luas. Aku dahlah tak mandi lagi. Masih lagi pakai pakaian tidur. Suka-suka dia saja. Hesy!

"Nak apa abang ni? Jangan macam-macam, ya." Keras nada suara aku memberi amaran kepada si jejaka Itali bernama Rery El-Sharif Princeslon ini. Jangan dia nak buat kerja gila sudah! Bukan betul sangat dia ni. Penangan angau dia tu mana boleh ikutkan sangat. Makin menjadi-jadi...

"Jangan nak negatif sangat kepala otak tu. Aku masuk ni nak bagi kau baju ni. Pakai. Kau lupa yang hari ini kau nak jumpa suami kesayangan kau tu?" 

Aku mencemik. Macamlah tak boleh bagi dekat luar bilik tadi. Saja aje tu sebenarnya. Rindu mengaku sajalah rindu. Mengada. Nak termuntah aku dengar perkataan suami kesayangan tu. Suka-suka dia aje gelar Ivander macam tu. Memang tidaklah!

"Eh, pandai-pandai abang je. Bukan suami kesayangan, okey? Suami atas kertas saja. Dia tak layak pun dipanggil seorang suami. Nak mempergunakan Ju saja. Abang lupa?"

Rery mendekati aku setapak demi setapak diikuti dengan aku pun yang berundur ke belakang sampai tubuh aku melekat pada dinding bilik. Dia ni dah kenapa? Nak saja aku menjerit. Suka buat jantung aku tak keruan. Hesy!

"Aku tak lupa, sayang. Aku ingat. Dan aku tak sabar, bila kau dengan dia dah berpisah. Aku akan jadikan kau selamanya milik aku. Ingat tu. Aku tak akan sesekali lepaskan kau lagi. Cukup 20 tahun aku menanti kehadiran kau," bisik Rery betul-betul pada telinga aku. Nafas kasarnya menampar-nampar kulit wajahku membuatkan aku diri terkaku di situ. Langsung tak boleh nak bergerak. Macam kena pukau.

"Ya..." Perlahan aku bersuara. Itu saja yang aku mampu. 

"Abang jangan macam ni. Tahulah kita ni bukan dekat Malaysia. Please, keluar. Nanti orang lain fikir lain. Kalau abang betul-betul sayang Ju, keluar ya. Jumpa dekat bawah." 

Rery tersenyum kecil lalu menganggukkan kepalanya. Dia menjauhkan diri dan ketika itu juga aku melepaskan nafas yang panjang. Macam baru dapat sedut oksigen yang sebenar. Haih...

"Aku uruskan Noah. Kau uruskan diri kau tu. Perlahan-lahan. Jangan nak lasak sangat. Bahu kau tu belum baik sepenuhnya." 

"Eh, tak apa ke? Tak menyusahkan..."

"Addio... (Bye)," ucap Rery sambil mendukung Noah dengan penuh berhati-hati lalu meninggalkan aku seorang diri di dalam bilik. 

Aku menggelengkan kepala. Ada-ada saja dia ni. Saja nak buat aku angau dengan dialah ni. Haish!

JULIAN menghentikannya keretanya di sebuah rumah bungalow dua tingkat. Mungkin ini dia, rumah Jessica dan Ivander di Itali. Sepanjang perjalanan, banyak yang Julian terangkan kepada aku. Kemungkinan besar, Ivander akan ajak bertekak sebelum dia bersetuju. Yelah, usaha dia selama ini hanya sia-sia. Tokpa dengan Nekma tak pernah percayakan dia. Jadi, sampai sekarang mereka tak dapat nak bolot harta keturunan Princeslon mahupun Handerville. Angan-angan tahi ayam sajalah.

"Ready?" soal Julian sambil memandang ke arah aku dengan riak wajahnya yang serius itu.

"Ya, ready," jawab aku. Noah aku serahkan kepada Melina yang duduk di bahagian belakang bersama dengan Eusoff, Rery dan Rae. 

"Rae, Rery ingat apa perancangan kita kalau Ivander bertindak luar jangkaan. Chen ada di sekitar sini bersama dengan anak-anak buah dia," pesan Julian.

Rery dan Rae sekadar menganggukkan kepala. Julian terus keluar dari dalam perut kereta diikuti dengan aku. Sempat lagi aku mengerling ke arah Rery melalui cermin pandang belakang. Dia hanya tersenyum senget ke arah aku. Aku mencebik sebelum menutup pintu kereta. 

Ting! Tong! Julian menekan loceng rumah mereka. Berdebar-debar pula aku dibuatnya. Sudahlah pakaian aku hari ini boleh dikatakan ala-ala Mafia. Baju inilah yang Rery bagi aku pagi tadi. Boleh tahan juga citarasa dia. Saiz aku pun ngam-ngam. Memang cun sangat. All black.

Tak lama itu, muncullah susuk tubuh yang masih sama bentuknya menghampiri pintu pagar rumahnya. Sudah dua tahun, aku tak bersemuka dengan suami aku sendiri. Bak kata Julian, baik berpisah daripada masing-masing mengumpul dosa kerana tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.

"Aara..." Perlahan saja Ivander menyebut nama lama aku. Bila dia sebut nama tu, secara automatik fikiran aku teringat kisah silam aku dengan dia, dua tahun yang lepas. 

"Sorry. Siapa Aara? Saya Adra." Sengaja aku acah-acah diva sikit. Berlagak seolah-olah aku tidak mengenali dia. Sebenarnya, memang aku tak nak pun kenal dia siapa. Aku langsung tak nak ingat siapa dia pada aku.

"Adra?" Ivander memandang Julian. Mungkin minta penjelasan dengan lebih jelas.

"Possiamo entrare? (Boleh kami masuk?)" soal Julian bersahaja.

"Erm..." Ivander menganggukkan kepalanya lalu mempelawa kami untuk masuk. 

Aku tak nampak pula Jessica. Dekat mana dia? Dah lama aku tak bersemuka dengan dia. Al maklumlah, diakan paling dengan anti aku dulu. Takut sangat aku rampas lelaki dia. Suka tuduh aku mengorat lelaki dia.

"Jess!" laung Ivander dari tingkat bawah. Kasar betul panggil isteri macam tu. Dulu bukan main sweet.

"Duduk, Adra." Julian menarik tangan aku ke sebuah sofa yang berada di ruang tamu. Rumah mereka boleh tahan cantik. Dekorasi semua menenangkan jiwa. Cuma itulah, owner rumah ni yang mampu buat hidup orang kacau-bilau.

"Che cosa? (Apa?)" soal Jess dengan reaksi muka tidak puas hati sebaik saja dia menuruni anak tangga terakhir. 

"Sono arrivati. (Mereka dah sampai.)," jawab Ivander dengan malas sebelum dia melabuhkan duduknya di atas sofa bertentangan dengan kami.

"Aku tak nak buang masa lagi. Aku datang sini nak minta kau lepaskan adik aku. Dah dua tahun kau buat perkahwinan kau dengan dia tergantung. Tak bertanggungjawab langsung." Julian sudah memulakan perbicaraannya.

"Jadi, itu masalah bagi kau ke?" soal Ivander dengan nada sinis.

"Memang masalah aku. Ni adik..."

"Adik? Sejak bila Aara ni jadi adik kau? Sebelah aku ni, adik kandung kau. Tapi, kau buat dia yang macam orang luar. Kenapa?" Nampaknya Ivander menukar topik. Sengaja nak mengelat. Tak apa, sabar dulu...

"Itu masalah aku dengan dia. Bukan masalah kau. Kau sebagai seorang suami, sila didik adik aku dengan baik. Aku tak ada dengan dia selalu." Julian tersenyum. Senyuman dia, tak dapat aku tafsirkan. Sama ada dia betul-betul maksudkan ataupun tidak. Tapi, abang mana aje yang tak sayangkan adik sendiri. Lagi-lagi sedarah. Adik-beradik kandung. Aku ni adik tiri yang tiada pertalian darah pun, dia sayang sangat. Apatah lagi Jessica.

"Tak payah nak buat ayat touching sangat. Menjijikkan." Jessica mencelah. Sempat lagi dia menjeling ke arah aku.

"Seperti yang aku cakap tadi. Aku tak nak buang masa. Aku datang sini nak beritahu yang sebenar dan aku nak kau lepaskan adik aku dengan cara baik. Noah Al-Qadr akan terletak di bawah jagaan dia. Disebabkan korang yang tak pandai langsung jaga budak. Memalukan..." 

Nak saja aku melepaskan tawa terbahak-bahak bila tengok air muka dia orang berubah. Sepanjang Noah bersama aku, langsung tiada khabar berita apa-apa. Nampak sangat dia orang tak kisah. Ataupun, dah lupa dekat Noah yang dia orang selalu tinggalkan dekat pusat asuhan dulu tu.

"Kau yang culik Noah?" soal Ivander. Keras nadanya.

"Excuse me. Bukan culik, ya. Ambil. Saya ambil hak saya. Bukan saya suka-suka hati ambil macam awak," sindir aku.

"Kau diamlah, Aara," marah Jessica.

Aku tertawa kecil. Kepala aku geleng sekali. "Siapa Aara, ya? Saya bukan Aara. Saya Juliana Adra Handerville, anak kepada Jonathan Handerville." Nama penuh aku sebut! Tu pun kalau tak sedar diri juga. Aku tak tahulah. Nak suruh aku diam. Last-last kau yang terdiam. Padan muka!

"Juliana... Juliana Adra?" Jessica menuding jari ke arah aku sambil kepalanya sekejap tertoleh ke arah Julian, sekejap tertoleh ke arah aku. Terkejut sangat ke tu?

"She's still alive, like I said, Jess." Julian tersenyum sinis.

"But..."

"How?" Aku mencelah pertanyaannya.

"Saya berterima kasih sangat dekat abang saya ni. Walaupun dia sekadar abang tiri. Tapi pada saya, dia adalah abang yang paling baik pernah saya dapat dalam hidup saya. Kalau tak kerana dia, saya tak kenal siapa saya. Dan mungkin, selamanya saya hidup dalam penderitaan," ujar aku dengan nada bersahaja. Cukup bersahaja.

Ivander dan Jessica saling berpandangan antara satu sama lain. Terkejut sangat ke tu sampai tak boleh nak terima hakikat yang kanak-kanak bernama Juliana Adra masih hidup dan tercampak sampai ke Malaysia. 

"Impossible." Jessica ketawa.

"Memang aku tahu yang Juliana Adra masih hidup. Tapi kut ya pun, kau nak membongak. Tak akanlah nak suruh Aara jadi Adra." Ivander turut ketawa.

"Terserah pada korang untuk percaya atau tidak. Tokpa dan Nekma dah jumpa dia dan dah terima dia dengan hati terbuka bahawa Aara Malika adalah Juliana Adra. Nekma pun siap periksa lagi tanda lahir Aara dan Adra adalah di bahagian yang sama. Jadi, korang tak boleh nak nafikan lagi." Julian masih lagi tersenyum. Begitu juga dengan aku. Tadi bukan main sakan ketawa, ni dah kenapa senyap sunyi?

"Lupakan saja hajat awak nak rampas harta saya. Noah Al-Qadr akan berada di bawah penjagaan saya. Awak selaku ayah kandung dia, boleh datang melawat saja. Kira baik juga, kan? Kalau awak masih nak mengaku dia anak awaklah. Kalau tak nak, lagi bagus. Biar saya beritahu Noah yang ayah dia tinggalkan dia. Tak pun dah mati." Kasar sangat ke ayat aku? Fuh!

"Tak guna," balas Ivander. 

"Eh, saya tak guna? Atau awak? Saya tak nak berlama-lama dalam rumah awak ni. Panas. Walaupun musim sekarang, musim sejuk. Tapi, entah kenapa bila saya masuk dalam rumah awak ni. Automatik jadi panas. Jadi, saya minta jasa baik awak untuk lepaskan saya secara baik. Ceraikan saya. Saya bukan Aara Malika lagi yang awak boleh pijak-pijak." Sinis aku berbicara. Aku dah tekad. Dah tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia. Lebih-lebih lagi nak terus menjadi isteri dia. Memang taklah!

"Baiklah. Itu yang kau nak, kan? Harta dengan Noah kau dah rampas macam tu. Tapi, jangan harap kau akan bahagia selamanya, Juliana Adra." Ivander tersenyum mengejek ke arah aku. Dia masih lagi menggunakan ayat dua tahun lepas. Ayat yang sama. Ayat yang mampu mengacau ketenteraman jiwa aku. Tak apa, Adra. Bertenang. Kau nak takut apa? Kau ada Julian, Rery dan juga Rae. Chen dengan anak-anak buah dia pun ada. Tak usah takut... 

"If you say so." Aku membalas senyumannya.

"Baiklah. Kau dah cabar aku, Adra. Kau ingat tu."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Tak sabar aku nak dengar dia lafazkan cerai depan kami semua. Cepatlah! Aku dah tak nak bersua muka dengan dia lagi. Tension!

"Bersaksikan Julian dan juga Jessica. Aku ceraikan kau dengan talak tiga!"

Aku terdiam seketika. Dia ceraikan sampai tahap talak tiga? Fuh! Memang terbaiklah bekas suami aku ni. Aku tabik hormat dekat dia. Status aku secara automatik bertukar menjadi seorang janda anak satu. Finally! Aku bebas!

Juliana Adra dah bebas daripada Ivander!


Previous: MP 32
Next: MP 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.