Mulutyang
mula menebal itu di rasakan begitu pedih lagi. Kali ini alahannya semakin
teruk, merebak hingga ke muka dan kepalanya merasa berdenyut-denyut. Sakit yang
amat sangat. Air matanya mula mengalir laju, mujurlah hari ini bukan hari
bekerja. Dia melihat ke arah jam di dindingnya. Kalau diikutkan sudah sampai
masanya untuk dia keluar makan bersama-sama dengan Fareez, Balqis dan Iqram.
Tidak, dia tidak sanggup untuk keluar dari rumahnya dalam keadaan yang begini,
hendak bertutur sepatah dua perkataan pun terasa sakit, inikan pula hendak
bergurau senda dengan mereka.
Fareez berada di hadapan pintu rumah
Qarina, sudah dua kali loceng rumah itu ditekan malangnya Qarina masih lagi
belum keluar. Entah bersolek sakan, maklumlah hendak jumpa dengan kekasih lama.
Hati Fareez rasa macam hendak terbakar. Semalaman dia gagal melelapkan mata,
fikirannya melayang-layang kepada Qarina, kemudian rasa cemburu timbul ketika
wajah Iqram muncul di depan mata. Entah mabuk apa yang melanda dirinya, dia
tidak tahu. Iqram sudah dua kali menelefonnya mengingatkan tentang pertemuan
mereka pagi ini. Fareez bercadang ingin membawa mereka menikmati roti canai di
Argyll Road. Lokasi roti canai yang menjadi tumpuan selain di Transfer Road.
Fareez cuba menahan gelaknya,
sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Dia terpaksa mengecilkan
matanya dari menahan gelak.
“Kenapa?” kemudian Fareez terus
ketawa. Muka Qarina seperti disengat tebuan, bengkak. Mukanya nampak ganjil,
besar. Bibirnya pula sudah macam bibir negro. Tidak pernah dia bayangkan muka
comel Qarina sebegini.
Hati Qarina menjadi sakit, sudahlah
dia terpaksa menanggung sakit sebab alahan ketam, kali ini hatinya pula sakit
kerana mendengar gelak Fareez. Dia tidak menjawab, sebaliknya terus masuk ke
dalam rumah.
“Qarina, bukak lah pintu. Maaflah,
terkejut sahaja tadi,” jerit Fareez. Qarina memekakkan telinganya. Biarlah
Fareez terjerit-jerit di luar sana, padan dengan mukanya semua ini kerana dia.
“Qarina, tolonglah bukak pintu ni,”
jerit Fareez lagi, dia turut menekan loceng. Qarina mengelengkan kepalanya,
memang Fareez ini tidak mengenal erti putus asa. Kalau dibiarkan mahu jahanam
juga loceng rumahnya, Qarina akhirnya mengalah. Dia membuka kembali pintu
rumahnya, kali ini dia turut membuka pintu pagar.
“Hei, kenapa jadi macam ni? Iqram
dengan Balqis tengah tunggu kita tu, dah siap ke?”
“ Nak hegi ane hengam huke hengkak
ni?” (Nak pergi mana dengan muka bengkak ni.) susah payah Qarina cuba bertutur.
Apa lagi, makin kuat gelak Fareez. Qarina bertambah-tambah sakit hati, dia
terus menarik kembali pintu pagar rumahnya, namun Fareez lagi tangkas dia
menahan pintu pagar besi itu dengan tangannya.
“Maaflah, tak faham awak cakap apa,”
pujuk Fareez namun wajahnya tetap melukiskan perasan ingin ketawa sakan. Air
mata Qarina mengalir, bukan sebab sakit yang ditanggungnya tetapi dek kerana sakit
hati melihat wajah Fareez yang sedang cuba menahan gelaknya. Hiba pula di hati
Fareez apabila melihat air mata yang mengalir di pipi Qarina.
“Sakit ke?” tanya Fareez. Qarina
menganggukkan kepala umpana anak-anak kecil.
“Kita pergi hospital,” Qarina
mengelengkan kepala. Hospital? Maaflah tempat itu memang takut untuk dijejaki.
“Tak kan nak biar macam ni. Dah
macam beruk sarkas sahaja,” kata Fareez. Qarina menarik baju Fareez, tergamak
Fareez menyamakan dia dengan beruk sarkas.
“Kita tak payah jumpa mereka, kita
pergi hospital,” ajak Fareez. Qarina masih mengelengkan kepalanya.
“Kalau awak tak nak ikut saya, saya
pikul awak, nak? Awak kecik aje ni,” ugut Fareez. Rasanya tidak ada masalah
untuk dia mendukung Qarina yang rasanya berat pun tidak sampai 50 kilogram itu.
“oheylah,” (okeylah.) akhirnya Qarina mengalah, bukan
boleh dikira sangat dengan mamat poyo ni.
“Apa?” Fareez tidak faham.
“Ohey,” kali ini suara Qarina
semakin kuat, namun masih belum jelas tuturnya.
“Okey?” Qarina menganggukkan
kepalanya.
Fareez
memandu dengan cermat, matanya menjeling ke arah Qarina yang hanya
mengenakan tracksuit dan t-shirt pooh. Sebiji macam budak sekolah.
“Kita nak pergi GH ke atau ke mana?”
tanya Fareez, terlupa pula dia untuk bertanya.
Qarina mengambil telefon bimbitnya,
dengan segera dia terus menaip lokasi hospital yang mahu di tuju.
“Oh, Hospital Pinang. Kita boleh
jumpa dengan Iqram dulu lah,” Fareez mengusik lagi.
Sekali lagi tas tangan Qarina mengenai bahu Fareez.
“Minta kad pengenalan isteri encik,”
minta kerani yang bertugas. Fareez tersenyum, mujurlah Qarina tiada di sini.
Kalau tidak mahu diseranahnya kerani comel itu.
“Sekejap ye,” Fareez kemudiannya
melambai ke arah Qarina. Qarina menghampiri kaunter, kelihatan dua tiga orang
yang sedang memerhatikannya sambil tersenyum. Lawak sangat kot muka dia.
“Minta i.c,” Fareez meminta kad
pengenalan Qarina. Qarina tidak banyak songeh kali ini, mungkin kerana dia
sedang menanggung kesakitan maka tidak banyak kerenah olehnya.
“Comel gambar, ni zaman muda lah
ni,” komen Fareez ketika melihat gambar Qarina di dalam kad pengenalan. Qarina
buat tidak tahu sahaja malas dia hendak melayan otak Fareez ketika ini. Petugas
di kaunter itu seolah-olah sedang menahan ketawanya.
“Duduk dulu ye,” kata petugas
kaunter itu sambil menyerahkan kembali kad pengenalan bersama-sama dengan
nombor giliran kepada Fareez.
“Jom kita duduk kat hujung tu,”
Fareez mengajak Qarina ke tempat yang di tujunya.
“Kalau dah tahu tak boleh makan
ketam, kenapa makan jugak semalam,” leter Fareez, Qarina menjeling. Dia memujuk
hatinya supaya terus bersabar. Kalau tidak kerana mulutnya yang bengkak itu
ingin sahaja dia mengetuk kepala Fareez biar dia ingat siapa yang terlebih
dahulu menyuruh dia makan isi ketam itu.
“Saja nak tunjuk kebal depan Iqram? Sudahnya
diri sendiri yang menangung sakit. Lain kali jangan bermain dengan ego, kelak
terbakar diri sendiri,” tokok Fareez lagi.
“Cakap
banyak pula mat poyo ni. Hilang aku terbakar, silap-silap kau yang aku bakar,”
marah Qarina di dalam hatinya. Memang panaslah dengan mat poyo ni.
“Ni pun bekas buah hati telefon,
macam mana? Nak jawab apa?” Qarina buat-buat bodoh, biarlah Fareez yang
menanggungnya sendiri.
“Assalamualaikum,” Fareez memberi
salam.
“Waalaikumussalam, ada kat mana ni?”
tanya Iqram.
“Ada kat hospital, bawa Qarina,”
Fareez terus memberitahu Iqram. Qarina mula menarik muka.
“La, kenapa? Hospital mana?” suara Iqram
berbaur gundah.
“Nanti aku beritahu, nombor dia naik
dah ni aku nak bawak dia masuk,” terus Fareez mematikan talian. Qarina melihat
angka giliranya dengan angka yang tertera di skrin bilik doktor, nampak sangat
Fareez menipu Iqram. Fareez buat tidak tahu sahaja, dia terus bermain permainan
di telefon Samsung SIII yang baru di belinya.
Qarina mengambil masa itu menjeling ke arah Fareez.
“Caring
juga mamat poyo ni,”bisiknya sendiri. Dia menjeling lagi, kali ini dia
melihat Fareez yang agak serius menatap telefon bimbitnya. Wajah yang hitam
manis dan dihiasi lesung pipit di sebelah pipinya mula menarik matanya untuk
terus ditatapnya. Fareez agak tinggi orangnya. Kalau berdiri di sebelah, dia
hanya di takat bahu Fareez. Sama tinggi dengan Iqram. Rambutnya di potong
pendek kemas. Badannya sedang-sedang sahaja, tidak gemuk dan tidak juga terlalu
kurus.
“Ha, nak tengok-tengok aje lah,
jangan main jeling-jeling. Nanti jatuh cinta tak tahu,” kata Fareez namun
matanya tetap sahaja melihat skrin telefon bimbitnya. Qarina dengan segera
mengalihkan pandangannya.
Adeh
malunya aku, macam mana mamat ni boleh perasan ni.
Fareez melihat Qarina yang sedang
mengesat air matanya. Tangan gebunya menjadi mangsa jarum. Dia terpaksa di
tahan di wad kerana tahap alahanyan agak serius. Rasa menyesal pula kerana
menyuruh Qarina makan isi ketam. Kalau dia tahu Qarina tidak boleh memakannya
pasti dia tidak akan membenarkan Qarina menjamah makanan itu.
“Nak telefon mak dengan ayah ke?”
tanya Fareez, Qarina mengelengkan kepala. Dia tidak mahu keluarganya tahu
tentang keadaan dirinya. Kalau emaknya tahu pasti kelam kabut orang tua itu.
Telefon bimbitnya berbunyi, mesej
dari Iqram. Sudah tiga kali Iqram menghantar mesej bertanya tentang keadaan Qarina,
satu pun tidak di balasnya.
Menurut kata doktor, Qarina perlu ditahan sekurang-kurang
tiga hari. Sebentar tadi dia telah mengambil ubat bagi menahan sakit dan gatal
di muka.
Susahlah
nak duduk dalam hospital ni. Baju tak ada.
Fareez membaca kata-kata yang
ditulis oleh Qarina. Dia kini menggunakan kaedah menulis untuk bersuara. Ini
kerana Fareez langsung tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Qarina.
Bengkak di bibirnya semakin menjadi-jadi.
“Nanti saya belikan baju. Kena lah
masuk wad baru boleh baik,” pujuk Fareez. Qarina mendiamkan diri, mungkin
disebabkan ubat maka dia merasa sangat mengantuk.
“Tidurlah dulu, nanti saya datang
balik. Nak makan apa tengah hari ni?”
Tak
nak apa-apalah. Terima kasih ye Fareez.
“Sama-sama.
Jaga diri. Nanti saya datang balik. Comel muka tu, macam yang duduk dalam
sarkas aje,” sempat lagi dia mengusik Qarina.
Pergilah
balik, menyakitkan hati aje.
Faris ketawa ketika membaca tulisan Qarina.
Dia tidak bermaksud apa-apa sekadar ingin mengusik.
Iqram semakin tidak menentu duduknya, sejak mendapat khabar tentang
Qarina dia bagaikan kucing yang hilang anak. Balqis semakin makan hati dengan
sikap dan perhatian Iqram terhadap Qarina. Iqram semakin berani menunjukkan
kasihnya kepada Qarina secara terang-terangan. Langsung tidak mempedulikan hati
dan jiwanya, langsung tidak pedulikannya status sebagai suami kepada Balqis.
Niatnya untuk menyakitkan hati Qarina tidak menjadi. Sebaliknya hatinya yang
sakit. Balqis mengesat air mata kecewanya. Iqram perasan akan apa yang berlaku
kepada Balqis, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sudah lama dia terpaksa
menyimpan rasa bersalah kepada Qarina kerana mengecewakannya. Dia menyangka Qarina
sudah berkahwin, sudah melupakannya. Namun setelah bertentang mata dengan Qarina
dia yakin, dia masih di hati gadis itu. Selama ini mereka saling merindu.
“Balqis,” panggil Iqram perlahan.
Dia sudah tidak mahu kehilangan Qarina sekali lagi.
“Apa?”
“Rasanya Fareez tak datang lagi,
kita makan di hotel sahaja,” kata Iqram.
“Selera ke awak nak makan? Buah hati awak kan tengah sakit,”
sindir Balqis.
“Dalam tempoh satu jam awak tak
sakitkan hati saya boleh tak?”
“Saya sakitkan hati awak? Awak sedar
tak, sikap awak pagi ini menyakitkan hati saya. Saya tahu awak susah hati sebab
Qarina sakitkan? Iqram awak sedar tak, siapa Qarina? Siapa saya. Kalau awak
sayangkan dia pun tolong jangan tunjuk perasaan awak tu di hadapan saya. Hormat
sikit saya sebagai isteri awak,” marah Balqis. Dia sudah tidak mampu untuk menahan
marahnya.
“Awak merepek apa ni Balqis?” suara Iqram
sedikit perlahan, maklumlah memang dia bersalah pun.
“Awak jangan ingat saya bodohlah Iqram,”
kata Balqis dengan segera dia mencapai tas tangannya lalu dilemparkan tepat ke
muka Iqram. Iqram cuba menahan marahnya. Baran Balqis semakin menjadi. Dia
terus membalingkan apa yang ada kepada Iqram. Iqram dengan segera keluar dari
bilik itu, bukan takut tetapi dia tidak mahu hilang kawalan. Memang selalunya
begitu, sudah lama dia makan hati dengan baran Balqis.