MP 55

Lapangan Terbang Tessera, Venice.

BERSYUKUR sangat aku dan Noah selamat menjejakkan kaki di bumi Itali buat sekali lagi. Sekarang ini, kami ingin mencari tempat untuk istirahat sekali gus mengisi perut yang sudah berlagu-lagu. Noah pun mengadu yang perutnya lapar. Dalam kapal terbang tadi, kami berdua banyak habiskan masa dengan tidur.

"Sayang, ingat pesan mama ya. Don't follow strangers people."

Noah mendongakkan kepalanya sebelum diangguk sekali. Genggaman tangan kami erat sesama sendiri supaya tidak berpisah. Boleh tahan ramai juga orang dengan lapangan terbang ni. Berhimpit-himpit.

"Mama, kita nak makan dekat mana?"

"Subway boleh? Dekat sini, tu saja yang mama ingat. Dah lama tak datang sini, jadi mama banyak yang dah lupa. Subway dekat depan saja tu je."

Noah akur. Dia mengekori saja langkahku sepanjang hendak menuju ke Subway yang dikatakan olehku. Kami bernasib baik kerana tidak terlalu ramai orang yang menjamu di Subway. Ada beberapa orang saja yang sedang duduk makan bersama keluarga.

"Nyummy..." Noah menggosok kedua-dua belah telapak tangannya. Nampak sangatlah anak aku seorang ini lapar. Teringat pula dekat Ryana dengan Ryan. Dah makan ke belum mereka berdua? Kadangkala mereka tu makan nak kena aku bersuap baru laju dan berselera. Harap-harap mereka bolehlah menyesuaikan diri dengan Melina tu. Aku yakin Melina boleh jaga mereka sepertimana aku jaga mereka.

"Lepas makan ni, kita pergi mana?" soal Noah sambil mengunyah makanan yang dipilihnya di kaunter tadi.

"Check in hotel dulu. Lepas tu, kita berehat dulu. Petang sikit, kita keluar cari papa."

"Noah tak sabar nak jumpa papa. Papa pun mesti rindu dekat Noah kan, mama?"

Aku hanya mampu tersenyum sekali gus kepala diangguk sekali. Tak sampai hati hendak mematahkan semangat anakku yang terlalu ingin bertemu dengan Rery. Melihatkan senyuman Noah itu membuatkan semangat aku berkobar-kobar untuk mencari suamiku. Aku yakin yang Rery baik-baik saja. Aku tak mahu serapkan aura negatif dalam diriku. Tidak mahu menyerabutkan kepala otakku.

Mercurio Venice Hotel.

PAPAN tanda nama hotel yang kelihatan unik dan mewah itu aku pandang lama sebelum pandanganku berubah ke arah pintu masuk utama. Noah yang berada di dalam dukunganku hanya melentukkan kepalanya di atas bahuku. Mujur aku masih larat mahu mendukung tubuhnya. Boleh tahan berat juga anak aku ni. Berat tulang dawai besi bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

"Noah mengantuk, ya?"

Noah menyembamkan wajahnya pada leherku. Terasa kepalanya bergerak sepertinya mengeyakan soalanku.

"Mama pergi check in, lepas tu kita berehat okey."

Tanpa berlengah, aku menapak masuk ke dalam hotel tersebut. Sunyi dan tidak terlalu ramai orang. Kelihatan ada beberapa pekerja yang berdiri di sebalik kaunter daftar masuk dan ada yang sedang menolak troli bagasi pelancong yang menginap di sini.

"Buon giorno. (Selamat pagi)" sapa aku sebaik saja berdiri di hadapan kaunter daftar masuk. Sempat lagi aku mengerling ke arah tag nama salah seorang pekerja yang sapa sebentar tadi.

Gavino Enzio. Cantik namanya. Yang bermaksud pemimpin elang putih.

"Buon giorno. May I help you?" Gavino tersenyum lebar saat mata kami bertembung.

"I am Juliana Adra. I already booked one room for me and my son."

Gavino angguk sekali. Jarinya menekan-nekan tetikus. Mungkin sedang menyemak data tempahan atas nama aku. Noah sudah pun terlelap di atas bahuku siap dengan pakej dengkuran halus. Letih sangat gamaknya anak aku ini. Sudah lama tak berjalan jauh. Dulu masa Rery ada, boleh dikatakan setahun sekali pasti kami akan pergi bercuti sama ada di luar atau dalam negara.

"This is your key and your room number is 331 on level three." Gavino menyerahkan sekeping kad berwarna hitam kepada aku dengan senyuman yang masih mekar pada bibirnya.

"Thanks, Gavino," ucapku dengan senyuman manis.

Gavino angguk sambil membalas senyumanku. Aku terus menapak ke arah lif yang terletak tidak jauh dari kaunter daftar masuk tadi. Punat lif itu aku tekan dan menunggu pintu terbuka. Sambil menunggu, aku memerhatikan suasana hotel. Cantik dan sangat luas.

Mataku terpaku ke arah kaunter daftar masuk itu kembali. Kelihatan dua orang lelaki berbadan tegap dengan penampilan mereka yang segak. Sekali imbas tengok macam bodyguard pun ada. Sedang bercakap-cakap dengan Gavino. Air muka Gavino yang tadinya tersenyum kini sudah berubah serius. Dingin.

Ting!

Aku menoleh ke arah pintu lif yang sudah terbuka. Lantas, aku mengayun kaki masuk ke dalam lalu menekan punat nombor tiga. Noah menggeliat panjang sebelum menegakkan tubuhnya. Dengan wajah mamainya, dia mengamati suasana sekeliling.

"Where are we, mama?"

"Dalam lif, sayang. Nak masuk bilik dah. Sekejap, ya."

Noah akur. Kembali melentukkan kepalanya di atas bahuku. Tetapi tidak pula menutup mata. Sibuk memerhatikan suasana sekeliling.

Sebaik saja keluar dari lif, aku terus belok ke kanan apabila melihat arah tunjuk yang telah ditampal pada dinding. Oh, tak jauh rupanya bilik aku dengan lif. Dekat saja. Mudahlah aku nak ulang-alik. Tak adalah jauh sangat.

"Wah! Cantiknya bilik ni mama. Luas!" Noah melompat-lompat kecil sebaik saja masuk ke dalam bilik. Boleh tahan mewah bilik hotel yang aku tempah ni. Harga pun kenalah dengan bilik ni. Berbaloi. Pandai juga aku pilih.

"Noah nak tidur atau mandi?"

"Nak tidur!" Noah melompat di atas katil dengan mendaratkan lutut dahulu.

Aku hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. "Okay then, have a good rest sayang mama. Mama nak mandi sekejap. Melekit badan mama. Jangan bukak pintu kalau ada sesiapa ketuk, okey? Hanya mama saja yang boleh bukak."

"Okey, mama. Noah understand." Noah menarik selimut sehingga paras bahunya. Matanya dipejamkan rapat.

Aku apa lagi, terus sambar tuala yang disediakan di dalam almari kemudian melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Punyalah luas kamar mandinya. Dah macam bilik aku dekat rumah. Siap ada jakuzi. Tak baliklah aku macam ni. Syok betul. Eh, jangan lupa apa tujuan aku ke sini. Bukannya bercuti, ya. Nak mencari suami yang sudah hilang dari radar.

TEPAT enam petang, aku turun ke bawah bersama Noah. Hendak mencari Rery sekali gus mengisi perut untuk makan malam. Sempat lagi aku mengerling ke arah kaunter daftar masuk. Tak ada orang. Mana Gavino? Dah habis syif dia ke? Entah kenapa, aku rasa selesa bila berurusan dengan Gavino.

"Hoi!"

Terkejut aku sekali gus langkah aku dan Noah terbantut dek terdengar sergahan seseorang. Pantas aku memalingkan tubuh. Kelihatan dua orang berpakaian sut hitam tadi sedang mengejar seorang lelaki yang sepertinya hendak melarikan diri daripada dua orang lelaki bersut hitam itu. Ah, sudah. Dah kenapa pula ni?

"Mama..." Noah memeluk tanganku erat. Mungkin takut melihat adegan yang berlaku di hadapan matanya itu.

Aku tak fikir apa. Laju saja mendukung tubuhnya agar dia berasa selamat berada di dalam dakapanku. Mataku masih lagi terpaku ke arah mereka. Nampaknya lelaki bersut hitam tu berjaya menangkap lelaki kurus itu. Pakaiannya agak lusuh dan kotor. Orang miskin ke? Tak pun pencuri? Hurm....

"Mrs. Juliana, anything bothering you?" soal Gavino yang entah bila masa muncul di sebelahku.

"Huh. Nothing. I was just shocked."

Gavino menoleh seketika ke arah tiga orang lelaki itu. Kepala diangguk sekali.

"Oh, puan jangan risau. Tu cuma ada salah faham sikit."

Terkebil-kebil aku apabila mendengar Gavino menutur dalam bahasa ibundaku. Biar betul? Terkejut aku dibuatnya.

"Errr... you can speak...."

Gavino senyum. Angguk sekali. "Ya, saya nampak borang tempahan puan. Puan dari Malaysia. Saya pernah menyambung pengajian saya di sana selama tiga tahun. Jadi saya pandai berbahasa Melayu. Maaf kalau buat puan terkejut."

"Oh, ya ke? Baguslah macam tu. Awak dah habis syif ke?"

"Ya. Saya nak balik. Tapi saya nampak puan berdiri macam tu dalam ketakutan atau mungkin terkejut. Tu saya tegur puan. Takut ada apa-apa masalah."

Aku angguk sekali. Faham akan maksudnya. "Gavino..."

"Ya, puan?"

"Before that, just call me Adra. Kalau awak tak keberatan, boleh tak teman saya jalan-jalan dekat sini? Saya sebenarnya dah lama tak datang sini walaupun saya kelahiran sini."

Gavino sedikit terkejut mendengar omonganku. Mungkin terkejut mengetahui aku merupakan kelahiran sini.

"Adra kelahiran sini?"

Aku senyum. Angguk sekali.

"Oh. Kiranya dah lama duduk Malaysia. Boleh. Saya pun dah habis syif. Nak ke mana tu?" soal Gavino.

"Boleh tak kita keluar makan dulu? Saya akan cerita dekat awak apa tujuan saya dekat sini. Saya harap awak boleh membantu saya."

Gavino akur dengan permintaanku. Itu sebablah aku suka berurusan dengannya. Tak banyak cakap. Dan, dia seorang yang formal.

"Marilah. Naik kereta saya. Saya bawa satu restoran yang halal untuk Adra dan..."

"Noah."

"Dan Noah." Gavino senyum.

Aku hanya mengekori saja langkah Gavino menuju ke keretanya yang diparkir di lot parkir berdekatan dengan bangunan hotel. Aku harap sangat yang Gavino ini seorang yang baik. Aku hanya ikut kata hati aku saja. Lihat dia sepertinya baik saja dan macam boleh dipercayai. Tak salah, kan?

Aku harap sangat yang aku tak tersilap pilih orang untuk bantu aku.


Previous: MP 54
Next: MP 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.